Bila disebut sahaja perkataan SEJARAH, mungkin ramai yang akan mengeluh dan mula memikirkan persepsi-persepsi kurang enak. Bukan menjadi satu rahsia, subjek sejarah yang diajar di sekolah merupakan antara subjek yang paling kurang diminati oleh kebanyakan pelajar. Pelbagai alasan diberikan, yang tipikal adalah seperti susah, banyak yang perlu diingat, tidak minat, dan lain-lain alasan yang menghalalkan mereka untuk mengelak daripada mempelajari subjek ini. Yang paling tidak dapat diterima, ada yang sanggup mengungkapkan perkataan ini;

Mengapa perlu belajar sejarah? Perlu ke sejarah untuk bekerja, beli barang di kedai?

Percayakah anda? Langkah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang mewajibkan subjek Sejarah menjadi salah satu mata pelajaran yang wajib lulus merupakan satu langkah yang bijak dan saya amat mengalu-alukan langkah ini. Memang benar, sejak isu ini dibangkitkan, ramai yang telah memberikan komen, kritikan yang menyokong malah ada yang membantah cadangan ini. Membebankan murid? Setakat ini hanya satu subjek yang diwajibkan lulus di peringkat SPM, iaitu Bahasa Melayu. Jika cadangan mewajibkan lulus subjek Sejarah, baru hanya dua. Nasib baik tidak disuruh wajib lulus Bahasa Inggeris, pasti ada yang melenting!

Subjek Sejarah Amat Membosankan!

Sejarah tidak membosankan jika kena pada caranya

Ini antara komen yang sering diberikan oleh kebanyakan pelajar apabila ditanya mengapa mereka kurang berminat dengan subjek Sejarah ini. Diperihalkan bahawa sejarah itu bosan, tidak menarik, terlalu keras dan berpaksikan buku teks yang hanya fokus pada fakta semata-mata. Benar, sejarah adalah satu subjek berteraskan fakta, dan adakah semua subjek yang berteraskan fakta itu membosankan? Subjek lain juga banyak yang berteraskan fakta, seperti Fizik, Kimia, Pendidikan Islam (sekadar menyebut beberapa nama), tetapi pelajar tidak pula membesar-besarkan isu subjek yang disebutkan tadi adalah membosankan. Dari sudut sifat, memang Fizik dan Sejarah itu amat berbeza sifatnya, tetapi mengapa dikatakan Sejarah itu membosankan? Saya secara peribadi berpendapat subjek Kimia lebih susah daripada Sejarah, walaupun secara umumnya kedua-duanya memang susah.

Apa yang saya perhatikan, salah satu faktor yang memungkinkan subjek Sejarah dikatakan bosan adalah cara penyampaian oleh guru yang mengajar. Mungkin ramai di antara kita yang pernah mendapat guru sejarah yang hanya mengajar berpandukan buku teks, menulis nota di papan hitam/putih ataupun yang ingin kerja senang sedikit, fotokopi nota-nota ringkasan tulisan tangan dan disuruh kepada pelajarnya tampal di buku nota dan baca. Semasa sesi pembelajaran, tipikalnya, guru akan membaca fakta-fakta ringkas, selalunya ayat-ayat dalam buku teks, dan pelajar disuruh membaca huraiannya di rumah. Interaksi antara pelajar memang ada, tetapi sesi soal jawab juga berdasarkan fakta dan hafalan, seperti perlunya mengingat tarikh-tarikh penting, nama-nama tokoh itu dan ini. Soalan-soalan peperiksaan dalaman (sekolah) juga hampir pasti berteraskan fakta dan kurang daya berfikir secara kritikal.

Bandingkan dengan mata pelajaran lain seperti Pendidikan Islam. Pelajar sering diminta untuk memberikan pendapatnya, berinteraksi secara langsung, dan berfikir mengapa itu terjadi, ini tidak boleh. Begitu juga mata pelajaran seperti Fizik, Kimia – tidak berteraskan fakta semata-mata tetapi turut melibatkan interaksi secara langsung antara pelajar dan guru itu sendiri. Pelajar menjadi seronok, teruja, ingin tahu, dan secara automatik ingin memberi pendapat (kesan daripada persoalan yang bermain dalam diri). Tidak hairanlah, kebanyakan pelajar berpendapat subjek sejarah membosankan. Saya tidak bermaksud semua guru bersikap sebegitu, ada guru yang begitu kreatif dalam mengajar subjek sejarah sehingga pelajarnya benar-benar berminat!

Berkenaan metodologi dan teknik pengajaran, saya bukanlah ahli yang dapat memberi pendapat dari sudut teknikal. Sudah banyak pakar membincangkan perkara ini, dan saya berharap Kementerian Pelajaran sudah merancang metodologi yang terbaik untuk para guru mempraktikkannya, dan sekaligus membenihkan minat pelajar terhadap subjek ini.

Sejarah Itu Perlu, Dan Memang Perlu!

Kembali kepada soalan pokok: mengapa kita perlu belajar sejarah? Atau dalam erti kata lain, mengapa kita perlu belajar DARI sejarah? Sejarah di sini bukan sahaja sejarah negara, tetapi juga sejarah-sejarah lain seperti sejarah keluarga, tempat, dan lain-lain perkara. Segala yang ada di sekeliling kita bermula dari sejarah, dan kita juga ada sejarah hidup bukan?

Sejarah itu penting, dan ada beberapa sebab mengapa kita perlu belajar dan memahami sejarah, iaitu;

PERTAMA: Sejarah membantu kita mengenali asal-usul sesuatu perkara. Ramai yang memandang remeh perkara ini, dan hanya berminat untuk mengetahui asal-usul keluarga semata-mata (itu pun tidak ramai!). Apa perlu kita tahu asal-usul? Adakah perlu kita tahu dari mana nasi yang kita makan ditanam? Satu kata-kata sinis, tetapi amat dangkal. Mengetahui dari mana dia, peristiwa atau sesuatu benda itu datang itu penting kerana ia memberi kita satu keyakinan kerana kita tahu mengapa, di mana dan siapa yang melakukannya. Kita tidak akan mudah percaya kepada kata-kata, hasutan orang lain jika kita tahu dan faham sebab-musabab (sejarah) sesuatu perkara itu. Contoh mudah, ketika kontroversi lagu Negaraku kita dahulu dikatakan lagu ciplak, maka ramailah rakyat Malaysia yang bulat-bulat percaya dan mula memberi komen yang negatif kepada negara sendiri, tanpa mengkaji terlebih dahulu. Ini memberi peluang kepada musuh-musuh luar untuk menggoyangkan keyakinan kita, dan seterusnya menggugat keselamatan negara dan diri kita. Tidakkah anda sedar?

KEDUA: Sejarah dapat mengelakkan diri kita kita daripada melakukan kesilapan, terutamanya kesilapan yang bodoh. Sudah tercatat dalam SEJARAH bahawa banyak kesilapan manusia berlaku kerana tidak mengambil iktibar daripada SEJARAH terdahulu. Saya bukanlah orang yang begitu suka dengan politik, tetapi melihat kepada perkembangan politik semasa negara kita Malaysia, tindakan-tindakan sesetengah pemimpin dan pihak bertanggungjawab, tidak kira yang memerintah atau yang membangkang, bercanggah dan ini berlaku kerana tidak faham dan tidak belajar daripada sejarah. Begitu juga diri kita, ada yang tidak mengambil iktibar dari sesuatu peristiwa yang telah berlaku, terutamanya peristiwa yang kurang enak dan menyayat hati. Maka berulang-ulanglah kesilapan-kesilapan yang serupa berlaku, dan yang menerima akibat, siapa lagi?

KETIGA: Sejarah membantu kita bertindak secara bijak dan berfikir secara kritikal dan kreatif. Saya ada ungkapkan di atas berkenaan adakah perlu subjek sejarah di sekolah semasa kita bekerja, bekeluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti umum yang tidak bercorak akademik? Perlu diingatkan sejarah itu tidak terbatas kepada ruang lingkup ketika peristiwa yang disebutkan itu berlaku, sejarah adalah rantaian peristiwa yang berterusan dan berkembang. Maka adalah salah untuk kita katakan sejarah itu bersifat statik. Peristiwa pemisahan Singapura dari Malaysia umpamanya, apakah intipati yang kita dapat pelajari daripadanya? Salah satunya adalah kadang-kala kawan kita boleh menjadi lawan kerana kepentingan diri! Moralnya? Semangat setiakawan dan berpasukan, toleransi dan persefahaman perlu ada untuk mengelakkan perpecahan dan saling bermusuhan. Amalan ini boleh dipraktikkan semasa di tempat kerja bukan? Anda tahu jalan itu mempunyai sejarah kemalangan akibat kecuaian manusia. Tindakan anda? Pandu laju?

Banyak lagi sebenarnya kepentingan mempelajari dan memahami sejarah itu sendiri. Saya hanya utarakan tiga sebab utama untuk mengajak anda sama-sama berfikir sejenak, dan sudah pasti, anda dapat mencari sebab-sebab yang lain bukan?

Sejarah Itu Adalah Kehidupan

Akhir kata, kita sebenarnya hidup dikelilingi sejarah. Sejarah adalah satu rekod, rekod yang sentiasa bergerak. Tanpa sejarah, hidup kita akan menjadi celaru dan bingung, sedarkah anda? Jika anda tenat di hospital dan doktor yang merawat anda tiada akses berkenaan SEJARAH PERUBATAN anda, apa yang boleh dia lakukan? Adakah anda ingin berkahwin dengan insan yang anda tidak tahu atau samar-samar akan SEJARAH HIDUPNYA? Anda bekerja, dan CV, sijil-sijil akademik, transkrip anda, itu semua SEJARAH AKADEMIK anda! Di saat anda lahir, bermulanya sejarah anda, dan anda juga menyambung sejarah keluarga anda. Di saat anda tiada lagi, sejarah anda tidak berhenti, anak cucu anda akan meneruskannya. Itu adalah hakikatnya, dan akan berterusan hingga dunia ini menemui penghujungnya.

About these ads