Purata Perbelanjaan Sebulan Untuk Makan Di Luar Dan B40


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Saya kongsikan infografik dan data daripada Jabatan Perangkaan sempena Hari Statistik Negara 2019. Mari kita bincangkan.

Difahamkan, isi rumah wilayah tengah mencatatkan nilai purata yang tinggi iaitu RM725/bulan (RM24/hari) di Selangor, RM901/bulan (RM30/hari) di Kuala Lumpur, dan RM873/bulan (RM29/hari) di Putrajaya.

Di wilayah/negeri lain, nilai tertinggi adalah sekitar RM549/bulan (RM18/hari) di Pulau Pinang, dan terendah RM205/bulan (RM7/hari) di Sabah.

Faktor yang memungkinkan wilayah tengah mencatatkan angka yang tinggi adalah;

GAYA HIDUP – Makan di luar lebih mudah berbanding masak di rumah, kerana kekangan masa dan komitmen kerja di samping akses kepada restoran/kafe yang sangat mudah.

KUASA BELI – Pendapatan bulanan yang tinggi memampukan individu/isi rumah untuk kerap makan di luar, walaupun kos tinggi.

KAUM/BUDAYA – Kaum Cina secara umumnya gemar makan di luar kerana itu kebiasaan mereka, berbanding kaum-kaum lain, dan mereka lazimnya memiliki pendapatan yang tinggi, dan ramai yang tinggal di wilayah tengah.

Harus diingat, kos makan di luar bukanlah murah! Sebagai contoh, kos makan tengahari di kedai/gerai dengan menu nasi campur 2 lauk + air adalah sekitar RM15 (ini harga di Petaling Jaya/Shah Alam). Di tempat-tempat lain juga lebih kurang sama.

Untuk kumpulan B40 (pendapatan median RM3,000), jika individu/isi rumah ini tinggal di Kuala Lumpur dan makan di luar selama 30 hari (sebulan), ia telah menggunakan 30% daripada pendapatannya (RM901/RM3,000). Nilai yang agak tinggi!

Ini tidak termasuk kos/komitmen lain seperti bayaran balik pinjaman, sewa rumah, pengangkutan (petrol, servis kenderaan), saguhati ibu bapa, dan lain-lain. Berapa banyak yang boleh disimpan oleh kumpulan B40 ini?

Saya faham situasi ini kerana saya juga tergolong dalam kumpukan B40.

Mungkin kita boleh menjalankan kempen ‘Eat Less Outside, Eat More Inside’ untuk menggalakkan individu/isi rumah kurang makan luar, tetapi dengan harga barang yang tinggi, ia tidak begitu efektif dan harus diingat, bukan semua orang ada masa untuk memasak kerana komitmen kerja (mereka bukan malas, sebab hujung minggu kebanyakan memang memasak).

Pada saya, idea ‘Menu Rakyat 1Malaysia’ yang pernah dilaksanakan dulu adalah konsep yang bagus dan molek dilaksanakan semula dengan olahan berdasarkan konsep ‘meal/luncheon voucher’ yang dilaksanakan di negara Eropah (rujuk https://bit.ly/2oWhkMM).

Kerajaan tidak perlu subsidi 100% tetapi kos boleh dikongsi secara bersama dengan majikan, dan majikan yang melaksanakan inisiatif ini boleh diberikan insentif potongan cukai (misalnya). Jadikan ia sebagai salah satu ’employee benefit’.

Syarikat besar dan bertaraf multi nasional mungkin sudah ada inisiatif yang serupa (free lunch @ company canteen) tetapi jangan dilupa juga syarikat-syarikat marhaen yang pekerjanya mungkin terpaksa ‘skip’ makan tengahari kerana menyimpan duit untuk bayar hutang rumah atau belanja anak isteri.

Memberi makan orang yang lapar itu juga satu perbuatan yang mulia, dan bukan sekadar masa di bulan puasa sahaja! Kenapa tidak mahu direbut ganjaran pahala?

Sekadar pendapat. Perbincangan dan komen amat dialu-alukan, terutama daripada rakan-rakan yang pakar dalam ekonomi dan polisi.

Terima kasih.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 20 Oktober 2019.

Isu Bendera Terbalik


Saya nak komen isu ‘Bendera Terbalik’. Saya rasa sangat pelik sebab;

1. Kalau yang memasang bendera adalah rakyat Malaysia, mustahil dia tidak tahu ‘orientation’ bendera Malaysia macam mana. Dari kecil + sekolah dah lihat bendera Malaysia, dan bendera Malaysia ini kan ‘ubiquitous’ @ ada di mana-mana. Dalam aplikasi WhatsApp pun ada emoji bendera Malaysia!

2. Kalau tak sengaja, tak kan bila dah dinaikkan, tak periksa (check) betul ke tidak. Jenis gantung dan tinggal je ke? Bila orang tegur atau ditular, baru nak betulkan.

3. Rekabentuk bendera Malaysia ni ‘jelas’ dan susah nak keliru yang mana atas yang mana bawah. Kalau macam bendera Pahang, Perak, Perlis atau Selangor, tersilap orientation itu ada kemungkinan. (bendera Pahang, warna hitam di atas atau di bawah?)

Jadi kalau bendera terbalik ni, ini sahaja kemungkinannya;

1. Bukan rakyat Malaysia yang pasang, sebab tu terbalik. Tapi kenapa suruh bukan warganegara yang pasang/gantung? Bendera kita tu!

2. Cuai (pasang, gantung dan tinggal – tak periksa betul ke tak). Susah nak diterima kalau rakyat Malaysia, sedikit sebanyak menunjukkan sifat diri yang sambil lewa.

3. Disengajakan, nak uji reaksi awam (test the water).

Justeru, kalau si pelaku itu seorang rakyat Malaysia dan dia sekadar meminta maaf kerana ‘kesilapan’ dan ‘kekhilafan’ , saya rasa sangat dangkal, janggal dan tidak keterlaluan saya sebut ‘bebal’.

Dan berdasarkan pemerhatian saya, tahun ni tak banyak premis yang kibar bendera Malaysia, dan di tempat-tempat tumpuan awam (mall dll.) pun, tak berapa nampak ‘mood’ Merdeka ditonjolkan. Yang ada pun ‘Merdeka Sale’.

Pelik bukan? Sedangkan di negara lain, Hari Kebangsaan adalah ‘Hari Raya’ yang sangat meriah dan penuh semangat patriotisme. Lihat sahaja jiran kita Singapura dan Indonesia yang baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan mereka.

Jangan jadikan ‘Sayangi Malaysiaku’ hanya retorik dan sembang kencang. Dengar lagu patriotik pun tak ada apa-apa perasaan.

Sekian, terima kasih.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 21 Ogos 2019.

Perutusan Hari Wanita 2019


Assalamualaikum W.B.T.

Pada 8 haribulan Mac setiap tahun telah ‘diisytiharkan’ sebagai Hari Wanita. Hari untuk melahirkan manifestasi dan penghargaan kepada para srikandi dan wirawati yang banyak berjasa kepada insan yang bergelar lelaki khususnya dan kepada masyarakat amnya.

Wanita dalam kelembutannya tersembunyi kekuatan dan ketegasan yang mampu menggoncang jiwa malah iman seorang lelaki. Jangan dinafikan yang lemah boleh jadi gagah, yang kusut boleh jadi licin dan yang kendur boleh jadi tegang dengan hadirnya seorang wanita.

Benarlah kata pepatah yang menyebutkan di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada (seorang, atau lebih?) wanita di sebaliknya – sama ada wanita itu wujud di alam realiti atau yang menjadi pujaan di dalam diam.

Wahai lelaki, jangan dilupa bahawa wanita itu adalah ibu kita, adik/kakak kita dan orang yang kita sayang. Hargailah mereka, dengan apa cara yang terbaik dan termampu.

Selamat Hari Wanita!

AUDI FALIQ IBRAHIM
Kelana Jaya, 8 Mac 2019

Sinar Kasih Ramadhan 1440H/2019M


Telah menjadi tradisi ‘Orang Barat’ yang menetapkan 14 Februari setiap tahun sebagai ‘hari berkasih sayang’ (tak perlu saya sebut hari apa, anda semua tahu). Tetapi sebagai seorang Muslim atau manusia yang rasional, menunjukkan cinta dan kasih sayang tidak terhad pada hari-hari tertentu. Kita dituntut untuk berkasih sayang setiap hari, kepada setiap orang, pada setiap masa, dengan pelbagai cara. Betul kan?

Salah satu cara menyemai kasih sayang adalah melalui amalan bersedekah. Jadi saya mengajak anda untuk kita menunjukkan kasih sayang dan kepedulian kepada keluarga miskin dan susah melalui sumbangan ke Program SINAR KASIH RAMADHAN anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Pernahkah kita terfikir, setiap kali Ramadhan, apabila kita bersahur dan berbuka dengan makanan yang sedap, ada keluarga yang terpaksa berkira-kira atau ala kadar kerana tidak mampu? Sebagai insan yang mampu dan dikurniakan rezeki, mahukah kita membantu? Sekurang-kurangnya, mereka mampu berbuka dan bersahur tanpa ragu dan runsing.

Justeru, marilah kita menzahirkan kasih sayang kita dengan sama-sama menyumbang ke program ini. Tidak kira berapa jua nilainya, yang utama kita tunjukkan #peduli dan #prihatin kita kepada keluarga yang kurang bernasib baik. Memberi makan kepada orang yang berpuasa amat besar pahalanya, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w.

Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.

(HR. Tirmidzi no. 807, Ibnu Majah no. 1746, dan Ahmad 5: 192.)

Tidak kira berapa nilainya, sumbangan anda amat besar maknanya! Jom menyumbang!

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Yayasan Basmi Kemiskinan – 1203 8010 0021 32. Sumbangan ke program ini layak menerima pengecualian cukai pendapatan.

Muat turun Borang Sumbangan – http://bit.ly/BorangSKR2019
Info lanjut program SKR – http://bit.ly/SinarKasihRamadhan

Penafian : Ini bukan ‘post’ berbayar, seikhlas hati saya kongsikan. Sebarkan!

Perihal ‘Kantoi’ Ijazah Palsu


Konvokesyen UIAM 20101. Terjumpa gambar konvokesyen saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (zaman muda, tahun 2010) ini semasa membuat ‘5S’ di album-album gambar Facebook saya, dan terus teringat isu yang sedang hangat di negara kita.

2. Ulasan saya mudah – Kepada yang tidak jujur atau berniat untuk tidak jujur dalam kelayakan akademik, sesungguhnya kami mahu anda tahu bahawa perjalanan mendapatkan ijazah itu bukan mudah, jadi sepatutnya anda tidak patut melenting apabila kami marah!

3. Fahamilah sesungguhnya;

~ Nak dapat tempat di IPT/Universiti, bukan mudah !
~ Nak daftar dan belajar, kena bayar (hutang) !
~ Nak maintain ‘pointer’ @ CGPA setiap sem, memang payah !
~ Belum lagi bila assignment, paper dsb. kena reject !
~ Apatah lagi mereka yang merasa perit kena repeat dan extend !

4. Jerih dan perih nya hanya Allah yang tahu, tidak kira kami ni budak pandai ke, budak tak pandai ke, semuanya merasa jatuh bangun tergolek terlentang belajar di IPT. Jadi apabila kami naik pentas konvokesyen terima skrol, maksudnya kami benar-benar deserve kerana kami struggle !

5. Justeru apabila ada insan dengan mudahnya mempunyai ijazah/credentials tanpa melalui proses yang sepatutnya, ia tidak beretika dan menunjukkan anda tidak jujur kepada orang awam dan diri sendiri.

6. Tidak perlu malu jika anda tidak mempunyai ijazah formal kerana ilmu itu bukan sahaja datang daripada jalan formal (IPT). Pengalaman hidup juga adalah ilmu dan ramai jer pakar yang belajar daripada pengalaman tanpa ijazah formal!

7. Ramai rakan saya yang tidak masuk IPT tetapi menjadi orang hebat dan tidak malu untuk mengaku tiada ijazah. Saya hormat mereka ini kerana ilmu dan kejujuran.

8. Masyarakat akan hormat orang yang belajar, faham dan berkongsi ilmu walaupun tidak ada ijazah, berbanding orang yang ‘ada ijazah’ tetapi dia tidak melalui proses pembelajaran yang sepatutnya. Bila ‘kantoi’, hilanglah kredibiliti anda. Jadi jujurlah pada diri sendiri dan masyarakat.

Sekian.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya.

Dipetik dan diubah suai daripada post Facebook saya di sini.