Dilema Melayu


Nota: Ini adalah pendapat peribadi saya. Saya memohon maaf sekiranya komen saya terhadap beberapa isu/perkara telah secara langsung menyinggung perasaan dan peribadi mana-mana pihak. Apa yang saya ingin sampaikan di bawah adalah datang dari hati yang ikhlas. Maaf sekiranya artikel ini agak bersifat perkauman.

SOALAN: Mengapa pelajar Melayu tidak setanding pelajar dari kaum lain?

Ini merupakan satu persoalan sensitif yang sudah banyak kali dibincangkan oleh tokoh akademik dan para menteri kita. Malah, ada yang berpendapat isu ini adalah isu ‘basi’ dan tidak perlu dikupas lagi. Faktor demi faktor, pelbagai penyelesaian telah dicadangkan, namun semuanya tidak membawa kesan terhadap efficiency pelajar-pelajar Melayu kita. Walau apapun pendapat yang dilontarkan individu terhadap isu ini, saya berpendapat masalah pelajar-pelajar Melayu ini seharusnya diberi perhatian kerana ia melibatkan isu ‘survival’ bangsa kita (saya sendiri adalah seorang pelajar Melayu).

Sekiranya anda telah membaca buku ‘The Malay Dilemma’ karya Tun Dr. Mahathir Mohd (buku ini pernah menimbulkan kontroversi satu ketika dahulu), mungkin anda lebih memahami mengapa individu Melayu agak sukar bersaing dengan kaum-kaum lain malah ketinggalan jauh di belakang. Beberapa faktor yang diutarakan dalam buku ini, dapat kita lihat berlaku di kalangan pelajar (dan remaja) Melayu zaman pascamoden ini. Saya akan mengupas sedikit sebanyak faktor-faktor ini dan memberikan pendapat peribadi saya.

Faktor 1: Keturunan/Genetik (Hereditary)

Dr Mahathir berpendapat bahawa prestasi pelajar Melayu tidak setanding dengan pelajar kaum lain adalah kerana faktor masalah keturunan/genetik yang berpunca dari gaya hidup masyarakat Melayu. Beliau berhujah bahawa kebiasaan orang Melayu berkahwin dengan saudara terdekat (sepupu contohnya) menjadikan keturunan (offspring) mereka ‘lemah’ dari segi daya intelektual dan fizikal. Pendapat ini mungkin agak radikal, keterlaluan dan tidak dapat diterima oleh majoriti masyarakat Melayu kita, malah Profesor Diraja Ungku Aziz mencabar Dr. Mahathir supaya membuktikan kebenaran dakwaan beliau ini. Prof. Ungku Aziz berpendapat bahawa Melayu memang telah dilahirkan lemah, dan kita tidak boleh (agak payah) mengubahnya. Mungkin anda bertanya, bagaimana faktor keturunan/genetik boleh menyebabkan perkara ini berlaku?

Sekiranya anda pernah mengambil subjek Biologi di sekolah menengah, anda tentu telah mempelajari bab ‘Perwarisan’. John Mendell telah berjaya mengaitkan faktor perwarisan dan efeknya kepada keturunan sesuatu spesies. Eksperimen telah membuktikan bahawa sekiranya seekor tikus sihat (dominan) dan seekor tikus berpenyakit genetik (resesif) mengawan, anak-anaknya akan dilahirkan sihat (sifat dominan). TETAPI sekiranya tikus-tikus generasi kedua ini mengawan sesama sendiri, 1 daripada 4 generasi seterusnya akan mengalami penyakit genetik. Apa kaitannya dengan masyarakat Melayu?

Perkahwinan sesama saudara (terutamanya sepupu) telah menjadi satu kebiasaan di kalangan masyarakat Melayu. Praktis ini sebenarnya tidak digalakkan kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada keturunan (malah agama Islam tidak menggalakkan perkahwinan sesama sepupu). Apa yang dikhuatiri adalah generasi yang lahir dari perkahwinan ini akan mengalami lemah otak, mudah diserang penyakit dan pelbagai masalah yang berkaitan dengan genetik. Ini terjadi kerana tiada variasi dalam genetik si ayah dan si ibu yang membolehkan daya survival generasi seterusnya berkembang. Masyarakat Melayu telah mengamalkan praktis ini beratus tahun dahulu, dan generasi Melayu kini menerima kesannya. Berbanding dengan kaum Cina, adat mereka melarang perkahwinan sesama saudara dan perkahwinan seharusnya berlaku ‘antara keluarga’ (inter-family). Masyarakat Cina yang berpegang pada adat ini sejak beratus tahun dahulu, berjaya menghasilkan generasi yang daya survivalnya tinggi dan tidak mudah diserang penyakit. Situasi ini jelas dapat dilihat pada zaman ini, di mana masyarakat Melayu memiliki daya tahan yang amat lemah jika dibandingkan dengan kaum lain.

Bolehkah masalah ini diubah? Pada pendapat saya, tidak mustahil! Mungkin untuk mengubah suatu kebiasaan/adat bukanlah perkara yang mudah kerana ia sudah sebati dalam masyarakat, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Secara jujur, ibu bapa saya juga adalah sepupu, dan mereka telah mengalami perkahwinan sesama saudara ini. Fikirkanlah…

Faktor 2: Persekitaran (Environment)

Dalam buku yang sama, Dr Mahathir berpendapat bahawa masyarakat Melayu amat lemah kerana mereka hidup dalam suasana yang ‘aman’ (baca: senang-lenang) dan tidak perlu bersusah payah. Jika dikaji kembali sejarah asal-usul masyarakat Melayu, kebanyakan dari mereka hidup dalam kelompok masing-masing dalam sebuah kampung. Majoriti adalah petani, dan hasil tanaman hanya untuk kegunaan sendiri sahaja. Masyarakat Melayu sebenarnya kurang berinteraksi dan tidak rajin bekerja, kerana mereka hidup dalam persekitaran di mana segala-galanya telah tersedia. Contoh yang paling mudah: Petempatan awal masyarakat Melayu banyak terletak di pinggir sungai, maka sumber makanan senang didapati. Penanam padi hanya perlu bekerja berat selama 2 bulan, tetapi hasilnya cukup untuk untuk makan sepanjang tahun, dan 6 bulan yang tinggal dihabiskan untuk berehat dan berhibur. Sedar atau tidak, sifat ‘malas’ ini telah menjadi identiti masyarakat Melayu, malah penjajah British yang datang ke Tanah Melayu melabelkan orang Melayu sebagai ‘pemalas’! Ya, kita marah dengan label ini, kerana kita merasakan kita bukannya pemalas. Tetapi jika masyarakat luar melabel kita dengan label yang kurang enak didengar, maka ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita…

Saya tidak menyalahkan nenek moyang kita kerana itulah persekitaran mereka ketika itu. Tetapi, yang menyedihkan saya adalah orang Melayu enggan untuk mengubah sifat malas ini. Sifat ini boleh diubah, tetapi kita sendiri malas untuk mengubah diri kita! Tidak dapat dinafikan, saya juga kadang kala malas, tetapi saya cuba untuk melawannya. Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika di tingkatan 5 sekolah menengah dahulu. Kelas saya majoritinya adalah pelajar Cina, pelajar Melayu hanyalah 3 orang (termasuk saya). Saya adalah ketua kelas, dan kebanyakan masa saya dihabiskan dengan berinteraksi dengan rakan-rakan Cina saya. Apa yang saya kagumi adalah kerajinan mereka, dan kesediaan mereka untuk membantu sesama rakan! Saya terfikir, masyarakat/pelajar Melayu seharusnya mencontohi sifat positif pelajar Cina ini. Berdasarkan pemerhatian saya, orang Melayu cenderung untuk menjatuhkan rakannya yang lain demi kepentingan diri sendiri (budaya mencantas/cah-keting/tikam belakang) dan bukannya membantu rakannya! Orang Cina memandang masa hadapan, tetapi Melayu hanya memikirkan keseronokan yang sementara, dan malas untuk mengubah diri sendiri. Renungkanlah…

Sebenarnya banyak lagi faktor yang dikupas dalam buku ini, tetapi saya tidak bercadang untuk mengulas kesemuanya kerana terlalu penjang dan mendalam. Saya menggalakkan anda membaca buku ini (The Malay Dilemma) kerana ia baik untuk kita mengubah persepsi kita terhadap kemajuan bangsa Melayu. Hakikatnya, kita sebenarnya telah hilang ‘kuasa’ di negara sendiri, dan bayangkan jika Hak Istimewa Orang Melayu/Bumiputra dihapuskan dan digantikan dengan sistem meritrokasi, kita akan hilang segala-galanya, kuasa ekonomi dan politik dalam sekelip mata!

Nasihat saya kepada anda dan diri saya sendiri; Berubahlah segera sebelum segala-galanya berubah.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

3 Responses to Dilema Melayu

  1. Nial says:

    Terima kasih, ada benarnya… ikutlah Islam, cara hidup yang sempurna…

    Like

  2. ren says:

    menarikla pendapat u… i tertarik, mm whatever memang ada benarnya…

    Like

  3. Thinker says:

    I think those r true. if not, why is there a general opinion that an inter-racial(kacukan) child is expectedly smart n intelligent. No matter how much arguments are there, this matter is still astronomical. ;-)

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s