Pre-Registration : Satu Analisis Mendalam


Hari ini merupakan hari yang amat ditunggu-tunggu para ‘mujahidin’ UIAM. Hari ini, petang ini, secara hakikinya mereka bakal berperang sesama sendiri. Perang di mana kita menyaksikan makmal komputer penuh sesak dan penghuninya amat menunggu-nunggu jam 5 petang, sambil di tangan mereka tersisip helaian kertas yang tertulis kod-kod tertentu. Mata mereka-mereka ini sentiasa melihat kiri dan kanan, bersedia menghadapi kemungkinan yang bakal menjelang. Tepat jam 5 petang, tangan mereka mula menari-nari pantas di atas papan kekunci komputer, sambil mata mereka melilau di antara melihat kertas di atas meja dan skrin komputer di hadapan mereka. Riuh rendah suasana jadinya, ada yang menjerit-jerit gembira, ada yang menyumpah-nyumpah hampa, dan ada yang terpaksa berdiri, menunggu giliran mereka untuk turut sama berjuang di medan perang, sambil mengharapkan kemenangan masih bersisa untuk mereka. Bunyi papan kekunci ditekan masih kedengaran bertalu-talu…

Apa yang saya gambarkan di atas merupakan suasana di kala hari pra-pendaftaran kursus (course pre-registration) untuk semester akan datang. Semestinya, suasana di atas turut dapat dirasai di universiti-universiti lain, di mana semua pelajar berjuang bermati-matian untuk mendapatkan tempat di dalam kelas yang diidamkan, dan amatlah hampa dan kecewa dirasakan apabila diumumkan seksyen ditutup (section closed). Punah segala harapan kita, jika perancangan A dan B turut tidak menjadi. Di UIAM pada semester ini (semester 2, 2007/2008), minggu pra-pendaftaran kursus adalah dari 25 Februari sehingga 29 Februari, iaitu selama seminggu hari bekerja standard.

Saya telah selamat menjalani pra-pendaftaran kursus pada hari semalam (27 Februari 2008). Pada semester ini, saya menukar pendekatan saya dalam menghadapi persaingan yang amat sengit ini. Apakah dia?

Soal Selidik Sistem Rangkaian UIAM

Beberapa hari sebelum hari pendaftaran, saya telah meluangkan masa untuk mengkaji sistem rangkaian setempat (Local Area Network, LAN) yang dipraktikkan di UIAM. Di UIAM, secara teorinya, setiap Kuliyyah memiliki makmal komputernya sendiri, dan terdapat makmal komputer awam di Bahagian Teknologi Maklumat (ITD) UIAM. Rangkaian makmal-makmal ini disambungkan (chained) menggunakan konfigurasi LAN standard, dan memiliki suis tersendiri (router) di dalam LAN room.

Topologi rangkaian bukanlah perkara pokok di sini, tetapi saya ingin mengetahui kelajuan sambungan Intranet dan Internet purata bagi setiap makmal. Berdasarkan pengalaman lalu, saya perhatikan bahawa cabaran utama yang dihadapi ketika proses pra-pendaftaran adalah kelajuan akses – dan kelajuan inilah yang secara tidak langsung menjadi titik hidup-mati para ‘pejuang’ ini. Bayangkan, lebih kurang 1000 pelajar mengakses satu laman web serentak, dan dalam masa yang sama, menghantar input secara serentak (simultaneously). Jika satu kursus menawarkan 40 tempat per seksyen, dalam masa 1 saat, 10 pelajar telah berjaya mendapat tempat. Maka, secara teorinya, satu seksyen boleh dipenuhkan dalam masa 4 saat! Perumpamaan ‘biar lambat asal selamat’ tidak boleh dipraktikkan ketika ini.

Berbalik pada soal kelajuan rangkaian, untuk mengira kelajuan muat turun (download) dan muat naik (upload) di makmal komputer UIAM, saya telah menggunakan khidmat di laman web speedtest.net. Laman web ini merupakan laman web yang paling popular untuk menentukur kelajuan sambungan Internet, dan keputusannya juga agak tepat. Selepas melakukan ujian, inilah keputusannya,

Iium_itd_lab_speed_testBerdasarkan keputusan, kelajuan purata per komputer untuk muat turun adalah 1755 kbps (1.71 Mbps) dan muat naik adalah 30326 kbps (29.62 Mbps). Ketika ujian diambil, makmal komputer adalah penuh (semua PC digunakan). Untuk tujuan perbandingan, 1.71 Mbps adalah laju (berbanding 3G – 384 Kbps, EDGE – 150 kbps, dan GPRS/Dial-up – 50 kbps) tetapi tidak selaju HSDPA (3.6 Mbps) yang digunakan oleh Celcom dan Maxis Broadband. Maka, adalah lebih baik kita menggunakan broadband kerana kelebihan daripada segi kelajuan. Benar? Anda silap.

Lihat kembali, kelajuan muat turun mungkin sedikit kurang daripada HSDPA, tetapi amat laju sebenarnya. Tetapi, makmal komputer di UIAM memiliki satu kelebihan – kelajuan muat naik. Aspek ini selalunya diabaikan, tetapi muat naik sebenarnya merupakan elemen terpenting dalam proses pra-pendaftaran. Ingat kembali konsep pra-pendaftaran, anda secara kasarnya menghantar input kepada pelayan (server) – dan kelajuan muat naik memainkan peranannya di sini. Jika kelajuan muat naik anda tinggi, data anda (dalam kes ini, kod kursus dan seksyen) cepat sampai kepada pelayan dan direkodkan – dan bermaksud anda berjaya mendapat kelas. Kelajuan muat turun kurang memainkan peranan dalam kes ini.

Makmal komputer UIAM disambung dengan pelayan pra-pendaftaran secara terus (LAN), maka kelajuan muat naik adalah tinggi. Jika anda mengakses laman web pra-pendaftaran di luar UIAM, anda akan mendapati sedikit lag selepas anda menekan butang ADD di dalam antaramuka pra-pendaftaran. Ini kerana data anda perlu melalui Internet, masuk ke gerbang (gateway) rangkaian UIAM, sebelum data anda direkodkan ke pelayan pra-pendaftaran. Maka, adalah lebih bijak jika anda menggunakan makmal UIAM.

Sebagai tambahan, saya sertakan juga keputusan ujian kelajuan menggunakan akaun Celcom 3G prabayar saya (+6019374xxxx). Ujian dibuat pada jam 7:11pm 28 Februari 2008.

Celcom_3g_prepaid_speed_test Seperti yang anda lihat di atas, kelajuan muat turun dan muat naik tidak seperti diharapkan, kerana beberapa faktor (ramai pengguna serentak, liputan rangkaian, dan lain-lain). Dalam kes saya, kelajuan yang amat rendah berpunca daripada faktor ramai pengguna serentak (simultaneous users) dan menyebabkan rangkaian terpaksa bergerak dengan lebih perlahan (shared bandwidth, higher latency). Maka, jika saya menggunakan telefon bimbit saya untuk proses pra-pendaftaran, harapan untuk mendapat kelas yang dihajati amatlah tipis – 49kbps tidak mampu!

Ujian kelajuan di atas juga membawa kita kepada satu fakta menarik – UIAM menggunakan khidmat TIMEdotCom sebagai penyedia sambungan Internetnya (ISP). Di kalangan awam, kita biasa menggunakan TMNet/Streamyx dan Jaring.

Di Luar Kawasan!

Semester ini, saya menukar strategi saya dengan melakukan pra-pendaftaran di luar UIAM. Walaupun cara ini bukanlah baru di kalangan pelajar, tetapi ini merupakan kali yang pertama bagi saya. Untuk tujuan ini, saya berpasangan bersama Encik Abdul Wahab Abdul Rahman, seorang pelajar Jabatan Perakaunan merangkap sahabat saya.

Kami mula bertolak daripada UIAM pada jam 3.45pm. Cuaca amat baik walaupun sedikit membahang. Menaiki motosikal Modenas Kriss JFH 3128, kami memulakan pengembaraan. Perjalanan pertama kami adalah ke Plaza Idaman, tetapi kami hilang arah (tidak ingat sebenarnya) lokasi sebenar Kafe Siber. Lalu kami menukar strategi dan bergerak ke Taman Melati/Sri Gombak. Kami tiba di sana pada jam 4.30pm. Kiranya masih ada berbaki 30 minit sebelum pra-pendaftaran bermula. Kami masuk ke dalam salah sebuah Kafe Siber di situ.

Selesai mendaftar di kaunter, kami terus ke PC. Apa yang menariknya, saya dapat melihat hampir keseluruhan pelanggan di Kafe Siber itu terdiri daripada pelajar UIAM. Sebahagian daripada mereka telah pun bersiap-siap dengan kertas di tangan serta laman web prereg.iiu.edu.my di pelayar web mereka, waima masih ada 15 minit sebelum masa pra-pendaftaran bermula. Sementara menunggu, saya mula mengaktifkan Yahoo Messenger – dan hampir semua contact UIA saya online pada masa itu. Saya hanya tersenyum – mengerti akan apa yang bakal berlaku 10 minit lagi.

5.00pm, tepat. Pra-pendaftaran telah pun bermula. Kelihatan semua pelajar UIAM mula riuh dan kedengaranlah bunyi papan kekunci ditekan dengan pantas. Tanpa membuang masa, saya pun mula memasukkan nombor matrik dan kata laluan saya, dan menekan butang Login. GAGAL – Server timeout. Saya cuba kali kedua. Masih GAGAL – Server timeout. Sedikit tertekan dengan situasi tersebut, saya menarik nafas panjang dan memulakan kembali proses log-masuk. GAGAL lagi – Server timeout. Abdul Wahab berjaya masuk, tetapi beliau dibebani masalah latency – kelambatan. Sister yang berada di sebelah saya kelihatan tiada masalah – dengan pantas beliau berjaya memenuhi kouta 18 jam kredit. Saya mencuba buat kali keempat. GAGAL – Server timeout. Sekali lagi, saya mencuba buat kali kelima – BERJAYA. Antaramuka pra-pendaftaran kini berada di hadapan saya.

Berbekalkan fikiran positif yang masih bersisa, saya mula memasukkan kod-kod kursus yang dirancang. Ah, SECTION CLOSED! Saya menukar strategi lagi. Akhirnya setelah bertarung selama 10 minit, saya berjaya mendapat kursus yang dirancang, walaupun tidak serupa seperti perancangan asal. Abdul Wahab, dengan muka tersenyum, merungut perihal latency pada sambungan Internet. Akhirnya setelah selesai, kami log keluar dan kembali ke UIAM.

Kesimpulan Analisis

Apa yang saya boleh simpulkan di sini, adalah lebih baik jika proses pra-pendaftaran dilakukan di dalam UIAM sendiri. Ini kerana sistem rangkaian makmal komputer UIAM dihubungkan secara langsung dengan pelayan pra-pendaftaran dan kelajuan muat naik yang amat mantap. Walau bagaimanapun, perlu dingatkan bahawa kelancaran proses pra-pendaftaran tidak semestinya seratus-peratus bergantung kepada kelajuan sambungan Internet, tetapi juga faktor-faktor lain seperti kapasiti pelayan, kelambatan (latency) dan pelanggaran data (data crash – server timeout). Pokok pangkalnya, sudahkah anda pre-reg? :)

This entry was posted in Analysis & Research, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s