Di Mana Hilang Perasaan HORMAT?


Assalamualaikum. Buat sahabat-sahabatku pelajar UIAM.

Saya kecewa.

Saya memang tidak faham. Di manakah perasaan hormat di kalangan para pelajar Malaysia sekarang? Umumnya kita masyarakat Malaysia ditonjolkan di mata dunia sebagai masyarakat yang penuh dengan nilai kesopanan dan berbudi bahasa. Tetapi apa yang saya alami merupakan satu keadaan yang amat-amat mendukacitakan.

Saya merujuk kepada isu menghormati guru.

Saya menulis post ini kerana saya berasa begitu terpanggil untuk meluahkan apa yang terbuku di hati ini. Saya berasa begitu kecewa dan sakit hati apabila melihat terhakisnya rasa hormat di kalangan para pelajar terhadap gurunya. Saya berasa begitu malu apabila pelajar tanpa segan-silu bercakap-cakap dan membuat bising ketika guru mereka sedang mengajar di hadapan kelas.

Ya, terus terang, saya merujuk kepada situasi dalam kelas Cost & Management Accounting (CMA). Sekali lagi, saya berasa amat malu dan kecewa.

Sahabat-sahabatku,

Izinkan saya memberikan nasihat untuk anda dan diri saya sendiri. Kita sejak dari kecil telah diajar oleh ibu bapa kita untuk menghormati orang yang lebih tua. Di sekolah, kita telah diajar untuk menghormati guru dan pihak yang mempunyai kuasa. Kita diajar supaya patuh kepada undang-undang. Kita pun tahu prinsip kelima dalam Rukunegara yang kita sering baca semasa perhimpunan rasmi sekolah adalah ‘Kesopanan dan Kesusilaan‘.

Kesopanan dan kesusilaan. Adakah perkara ini memberi satu kesan kepada diri anda? Atau hanya satu ayat (statement) dalam Rukunegara dan hanya dibaca sebagai pelengkap? Hanya anda yang tahu jawapannya.

Hormat merupakan satu prinsip yang membentuk kesopanan. Orang yang memiliki perasaan hormat adalah orang yang terpuji. Semua suka individu yang terpuji. Anda pun suka jika orang-orang di sekeliling menghormati anda bukan? Jika mereka tidak menghormati anda, sudah tentu kita akan melabel mereka sebagai kurang ajar.

Sahabat-sahabatku,

Berbalik pada isu menghormati guru, sememangnya apa yang berlaku di dalam kelas CMA itu bukan sesuatu yang positif. Apabila sekumpulan pelajar bercakap-cakap dan berbuat bising semasa pensyarah sedang mengajar di depan, apa yang kita dapat rumuskan berkenaan perlakuan pelajar-pelajar ini? Kurang ajar kan?

Bukan membuka pekung di dada, tetapi hakikat yang memang amat pahit untuk ditelan. Saya kecewa kerana pelajar-pelajar ini merupakan rakan-rakan saya, dan mereka ini pelajar-pelajar Melayu yang seharusnya tahu apa itu hormat, ia sebahagian daripada budaya kita. Secara peribadi, saya berasa kasihan melihat pensyarah tersebut yang bersungguh-sungguh mahu mengajar, tetapi para pelajar kadang-kala buat tak endah malah dengan selamba membuat bising.

Bodoh! Maaf, saya terpaksa meluahkannya. Adakah kita pelajar UIAM berkelakuan begini? Adakah kita yang telah pun mengangkat sumpah (Bai’ah) ketika Minggu Ta’aruf untuk menjunjung visi dan misi UIAM berkelakuan begini? Saya bimbang kita akan ditertawakan oleh masyarakat kerana kita berada dalam Taman Ilmu dan Budi, tetapi langsung tidak berbudi bahasa.

Ingatlah, keberkatan ilmu kita bergantung kepada keredhaan guru kepada kita. Jika guru kita rasa tidak senang, boleh dikatakan sia-sialah ilmu kita. Tiada keberkatan.

Sahabat-sahabatku,

Saya bukanlah manusia yang tidak pernah membuat silap. Saya juga seperti anda. Tetapi kita sebagai manusia seharusnya BELAJAR daripada kesilapan tersebut, dan bukan mengulanginya. Hanya mereka yang tidak faham sejarah akan mengulang kesilapan yang sama. Kita sebagai pelajar, masyarakat memandang kita sebagai golongan intelektualist, golongan bakal pemimpin negara. Jika kita sudah hilang perasaan kesopanan dan hormat, fikirkanlah apa yang bakal terjadi kepada generasi yang akan datang.

Adakah kita mahu anak-anak kita, cucu-cicit kita hilang rasa malu dan sopan? Adakah 100 tahun lagi kita mahu mereka datang ke kubur kita dan mencaci maki atas perbuatan lampau kita? Sekarang ini pun kita sudah nampak generasi muda kita mula tunggang-langgang. Nauzubillah, minta dijauhkan Allah daripada sebarang bala bencana!

Sahabat-sahabatku,

Kepada rakan-rakan di kelas Cost & Management Accounting, seksyen 1, jika post ini sedikit sebanyak telah mengguris hati atau mendatangkan perasaan tidak senang,  saya memohon maaf. Bukan untuk menjatuhkan maruah atau memalukan mana-mana pihak, tujuan saya hanya untuk memberi peringatan dan nasihat kepada anda semua dan diri saya sendiri. Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, maka marilah kita merubah perlakuan kita ke arah yang lebih baik.

Kepada sahabat-sahabat kelas CMA seksyen 1 & 2,

Ya, mungkin Mdm Norsyahida Mokhtar seorang part timer dan tidak begitu berpengalaman, tetapi hormatilah beliau. Berilah beliau peluang untuk berkongsi ilmu dengan kita semua. Mungkin anda merasakan beliau tidak pandai mengajar, tidak mengapa! Pengalaman mengajar tidak datang dalam sekelip mata, jadi berilah beliau peluang. Bayangkan jika anda sendiri ditugaskan mengajar seperti beliau, adakah anda sanggup atau boleh melakukan lebih baik daripada beliau?

Hormatilah guru-guru kita. Mana-mana kelas atau majlis ilmu, hormatilah mereka. Muhasabah diri ini, dan berhijrahlah ke arah kebaikan dan kemantapan.

Sepuluh tahun akan datang, apabila anda telah berjaya, fikirkanlah, siapakah insan yang telah mendidik anda sehingga anda kenal dan merasai nikmat hidup ini. Doakan kebahagiaan hidup mereka dunia dan akhirat.

Terima kasih, dan maaf atas sebarang keterlanjuran kata.

Ikhlas & tulus,
AUDI FALIQ IBRAHIM

This entry was posted in Bahasa Melayu, Official Statement and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s