Cita-Cita VS. Cinta


(Nota : Artikel ini agak panjang. Harap maklum!)

Saya pernah mengacarakan satu forum yang bertajuk Cita-Cita VS Cinta tidak lama dahulu. Dua orang ahli panel yang dijemput, Ustazah Sabariah dan Encik Mohd Khairul Othman (kedua-duanya merupakan bekas pelajar UIAM), telah memberikan pandangan dan nasihat yang amat bernas buat renungan para hadirin dan saya sendiri. Hujah-hujah mereka sedikit sebanyak telah mengubah persepsi diri saya berkenaan cinta dan cita-cita.

Saya tertarik dengan pengalaman Encik Mohd Khairul Othman, yang menegaskan beliau fokus pada pelajarannya semasa di UIAM dan tidak tergerak hati untuk jatuh cinta pada sesiapa pun. Jelas dan nyata, objektif beliau ketika menuntut di UIAM adalah untuk menimba ilmu dan pengalaman yang sebanyak mungkin. Alhamdulilah, beliau kini merupakan salah satu insan yang berjaya, walaupun hidup serba sederhana. Mendengar pengalaman hidup beliau membuatkan saya kagum.

Encik Mohd Khairul Othman, apabila ditanya oleh seorang hadirin, mengakui bahawa beliau ada jatuh cinta pada seorang pelajar yang sekelas dengannya. Tetapi, beliau tetap dengan pendiriannya untuk fokus pada pelajaran, dan dengan jujur, beliau mengakui melafazkan cinta pada pelajar tersebut selepas graduation. Kini pelajar tersebut menjadi isterinya.

Mungkin sebahagian daripada anda berpendapat bahawa cara Encik Khairul agak ‘keras’ kerana cuba ‘menimbus’ perasaan cinta semata-mata kerana ingin berjaya dalam pelajaran. Benar, perasaan cinta itu sendiri merupakan anugerah Allah yang agung kepada manusia, setiap manusia itu ingin menyayangi dan merasai diri mereka disayangi oleh insan yang berlainan jantina.

“Tetapi kita kena ingat, cinta itu pun ada cabang-cabangnya,” kata Encik Khairul ketika saya menaiki kereta Proton Satria Neo 1.6 nya untuk pulang ke hostel. “Cinta yang tulus, yang tidak disandari nafsu semata-mata, tidak memerlukan dua insan untuk berkepit sepanjang masa!” tegas beliau. Seterusnya Encik Khairul memberi nasihat beliau yang sehingga sekarang masih saya ingati.

“Audi, ingat, jodoh pertemuan kita di tangan Allah. Tuhan tidak akan memberikan sesuatu urusan itu tanpa sebab musabab. Ingat konsep cause and effect, what you give, you will get back! Cuba kita renungkan, kenapa Allah swt mentakdirkan kita berdua untuk bertemu dan berbual bersama?”

“Setiap insan yang kita temui dalam hidup ini, ada sebabnya Allah takdirkan kita mengenali dia. Kalau saya tak bertemu dengan awak, saya tak mungkin dapat berkongsi pengalaman saya dengan awak, dan saya sendiri tidak tahu ada pelajar bernama Audi di UIAM,” kata beliau.

“Begitu juga dengan kawan-kawan, kenalan, dan insan-insan lain yang awak temui. Semuanya telah ditakdirkan oleh Allah, alangkah agungnya! Insan-insan ini akan menjadi sebahagian daripada sejarah hidup awak!”

Saya bertanya kepada beliau “Encik, kalau saya minat pada seorang wanita, apakah wajar saya luahkan perasaan saya pada dia sekarang?”

“Jawapannya ada pada awak, Audi!” kata beliau. “Kalau dia menolak?” tanya saya lagi. Encik Khairul hanya tersenyum dan dengan perlahan, berkata pada saya,

“Sepertimana yang saya katakan tadi, jodoh pertemuan kita di tangan Allah. Mungkin sekarang dia menolak atau dia dah ada teman lelaki, tetapi kalau jodoh dia adalah dengan awak, satu hari nanti dia akan datang juga. Percayalah. Dalam Loh Mahfuz, Allah swt dah tetapkan bila kita lahir ke dunia, sebanyak mana rezeki kita, siapa pasangan hidup kita dan bila kita akan mati!”

“Allah akan memberikan yang terbaik buat hambaNya. Katakan kalau awak minat pada seorang perempuan, tetapi dia menolak dan dia memang bukan ditakdirkan untuk awak. Doakan kebahagiaan dia. Ingat, mendoakan seseorang mendapat kebaikan dan kebahagiaan tanpa dia sendiri mengetahui kita mendoakannya adalah satu amalan yang amat besar ganjarannya dalam Islam. Awak tentu mahu melihat dia bahagia, bukan?”

“Betul!” balas saya, pantas. “Ha, jadi betullah awak ada menyimpan perasaan pada salah seorang kawan perempuan awak?” kata Encik Khairul, cuba menduga. “Ehm, betul,” saya terperangkap, tidak dapat berdalih lagi.

“Fikirkanlah apa yang terbaik, Audi. Kalau awak rasa ini masa yang sesuai untuk meluahkan perasaan pada dia, katakanlah padanya,” kata Encik Khairul. Lalu kami pun berpisah apabila sampai di hostel saya.

“Insya Allah, kita akan berjumpa lagi jika panjang umur. Cuma nasihat saya, utamakan pelajaran, sebab walaupun kita dapat hidup bersama orang yang kita sayang, tetapi tidak dapat membahagiakan dia, apa gunanya kan? Susah senang kita, ilmu itu harus dijunjung dahulu. Ingat!” kata beliau sambil bersalaman dengan saya.

Melihat kereta beliau bergerak pulang, saya termenung sejenak.

Buku atau Wanita?

Isu ini bukan satu perkara baru, selalu dibincangkan dan dianalisis oleh pelbagai pihak. Malahan telah pun selamat dijadikan lagu (Tak Tahu Antara Dua – pernah dengar kan?).

Ada pihak yang menyarankan seorang pelajar harus menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang akademik dan pembentukan sahsiah (mencari pengalaman) ketika di universiti atau di pusat-pusat pengajian. Mereka memberikan hujah bahawa peluang untuk belajar di universiti bukan mudah untuk diperolehi, justeru masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Bercinta, menurut mereka, boleh dilakukan selepas belajar. Hujah mereka dikuatkan dengan perumpamaan ‘kalau dah jodoh, tak akan ke mana’ dan pada yang agak ‘Islamic’ membentangkan hadis Rasulullah s.a.w. bahawa ilmu itu harus dituntut sampai ke liang lahad.

Satu pihak lagi tidak bersetuju dengan pendapat di atas. Mereka berhujah bahawa perasaan cinta bukan sesuatu yang boleh dihalang-halang, dan seharusnya dibiarkan untuk mengalir secara semulajadi. Berkenaan hujah yang mengatakan bahawa cinta boleh mengganggu konsentrasi seorang pelajar, mereka menegaskan bahawa seorang pelajar yang rasional tahu membahagikan masa antara pelajaran dan cinta, dan isu ini tak seharusnya timbul. Pelajar yang kemaruk bercinta sehingga mengabaikan pelajaran, menurut pendukung pendapat ini, adalah pelajar yang tidak rasional (err, gila?)

Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada pendapat kedua, dengan beberapa pengecualian.

Perihal Bahagia

Secara psikologi, manusia sememangnya memerlukan perasaan cinta dan sayang. Manusia yang mengatakan bahawa dia tidak memerlukan cinta dalam hidupnya adalah manusia yang patut dirujuk kepada pakar di hospital sakit jiwa.

Saya pernah menghuraikan perihal cinta ini dalam artikel saya yang terdahulu (rujuk : Is This The Right Person?). Saya sudah pun menghuraikan dengan panjang lebar bahawa cinta itu perlu pada diri setiap manusia, dan cabarannya adalah bagaimana untuk memilih insan yang tepat dan sesuai untuk menjadi pasangan hidup kita. Saya rasa kita semua tahu bagaimana caranya untuk memilih pasangan hidup, itu bukan isunya di sini.

Apa yang menjadi isu adalah apakah cita-cita atau cinta yang perlu diutamakan.

Jawapan saya : Kedua-duanya perlu bergerak seiringan.

Jangan salahkan diri anda apabila anda jatuh cinta dan mempunyai teman lelaki/wanita semasa sedang belajar. Sepatutnya anda bersyukur dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar perhubungan itu berkekalan dan dikurniakan sifat saling mempercayai dan ikhlas. Tetapi, apa yang perlu anda tahu adalah bagaimana untuk menjadikan cinta itu sebagai pendorong (catalyst) untuk kita mencapai kejayaan dalam pelajaran. Ini merupakan satu cabaran, dan ramai pasangan muda yang masih belajar gagal dalam cabaran ini.

Saya namakan cabaran ini ‘Perihal Bahagia’.

Fikirkan sejenak, imbas kembali di mana anda ketika di zaman sekolah. Apabila kita berada di sekolah rendah, apakah objektif hidup kita? Majoritinya, jika anda masih ingat, akan menjawab untuk belajar serajin-rajinnya, dan bila dah besar nanti, mendapat kerja yang baik-baik. Apabila kita ditanya apakah cita-cita kita, sebahagian besar daripada kita tentunya memilih untuk menjawat jawatan dalam badan-badan atau pekerjaan yang menggunakan pakaian seragam (anggota polis, tentera, bomba, juruterbang, dan lain-lain). Minda kita pada tahap ini suka melihat benda-benda yang sistematik dan tersusun, tetapi perbuatan (behavior) kita masih ingin mencuba dan membuka (diassemble) dan meneroka (exploring) perkara-perkara di sekeliling kita. Pendek kata, di sekolah rendah, fokus kita adalah pelajaran, dan soal cinta langsung tidak disentuh. Menyimpan perasaan pada rakan sekelas merupakan perkara yang biasa, tetapi perasaan itu bukanlah perasaan cinta yang hakiki, kerana itu hanya ilusi seorang kanak-kanak yang nalurinya ingin diberi perhatian.

Memasuki sekolah menengah, kita telah pun mencapai usia matang (akil baligh), dan pakar psikologi sendiri mengatakan pada tahap ini kita telah mula untuk ‘menggatal’. Ingatkah lagi, kita biasa terdengar gosip-gosip kawan kita syok dengan perempuan/lelaki ni, secret admire, surat rahsia, couple, pasangan bahagia dan pelbagai lagi. Pelajar sekolah menengah merupakan insan yang berada dalam fasa ingin mengenali perihal jantina yang berlawanan, dan perasaan ingin disayangi dan menyayangi mula terbentuk pada tahap ini. Tetapi, secara fitrahnya, cinta yang terbentuk pada tahap ini lebih menjurus kepada nafsu dan tidak disandarkan kepada komitmen dan perancangan jangka panjang. Selalunya cinta di zaman ini lebih kepada eksperimen dalam perasaan dan dalam istilah kejuruteraan/pengkomputeran, cinta pada zaman sekolah menengah lebih menjurus kepada alpha atau beta stage.

Saya pernah menyimpan perasaan pada sebahagiaan sahabat-sahabat perempuan ketika di sekolah menengah, tetapi tidaklah sampai ke tahap jatuh cinta. Cuma mengagumi sifat dan sikap mereka.

Seiring dengan peningkatan usia, kita belajar erti tanggungjawab dan komitmen dalam hidup. Pengalaman di sekolah rendah dan menengah banyak mengajar diri kita untuk mengenal yang baik dan buruk, dan memahami komitmen diri masing-masing. Hidup kita bukan untuk diri kita seorang, kita mula mengerti, bahawa kita perlu berkongsi, dan jauh di sudut hati, ada masanya kita perlukan seorang teman berlainan jantina untuk kita berkongsi sebahagian perkara dan perasaan. Perkara-perkara yang tidak boleh dikongsi secara terbuka dengan kawan-kawan kita.

Tahniah, anda telah menemui prinsip asas cinta!

Masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Universiti atau bekerja, kita mula berkenalan dengan ramai insan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Di IPT, apabila kita bercampur gaul dan berinteraksi dengan ramai pelajar, mungkin ada seorang dua daripada mereka akan mencuri hati kita. Interaksi diteruskan sehingga tahap kita ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat, dan akhirnya, bila kedua-duanya telah mula saling mempercayai, masing-masing mula meluahkan isi hati.

Ah, jatuh cinta lagi! Dah ada pasangan yang berpotensi untuk menjadi teman hidup anda di masa hadapan.

Opps, ingat, anda masih merupakan seorang pelajar (atau pekerja, jika anda bekerja!). Di saat anda mula dilamun cinta, terbuai dalam perasaan, makan tak kenyang, tidur tak lalu, asyik berpaut pada telefon bimbit sambil melihat inbox dan/atau call log (haha, ingat saya tak tahu eh?). Adakah anda ingin perhubungan ini berkekalan? Kalau ya, bersediakah anda untuk mula memikirkan tentang komitmen dan perancangan anda dalam 5-10 tahun akan datang? Bagaimana dengan pelajaran anda? Anda tentunya ingin meningkatkan prestasi anda bukan?

“Dengan si dia berada di sisi, Insya Allah saya akan lebih berusaha dan bersemangat!” azam diri anda. Jika anda komited, Alhamdulilah. TETAPI, majoriti daripada pelajar mula terumbang-ambing apabila mula dilamun cinta. Kita tentu tidak mahu tergolong dalam kategori ini bukan?

Seperti yang saya katakan tadi, inilah dia cabaran ‘Perihal Bahagia’.

Encik Mohd Khairul Othman menasihati saya, “utamakan pelajaran”. Saya pun ingin menasihati anda dan diri saya sendiri untuk meletakkan pelajaran dahulu. Bawa pasangan anda untuk bersama-sama mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Sebenarnya, perasaan cinta itu sendiri merupakan satu bentuk motivasi jika disalurkan ke jalan yang betul. Sama-sama memotivasikan pasangan masing-masing merupakan satu amalan yang positif, dapat memajukan diri. Kita tentu tidak mahu pasangan kita ditimpa masalah, bukan? Kecuali anda sendiri tiada komitmen atau ada hasrat untuk mencari orang lain, oh, itu bukan satu perbuatan yang baik!

Pelajaran itu penting. Apalah gunakan jika kita ada pasangan hidup yang diingini, tetapi kita tidak mampu membahagiakannya. Ingat, anda bukan bercinta untuk selama-lamanya, satu hari nanti anda akan berkahwin dengan pasangan anda (Insya Allah!). Jadi, jika anda tidak berusaha, tidak mempunyai tingkat ilmu yang tinggi, bagaimana anda mahu memenuhi nafkah hidup pasangan anda? Itu belum lagi jika anda mula mempunyai anak kelak.

Bila anda mula berumahtangga (bagi lelaki), sebenarnya anda bertanggungjawab menjaga anak orang (isteri anda!). Itu amanah daripada keluarganya. Jangan main-main!

Jangan tahu hanya membuat anak, tetapi tak tahu nak bagi makan anak! Maka, carilah ilmu, bekerjalah, stabilkan diri anda dengan kewangan dan aset yang mantap. Jika kedua-dua anda memiliki mindset ingin memajukan diri dan memiliki yang terbaik daripada yang terbaik, Insya Allah, cinta anda berdua itu satu kejayaan!

Utamakan cita-citamu, sirami dengan cinta, Insya Allah anda akan berjaya dan bahagia! Renungkanlah…

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Cita-Cita VS. Cinta

  1. nonie says:

    awesome!! loved 2 read urs..keep it up buddy!!!

    Like

  2. asheeq says:

    ehmmmm…easy to say..hard to believe..even more hard to live with..’raise eyebrows’

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s