Ramadhan, Nur Kasih, dan Hari Raya


Bulan Ramadhan kini hampir tiba ke penghujungnya. Diharapkan segala amalan dan ibadat yang kita kerjakan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. selagi dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tawadduk. Alhamdulilah, bulan Ramadhan kali ini sedikit sebanyak telah memberikan saya peluang untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki diri ini yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan baik sesama manusia mahupun kepada Pencipta. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai Ramadhan pada tahun ini. Siapa tahu, mungkin tahun depan kita tidak berpeluang bertemu lagi dengan Ramadhan? Mengenangkan saudara-mara dan rakan-rakan yang telah mendahului kita, kadang kala hati ini terasa sebak.

Dalam keseriusan saya, sebenarnya saya berjiwa sentimental. Saya lebih suka mendengar Visa, Damasutra, Fotograf dan Spring daripada Meet Uncle Husin, Bunkface, Kotak dan Fabulous Cats. Dengar Sinar FM/Klasik Nasional daripada Hot FM. Betul.

Hampir dua per tiga daripada bulan Ramadhan saya dihabiskan di UIAM. Malah penat puasa itu sendiri tidak saya rasai kerana hampir setiap masa saya agak sibuk dengan case study, assignment dan mid-term exam, yang datang secara berturutan. Pada waktu malam, jika tiada apa-apa, saya akan cuba hadir ke masjid untuk bersolat terawih secara berjamaah. Seronok sebenarnya melakukan amal ibadat di bulan Ramadhan, disebabkan suasananya agak berbeza berbanding bulan-bulan yang biasa. Aura ibadat itu dirasakan amat kuat, mendorong diri untuk bersedekah, menjaga lisan, bersolat dan lain-lain ibadah yang selalunya begitu liat untuk dilakukan pada hari-hari yang biasa. Saya juga mengurangkan masa online saya dan hanya menggunakan Internet untuk tujuan kerja dan urusan rasmi. Facebook, Friendster dan MySpace tidak begitu saya sentuh sepanjang bulan Ramadhan ini.

Diharapkan perkara positif ini akan berterusan hendaknya, Insya Allah.

Nur Kasih

Tidak perlulah saya memperkenalkan drama Nur Kasih kepada anda semua. Drama ini cukup popular dan ramai rakan-rakan termasuk keluarga saya turut tersangkut di depan televisyen pada setiap Jumaat malam. Saya pertama kali diperkenalkan kepada drama ini ketika saya masih dalam latihan praktikal di Tenaga Nasional Berhad. Balik dari pejabat pada sebelah malam, saya melihat drama ini ditonton oleh ibu dan adik perempuan saya, dan saya pun cuba menonton sebentar untuk merehatkan diri selepas penat bekerja. Pada mulanya, saya tidak begitu berminat dan ambil pusing dengan jalan ceritanya, disebabkan saya menontonnya pada pertengahan cerita dan tidak tahu hujung pangkalnya.

Kiranya saya menontonnya tanpa perasaan. Balik kerja, mandi, makan malam, dan menonton TV. Penat pun belum hilang.

Baru-baru ini, saya telah cuba memahami cerita tersebut dengan mendapatkan salinan episod 1 sehingga 14 daripada saudara Wahab, rakan sebilik saya. Disebabkan pada sebelah petang saya tiada kelas dan pada bulan puasa tidak banyak perkara yang boleh dilakukan, saya menonton, satu persatu, episod drama Nur Kasih tersebut. Malah, saya telah mengambil inisiatif kreatif dengan menukar format (convert) data video AVI/MKV drama tersebut kepada format video MP4 untuk dimuatkan dalam telefon bimbit Nokia N82 dan Sony Ericsson K770i saya. Memori telefon bimbit masih banyak, hanya didominasi oleh lagu-lagu sentimental dan jiwang, jadi tiada masalah untuk memuatkan episod 1 hingga 14 ke dalamnya. Jadi saya dapat menontonnya jika ada kelapangan di mana sahaja saya berada.

Setelah menonton episod 1 hingga 14, barulah saya faham jalan ceritanya. Malah, saya hampir menangis apabila menonton drama ini, hati saya begitu tersentuh.

Apa yang saya faham, drama ini sebenarnya sarat dengan falsafah dan prinsip hidup. Pengorbanan ibu bapa, cita-cita dan cinta, jodoh dan pertemuan. Nur Kasih telah berjaya mencampurkan (blend) falsafah-falsafah ini ke dalam cerita yang begitu berkesan. Pedulikan isu ‘Kaherah, Mesir’ yang sebenarnya di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, dan ‘Kuala Kangsar’ di Sabak Bernam. Jalan ceritanya begitu bagus, saya pun hampir menitiskan air mata!

Drama TV pertama yang berjaya mendapat perhatian penuh saya.

Hari Raya

UIAM akan mula bercuti sempena Hari Raya pada 14 September sehingga 27 September 2009. Kiranya pelajar UIAM diberi cuti selama 2 minggu, dan ini memberi kesempatan kepada para pelajar untuk menghabiskan minggu terakhir Ramadhan bersama keluarga tercinta.

Bercakap berkenaan persiapan Hari Raya, seperti biasa, keluarga saya memilih untuk bersederhana pada tahun ini. Fokus bajet lebih kepada adik-adik saya, dan saya hanya membeli apa yang perlu sahaja. Umur yang meningkat dewasa membuatkan saya lebih mengutamakan adik-adik saya berbanding diri saya sendiri. Seperti biasa, wajah-wajah mereka kelihatan gembira apabila mendapat pakaian baru untuk Hari Raya, terutamanya adik perempuan saya yang bongsu. Teringat saya semasa kecil dulu, perasaan yang sama dirasai apabila mak ayah membelikan pakaian baru. Kini tiba giliran adik-adik saya pula.

Tradisi tidak berubah. Tiap-tiap tahun tetap sama.

Seperti biasa, tiap-tiap tahun, saya akan menyambut Hari Raya di negeri kelahiran saya, Melaka Bandaraya Bersejarah. Melaka telah banyak berubah, setiap kali saya kembali di sini, ada sahaja benda baru yang berlaku di sini. Dahulu hanya ada Mahkota Parade dan Jusco kalau mahu ber-shopping, tetapi sekarang dah ada Dataran Pahlawan Megamall, Carrefour, Mydin, Tesco, namakan sahaja! Kini dah ada banyak pilihan, sampai kadang-kadang saya sendiri tak tahu nak ke mana kalau pergi membeli barang di sini.

Walau apa pun, suratkhabar tetap saya beli di salah satu kedai mamak di Melaka Raya.

Malam raya merupakan malam yang agak meriah, dan pada masa yang sama, agak sayu. Selepas azan maghrib berkumandang, dan berbuka untuk kali terakhir, saya dan sepupu-sepupu lazimnya akan mengemas rumah dan mengisi kuih dalam balang, dan jika raya jatuh pada esok hari, memasak rendang dan merebus ketupat. Sepupu-sepupu yang masih kecil akan pergi bermain bunga api di laman rumah dengan diawasi oleh pakcik-pakcik. Selepas selesai tugas mengemas saya selalunya akan join mereka bermain bunga api dan mercun. Hilang rasa stress belajar seketika.

Dan pada malam raya itulah takbir mula bergema di televisyen dan radio, dan kedua-dua telefon bimbit saya tidak berhenti-henti berdering dengan SMS masuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Membaca mesej-mesej yang dihantar sahabat-sahabat dan rakan sekerja, kadang kala hati terusik juga. Ada di antara mereka sudah terlalu lama saya tidak berjumpa. Entah bilalah kami dapat bertemu, minum bersama di kedai kopi atau Secret Recipe dan bergelak ketawa?

Satu perkara yang pasti, pada malam raya memang agak mustahil untuk membuat panggilan telefon. Baik Celcom dan Maxis saya, kedua-duanya memberikan ralat ‘Network Busy’ hingga ke pagi Hari Raya Pertama. Trafik agak sesak dengan SMS sehinggakan panggilan telefon tidak dapat dilakukan. SMS juga kebanyakannya akan ‘delay’ jika dihantar pada jam 5 petang ke atas. Syarikat telekomunikasi mendapat untung besar setiap kali Hari Raya.

Dahulu, kita hanya menggunakan kad raya, bukan SMS. Pos Malaysia garu kepala.

Hari Raya pertama, seperti biasa, kami sekeluarga akan melawat kedua keluarga ibu dan ayah saya. Sehari suntuk kami habiskan masa melawat saudara rapat kedua-dua belah pihak. Bila bertemu, memang banyak cerita yang keluar, maklumlah, kami orang yang merantau dan balik pun setiap kali Hari Raya. Kelakarnya, kadang-kadang saya boleh keliru dengan muka sepupu-sepupu saya disebabkan terlalu lama tidak bertemu. Yang dulu saya dukung ketika bayi, dah boleh bercakap. Bayangkan tempoh masa tersebut!

Hari Raya kedua, merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan sepupu-sepupu saya, dan diri saya sendiri. Kami memanggil hari ini sebagai ‘operasi duit raya’, kerana hampir keseluruhan kutipan duit raya kami datang pada hari ini. Kenapa? Saya pernah ceritakan kepada anda sebelum ini, bahawa menjadi tradisi kepada semua kerabat sebelah ibu saya untuk melakukan aktiviti konvoi beramai-ramai melawat rumah saudara-mara di seluruh negeri Melaka. Setiap tahun, puratanya hampir 15 rumah kami ziarahi dari awal pagi sehinggalah malam. Jika berkesempatan, kami akan berjalan sehingga ke Batu Pahat, Johor, tetapi itu amat-amat jarang berlaku.

Itulah yang menjadi kesukaan sepupu-sepupu saya. Bayangkan jika satu rumah mendapat RM5.00, dan kalau 15 rumah, jumlahnya RM 75.00. Dalam kebanyakan kes, saudara-mara akan beri lebih dari RM2.00, dan dalam kebanyakan kes, RM10.00. Secara purata, berdasarkan pengalaman saya, minimum boleh dapat RM100.00! Itu ketika zaman saya belum lagi belajar, bekerja dan mengenali PTPTN dan pinjaman wajib bayar.

Sekarang disebabkan faktor umur, kutipan tidaklah serancak dahulu. Itulah realitinya.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s