Secebis Coretan Hari Raya 2009


Kita masih lagi berada dalam bulan Syawal 1430, bulan Hari Raya Aidilfitri. Alhamdulilah, syukur kepada Allah swt kerana kita semua telah berjaya menjalani ibadah puasa dan melalui bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan sebaiknya, dan diharapkan agar segala amal ibadat kita diterima olehNya, Insya Allah.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, saya menyambut Hari Raya Aidilfitri di negeri kelahiran saya, Melaka Bandaraya Bersejarah. Saya dan keluarga bertolak menuju ke Melaka pada kira-kira jam 8:30 pagi 19 September 2009 (Sabtu). Pada mulanya kami menjangkakan lebuhraya tidak begitu sesak kerana kami bertolak pada awal pagi, namun jangkaan kami kurang tepat kerana terdapat kesesakan yang agak ketara di kawasan Nilai sehingga Seremban selama hampir satu jam.

Disebabkan kesesakan tersebut, saya dan keluarga tiba di Melaka pada kira-kira jam 11:00 pagi, lewat hampir sejam dari jadual asal. Alhamdulilah, aliran trafik di Bandar Melaka belum begitu sibuk ketika kami tiba.

Di Malam Raya

Salah satu isu yang timbul setiap kali tiba Hari Raya adalah di manakah sepatutnya kita beraya, di kampung ibu atau di kampung bapa? Kita sering mendengar suami isteri menghadapi masalah menentukan giliran beraya, terutamanya jika pasangan tersebut berasal dari negeri yang berlainan. Jika tiada toleransi, persengketaan mungkin tercetus.

Mujurlah saya tidak menghadapi masalah ini, kerana ibu dan bapa saya kedua-duanya berasal dari Melaka.

Pada petang 19 September tersebut, saya mengambil peluang untuk berbuka puasa bersama keluarga sebelah bapa saya. Sudah menjadi kebiasaan saya dan bapa berbuka puasa di sana pada hari pertama kami sampai di Melaka. Ketika dalam perjalanan ke rumah nenek, di kiri dan kanan jalan, kelihatan banyak gerai yang menjual daging, lemang dan sarung ketupat.

Di manakah gerai menjual dodol? Selalunya ada.

Tahun ini kita hanya berpuasa selama 29 hari. Selepas selesai berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, sepupu-sepupu saya duduk menonton TV untuk menantikan pengumuman tarikh Hari Raya. Saya tidak begitu ambil pusing kerana hampir pasti esok adalah Hari Raya.

Semua orang tahu esok Hari Raya.

Selesai pengumuman tarikh Hari Raya (kan betul, esok Hari Raya!), masing-masing mula membuat persiapan. Ketika itu, seorang sepupu saya, Muhd Hisham (Abang Boy), mengajak saya untuk keluar berjalan-jalan melihat Bandar Melaka di malam Hari Raya. Saya bersetuju.

Di dalam kereta, ketika kami bergerak meninggalkan rumah nenek, Abang Boy mengeluarkan sesuatu dari poket beliau dan memberikannya kepada saya. Benda itu berada di dalam sarung dan saya keluarkan dari sarungnya. Saya tergelak.

Apakah benda itu?

GPS-Tiada Alasan Untuk SESAT!

Benda di dalam sarung tersebut merupakan penerima GPS (GPS Receiver) jenama Garmin. Saya pasti para pembaca sudah sedia maklum akan fungsi GPS. Kepada yang pertama kali mendengar perkataan GPS atau tidak tahu langsung, GPS merupakan singkatan kepada Global Positioning System. Sistem GPS membolehkan kita mendapatkan lokasi semasa kita berdasarkan koordinat latitud dan longitud yang dikira oleh satelit khas yang mengorbit bumi.

Sistem GPS kini diintegrasikan dengan sistem pemetaan dan ini membolehkan kita melakukan navigasi terus ke lokasi-lokasi yang belum pernah kita jelajahi. Alat GPS yang dijual di Malaysia telah pun dipasang dengan sistem peta Malaysia yang lengkap, dan ini membolehkan kita mencari sesuatu lokasi dengan ketepatan yang hampir jitu.

Tujuan saya dan Abang Boy keluar pada malam Hari Raya tersebut adalah untuk menguji alat GPS tersebut dalam memberi maklumat navigasi yang tepat. Pada malam tersebut kami telah berjalan sehingga ke Sungai Udang dan kemudian berpatah balik ke Bandar Melaka. Alat GPS tersebut berjaya menunjukkan lokasi kami dengan tepat dan nama jalan yang kami lalui.

Harga alat tersebut? RM 900. Ya, memang mahal, tetapi sebenarnya amat berbaloi terutamanya semasa hendak pergi ke rumah terbuka sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

Hari Raya Pertama

Sepertimana biasa, pada pagi Hari Raya, saya dan ahli keluarga yang senior akan ke kubur terlebih dahulu. Kemudian setelah menjamah sedikit makanan, kami terus ke masjid menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Sesi bermaafan dijalankan selepas selesai solat. Ketika ini juga, selain bertukar senyuman, saya dapat melihat duit raya bertukar tangan.

Secara ringkasnya, pada Hari Raya pertama, saya dan keluarga akan menghabiskan masa melawat saudara-mara sebelah bapa di rumah nenek di Kampung Lapan, Bachang.

Hari Raya Kedua-Satu Kehilangan

Hari kedua, kami ahli keluarga sebelah ibu akan bergerak secara konvoi (berjemaah?) melawat saudara-mara sebelah ibu pula di seluruh negeri Melaka. Sepertimana tahun-tahun sudah, konvoi tahun ini disertai oleh 5 buah kenderaan. Kami mula bergerak pada jam 9:00 pagi.

Takdir Allah, kami tidak sempat melawat semua rumah disebabkan satu berita yang tidak dijangka.

Pada jam 2 petang, ketika konvoi kami berada di Tengkera, saya mendapat berita bahawa nenek saudara saya yang tinggal di Mata Kucing, telah kembali ke Rahmatullah. Mendengar berita yang agak mengejutkan tersebut, kami mengambil keputusan untuk membatalkan program konvoi ini.

Kami terus bergerak ke Mata Kucing untuk menziarahi dan membantu menguruskan jenazah.

Al-Fatihah untuk Almarhum.

Hari Raya Ketiga-Open House!

Pakcik saya (abang kepada ibu saya) menjemput kami sekeluarga untuk ke rumahnya pada sebelah malam. Ibu saya bersetuju, tetapi terdapat satu masalah-kami tidak berapa mengingati jalan ke rumah pakcik. Jadi macam mana?

Guna GPS, ya! Alhamdulilah, nasib baik saya telah mengemaskini (update) peta Malaysia di dalam telefon bimbit Nokia N82 saya yang turut dilengkapi sistem GPS terbina dalam (built in), dan lesen navigasi masih lagi sah untuk digunakan. Tanpa membuang masa, saya terus memasukkan alamat rumah pakcik saya ke dalam aplikasi GPS, dan dalam masa kurang 10 saat, aplikasi tersebut menunjukkan jalan yang patut dilalui untuk ke rumah pakcik.

Pada mulanya saya sangsi dengan sistem GPS telefon bimbit saya kerana inilah kali pertama saya menggunakan aplikasi GPS Nokia N82 untuk tujuan navigasi penuh. Walau bagaimanapun, kesangsian saya terhapus apabila kami selamat tiba di rumah pakcik saya.

Agak tepat, cuma selisih satu nombor rumah sahaja!

Sampai di rumah pakcik, saya terus menjamu selera. Masak pedas ikan pari! Sedap.

Untuk menguji ketepatan sistem navigasi dan aplikasi GPS Nokia N82 saya, satu eksperimen telah saya jalankan di mana saya cuba untuk mendapatkan lokasi rumah salah seorang rakan saya, Che Fatihah (Teha). Dengan memasukkan alamat rumah beliau, saya mendapat panduan navigasi lengkap ke rumahnya, dan landmark utama padang telah disahkan tepat oleh Teha sendiri.

Kini di dalam telefon bimbit saya, telah tersimpan panduan navigasi penuh ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan saya.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s