Penyata Pendapatan & Kunci Kira-Kira Bagi Tahun Berakhir 2009


Sekali lagi, kita menghampiri penghujung tahun. Kita makin hampir untuk melengkapkan pusingan 365.25 hari yang dinamakan 2009. Dua belas bulan telah kita lalui dengan pelbagai cabaran dan kisah yang menyenangkan atau menyirap hati kita. Pendek kata, tibalah masa untuk kita membuat pengiraan dan imbangan duga terhadap akaun-akaun yang berkaitan dengan diri kita.

Saya ingin membawa anda mengenali konsep penyata pendapatan (income statement) dan kunci kira-kira (balance sheet). Pelajar-pelajar perakaunan dan perniagaan, saya tahu, anda amat maklum akan konsep ini bukan? Kedua-dua konsep ini sebenarnya boleh digunakan lebih dari sekadar mengira nilai material dan wang ringgit sahaja.

Menganalisis diri, melihat sama ada apa yang telah kita lakukan memberi nilai tambah (value-add) atau hanya mempercepatkan proses susut nilai (accelerate depreciation) potensi diri kita. Sekiranya pekerjaan dan amalan yang kita lakukan telah membentuk diri kita menjadi individu yang lebih baik, produktif dan lebih bersyukur, Alhamdulilah. Tetapi jika pekerjaan dan amalan sepanjang tahun 2009 hanya menyebabkan diri kita menjadi lebih parah, tibalah masanya untuk melakukan post mortem dan mencari punca permasalahan (root causes) tersebut.

Penyelidikan dan pemerhatian peribadi saya mendapati konsep penyata pendapatan dan kunci kira-kira sebenarnya boleh diaplikasikan untuk mengukur potensi dan kualiti diri kita. Saya ada berbincang dengan beberapa orang rakan dan mereka turut bersetuju bahawa konsep ini ada kebenarannya.

Perjalanan hidup kita ini sebenarnya boleh diperlambangkan sebagai penyata pendapatan (income statement). Pendapatan itu boleh diertikan sebagai apa jua perkara dan pekerjaan yang menambah baik personaliti, skil, ilmu dan kualiti diri kita. Jika kita banyak memperoleh pengalaman dan mempelajari sesuatu perkara, maka itu menambahkan pendapatan diri kita. Perbelanjaan pula, berlawanan dengan pendapatan, merupakan apa jua perkara negatif yang tidak membantu atau amat sedikit sumbangannya kepada pembangunan diri kita. Contohnya, bangun lewat tanpa sebab, terlepas solat fardhu, menyakiti hati individu lain dan seumpamanya. Sebagai insan yang rasional, pendapatan (perkara-perkara baik) hendaklah lebih daripada perbelanjaan (perkara-perkara buruk). Inilah yang dikatakan keuntungan dalam diri, dan bukan sebaliknya (kerugian). Walau bagaimanapun, ini hanyalah gambaran kasar (gross), dan belum lagi memberi gambaran sebenar kedudukan diri kita.

Kunci kira-kira adalah peralatan (tool) yang tepat untuk melihat gambaran sebenar diri kita. Kunci kira-kira terdiri daripada tiga komponen; aset, liabiliti dan ekuiti. Anda sedia maklum bahawa persamaan perakaunan asas adalah Aset=Liabiliti+Ekuiti, dan sepertimana fungsinya dalam menganalisis prestasi perniagaan, kunci kira-kira bagi seorang individu juga terdiri daripada beberapa komponen dan sub-komponen;

Aset: Saya mendefinisikan aset sebagai kumpulan dan orang perseorangan yang menjadi penyokong, pendorong dan sumber rujukan utama untuk diri kita. Contoh aset adalah seperti SAHABAT, RAKAN SEKERJA, HUBUNGAN PERNIAGAAN, PENSYARAH/GURU, PEMBANTU dan lain-lain (individu-individu yang tiada pertalian keluarga secara terus). Sepertimana aset material yang tertakluk kepada pelupusan dan susut nilai, begitu juga aset kehidupan seorang individu. Sebagai contoh, kita boleh kehilangan sahabat (pelupusan) atau hubungan dengan rakan sekerja menjadi renggang dan jarang (susut nilai).

Aset yang bertambah merupakan satu petanda yang baik, tetapi pertambahan yang terlalu mendadak mungkin akan menjejaskan kualiti diri dan menambah liabiliti diri. Contoh mudah, mendapat lebih ramai kawan adalah terbaik (networking), tetapi jika kawan-kawan tersebut terlalu meminta, liabiliti diri kita akan bertambah untuk memuaskan hati kawan, dan jika dibiarkan, mungkin akan berlaku susut nilai (hubungan renggang) dan kita terpaksa melupuskannya.

Liabiliti: Apa jua tugas, tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kita untuk diselesaikan. Terdapat dua jenis liabiliti; jangka pendek dan jangka panjang. Liabiliti jangka pendek meliputi semua tugasan, tanggungjawab dan amanah sesama manusia yang perlu dilangsaikan dan ditunaikan dalam tempoh masa yang terdekat. Contoh mudah adalah seperti assignment daripada pensyarah, permintaan daripada rakan dan lain-lain.

Liabiliti jangka panjang pula merujuk kepada tugas, tanggungjawab dan amanah kita kepada Yang Maha Esa, Allah s.w.t. Liabiliti jangka panjang hanya dapat dilangsaikan pada Hari Pembalasan, tetapi kita tertakluk untuk melaksanakan perintahNya seperti solat fardhu dan zakat (daripada sudut perakaunan, seumpama membayar faedah atas pinjaman jangka panjang).

Kita boleh menyimpulkan bahawa jika liabiliti bertambah, ini bermaksud tugasan, tanggungjawab dan amanah telah bertambah. Sepertimana aset, kita boleh mengawal liabiliti daripada bertambah, bukan bermaksud lari dari tanggungjawab, tetapi apa yang dimaksudkan adalah dengan tidak mengambil liabiliti yang tiada kaitan dengan diri kita (contoh: berpersatuan dengan berlebihan sehingga membebankan diri).

Ekuiti: Terdiri kepada kumpulan dan individu yang memiliki pertalian kekeluargaan dengan diri kita seperti ibu bapa, suami/isteri dan anak-anak. Juga, dalam ekuiti terdapat komponen yang disebut modal (capital), di mana modal didefinisikan sebagai apa jua ilmu, skil dan kualiti diri yang telah dilaburkankan untuk ‘membeli’ aset (Sahabat, Rakan Sekerja, Pensyarah, dll.) dan membayar liabiliti (tugasan, amanah, tanggungjawab).

Imbas kembali, dalam komponen ekuiti, persamaan asas adalah modal awal+untung bersih=modal akhir. Jadi, dalam kunci kira-kira seorang individu, skil/ilmu/kualiti diri pada awal tahun seharusnya bertambah (untung bersih=skil/ilmu/kualiti diri yang didapati @ earned) pada akhir tahun.

Maka, jika ekuiti bertambah, ini bermaksud kualiti diri kita menjadi lebih baik dan hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat. Begitulah sebaliknya.

Keseimbangan dan pembangunan diri dikatakan mantap apabila asset bertambah, liabiliti jangka pendek adalah terkawal (saya menekankan perkataan ‘terkawal’) dan ekuiti bertambah. Benar, kebanyakan komponen dan sub-komponen dalam penyata pendapatan dan kunci kira-kira individu yang diterangkan di atas adalah bersifat abstrak dan sukar untuk dikira/ukur (measurable), tetapi dengan memahami konsep penyata pendapatan dan kunci kira-kira itu sendiri, kita dapat mengukur prestasi diri kita dari tahun ke setahun.

Kemudian barulah kita boleh beralih kepada penggunaan penanda aras (benchmarking), kawalan kualiti (QC), Indeks Pencapaian Utama (KPI) dan nisbah insan (human ratio). Berdasarkan penyata pendapatan dan kunci kira-kira tersebut, buat perbandingan dengan rakan-rakan anda yang lain atau pun data masa-masa yang lalu (jika anda ada menyimpannya). Selepas anda menganalisis di mana anda kini, anda boleh mula merangka objektif dan visi/misi diri, serta pelan tindakan untuk mencapai objektif tersebut. Dalam bahasa mudah, azam dan resolusi peribadi.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Lifestyle & Social and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s