Tidak Salah Pun


Adakah seorang wanita boleh meluahkan isi hatinya kepada lelaki yang diminatinya?

Saya agak terkejut dan terkesima sebentar ketika diajukan soalan ini. Apatah lagi soalan ini diajukan oleh seorang wanita yang merupakan rakan saya, yang cukup saya kenali. Dia bertanyakan pendapat saya berkenaan hal ini kerana inginkan kepastian sama ada dibolehkan wanita ‘melamar’ lelaki ataupun tidak. Kita sedia maklum bahawa budaya masyarakat Melayu dan Asia lazimnya telah menzahirkan bahawa lelaki yang akan membuka bicara dan mendekati wanita, bukan sebaliknya.

Soalan yang dihantar oleh rakan itu melalui sistem pesanan ringkas (SMS) tidak saya balas serta-merta. Saya cuba menyusun jawapan dan mencari kata-kata yang terbaik untuk meyakinkan rakan saya. Bukan mudah untuk memberi jawapan kepada seorang wanita, apatah lagi melalui SMS, kerana teks yang dihantar tidak dikepilkan dengan emosi dan gerak badan (gestures) dan memiliki risiko untuk disalah tafsir. Harga untuk salah tafsiran adalah amat tinggi! Setelah berjaya menyusun kata, akhirnya pendapat saya telah selamat dihantar kepada rakan tersebut dan dia berpuas hati dengan jawapan saya.

Apakah jawapan saya? Saya berpendapat tidak menjadi satu kesalahan untuk seorang wanita untuk melahirkan isi hatinya kepada lelaki.

Ada di kalangan para pembaca yang mungkin terkejut dengan jawapan saya atau mempersoalkan latar belakang saya, kerana sekali imbas jawapan saya itu telah ‘melanggar’ budaya dan norma masyarakat Melayu secara umumnya. Kumbang yang mencari bunga, timba mencari perigi, itu yang kita faham. Tetapi kita adalah manusia yang berakal, mempunyai emosi dan berfikiran rasional, bukan kumbang, perigi mahupun bunga yang tidak berakal dan tiada emosi. Kita mempunyai hak untuk memilih dan dipilih. Sekejap, mungkin anda keliru?

Ya, saya adalah seorang lelaki Melayu, dan saya cukup faham akan budaya dan adat resam orang Melayu. Walaupun saya dibesarkan di bandar, saya arif akan budaya masyarakat Melayu tradisional. Sejak dahulu kala, masyarakat Melayu telah dididik dengan mentaliti bahawa seorang wanita (anak dara) akan dipinang oleh lelaki, dan proses ini adalah sebahagian daripada rangkaian kerja (workflow) proses perkahwinan dan kekeluargaan orang Melayu. Sekali imbas, tidakkah anda terfikir, bahawa cara ini seperti membataskan hak seorang wanita untuk memilih teman hidupnya? Menunggu orang meminang dirinya, dan jika dipinang, adakah itu merupakan pilihan yang terbaik? Sekali lagi, saya tidak bermaksud untuk mempersoalkan budaya Melayu, tetapi untuk membawa anda berfikir sejenak.

Seiring peredaran masa, wanita Melayu masa kini tidak lagi membataskan kehidupan mereka di sekitar dapur, pasar dan majlis jiran tetangga. Kini wanita Melayu telah mula bergerak bebas (baca: memahami perkembangan semasa), berpendidikan tinggi, berinteraksi dan bekerjaya. Wanita Melayu kontemporari tidak lagi ‘serupa’ sepertimana ibu mereka, pola pemikiran adalah berbeza dan proses membuat keputusan juga berlainan. Keupayaan mereka kini boleh dikatakan setaraf dengan lelaki malah dalam sebilangan perkara adalah lebih baik. Adakah dalam soal jodoh juga wanita Melayu telah berubah?

Kembali kepada soalan pokok, adakah wanita boleh ‘melamar’ lelaki yang diminatinya? Wanita secara lahiriahnya dikurniakan oleh Allah s.w.t. sifat malu dan manja walaupan seagresif mana sekalipun wanita tersebut, dan secara logiknya, mana mungkin wanita akan memulakan langkah dahulu? Saya tidak mengatakan bahawa wanita harus meluahkan isi hatinya kepada lelaki secara langsung (direct), tetapi boleh secara tidak langsung (indirect). Sekali lagi saya tegaskan, tiada masalah untuk wanita untuk menyatakan perasaannya, tetapi hendaklah secara beradab dan berhemah, dan luahan secara indirect merupakan cara yang amat cocok. Anda tidak akan dilabel sebagai wanita yang mengada-ngada, perasan comel ataupun gedik.

Jika anda belajar dan mendalami sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. mungkin anda cukup maklum bagaimana isteri pertama baginda, Khadijah ibn Khuwalid bertemu jodoh dengan baginda. Isteri baginda memulakan langkah pertama meluahkan isi hatinya kepada Rasulullah secara kiasan (indirect). Oh, itu budaya orang Arab, mungkin anda berpendapat begitu. Cuba fikirkan sejenak, apa akan terjadi jika Khadijah tidak meluahkan isi hati beliau kepada baginda Rasulullah yang merupakan ‘produk’ terbaik untuk umat manusia? Khadijah sebenarnya telah menunjukkan bahawa wanita mempunyai hak untuk memilih teman hidupnya yang terbaik dan berkualiti. Sebagai seorang pedagang, Khadijah sedia maklum akan perlunya kualiti terbaik dalam dagangan dan juga dalam soal teman hidup. Beliau boleh berdiam diri dan memendam rasa, dan dalam proses itu, mungkin beliau akan terlepas peluang untuk hidup bersama Rasulullah s.a.w.

Hidup kita penuh dengan peluang yang selalunya datang dalam sekelip mata. Sebagai seorang wanita, jika anda telah ketemu seorang lelaki yang berakhlak dan anda cukup senang dengan dirinya dan merasakan adalah sesuai untuk hidup bersama, apakah yang akan anda lakukan? Berdiam diri dan mengharapkan dia akan datang kepada anda? Ingat, kebarangkalian anda untuk mendapatkan si dia yang diidamkan adalah amat-amat rendah, kerana wanita pada zaman ini lebih ramai daripada lelaki! Peluang anda adalah 0.0009% (sebagai contoh) dan jika anda hanya duduk diam tanpa sebarang tindakan, minta maaf, anda sedia maklum akibatnya. Merana sepanjang hayat? Mungkin. Atau ramai lagi ‘kumbang’ di luar sana? Adakah kualiti mereka-mereka itu setanding dengan ‘secret admire’ anda?

Jangan tulis dalam diari dan dipeluk semasa hendak tidur setiap malam! Luahkan, tapi bagaimana caranya? Teknologi sudah tersedia di depan mata, gunakan dengan sebaiknya. SMS, MMS, video call, Facebook, Friendster, semua ini mainan anda bukan? Kos komunikasi masi kini bukan lagi mahal dan membebankan, jadi manfaatkan teknologi-teknologi ini dengan sebaiknya. Ini merupakan salah satu usaha anda, dan jangan hanya menunggu bulan jatuh ke riba.

Sebaiknya anda hulurkan salam perkenalan, dan dalam proses perkenalan tersebut, tunjukkan kepada lelaki itu, secara tidak langsung, yang anda berminat dengan dirinya. Dalam erti kata yang lain, berikan ‘hint’ yang jelas dan boleh difahami oleh lelaki tersebut. Salah seorang kenalan wanita saya mengakui bahawa memberi hint adalah satu cara seorang wanita menyatakan keinginannya kepada lelaki, katanya;

Erm untuk pengetahuan awak sebenarnya memang wanita akan bagi hint tetapi dia tidak akan tunjuk secara depan-depan (direct), dan dari situ lelaki kena pandai, bijak menilai, tahu, dan mengkaji adakah wanita itu minat pada lelaki itu atau tidak. Of course la wanita tidak akan tunjuk terang-terang.

Soal terima atau tidak, itu perkara kedua. Jika hajat anda ditolak bukanlah pengakhiran segala-galanya, kerana jika dia merupakan jodoh anda dan telah ditakdirkan, satu hari nanti dia akan datang kepada anda. Pokok pangkalnya mesti ada usaha daripada diri anda sendiri.

Langkah seterusnya? Terpulang kepada diri anda, selagi berlandaskan prinsip syarak dan tidak merosakkan maruah anda sebagai seorang wanita Melayu dan Islam. Berdoa kepada Allah s.w.t. dan mohonlah petunjukNya. Insya Allah.

Tidak salah pun! :-)

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s