Bukan Mudah Sayang


Bulan April sudah hampir tiba ke penghujungnya (ketika post ini ditulis), dan bulan Mei bakal menjelang tidak lama lagi. Sudah hampir sebulan saya meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dunia kampus telah pun ditinggalkan, apa khabar agaknya sahabat-sahabat saya sekarang?

Lima tahun saya menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk setahun di pusat matrikulasi (kini pusat asasi), dan sepanjang tempoh tersebut, tidak semuanya dipenuhi keindahan dan gelak ketawa. Ada juga saat-saat yang menyentuh perasaan, mencabar kewibawaan, dan mungkin juga menyentap dan melukakan hati. Tindakan-tindakan yang dilakukan kepada rakan-rakan, guru-guru dan individu-individu yang berkenaan. Di kala sendirian di rumah, saya terfikir kembali akan saat-saat tersebut, dan kadangkala menyoal kembali diri.

Benarkah keputusan dan tindakan itu?

Saya akui, saya bukanlah insan yang maksum, yang terlepas dari kesilapan dan cacat cela. Ada keputusan dan arahan yang dijalankan oleh saya gagal mencapai matlamatnya. Keputusan saya dibuat berdasarkan pemahaman, pemerhatian kepada masalah yang berlaku dan juga input-input daripada insan-insan sekeliling saya. Ada ketika saya sendiri rasa tertekan untuk membuat sesuatu keputusan yang agak kritikal, terutama apabila dinasihati oleh insan-insan yang begitu dekat di hati saya. Sebagai pemimpin, adalah terbaik jika keputusan yang dibuat adalah murni, bertitik tolak daripada input yang terbaik, dan neutral.

Bukan mudah sayang…

Keputusan dan tindakan bukan sahaja bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang menjadi fokus utama, malah turut melibatkan hati dan perasaan. Pepatah mengatakan kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, dan tindakan yang paling baik adalah berkeputusan berdasarkan pendapat majoriti. Walaupun ini dikatakan langkah yang terbaik, tetapi kadangkala yang majoriti itu bukanlah penyelesaian terbaik. Saya amat bersetuju dengan ungkapan Sir Amirullah Tan, pensyarah subjek Basic Statistical Analysis ketika di tahun pertama: Being popular does not mean that it is the best! Beliau sering mengulang-ulang ungkapan itu di dalam kelas.

Benar, pengalaman peribadi membuktikan bahawa beberapa tindakan berdasarkan suara majoriti menemui kegagalan. Saya pernah suatu ketika enggan mendengar suara minoriti. Apabila saya enggan, hati-hati insan ini telah tersentuh, terguris, dan terluka. Apatah lagi insan-insan ini merupakan rakan-rakan saya sendiri.

Apabila melibatkan hati dan perasaan, bukan mudah sayang…

Allah s.w.t. mengurniakan kepada manusia ilmu dalam pelbagai bidang, tetapi Dia hanya membuka sedikit sahaja ruang ilmu berkenaan rahsia hati. Tidak ada ilmu yang dapat membicarakan isi hati, gerak hati manusia dengan tepat. Ilmu psikologi hanya mampu mentafsir tindakan luaran untuk mengenal emosi dalaman. Motivasi hanya mampu menjana keinginan, dan tidak semestinya berakhir dengan tindakan. Perasaan adalah rahsia peribadi, amat kompleks, dan sukar untuk ditafsirkan dengan hanya melihat pada luaran. Seorang insan itu mungkin kelihatan ketawa gembira, tetapi kita tidak tahu hatinya menangis kepiluan.

Apabila saya menolak pendapat pendapat anda, bagaimana perasaan anda? Saya tahu, ada insan-insan yang tersentuh hati dan mempersoalkan beberapa keputusan dan tindakan saya, tetapi mereka tidak memberitahu kepada saya secara terus. Saya tahu beberapa insan yang kurang senang dengan tindakan saya, tetapi kerana rasa hormat mereka yang amat tinggi, enggan menyatakan kepada saya. Mereka memilih untuk memendam atau melupakan sahaja. Benar, itu toleransi, tetapi walau apa pun perasaan mereka tetap terguris. Ada secalit luka di hati mereka.

Luka mungkin sembuh, tetapi tetap berparut. Parut di hati akan kekal, dan sentiasa diingati.

Keputusan dan tindakan yang telah saya jalankan, tidak perlulah saya namakan, adalah berdasarkan analisis mendalam yang telah saya lakukan sendiri. Benar, ada keputusan dan tindakan yang mungkin dilihat sebagai membelakangkan norma dan kebiasaan, mungkin dianggap kurang ajar, dan tidak kena pada tempatnya. Tetapi keputusan dan tindakan itu saya lakukan demi kebaikan bersama. Bukan mudah, dalam menjalankannya, saya terpaksa mengorbankan kepentingan dan kesenangan sendiri demi kumpulan dan anak-anak buah saya. Demi Allah, ada suatu ketika saya sendiri terpaksa mempertahankan kesilapan anak-anak buah saya demi integriti kumpulan walaupun tidak perlu berbuat demikian.

Bukan mudah sayang, cuba letakkan diri anda di tempat saya…

Tidak semua perkara itu akan menjadi, perancangan mungkin akan gagal. Takdir itu penentu terakhirnya setelah segala usaha dan tawakal. Begitu juga soal hati dan perasaan, walaupun saya telah melakukan yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak, pasti ada juga yang terasa hati. Walau apa pun, saya tiada niat walau sekelumit untuk mengguris, jauh sekali menghina sesiapa yang telah bekerjasama dan berbakti bersama saya.

Andai kata keputusan dan tindakan saya selama ini telah mengguris dan melukakan hati anda, dengan penuh keinsafan dan kekesalan, ampun dan maaf saya pinta. Saya harap anda faham bahawa tindakan saya adalah untuk kebaikan bersama dan bukan untuk diri saya sendiri. Kepada sahabat, guru dan insan-insan yang telah bersama-sama saya sepanjang di UIAM, terima kasih saya ucapkan. Anda adalah aset terbaik, yang tiada susut nilai, sehingga akhir hayat saya. Teruskan langkah anda, doa saya sentiasa bersama!

***

Pada malam 9 April 2010, saya bergerak ke Tangga Besar UIAM bersendirian, untuk menenangkan fikiran. Duduk di salah satu bangku berhampiran sambil memandang jalan utama, melihat kereta-kereta pelajar keluar ke Pintu Utama untuk kembali bercuti, hati saya sebak. Air mata saya mengalir sebentar, antara rasa terharu dan kesal. Deretan kereta terus keluar dari pintu utama, dan ada satu kereta itu saya tahu, milik seorang salah seorang insan yang begitu dekat di hati saya, ingin mengucapkan selamat tinggal, tetapi saya enggan menerimanya. Sahabat, maafkan saya atas tindakan itu.

Jangan diucap selamat tinggal, kerana anda sentiasa tetap di hati saya. Moga anda ketemu kejayaan dan kebahagiaan yang diimpikan. Ucapkanlah selamat tinggal hanya apabila rakanmu ini telah tiada lagi di dunia suatu masa nanti.

Bukan mudah sayang, untuk melupakan insan yang pernah bertapak di hati ini…

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s