13 Mei


Anda tentu ingat tarikh 13 Mei 1969. Tarikh di mana perbalahan berdarah antara kaum berlaku sehingga mendesak kepada pembubaran Parlimen, penguatkuasaan undang-undang darurat (martial law) sekaligus tertubuhnya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul razak. Tragedi ini berlaku 41 tahun yang lalu.

Terdapat banyak versi dan teori yang dibahaskan berkenaan bagaimana tragedi berdarah itu bermula. Saya telah membaca versi yang ditulis oleh para bloggers, dan juga membaca beberapa buku dan artikel sejarah yang berkaitan. Namun, saya tidak mahu memberi komen versi yang manakah lebih sahih dan tepat, terpulanglah kepada anda untuk menilainya.

Berdasarkan catatan sejarah (betulkan jika ada fakta yang silap), tragedi berdarah yang berlaku 41 tahun yang lalu bermula apabila Parti Perikatan hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan pada masa yang sama kehilangan beberapa buah negeri pada Pilihanraya Umum 1969. Kemenangan oleh pihak pembangkang telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong kerajaan, dan beberapa peristiwa sampingan yang berlaku pada ketika itu seperti saling mengutuk dan pembunuhan warden Penjara Pudu telah menyemarakkan suasana perkauman. Almarhum Tunku Abdul Rahman turut ditekan untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu atas dasar tanggungjawab berikutan kekalahan besar Parti Perikatan. Akhirnya, apabila adu domba dan fitnah mula memuncak, berlakulah tragedi 13 Mei 1969 tersebut.

Fakta yang agak menarik, tragedi itu melibatkan kaum Melayu dan Cina, dan berpusat di Kuala Lumpur. Negeri-negeri lain di Malaysia tidak begitu hebat kesannya berbanding apa yang berlaku di Kuala Lumpur.

Kini kita berada di tahun 2010. Generasi kini tahu berkenaan tragedi 13 Mei daripada buku teks sejarah dan pelajaran sejarah yang diajar di sekolah. Saya sendiri, apabila mengkaji tragedi 13 Mei melalui pembacaan, telah menimbulkan rasa syukur di dalam hati. Fikirkan sejenak, bagaimana para pemimpin kita pada pasca 13 Mei 1969 telah berjaya menstabilkan kembali negara yang hampir huru-hara akibat perbalahan kaum? Allahyarham Tun Abdul Razak, dengan kebijaksanaannya, telah memperkenalkan beberapa dasar yang membantu menstabilkan negara dan merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

Konsep Rukunegara sebenarnya bermula selepas tragedi 13 Mei 1969. Konsep yang sama telah pun diperkenalkan di Indonesia terlebih dahulu, dan dikenali dengan nama ‘Pancasila’. Konsep Rukunegara dibentuk berpandukan ‘templat’ Pancasila, tetapi pengisian dan teras utamanya adalah berasaskan keadaan tempatan. Lima teras asas Rukunegara dibentuk dengan objektif utama adalah untuk membina integrasi antara kaum. Lima teras utama Rukunegara adalah

  1. Kepercayaan kepada Tuhan
  2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-Undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

Lima teras ini diterima oleh semua kaum di Malaysia tanpa sebarang bantahan dan didukung dengan sepenuhnya. Sebagai contoh, prinsip ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ adalah logik kerana kita semua percaya adanya Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Prinsip ini juga secara tidak langsung mencerminkan asas kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia. Prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ menunjukkan perlunya ada pemimpin yang dapat menyatu-padukan seluruh kaum di Malaysia, dan Raja/Sultan telah pun diterima dan dihormati oleh seluruh kaum di Malaysia sebagai simbol penyatuan. Lahiriahnya, lima teras ini memancarkan objektif dan identiti bangsa Malaysia yang sebenarnya.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas tragedi 13 Mei 1969, sebenarnya adil dan membantu secara langsung memacu ekonomi negara. Walaupun secara zahirnya dan di atas kertas, DEB seolah-olah mementingkan kaum Melayu, sebenarnya ia membantu menstabilkan ekonomi Malaysia yang terumbang-ambing selepas tragedi tersebut berlaku. Dasar 30% pemilikan ekuiti Bumiputra dan beberapa dasar lain bukanlah bermaksud untuk menganaktirikan kaum-kaum lain, tetapi sebenarnya untuk memberi ruang kepada Bumiputra untuk belajar dan dan mengenali perihal perniagaan yang ketika itu didominasikan oleh kaum lain. Jika DEB tidak pernah wujud dan tidak diwujudkan, bayangkan, apa yang berlaku pada hari ini? DEB sebenarnya turut membantu membina interaksi dan persaingan sihat antara kaum, dengan kita saling belajar dan membantu sesama sendiri, sekaligus membina persefahaman dan kepercayaan yang mendalam.

Kini telah 41 tahun selepas tragedi 13 Mei 1969. Mungkin kebanyakan daripada kita tidak ambil peduli dengan tarikh ini. Segala-galanya telah terbentang di depan mata untuk dinikmat, dan generasi sekarang (termasuk saya) tidak merasa susah-payah pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu perit membentuk negara kita sehingga menjadi apa yang kita dapat lihat pada hari ini. Apa jua yang kita lakukan, perpaduan dan semangat kerjasama dalam satu kumpulan adalah amat penting dalam memastikan kejayaan bersama. Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum, kita semua perlu bekerjasama dalam satu kumpulan dan cuba bertoleransi dalam apa jua perbezaan yang timbul demi mencapai objektif yang diimpikan.

Krisis-krisis politik yang berlaku sekarang boleh dielakkan jika semua pihak yang terlibat mendahulukan kepentingan rakyat, dan bukannya berebut kuasa dan pengaruh. Saya tidak mahu menyebut pihak-pihak yang berkenaan, cuma mengharapkan kita semua fokus kepada objektif utama dan tujuan sebenar demokrasi itu sendiri.

Jika tiada persefahaman, KLCC tidak akan terbina. Jika tiada kerjasama, Putrajaya hanyalah satu illusi. Jika tiada toleransi, mungkinkah wujud negara Malaysia seperti hari ini?

Fikirkanlah, dan bersyukurlah dengan nikmat kurniaan Ilahi. Janganlah disebabkan nafsu, kita hilang segala-galanya.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Official Statement and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s