Tibanya Si Pengganti


Pengganti itu kadang kala lebih indah. Hargai lah ia dengan baik.

Apakah hikmahnya apabila kita tidak mendapat apa yang kita mahu dan idamkan, sebaliknya kita diberikan sesuatu yang lain? Pengganti itu adakah mampu memenuhi kehendak diri kita?

Tajuk bingkisan ini dan perenggan di atas mungkin membuatkan anda membuat konklusi awal bahawa saya akan merungkaikan soal cinta. Betul, tetapi bukanlah menjadi isi utama. Saya dengan izin mengajak anda untuk berfikir sebentar mengenai persoalan ini, yang selalu terjadi kepada diri kita sejak dari saat pertama kita bernafas di bumi Allah ini. Persoalan berkenaan kehendak diri kita yang tidak kesampaian dan gagal dicapai.

Setiap di antara kita memiliki impian hidup. Ini adalah hakikat insan. Sejak kecil, kita sering mengimpikan sesuatu yang indah dan sempurna. Tiada insan yang mengimpikan kegagalan, kesempitan dan kerunsingan, malahan orang gila merasakan diri mereka berada di alam sempurna! Untuk mencapai impian hidup, kita belajar untuk merancang dan berusaha. Hukum Allah mengatakan hanya orang yang berusaha dapat merubah mencapai apa yang diimpikannya, ini adalah firmanNya di dalam Al-Quran yang menjadi pegangan kita.

Impian hidup melahirkan cita-cita. Sejak kecil, kita sudah memiliki cita-cita, hendak jadi polis, juruterbang, doktor, cikgu, dan lain-lain kerjaya yang positif. Saya percaya tidak ada yang bercita-cita untuk jadi perompak, pembunuh dan lain-lain, kerana kita dididik dengan akhlak dan cara hidup positif oleh ibu bapa. Cita-cita kita berubah seiring peningkatan usia dan perubahan persekitaran, kita mula membentuk matlamat hidup sendiri. Berjaya dalam peperiksaan, mungkin juga mengidam untuk menjadi juara olahraga, atau johan pidato. Belajar di universiti yang terbaik, mendapat pekerjaan yang bagus, berkahwin dengan pasangan yang cantik atau hensem, dan hidup bahagia.

Kita semua mahukan pengakhiran yang membahagiakan (happy ending), lancar dan sempurna tanpa cacat cela. Tetapi adakah segalanya dapat kita capai? Adakah dunia ini lahiriahnya begitu ideal untuk semua yang kita mahu? Jawapannya adalah tidak; teori selalunya tidak begitu menjadi di alam realiti. Kita hanya membuat anggapan semuanya adalah sempurna, berjalan lancar, dan tiada masalah. Kita seperti menganggap takdir di bawah kawalan kita, tetapi realitinya kita tidak punya kuasa dalam menentukan apa yang bakal berlaku dengan sempurna. Perancangan dan usaha yang sebegitu rapi pun mungkin akan menghadapi masalah dan boleh kucar-kacir.

Sebab itu kita ada pengurusan risiko, pelan kecemasan, insurans dan waranti; untuk bersedia menghadapi kemungkinan kita tidak mendapat apa yang dihajati dan diimpikan, dan kegagalan.

Lihat diri kita sendiri, renungkan kembali sedalam-dalamnya, sepanjang perjalanan hidup kita, adakah semua perkara memihak kepada kita? Adakah apa yang kita ada sekarang benar-benar apa yang kita mahukan dan impikan? Adakah situasi yang berlaku sekarang merupakan apa yang kita bayangkan selama ini? Simpan jawapan anda, anda dan saya tahu, kita semua tahu.

Tahun 2008, kita sendiri telah melihat apa yang dinamakan ‘tsunami politik’ berlaku di Malaysia. Mungkin ada di antara kita berada di zon selesa pada ketika itu dan telah membuat anggapan walau apa pun berlaku, pihak yang memerintah akan kekal di tempatnya sehingga kiamat. Begitu sempurna dan ekstrem anggapan kita, ceteris paribus yang dipegang, dan apabila yang berlaku menjadi sebaliknya, pihak-pihak yang berkenaan mula menyalahkan satu sama lain, ada yang memulangkan paku buah keras, ada juga yang menangguk di air keruh. Pendek kata, semua orang terkejut dan melatah dengan apa yang berlaku, kerana kita tidak bersedia dan tidak pernah terfikir perkara tersebut akan berlaku di negara kita!

Ada hikmahnya daripada tsunami ini, kita telah belajar untuk bersedia dan memahami. Kita telah belajar untuk menerima dan mendengar pendapat orang lain dan tidak hanya berebut-rebut kekayaan materialistik. Pihak yang mengganti mungkin tidak sebaik pihak yang diganti, tetapi sekurang-kurangnya ada perkara positif yang dijalankan, yang dapat kita belajar. Di sini sana telah dijalankan muhasabah dan pemutihan (istilah orang politik). dan menerima hakikat segala-galanya tidak akan kekal. Ironinya, Islam telah pun memberi peringatan berkenaan perkara ini! Seharusnya kita umat Islam telah bersedia sepanjang masa dengan segala kemungkinan, kita beriman dengan Qada dan Qadar Allah s.w.t.

Orang yang berilmu belajar untuk membenci rakannya dan menyayangi musuhnya. Apa yang tersirat di sebalik kata-kata falsafah ini? Tiada yang sempurna, itu kuncinya! Sejahat-jahat insan, masih ada secebis kebaikan dalam hatinya. Hanya syaitan yang tidak kenal apa itu kebaikan, dan hanya malaikat yang tidak membuat kejahatan. Kita adalah insan yang dicipta Allah sebagai khalifah, dan diberi akal untuk mengenal baik dan buruk, dan pilihan di tangan kita! Jika kita tidak dapat apa yang dihajati, atau dipersulitkan dan diperlambatkan sesuatu urusan itu di luar kawalan kita, redha lah dengan ketentuanNya, kerana mungkin pengganti itu adalah lebih baik.

Saya sendiri, tidak semua yang saya miliki sekarang merupakan apa yang saya idam-idamkan dan rancang sejak dari kecil. Impian saya adalah ingin menjadi jurutera atau designer, kerana personaliti saya cenderung ke arah sains, seni reka dan penyelidikan yang kompleks. Sejak dari sekolah saya menumpukan perhatian dan minat kepada subjek sains seperti fizik dan kimia. Tidak terfikir di suatu masa nanti saya akan membaca buku-buku ekonomi, perakaunan dan pengurusan perniagaan, kerana saya kurang berminat dan tidak dapat menerima konsep ekonomi yang bagi saya agak kompleks dan membosankan. Kini? Saya berjaya menamatkan ijazah pertama saya dalam bidang pengurusan perniagaan. Ya, satu ironi, tapi itulah hakikatnya, malah kawan-kawan sekolah saya sendiri kebanyakannya tidak percaya! Adakah saya silap?

Ya, tidak dapat dinafikan, saya ada juga sedikit sedih dan kesal kerana tidak dapat menjadi jurutera atau designer. Tetapi pada masa yang sama, saya juga bersyukur, kerana dapat belajar sesuatu yang baru, ekonomi tidaklah begitu membosankan sebenarnya! Persepsi negatif saya telah berubah, dan saya telah ‘jatuh cinta’ dengan business! Sedikit sebanyak saya dapat mengaplikasikan konsep kejuruteraan dalam ekonomi dan pengurusan perniagaan, dan konsep perniagaan dalam kejuruteraan. Ilmu itu asalnya satu bukan? Yang mengganti tidak semestinya tidak baik untuk kita, kerana kita tidak tahu perancangan Allah s.w.t. Ada sebabnya kenapa bukan kejuruteraan yang saya dapat.

Banyak perkara lagi sebenarnya yang dikatakan off-target untuk saya, tetapi itulah yang berlaku. Secara teorinya, saya tidak mungkin akan masuk UIA dan sepatutnya akan memasuki Matrikulasi Kementerian Pelajaran. Tetapi kerana sedikit kesilapan teknikal yang menyebabkan borang kemasukan Program Matrikulasi tidak dapat dihantar, dan gerak hati untuk meneman rakan ke hari terbuka UIA di Petaling Jaya suatu masa dulu, saya kini merupakan (bekas) pelajar UIA.

Saya tidak berjaya mendapatkan gadis idaman saya setelah berusaha hampir 4 tahun, dan insan yang bertakhta di hati saya kini adalah insan yang sekian lama terpisah dari segi masa dan jarak, hampir 5 tahun dan 438.8 km jauhnya, sebelum kami berhubung semula pada akhir 2008 dan kini menjadi peneman setia saya.

Nampaknya agak sedih kerana banyak impian hidup tidak tercapai, hancur jadi debu, tetapi alternatifnya adalah lebih manis dirasakan, saya bersyukur! Jika saya dapat semuanya yang saya impikan, mungkin ada kepuasan hidup dan sense of achievements, tetapi mungkinkah juga saya akan ketemu insan-insan istimewa seperti anda? Bagaimana dengan kesan dan kos semua tindakan saya itu? What if…? Then…? Else…? Sejarah akan berubah, itu pasti. Ada sebab kenapa kita wujud di sesuatu tempat dan pada masa itu, dan kenapa kita ketemu insan-insan itu dan ini. Mereka adalah sejarah hidup kita, dan kita adalah sejarah hidup mereka!

Pengganti itu mungkin lebih baik daripada yang diganti, mungkin kita tidak suka dan tidak senang pada mulanya, tetapi Allah s.w.t. telah berjanji melalui firmanNya di dalam Al-Quran:

Perhaps you may dislike something which is really good for you, or love something that is bad for you, but Allah knows what is the best for you, and you don’t.

Renungkan juga kata-kata hikmah yang berikut:

Hope for the best and prepare for the worst.

Wallahualam.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s