Salah Faham Terhadap Perkhidmatan Wireless Broadband


Pendahuluan

Penggunaan peranti mudah alih bukan lagi terhad kepada golongan berada sahaja.

Internet tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita pada zaman ini. Jalur lebar tanpa wayar (wireless broadband) kini telah digunakan dengan begitu meluas sejajar dengan perkembangan teknologi terkini dan trend hidup masyarakat madani yang sering bergerak ke sana sini. Dahulunya capaian Internet hanya boleh didapati di rumah ataupun pejabat menggunakan sistem jalur lebar tetap (fixed broadband) seperti TM Streamyx. Apabila perkhidmatan Internet mudah alih menjadi semakin efisien, kini Internet boleh diakses di luar rumah dan pejabat, menggunakan peranti mudah alih seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan lain-lain.

Internet mudah alih telah mengalami evolusi yang cukup membanggakan. Bermula dengan kelajuan 9.6 Kbps secara panggilan data pada era 90’an dan kandungan web berasaskan teks, kini kita boleh mengakses maklumat dalam talian menggunakan telefon bimbit kita umpamanya, dengan kelajuan berkali-kali ganda dan kandungan yang kaya dengan elemen multimedia. Kos akses juga menjadi semakin murah, dengan serendah RM48 sebulan anda telah boleh melanggan perkhidmatan wireless broadband dan mengakses Internet di mana sahaja anda berada. Tidak hairanlah ramai di kalangan kita melanggan perkhidmatan ini termasuk yang tua, muda, bekerja mahupun para pelajar, kerana sifat mobilitinya dan kemudahan akses di mana sahaja.

Walau bagaimanapun, telah timbul rungutan di kalangan para pengguna perkhidmatan wireless broadband berkenaan kualiti perkhidmatan yang dikatakan kurang memuaskan, kelajuan akses yang menyedihkan, serta aduan-aduan lain yang sedikit sebanyak ‘menakutkan’ mereka-mereka yang ingin mencuba perkhidmatan tersebut. Jika diteliti, kebanyakan aduan tersebut bukanlah berpunca daripada kualiti perkhidmatan, tetapi disebabkan oleh sikap pengguna yang kurang arif tentang sistem wireless broadband itu sendiri.

Di sini saya ingin menarik perhatian anda kepada beberapa persoalan yang sering dibangkitkan oleh pengguna wireless broadband dan sering diwar-warkan sebagai kesilapan penyedia perkhidmatan, tetapi sebenarnya salah pengguna itu sendiri:

3 Isu Utama

ISU #1: Mengapa kuota bulanan saya cepat habis sebelum tiba masanya, sedangkan saya bukanlah seorang yang suka muat turun fail-fail besar?

Ini adalah salah satu isu yang agak popular. Biar saya terangkan secara menyeluruh berdasarkan pengetahuan saya.

Anda sedia maklum bahawa setiap pakej broadband disertakan dengan kuota-kuota tertentu, iaitu jumlah data yang boleh digunakan dalam sebulan. Kuota-kuota ini diwujudkan dengan tujuan untuk mengawal sistem dan kapasiti talian daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika sistem kuota ini tidak diwujudkan, pihak-pihak tertentu boleh menyalahgunakan kapasiti yang ada untuk membuat pemindahan data dalam jumlah yang besar, menggunakan kapasiti talian secara menyeluruh dan sekaligus menafikan pengguna-pengguna lain untuk menggunakan talian secara adil. Inilah yang dinamakan Polisi Penggunaan Serata (Fair Usage Policy).

Kuota-kuota yang diberikan kepada pengguna adalah bergantung kepada pakej langganan, lazimnya lebih mahal pakej tersebut, lebih tinggi kuota yang diberikan. Sebenarnya kuota yang diberikan adalah kapasiti ideal pakej tersebut, dan disesuaikan dengan cara penggunaan individu tersebut. Contohnya, salah satu pakej wireless broadband mengenakan yuran langganan sebanyak RM38 sebulan, dengan kuota 1GB. Sekali pandang ia mungkin kelihatan terlalu sedikit, tetapi diingatkan bahawa pakej tersebut disasarkan kepada golongan yang menggunakan Internet untuk mencari maklumat dan penggunaan ringan. Jika anda seorang yang suka memuat turun muzik, menonton video, bermain online games, pakej tersebut bukanlah untuk anda!

Tetapi, anda tentu berasa hairan mengapa seringkali kuota anda habis walaupun anda bukanlah seorang yang gemar memuat turun data dalam jumlah yang besar? Anda hanya membuka beberapa laman web, tidak menggunakan ‘torrent’, tetapi masalah kuota ini tetap berlaku. Puncanya sebenarnya boleh dilihat kepada penggunaan Internet anda, kecenderungan kandungan yang anda sering lihat. Anda suka menonton pelbagai video di YouTube? Ha, itu salah satu puncanya! Imbas kembali, Internet melibatkan interaksi dua hala, iaitu penghantaran dan penerimaan data. Dalam pengiraan jumlah penggunaan, kedua-dua arah trafik data diambil kira, dan tidak terhad kepada jumlah muat turun data semata-mata. Gemar upload gambar beresolusi tinggi ke Facebook? Itu juga dikira. Ramai yang terlepas pandang fakta ini kerana hampir semua pakej menonjolkan kelajuan muat turun (download), jadi minda para pengguna yang kurang arif akan teknologi beranggapan hanya data yang dimuat turun sahaja dikira!

Punca yang lain, adalah kecenderungan pengguna untuk melihat kandungan streaming yang sebenarnya menggunakan data yang agak tinggi. Elemen-elemen dalam sesebuah laman web terdiri daripada teks, imej, bunyi, video dan elemen-elemen masa nyata (real-time) seperti unsur-unsur interaktiviti Flash. Pada zaman dahulu, kebanyakan laman web adalah berasaskan teks dan imej. Kini, adalah tidak sah jika sesuatu laman web itu tidak menggunakan imej, bunyi dan video, dan kenyataannya, unsur-unsur inilah yang sebenarnya memakan data yang amat-amat banyak! Lebih-lebih lagi jika anda gemar melihat elemen streaming seperti video. Satu video yang anda tonton di YouTube secara puratanya menggunakan sebanyak 50Mb data. Lima video anda tonton, 250Mb. Jika anda memilih untuk menonton dalam kualiti HD? Tidak hairanlah mengapa kuota anda cepat habis. Iklan dalam bentuk video pada satu-satu laman web juga memakan kuota data anda!

Maka disebabkan nature laman web itu sendiri, anda tidak dapat mengelaknya secara menyeluruh. Apa yang anda boleh lakukan adalah mengurangkan kekerapan mengunjungi laman web yang menggunakan data yang tinggi seperti laman web video dan online game. Gunakan fixed broadband seperti TM Streamyx/UniFi untuk aktiviti-aktiviti penggunaan data yang tinggi, jika boleh.

ISU #2: Mengapa kelajuan broadband saya tidak seperti yang diiklankan dalam pakej langganan saya?

Pertamanya, kelajuan yang diiklankan sebenarnya adalah kelajuan secara teori, dan tidak menggambarkan kelajuan dalam penggunaan sehari-hari yang praktikal. Kelajuan teori (ideal) dikira berdasarkan formula matematik dan dalam keadaan terkawal (controlled environment). Ianya sama seperti kita belajar ekonomi asas, teori cakap buat A sudah pasti akan jadi B, tetapi dalam keadaan sebenar teori tidak boleh dipraktikkan sepenuhnya bukan? Buat A mungkin jadi C!

Jika anda baca betul-betul, dengan teliti, terma dan syarat langganan pakej wireless/fixed broadband anda (tidak tahulah anda baca atau terus tandatangan), anda tentu akan melihat satu klausa berkenaan ‘best effort’. Apakah maksudnya? Ini bermaksud penyedia perkhidmatan tidak dapat memberi jaminan bahawa kelajuan yang diiklankan akan dinikmati oleh anda. Jika kelajuan yang anda dapati adalah kurang sedikit atau langsung tidak sampai pada kelajuan yang diiklankan, anda tidak boleh sewenang-wenangnya menyaman penyedia perkhidmatan anda. Ini servis ‘best effort’, bukan ‘guaranteed’. Dua perkara yang berbeza, ingat tu!

Keduanya, cara kerja fixed broadband dan wireless broadband adalah amat-amat berbeza. Fixed broadband menggunakan wayar untuk menghantar dan menerima data, manakala wireless broadband menggunakan isyarat radio. Jika anda pernah mengambil Fizik, ulangkaji kembali berkenaan sifat gelombang radio. Gelombang radio amat-amat terdedah kepada gangguan luar (interferens) berbanding wayar. Adakah anda tahu sistem wireless broadband menggunakan frekuensi radio yang agak tinggi? Imbas kembali hukum fizik asas untuk gelombang, semakin tinggi frekuensi radio, semakin lemah kadar penembusannya terhadap halangan-halangan fizikal seperti dinding. Jika isyarat lemah, secara langsung kualiti wireless broadband anda juga akan menerima kesan seperti perlahan atau terputus-putus. Fixed broadband pula, tidak menghadapi masalah ini.

Maka kebanyakan pakar berpendapat bahawa jika boleh, modem wireless anda hendaklah diletakkan berhampiran tingkap kerana gelombang radio tidak perlu melalui banyak halangan. Atau jika anda tidak dapat melakukannya kerana masalah ruang, anda boleh menimbang untuk menggunakan signal booster, yang boleh didapati di kedai-kedai komputer. Atau alternatifnya, seelok-eloknya gunakan fixed broadband di rumah jika ada.

Ketiga, ia mungkin juga berlaku kerana ketiadaan kapasiti, yang berkaitan dengan soalan seterusnya di bawah;

ISU #3: Mengapa kelajuan broadband saya tidak konsisten? Kadang kala laju dan kadang kala perlahan?

Pertamanya, mungkin kerana kekuatan gelombang radio yang diterima amat rendah dan tidak konsisten, sepertimana yang diterangkan dalam soalan sebelumnya.

Kedua, kelajuan wireless broadband menjadi tidak konsisten kerana masalah kapasiti. Analogi mudah adalah wireless broadband umpama batang paip yang agak besar dengan banyak kepala paip pada badannya. Jika hanya satu kepala paip dibuka, maka aliran air pada paip itu adalah yang paling deras. Jika lebih banyak paip dibuka, aliran air akan semakin lemah pada setiap batang paip tersebut, dan dalam keadaan ekstrem, ada paip yang tidak langsung mengeluarkan air.

Wireless broadband adalah perkhidmatan perkongsian, dan bukan individu. Sepertimana juga WiFi, semakin ramai pengguna pada satu-satu masa di kawasan tersebut, semakin terjejas kelajuan yang diterima oleh kebanyakan daripada mereka. Ini kerana kapasiti yang ada dikongsi dengan setiap pengguna, ada yang mendapat keutamaan, ada yang terpaksa menunggu (queue). Jadi bukanlah sesuatu yang pelik jika anda mendapati kelajuan wireless broadband anda amat laju pada masa-masa tertentu, dan amat-amat perlahan pada masa yang lain. Di kebanyakan tempat, masa yang amat sibuk adalah pada sebelah petang selepas jam 5 dan malam kerana ramai pengguna akan menggunakan talian pada masa ini, maka kelajuan juga mungkin tidak menyenangkan. Masa yang tenang adalah pada waktu pagi sekitar jam 9 ke atas, dan anda boleh mendapat kelajuan yang agak pantas pada masa ini. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, kelajuan mungkin tidak begitu konsisten kerana kebanyakan pengguna bertumpu di sini dan mengakses Internet 24 jam. Di luar bandar, hampir pada setiap masa kelajuan adalah konsisten.

Pengalaman peribadi saya sendiri, ketika saya menggunakan wireless broadband Celcom 3G di Tangkak, Johor sekitar tahun 2007 (belum ada HSDPA/3.5G pada ketika itu), saya boleh mendapat kelajuan yang hampir kepada kelajuan teori (290-300 Kbps). Ini kerana kawasan tersebut tidak banyak pengguna wireless broadband dan kapasiti yang ada dapat digunakan oleh saya. Berbanding di Petaling Jaya, kelajuan purata adalah sekitar 80Kbps-150Kbps.

Ketiga, jenis pembawa data yang anda gunakan juga mempengaruhi kelajuan wireless broadband anda. Semua modem mudah alih memberi akses kepada mod GPRS, EDGE dan UMTS/HSDPA. Mod GPRS dan EDGE menggunakan rangkaian GSM, manakala UMTS/HSDPA menggunakan rangkaian W-CDMA (3G). Kebanyakan modem telah dipraset untuk menukar mod secara automatik apabila salah satu rangkaian menjadi lemah. Ini dinamakan ‘dual-mode’. Tetapi pada kebanyakan masa, modem akan memilih untuk menggunakan mod GPRS/EDGE yang tentunya lebih perlahan kelajuannya. Jika anda memiliki telefon bimbit 3G, pada kebanyakan masa telefon anda akan berada pada rangkaian GSM. Mengapa ini berlaku?

Salah satu ciri unik rangkaian UMTS (3G) adalah kekuatan isyaratnya akan berkurang apabila ramai pengguna menggunakan rangkaian tersebut. Ini dinamakan ‘breathing effect’. Jika anda ingin melihat sendiri kejadian ini, ambil telefon bimbit anda dan set kan agar telefon tersebut hanya menggunakan rangkaian UMTS dan bukan Dual-mode atau GSM. Perhatikan signal bar nya. Turun naik bukan? Kadang kala tiada isyarat. Itu adalah normal, bukan bermaksud kawasan anda tiada liputan 3G. Di kawasan bandar, fenomena ini boleh dilihat dengan kerap kerana penggunaan rangkaian UMTS/3G yang agak tinggi. Di luar bandar, amat sukar sedikit kerana rangkaian UMTS/3G tidak digunakan sepenuhnya.

Rangkaian UMTS memberi kelajuan tinggi berbanding GSM secara relatifnya, tetapi rangkaian UMTS ‘tidak stabil’ pada kebanyakan masa. Itulah sebabnya modem anda lebih suka (in favor) memilih rangkaian GSM berbanding UMTS, dan mengganggu kelajuan anda. Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh set kan modem anda untuk menggunakan rangkaian UMTS sahaja. Anda mungkin akan mendapat kelajuan yang tinggi tetapi berisiko untuk lost connection pada rangkaian dengan lebih kerap.

Penutup

Dengan huraian yang agak mendalam, saya berharap anda dapat memperoleh sedikit sebanyak pengetahuan dan membetulkan salah faham berkenaan perkhidmatan wireless broadband. Sememangnya saya menyokong cadangan agar pihak penyedia perkhidmatan dan juga badan-badan yang berkenaan untuk memberi pendedahan dan mendidik masyarakat umum berkenaan teknologi ini secara mendalam dan bukan hanya memandang kepada keuntungan semata-mata. Adalah menjadi hak pengguna untuk mengetahui ciri-ciri dan pulangan yang boleh didapati daripada perkhidmatan wireless broadband ini, dan sekaligus mampu membuang salah faham dan mengeratkan hubungan antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Computers & Internet and tagged , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Salah Faham Terhadap Perkhidmatan Wireless Broadband

  1. worldfree gurlz... says:

    saya nak minta tolong…saya guna celcom 3g…saya nak tau kouta tu saya boleh cek kat mana data yg saya telah download 2,,,

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s