Analisis 2011 : Pelan Prabayar Di Malaysia


NOTA: Analisis yang dipaparkan dalam artikel ini secara kasarnya sudah lagi tidak tepat. Untuk analisis yang lebih terkini, sila baca Analisis 2013: Pelan Prabayar Di Malaysia. Terima kasih – AUDI FALIQ IBRAHIM

———

Apabila melihat statistik blog saya, antara kata kunci yang paling kerap dicari oleh pengguna Internet di Malaysia adalah berkenaan kadar dan perbandingan pakej-pakej pelan telefon prabayar. Saya telah pun membuat ulasan dan perbandingan panjang lebar pada post-post sebelum ini, tetapi nampaknya ramai yang meminta agar dibuat perbandingan yang lebih komprehensif antara empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia. Saya juga merasakan telah tiba masanya untuk membuat perbandingan semula memandangkan setiap syarikat telekomunikasi telah pun menyemak dan mengemaskini kadar dan pakej pelan prabayar yang ditawarkan.

Dalam analisis kali ini, saya tidak lagi sekadar menyentuh berkenaan kadar satu-satu pelan prabayar tersebut, tetapi juga servis-servis tambahan lain yang melengkapi pelan tersebut. Ini bertujuan untuk memberi satu perbandingan lengkap dan adil kepada setiap pelan prabayar yang dibincangkan di sini. Simulasi kos penggunaan sebenar juga dibuat.

Sebelum membentangkan hasil analisis peribadi saya, sukacita saya maklumkan bahawa semua maklumat yang terpapar di dalam post ini diambil secara terus daripada laman web syarikat telekomunikasi yang berkenaan, dan maklumat yang terpapar adalah sahih dan terkini semasa post ini disiarkan. Sebarang perubahan akhir adalah tertakluk kepada syarikat telekomunikasi yang membuat perubahan tersebut.

Pelan Yang Terlibat

Analisis ini melibatkan pelan prabayar yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi utama yang juga merupakan penyedia perkhidmatan taraf pertama (first-tier service provider). Ambil perhatian bahawa analisis ini buat masa ini tidak mengambil kira pelan prabayar yang ditawarkan oleh MVNO seperti TuneTalk, XOX dan SalamFone. Maka, pelan prabayar yang terlibat adalah

Celcom: Xpax 2 (kecuali SOX/UOX, Celcom Blue, Celcom SUKSES)

Maxis: Hotlink Plan (kecuali Hotlink Youth Club, Pelan Hotlink Muzik)

DiGi: DiGi Prepaid Hit RM1 (kecuali DiGi Easy Prepaid, DiGi Campus)

U Mobile: U Prepaid (kecuali 018 Prepaid Plan)

Dalam erti kata yang lain, hanya pelan utama yang diambil kira untuk menjalankan analisis ini, dan pelan-pelan sampingan atau variasi daripada pelan-pelan utama tidak diambil kira memandang pelan yang lain mensasarkan kumpulan atau kawasan yang tertentu sahaja.

Penyusunan Kandungan Analisis

Pertama, saya akan membuat perbandingan dari sudut kadar yang ditawarkan oleh keempat-empat pelan prabayar yang disebutkan di atas, serta ulasan-ulasan pendek dan pandangan peribadi saya. Seterusnya, saya akan membuat perbandingan daripada sudut servis tambahan yang ditawarkan oleh setiap pelan prabayar, dan beserta ulasan saya. Terakhir, saya akan membuat simulasi kos penggunaan sebenar berdasarkan beberapa andaian (assumption) yang digarapkan daripada penggunaan harian purata kebanyakan daripada kita semua.

Bahagian 1: Kadar (Rates)

Dalam analisis ini, kita akan melihat perbandingan kadar yang ditawarkan oleh setiap pelan prabayar. Kadar yang dikenakan adalah untuk penggunaan utama seperti panggilan suara, panggilan video, SMS dan MMS. Walaupun perkhidmatan data telah menjadi kebiasaan buat masa ini, saya abaikan di dalam analisis ini kerana varians penggunaan data adalah berbeza dan tidak sama antara setiap individu.

Perbandingan adalah diringkaskan sepertimana jadual di bawah ini:

Perbandingan Kadar Di Antara Keempat-Empat Pelan Prabayar

RALAT: Untuk Hotlink Plan, charging block adalah 30 saat, dan bukannya 60 saat sepertimana yang dipaparkan dalam jadual di atas. Harap maklum.

Daripada jadual di atas, beberapa ulasan dan kesimpulan boleh dibuat:

Panggilan Suara

Untuk mereka yang kerap membuat panggilan kurang dari seminit (short call), Hotlink Plan dan U Prepaid adalah terbaik memandangkan kadar panggilan suaranya dicaj berdasarkan blok 30 saat. DiGi Prepaid menawarkan panggilan serendah 12 sen seminit, tetapi kadar ini hanya tertakluk apabila anda telah penggunaan terkumpul harian anda telah mencecah RM1, dan dicaj pada blok 60 saat.

Untuk mereka yang kerap membuat panggilan purata lebih dari seminit, Xpax merupakan pelan yang terbaik berbanding pelan-pelan prabayar yang lain. Blok panggilannya yang lebih besar (10 minit/5 minit) memberi ruang kepada anda untuk bercakap dengan lebih tenang dan tidak terburu-buru. Tambahan pula, panggilan suara dan video adalah tertakluk dalam kadar ini.

SMS

Memandangkan majoriti pengguna di Malaysia masih lagi menggunakan SMS sebagai medium perhubungan utama, maka kadar SMS sering diberi perhatian penuh. Sekali lagi, berdasarkan jadual di atas, kelihatan Xpax masih lagi memiliki kelebihan dengan kadar SMS serendah 1 sen ke rangkaian yang sama, berbanding pelan lain yang menawarkan sehingga 10 sen per SMS. DiGi juga menawarkan SMS serendah 1 sen ke rangkaian sama, tetapi dengan syarat penggunaan terkumpul harian anda perlu mencecah RM1 terlebih dahulu.

Untuk penghantaran SMS ke rangkaian lain pula, Xpax masih lagi memberi kadar kompetitif sebanyak 5 sen per SMS. Pelan prabayar yang lain menawarkan SMS ke rangkaian lain sehingga 10 sen per SMS.

MMS

Dari sudut MMS pula, DiGi dan U Prepaid kelihatan terbaik memandangkan kadarnya yang paling rendah berbanding pelan prabayar yang lain, dan Hotlink masih menggunakan kadar berbeza untuk MMS di dalam rangkaian dan di luar rangkaian. Xpax mengenakan kadar purata, iaitu 35 sen per MMS ke semua rangkaian.

Perkhidmatan Kumpulan Tertutup (Closed-Group Service)

Closed-Group Service merujuk kepada kadar diskaun yang diberikan kepada sekumpulan nombor tertentu yang di set oleh pengguna, lazimnya nombor-nombor ahli keluarga, rakan-rakan rapat mahupun pasangan masing-masing. Hotlink menawarkan servis ini dengan nama ‘Activ 10’ dan DiGi dengan nama ‘Friends & Family’. Xpax tidak lagi menawarkan 8pax/15pax dalam pelannya yang terkini dan U Prepaid buat masa ini tidak menawarkan servis ini. Jadi analisis akan bertumpu kepada Hotlink dan DiGi Prepaid.

Dari sudut slot yang ditawarkan, DiGi memiliki kelebihan kerana menawarkan slot sehingga 15 nombor berbanding Hotlink yang hanya menawarkan 10 slot. Tambahan pula, DiGi membenarkan sehingga 4 nombor bukan DiGi dimuatkan dalam slot Friends & Family, menggunakan konfigurasi standard 11 DiGi + 4 non-DiGi. Hotlink hanya membenarkan nombor daripada rangkaian Maxis untuk memenuhi kesemua 10 slot yang ditawarkan.

Analisis daripada perspektif kadar pula, kedua-dua pelan menawarkan kadar yang identikal untuk panggilan suara dan SMS, iaitu 12 sen seminit panggilan suara dan 1 sen per SMS. Untuk DiGi, kadar 12 sen seminit itu hanya tertakluk selepas penggunaan harian mencecah RM1.

Bahagian 2: Servis Tambahan (Value-Added Services)

Senarai servis nilai tambah yang ditawarkan oleh setiap pelan prabayar telah diringkaskan di dalam jadual di bawah:

Perbandingan Servis Nilai Tambah Yang Ditawarkan Oleh Keempat-Empat Pelan Prabayar

Daripada jadual di atas, beberapa kesimpulan boleh dibuat:

Perkhidmatan Asas

Keempat-empat pelan prabayar secara default telah mengaktifkan perkhidmatan asas seperti Caller Line Identification (CLIP), panggilan menunggu dan peti suara. Berkenaan dengan panggilan menunggu, Celcom menawarkan fungsi panggilan menunggu untuk panggilan suara dan juga video.

Perantauan Antarabangsa (International Roaming)

Kecuali U Prepaid, pelan prabayar yang lain menawarkan khidmat perantauan antarabangsa.

Perkhidmatan Berasaskan Kredit Panggilan

Kecuali U Prepaid, pelan prabayar yang lain menawarkan perkhidmatan seperti memindahkan kredit panggilan ke nombor lain, permintaan kredit panggilan, pemanjangan tempoh sah (extended validity) dan juga kredit panggilan kecemasan.

Perkhidmatan Data

Keempat-empat pelan prabayar menawarkan perkhidmatan data untuk para pelanggannya. Kadar perkhidmatan data bayar-bila-guna (pay-per-use) secara umumnya adalah sama untuk keempat-empat pelan prabayar, iaitu 10sen/10KB. Untuk pelan harian pula, Celcom menawarkan kadar terendah iaitu RM5 sehari dengan kuota yang lebih besar berbanding pesaingnya.

Blackberry Internet Service (BIS)

Memandangkan Blackberry telah menjadi trend masa kini, kesemua pelan prabayar menawarkan khidmat akses ke BIS. Untuk akses penuh, U Prepaid mengalahkan saingannya dengan menawarkan akses serendah RM1.50 sehari. Untuk pengguna yang hanya memerlukan akses ke Blackberry Messenger (BBM), kesemua pelan prabayar (kecuali U Prepaid) mengenakan yuran akses serendah RM0.50 sehari. Celcom dan DiGi juga menawarkan pakej sosial yang memberi akses kepada aplikasi IM standard dan juga BBM dengan yuran RM1 sehari.

Pakej iPhone

Semasa post ini ditulis, hanya Celcom menawarkan pakej iPhone untuk pelan prabayarnya, dengan data percuma selama setahun dengan tambah nilai RM60 sebulan untuk 12 bulan. Maxis dahulunya pernah menawarkan iPhone untuk pelan Hotlink tetapi dimaklumkan bahawa pakej tersebut telah digugurkan dan info mengenainya tidak dilihat dalam laman webnya. DiGi hanya menawarkan iPhone untuk pengguna pascabayar, manakala U Mobile buat masa ini tidak menawarkan iPhone.

Pakej iPhone Celcom memerlukan anda membeli iPhone pada harga RRP, tetapi tambah nilai terkumpul minimum RM50 selama 12 bulan memberikan penggunanya 1GB data percuma.

Lain-Lain/Bonus

Xpax telah menggantikan bonus yang lazimnya ditawarkan pada pelan terdahulu dengan token akses ke laman web sosial yang dibangunkannya, dinamakan Kolony. Hotlink dan DiGi masih menawarkan bonus asas untuk para pelanggannya, seperti bonus hari jadi dan kredit panggilan atau penebusan mata. U Prepaid pula hanya menawarkan bonus kredit panggilan percuma untuk setiap tambah nilai.

Bahagian 3: Simulasi Penggunaan & Kos

Setakat ini, kita telah pun mengetahui kadar dan ciri-ciri setiap pelan prabayar yang dibincangkan dalam analisis ini. Sekarang, tibalah masanya untuk menjalankan ujian untuk menentukan pelan prabayar manakah yang ideal dalam situasi penggunaan harian.

Ujian, atau simulasi yang dijalankan ini mengambil kira beberapa andaian (assumption) dan kesesuaian mengikut ciri-ciri pelan prabayar yang dibincangkan. Sebagai contoh, Xpax menggunakan blok kadar 10 minit dan 5 minit, jadi untuk simulasi menjadi lebih tepat, kekerapan panggilan kurang dari seminit dan lebih dari seminit perlu diambil kira. OK, kita mulakan dengan mencipta satu watak hipotetikal, bernama Yanie:

Yanie, seorang eksekutif berusia dalam lingkungan 25 tahun, adalah pengguna aktif dan kerap menggunakan telefon bimbitnya untuk tuntutan kerja dan peribadi. Dia masih menggunakan pelan prabayar sejak zaman persekolahan sehinggalah telah bekerja. Telefon bimbit beliau adalah Nokia N8, yang baru dibeli baru-baru ini, dan belum bercadang untuk menukar telefon bimbitnya dalam masa terdekat walaupun ramai rakan-rakannya menggunakan Blackberry dan iPhone.

Watak Yanie ini mewakili golongan muda dan pertengahan, yang berbelanja agak banyak dan pada masa yang sama amat mementingkan bajet. Simulasi dimulakan:

Panggilan (Call)

Yanie membuat panggilan pendek (kurang seminit) adalah lebih kurang 4 panggilan sehari, dengan jumlah panggilan secara purata sebanyak 10 panggilan sehari. Panggilan pendek yang dibuat adalah secara purata selama 40 saat, dan panggilan panjang dalam 5 minit. Satu jadual telah dilakarkan untuk memudahkan kita melihat andaian ini:

Andaian Untuk Panggilan

Andaian lain, untuk DiGi, kita anggap bahawa penggunaan RM1 telah pun berjaya dilakukan, jadi kadar panggilannya adalah 12 sen seminit. Panggilan ke nombor Activ10/Friends & Family kita abaikan. Semua panggilan adalah panggilan suara. Maka, kita sudah boleh mengira jumlah kos panggilan sebulan untuk keempat-empat pelan prabayar, yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Kos Panggilan Untuk Sebulan

Berdasarkan jadual di atas, perbezaan jumlah kos tertinggi dengan jumlah kos terendah adalah sebanyak RM 283.20.

SMS & MMS

Jumlah SMS yang dihantar oleh Yanie dalam sebulan adalah sebanyak 200 SMS, dengan 100 SMS ke rangkaian yang sama dan 100 SMS ke rangkaian lain. Manakala sebanyak 50 MMS dihantar dalam sebulan oleh Yanie, dengan 25 MMS ke rangkaian yang sama dan selebihnya ke rangkaian yang berlainan. SMS & MMS ke ‘Activ10’ dan ‘Friends & Family’ diabaikan dalam kiraan, dan untuk DiGi, penggunaan RM1 sehari telah berjaya dilakukan. Maka, kos untuk sebulan adalah seperti berikut:

Kos SMS & MMS Untuk Sebulan

Kelihatan di sini Hotlink lebih tinggi kosnya berbanding pesaingnya.

Data & Lain-Lain

Yanie hanya menggunakan telefon bimbit Nokia N8 dan buat masa ini dia belum bercadang untuk membeli Blackberry mahupun iPhone. Yanie kerap menggunakan data apabila di luar kawasan, maka dalam seminggu, dia melanggan khidmat data sehari sebanyak 2 kali. Maka dalam sebulan, Yanie telah melanggan sebanyak 8 kali. Kos untuk sebulan adalah seperti berikut

Kos Penggunaan Data Dalam Sebulan

Adalah lebih berbaloi menggunakan Xpax ataupun U Prepaid, walaupun kos keempat-empat prabayar tidak jauh berbeza. Pelan bayar-dan-guna adalah kurang rasional, kerana caj yang agak tidak masuk akal dan kurang sesuai untuk Yanie yang merupakan pengguna aktif data.

Jumlah Besar?

Kita sudah pun mengetahui kos penggunaan panggilan, SMS, MMS dan data untuk individu hipotetikal bernama Yanie. Jika Yanie bercadang untuk melihat sendiri kos yang dibelanjakannya untuk pelan prabayar sahaja, maka jumlah yang kita dapat adalah seperti yang tertera dalam jadual akhir di bawah ini:

Kos Penggunaan Untuk Sebulan

Apakah pelan yang terbaik, yang sesuai buat Yanie?

Pelan yang sesuai buat Yanie adalah ____________ (isikan jawapan anda di sini).

Bahagian 4: Kesimpulan

Simulasi telah pun selesai, maka kini kita perlu membuat kesimpulan pada analisis kita. Anda telah membaca dari awal hingga ke bahagian ini, apa kesimpulan yang dapat anda buat? Terdapat beberapa kesimpulan, iaitu:

PERTAMA: Setiap pelan prabayar secara asasnya mengetengahkan ciri-ciri dan features yang hampir sama dan identikal, maka yang menjadi perbezaan adalah pada kualiti servisnya.

KEDUA: Caj untuk pelan prabayar adalah tinggi, dan kurang sesuai untuk pengguna yang kerap membuat panggilan, SMS/MMS dan menggunakan data.

KETIGA: Dari sudut kos, berdasarkan simulasi, pelan Celcom Xpax adalah paling kompetitif berbanding pelan yang lain, walaupun kos penggunaan sebulan sebenarnya agak tinggi mencecah hampir RM150 (untuk individu yang penggunaannya hampir serupa dengan Yanie).

KEEMPAT: Untuk penggunaan seimbang, pelan Celcom Xpax adalah yang terbaik. Untuk penggunaan yang lebih kepada data, pelan U Mobile dilihat kompetitif, cuma liputannya buat masa ini kurang memuaskan.

KELIMA: Jika anda seorang pengguna ‘berat’ (heavy user), lebih molek untuk menggunakan pascabayar kerana cajnya yang lebih rendah dan terdapat diskaun berdasarkan jumlah penggunaan.

Maka, kesimpulan akhir, pelan yang dilihat kompetitif buat masa ini, ketika post ini ditulis, adalah Celcom Xpax. Ambil perhatian, bahawa ini mungkin berubah di masa hadapan.

Rujukan

© 2011 Celcom Axiata Bhd. – Kadar Celcom Xpax 2 (New Xpax): http://bit.ly/hSjTFb

© 2011 Maxis Communications Bhd. – Kadar Hotlink Plan: http://bit.ly/i2NSeJ

© 2011 DiGi Telecommunication Sdn. Bhd. – Kadar DiGi Prepaid Hit RM1: http://bit.ly/gDHErx

© 2011 U Mobile Sdn. Bhd. – Kadar U Mobile U Prepaid: http://bit.ly/aC76uP

Addendum

Jika anda dapati ada sebarang ralat atau kesilapan maklumat dalam analisis di atas, sila maklumkan kepada saya untuk dibuat pembetulan dan penyelarasan. Anda boleh memaklumkannya di ruangan komen atau menggunakan borang feedback.

Semua maklumat adalah benar dan tepat sehingga 8 Jun 2011 dan kekal, sehingga mana-mana syarikat telekomunikasi yang disebutkan membuat perubahan kadar. Analisis ini dibuat dengan adil dan saksama atas dasar memberi dan berkongsi maklumat, dan saya tidak sekali-kali mewakili atau menggalakkan (endorsed) anda untuk memilih mana-mana pelan prabayar di atas.

This entry was posted in Analysis & Research, Bahasa Melayu, Mobile Devices & Apps. and tagged . Bookmark the permalink.

17 Responses to Analisis 2011 : Pelan Prabayar Di Malaysia

  1. pengguna says:

    Sangat bagus sekali analisa & jadual-jadual lengkap. Bolehlah saya berjimat-cermat dalam keadaan ekonomi yang tidak tertentu. Sekarang ni semua kos dah naik!

    Like

  2. nash says:

    super duper lengkap entri nih.. likes that..
    mohon tweet keyh :)

    Like

  3. Azri Aris says:

    Bro, review anda yg terbaik!super lengkap!tahniah dan trima kasih bnyak2!aku gunakn review kau sbgai reference aku! Thanks so much!!

    Like

  4. wan says:

    penipu..maxis pn kol 18 sen seminit n 9 sen utk stgh minit..

    Like

    • Untuk Maxis Youth Club, caj panggilan ke operator lain adalah 18 sen seminit sebagaimana yang saudara katakan tadi. Tetapi artikel ini hanya membincangkan pelan prabayar utama bagi setiap operator dan bukan pelan ‘niche’ seperti UOX, Hotlink Youth Club dan DiGi Campus yang sudah tentu cajnya adalah sedikit berbeza. Saya ada sebutkan di awal artikel.

      Like

  5. munir says:

    Salam..

    Harap saudara dapat buat compare dgn Celcom Postpaid exec 50 plak

    Like

  6. darknirrajim says:

    Salam,

    Latest news, Celcom Xpax telah mengenakan kadar paling rendah rm 2.8sen/min.

    Like

  7. Celcom Terbaik !!

    Like

  8. ady says:

    voice on net,dgn voice off net 2 x paham la

    Like

  9. Jacks says:

    Pelan celcom X2, memang terbaik, 28 sen selama 10 minit bagi perbualan lebih lama.

    Like

  10. payedd says:

    bro…cmne pulak dgn internet celcom..(xpax )..adekah rm5 stiap hari tu unlimited atau ade qouta..n cmne ngn rm20 smgu..unlimited x??

    Like

  11. misae nohara says:

    saya pengguna light prepaid malah lebih light dari yanie. bagi saya umobile tebaik. kelajuan internet terbaik. untuk call sekejap mcm saya, pakai xpax RM0.28 sekali caj, tapi tidak dengan umobile dimana hanya 9-18 sen. jika saya top up, dapat call & sms percuma untuk nombor umobile lain dan line aktif lebih lama dari xpax. jika kaki gayut dan tak perlukan data, xpax ok. tapi umobile balance untuk call dan data. yg penting berapa bajet prepaid sebulan anda?

    Like

  12. hazizul says:

    Satu penerangan yang lengkap..thanz

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s