Soal Jawab Kentut


Eeii... Bucuk!!!

Kentut, menurut definisi Kamus Dewan bererti angin yang keluar menerusi pelepasan (dubur). Ia merupakan fenomena semulajadi yang terjadi di kalangan manusia tidak kira usia mereka. Haiwan juga kentut, dan setakat ini saya tidak pasti adakah tumbuhan juga kentut ataupun tidak. Bau busuk adalah sinonim dengan kentut kerana tiada yang sanggup mengaku dan bertaruh secara pasti bahawa bau kentutnya adalah wangi.

Dalam entri ini, saya ingin membicarakan tentang kentut. Ya, saya tahu tiada siapa yang suka apabila disebut tentang kentut, dan kentut sering dikaitkan dengan perkara-perkara negatif dan sumbang. Sebenarnya banyak persoalan yang boleh ditimbulkan tentang fenomena hebat ini, dan di sini saya ingin kongsikan segala persoalan dan jawapan berkenaan kentut yang anda sendiri mungkin tidak tahu. Fakta-fakta ini saya ambil dari pelbagai sumber seperti laman web, blog dan juga forum. Fakta ini mungkin benar mungkin juga tidak, jadi saya harap anda baca sebagai selingan dan ilmu tambahan.

Soal Jawab Kentut

Soalan 01: Dari manakah asal-usul kentut?

Kentut, secara teknikalnya berasal dari dalam perut manusia. Kentut itu sendiri merupakan sejenis gas yang tidak berwarna, berasal daripada udara yang kita hidu, dan terhasil daripada reaksi dan tindakbalas kimia oleh bakteria di dalam perut.

Soalan 02: Apakah komposisi kentut?

Sebenarnya kentut memiliki komposisi yang pelbagai. Pendek kata, ada variasi dalam kentut-kentut manusia itu sendiri. Secara umumnya, semakin banyak udara yang kita hidu, semakin pekat kadar gas nitrogen di dalam kentut (oksigen di dalam udara diserap oleh peparu manakala nitrogen tidak). Bakteria yang bertempat tinggal di dalam perut serta cairan usus membuat tindakbalas kimia dan menghasilkan karbon dioksida. Bakteria juga dalam tindakbalas kimia menghasilkan gas metana dan hidrogen.

Komposisi akhir kentut kita juga bergantung kepada makanan yang kita makan, isipadu udara yang kita hidu, bakteria yang hadir di dalam perut dan juga berapa lama kita menahan kentut. Ya, menahan kentut juga mempengaruhi komposisi kentut itu sendiri. Semakin lama kita menahan kentut, semakin banyak kandungan nitrogen di dalam kentut. Dikatakan orang yang makan dengan tergesa-gesa (gelojoh?) tanpa mengunyah dengan sempurna mengandungi kandungan gas oksigen yang tinggi di dalam perut memandangkan komponen oksigen itu tidak diserap dengan sempurna oleh usus.

Soalan 03: Mengapa bau kentut itu amat-amat kurang menyenangkan? Err, busuk?

Bau kentut itu busuk kerana terdapat unsur hidrogen sulfida (H2S) di dalamnya. Salah satu unsur dalam H2S adalah sulfur, yang merupakan unsur asas belerang. Semakin tinggi unsur sulfur di dalam makanan, semakin tinggi unsur sulfur dihasilkan oleh bakteria di dalam perut dan semakin busuklah bau kentut seseorang itu. Telur dan daging memainkan peranan besar dalam mengamplifikasikan bau kentut yang hebat. Kekacang berperanan meningkatkan kekuatan (volume) kentut dan bukan kebusukannya.

Soalan 04: Mengapa kentut mengeluarkan bunyi?

Kentut berbunyi hasil daripada getaran atau vibrasi lubang anus (bahasa kasarnya: lubang bontot). Kerasnya bunyi kentut itu bergantung kepada kederasan kentut itu keluar dari anus dan tiada kaitan dengan besarnya punggung seseorang itu.

Soalan 05: Dikatakan kentut yang busuk itu hangat dan tidak berbunyi, kenapa?

Jika dilihat dengan teliti, salah satu ‘punca’ kentut adalah daripada bakteria. Tindakbalas kimia oleh bakteria dan proses pencernaan makanan itu sendiri menghasilkan haba yang menyebabkan panas, dan hasil sampingannya (by-product) adalah bau busuk itu sendiri. Isipadu gelembung gas yang lebih kecil dan hangat dengan hasil ‘produktiviti’ bakteria yang berbau busuk, menjadi sebab kenapa kentut yang baunya amat dahsyat itu selalunya tidak berbunyi (berbunyi sebenarnya, tetapi amat-amat halus). Dalam bahasa yang mudah, kentut jenis ini adalah SBD (Silent But Deadly).

Soalan 06: Secara purata, berapa banyak kentut yang dihasilkan sehari oleh seorang manusia?

Isipadu-wise, setengah liter atau bersamaan dengan 14 kali kentut. Jangan tanya saya bagaimana mereka mengira isipadu kentut, saya pun tak tahu.

Soalan 07: Mengapa kentut keluar di bawah (lubang dubur) dan bukan di atas (mulut)?

Secara logik akal, memang patut kentut keluar melalui lubang dubur kerana kebusukannya. OK, secara teknikalnya, kentut keluar melalui lubang dubur kerana gerakan peristaltik usus. Tekanan di sekitar lubang dubur adalah rendah, dan disebabkan gerakan peristaltik yang disebutkan tadi, tekanan di kawasan usus adalah tinggi dan memaksa isi-isi usus termasuk gas (kentut) tadi bergerak ke kawasan yang bertekanan rendah iaitu lubang dubur. Dalam perjalan itu juga gelembung-gelembung kecil gas bergabung menjadi gelembung yang lebih besar, menanti untuk dilepaskan di alam luar sana. Tiada orang yang dapat kentut melalui mulut kerana kentut amat mustahil untuk naik ke atas kerana anatomi usus itu sendiri yang berbelit-belit. Sendawa itu bukan kentut yer, walaupun itu juga adalah sejenis gas yang keluar dari badan.

Soalan 08: Berapakah tempoh masa yang diperlukan oleh kentut untuk baunya sampai ke hidung orang lain?

Tempoh masa yang diperlukan adalah bergantung pada parameter dan keadaan sekeliling seperti kelembapan udara, suhu persekitaran, arah tiupan angin, dan jarak antara sumber kentut dengan orang yang terdekat (mangsa?). Apabila kentut dilepaskan dari sumbernya, kentut itu tersebar dan konsentrasi (kepekatan) baunya berkurang seiring dengan masa. Ruang juga memainkan peranan yang penting, jika seseorang itu kentut di tempat terbuka seperti tempat letak kereta atau kawasan padang, baunya akan cepat hilang. Tetapi jika kentut itu dilepaskan di kawasan yang ruangnya terhad atau sempit seperti dalam lif, kesannya sudah dapat dijangka!

Soalan 09: Apakah setiap manusia itu kentut?

Sudah pasti, tidak kira tua atau muda, bayi atau orang yang sudah bertongkat pasti akan kentut kerana itu proses semulajadi manusia. Hatta orang yang tidak lagi bernyawa juga boleh kentut!

Soalan 10: Betulkah lelaki lebih kerap kentut berbanding perempuan?

Sekali lagi, kekerapan kentut tidak ada kaitan dengan jantina seseorang itu. Ada juga yang berpendapat perempuan lebih kerap kentut dan jika ini benar, saya merasakan perempuan tersebut menahan kentutnya dan apabila terkentut, jumlah yang dikeluarkan adalah banyak.

Soalan 11: Ketika bilakah biasanya seseorang itu akan kentut?

Lazimnya pada pagi hari ketika di tandas. Istilahnya disebut ‘morning thunder’. Jika kekuatannya adalah baik, kentut tersebut boleh didengari di seluruh penjuru rumah dengan jelas dan nyata.

Soalan 12: Benarkah jika makan kekacang akan menyebabkan kerap kentut?

Kekacang mempunyai komponen gula yang tidak boleh dihadamkan oleh tubuh. Komponen gula ini apabila sampai di usus, bakteria di dalam usus/perut tersebut akan cuba menguraikannya dan ini menyebabkan penghasilan gas yang agak tinggi. Makanan lain seperti jagung, kubis dan susu juga dikatanya penyebab kerapnya kentut (bukan bau yer, tetapi kekerapan!).

Soalan 13: Selain makanan, apakah penyebab terjadinya kentut?

Fenomena lain penyumbang kentut adalah seperti tertelan udara (?), makan tetapi tidak mengunyah dengan sempurna, meminum minuman berkarbonat (soft drinks), dan juga ketika menaiki kapal terbang (kerana tekanan di atas adalah rendah).

Soalan 14: Apakah kentut itu serupa dengan sendawa?

Tidak sama sekali, adakah sendawa itu busuk? OK, secara teknikalnya, sendawa berasal dari perut dan mempunyai komposisi udara yang lebih tinggi, manakala kentut mengandungi hasil tindakbalas kimia bakteria yang lebih tinggi. Maka ini menerangkan mengapa sendawa tidak berbau busuk seperti kentut.

Soalan 15: Ke mana perginya kentut kalau tidak dikeluarkan?

Kentut yang tidak dikeluarkan, akan tetap tersimpan di dalam usus sehinggalah saatnya dikeluarkan. Jadi, kentut itu bukannya hilang, tetapi ditunda waktu pengeluarannya. Tiada siapa yang dapat menahan kentut dengan lama, dan bila tidak tertahan, ia pasti keluar!

Soalan 16: Kentut boleh terbakar atau tidak?

Soalan yang baik, dan jawapannya adalah YA! Komposisi kentut, jika diamati, mempunyai metana dan hidrogen yang merupakan gas mudah terbakar! Jika kentut terbakar, nyalaannya berwarna biru kerana unsur hidrogen ini. Ha, jangan cuba bakar kentut anda, jika anda mahu, atas risiko sendiri!

Soalan 17: Bolehkah mancis bernyala dengan kentut?

Menyalakan sebatang mancis dengan kentut adalah mustahil dan tidak praktikal, kerana unsur-unsur di dalam kentut itu sendiri tidak menepati syarat untuk memulakan nyalaan api. Nak nyalakan api, memerlukan tiga komponen iaitu bahan bakar, oksigen dan suhu yang optima (tinggi). Kentut itu adalah bahan bakar, oksigen ada di dalam udara, tetapi suhu kentut itu tidak cukup panas!

Soalan 18: Mengapakah kentut anjing dan kucing lebih busuk?

Anjing dan kucing adalah haiwan karnivor iaitu pemakan daging, dan daging kaya dengan protein. Protein jika diuraikan mengandungi unsur sulfida yang menjadi punca bau busuk pada kentut. Jika anda lihat haiwan herbivor (makan tumbuhan) seperti lembu, haiwan ini kentut lebih lama, tetapi tidak berbau!

Soalan 19: Bolehkah sakit kepala kalau kerap terhidu bau kentut?

Kentut mengandungi sedikit unsur oksigen, jadi ada kemungkinan anda akan berasa pening dan loya jika kerap mencium bau kentut, tetapi tidaklah sampai membawa kepada risiko kematian atau keracunan.

Soalan 20: Apakah kentut itu berwarna?

Kentut merupakan sejenis gas yang tidak berwarna. Bayangkan jika kentut itu berwarna, maka tiada siapa yang dapat menyorok jika dia kentut, kerana jelas kelihatan! Ada hikmahnya kan?

Soalan 21: Adakah kentut itu berasid atau beralkali?

Kentut memiliki unsur hidrogen sulfida (H2S) dan karbon dioksida (CO2), maka kentut adalah berasid!

Soalan 22: Apakah yang akan terjadi jika seseorang itu kentut di planet Venus?

OK, ini macam soalan bodoh dan tak ada kena mengena, tapi biar saya jawab. Planet Venus mempunyai unsur sulfida yang banyak di atmosferanya, jadi kentut di sana tidak akan menyebabkan apa-apa kesan letupan mahupun tindak balas berantai.

Soalan 23: Err, ada fakta lagi tentang kentut?

Yup, fakta terakhir: Kentut boleh membantu mengurangkan berat badan! Jadi sesiapa yang rasa dirinya perlu diet dan mahu menurunkan berat badan disarankan kentut dengan kerap dan banyaknya. ;-)

This entry was posted in Bahasa Melayu, Lifestyle & Social and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to Soal Jawab Kentut

  1. siti sarah says:

    hahahaha…..lawak sungguh blog awak nie. Terbahak-bahak saya ketawa sampai terkentut-kentut.

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s