Mengenalpasti SMS Asli Dan Palsu


Perkhidmatan SMS adalah salah satu cara penyampaian maklumat yang pantas, ringkas dan murah.

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan kita untuk menggunakan perkhidmatan SMS dalam urusan seharian. SMS yang kita terima saban hari mungkin dari kenalan kita, rakan sekerja, operator rangkaian dan juga penyedia perkhidmatan luar (3rd party). Namun yang menjadi isu, kita sering dihujani dengan SMS berbentuk ‘spam’ dan pihak yang tidak bertanggungjawab ini sudah pandai menyamar dan meniru cara dan gaya SMS operator rangkaian sehingga ada yang terpedaya. Pengguna yang malang ini menyangka SMS yang diterima adalah benar-benar dari operator rangkaian dan apabila mereka mengikut arahan yang dikerahkan, mereka akan dicaj dengan harga yang tinggi dan berterusan.

Saya pernah mengupas isu ini dalam post saya yang terdahulu Berhati-Hati Dengan 63660 namun masih ramai yang keliru dan terpedaya dengan SMS yang tidak bertanggungjawab ini. Maka, saya ingin berkongsi dengan anda sekali lagi, cara untuk mengenalpasti SMS ‘asli’ dan ‘palsu’ dan saya sertakan sekali ‘screenshot’ daripada telefon bimbit saya sebagai contoh dan panduan untuk anda semua. Diharap dengan penerangan dan contoh bergambar ini akan membantu anda mengenalpasti dan mengelak daripada menjadi mangsa syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini.

SMS Asli Dan Tulen

Sebagai pelanggan, sudah pasti kadang-kadang kita akan menerima SMS daripada operator rangkaian kita. SMS ni terdiri daripada pelbagai jenis, ada SMS pemberitahuan, notis dan dalam kebanyakan kes, SMS yang diterima adalah berbentuk promosi dan tawaran terkini. Contoh SMS asli yang dihantar oleh operator rangkaian adalah seperti di bawah ini,

Contoh SMS asli yang dihantar oleh Celcom kepada para pelanggannya

Screenshot di atas merupakan contoh-contoh SMS asli yang dihantar oleh Celcom Axiata Berhad (Celcom) kepada para pelanggannya. Berikut adalah contoh-contoh SMS asli yang dihantar oleh Maxis Communication Berhad (Maxis) kepada para pelanggannya,

Contoh SMS asli yang dihantar oleh Maxis kepada para pelanggannya

Melihat kepada kedua-dua contoh yang saya paparkan ini, dapatkah anda mengenalpasti ciri-ciri serupa yang digunakan oleh kedua-dua operator ini dalam menghantar SMS kepada para pelanggannya?

Ciri-ciri utama bahawa sesebuah SMS itu adalah benar-benar berasal daripada operator rangkaian adalah seperti berikut,

PERTAMA: Lihat pada nama pengirim (sender) tersebut. Jika pengirim SMS tersebut adalah dari operator rangkaian, nama operator rangkaian itu akan terpapar. Nama-nama tersebut mungkin bervariasi tetapi pokok pangkalnya nama operator rangkaian itu jelas kelihatan. Melihat kembali kepada contoh-contoh di atas, nama pengirim yang digunakan adalah seperti CELCOM, CelcomOffer, Maxis, HotlinkGift dan seumpamanya.

Jika anda menerima SMS yang pengirimnya adalah ‘nombor’ dan bukan nama operator rangkaian, terdapat cara untuk mengenalpasti keaslian SMS tersebut. Lihat nombor pengirimnya. SMS daripada operator rangkaian lazimnya akan bermula dari 1xxxx atau 2xxxx dan variasi-variasi seumpamanya. Jika nombor tersebut bermula dari 3xxxx atau 6xxxx, kemungkinan besar SMS itu bukan daripada operator rangkaian (terdapat exception, contohnya perkhidmatan Friend Finder dari Maxis menggunakan nombor 32001). Jika anda masih kurang pasti, lihat pada langkah seterusnya,

KEDUA: Anda juga boleh mengenalpasti SMS ‘asli’ dengan melihat gaya bahasa dan susunan ayat yang digunakan, serta isi kandungan SMS tersebut. SMS daripada operator rangkaian lazimnya ringkas dan pada masa yang sama tidak mengabaikan struktur bahasa yang digunakan. Isi kandungannya pula adalah diterangkan secara jelas dan padat dan kebiasaannya apabila dibaca tidak menimbulkan sebarang kepelikan atau tanda tanya. Lihat kembali contoh-contoh di atas, struktur dan gaya bahasanya adalah jelas dan nyata.

Bagaimana pula untuk mengenalpasti SMS yang bersifat ‘spam’ dan bukan daripada operator rangkaian? Teruskan bacaan anda…

SMS Palsu Dan Meragukan

Dahulunya penyedia perkhidmatan luar (3rd party) amat beretika dan apabila menghantar SMS promosi sering menyatakan dengan jelas syarat dan terma apabila melanggan sesuatu servis tersebut. Apabila telefon bimbit masa kini sudah mampu mengakses internet dan para pengguna boleh mendapatkan kandungan (content) daripada internet atau di ‘side-load’ daripada PC/laptop, penyedia perkhidmatan luar ini menghadapi saingan sengit dan sudah tidak ramai lagi yang memuat turun kandungan daripada mereka. Untuk mengatasi masalah ini, kebanyakan daripada mereka masih menggunakan SMS sebagai platform promosi, TETAPI mengubah taktik SMS mereka.

SMS dari pihak ini ditulis dan direka sedemikian rupa sehingga kelihatan seperti benar-benar datang daripada operator rangkaian. Lihat contoh di bawah,

Contoh SMS pihak ketiga yang ingin memancing pengguna.

Lihat contoh SMS di atas, apakah ciri-ciri yang serupa dalam ketiga-tiga SMS di atas? Jika anda baca dan amati dengan teliti, anda akan mendapati bahawa SMS dari pihak ketiga adalah,

PERTAMA: Nombor pengirimnya (sender) adalah terdiri daripada 6xxxx atau dalam sesetengah kes 3xxxx. Untuk pengetahuan anda, nombor 3xxxx telah pun ditetapkan sebagai nombor akses SMS untuk kandungan pihak ketiga dan bukan secara terus daripada operator rangkaian. Nombor 6xxxx saya kurang pasti, tetapi hampir semua SMS yang diterima daripada 6xxxx adalah promosi atau iklan daripada pihak ketiga. Maka, jika anda menerima SMS daripada nombor 6xxxx atau 3xxxx, sila berhati-hati dan baca betul-betul.

KEDUA: Gaya bahasa dan struktur ayat yang digunakan adalah tidak kemas dan kadangkala ‘berterabur’. Terdapat pencampuran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Lazimnya perkataan yang sering digunakan oleh penyedia perkhidmatan ini adalah seperti ‘Daftar free’, ‘Tanpa caj daftar’, ‘free mobile SMS content’, dan lain-lain. Perhatikan, mereka menekankan perkataan ‘free’ atau ‘bonus’ dalam SMS tersebut sebagai umpan menarik perhatian pembaca dan mencanangkan pendaftaran percuma. Anda ada terasa sesuatu yang tidak kena?

Ingat, dalam kebanyakan kes, ya, pendaftaran adalah percuma dan tidak akan sekali-kali dicaj! Anda akan dicaj apabila bersetuju dan menerima servis yang dinyatakan. Maka, ayat pendaftaran percuma itu hanyalah semata-mata umpan dan jika anda mendaftar, mereka mengganggap anda BERSETUJU melanggan perkhidmatan mereka dan akan dicaj dengan harga premium untuk servis yang sendiri tidak pasti! Nampak taktik mereka?

Ada juga pihak yang lebih keji, ‘menyamar’ sebagai operator rangkaian. Lihat screenshot di bawah,

SMS yang akan memerangkap mereka yang tidak berhati-hati.

Pengguna yang tidak tahu apa-apa, mungkin akan menyangka SMS di atas adalah benar-benar daripada operator rangkaian mereka dan terus mengikut arahan yang diberikan. Ouch, mereka telah tertipu! Tetapan GPRS (data) adalah automatik dan kekal sama, tiada expired date. Yang agak melucukan, ada pengguna yang menggunakan telefon bimbit basic tanpa fungsi data turut menerima SMS seperti di atas.

KETIGA: SMS daripada pihak ketiga lazimnya akan mengarahkan anda untuk menghantar ‘command’ atau kod arahan tertentu untuk mendaftar/melanggan servis yang dinyatakan. Pola yang sering digunakan adalah ‘ON <NAMA SERVIS>’ atau seumpamanya. Kebanyakan operator rangkaian pula telah beralih kepada penggunaan USSD (*<nombor servis># contohnya *118#, *100#> untuk mengurangkan kesan penipuan daripada pihak ketiga ini.

KEEMPAT: Kod arahan yang diberikan perlu dihantar ke nombor 3xxxx. Sekarang anda sudah maklum akan asal usul nombor 3xxxx bukan? Jika mereka meminta anda menghantar kod arahan ke nombor sebegini, sila berhati-hati!

KELIMA: Dalam SMS tersebut akan disertakan juga nombor syarikat penyedia perkhidmatan tersebut, sebagai ‘panduan’ kepada pengguna jika ada sebarang pertanyaan berkenaan servis yang dinyatakan. Nombor telefon ini juga ada yang betul-betul berfungsi, ada juga yang sekadar nombor tetapi tiada servis (palsu?). Ada juga SMS yang turut menyertakan arahan untuk berhenti melanggan/mendaftar, tetapi amat-amat jarang.

KEENAM: Servis yang ‘ditawarkan’ kelihatan janggal dan tidak pernah diberitakan oleh operator rangkaian anda secara rasmi. Contoh servis yang ditawarkan adalah keputusan 4 nombor ekor, MMS perempuan seksi, video ‘panas’ dan lain-lain servis yang cenderung kepada perkara negatif seperti seks.

OK, sekarang anda telah pun tahu dengan jelas ciri-ciri SMS palsu dan meragukan. Tetapi, jika anda telah pun melanggan secara tidak sengaja, apa yang perlu anda buat? Teruskan bacaan…

Jika Anda Telah ‘Terlanggan’…

Mungkin pada ketika itu anda kurang pasti atau tiada ilmu untuk membezakan SMS asli dan palsu, dan anda telah mendaftar/melanggan (terlanggan?) servis-servis bodoh ini dan memakan kredit/bil telefon anda. Bagaimana untuk keluar dari kemelut ini? Ikuti langkah-langkah di bawah ini,

PERTAMA: Hantar arahan batal servis kepada nombor yang sama anda gunakan untuk mendaftar. Contohnya, jika anda menghantar ‘ON SEKSI’ ke nombor 30000, maka untuk membatalkan servis, hantar ‘OFF SEKSI’ atau ‘STOP SEKSI’ ke nombor yang sama (30000). Langganan anda akan dibatalkan apabila menerima SMS pengesahan daripada pihak yang berkenaan.

Sebaliknya, jika arahan ‘OFF’ atau ‘STOP’ tidak mendatangkan sebarang kesan (tiada respon) atau anda terlupa nama servis yang anda langgan, cuba ‘STOP ALL’ dan tunggu respon dari pihak yang berkenaan. Dalam kebanyakan kes, arahan ‘STOP ALL’ ini adalah berkesan. Jika cara ini juga tidak memberi sebarang kesan, maka langkah seterusnya adalah perlu.

KEDUA: Buat panggilan kepada operator rangkaian anda dan maklumkan kepada mereka masalah yang anda hadapi. Operator rangkaian anda boleh membantu mengenalpasti servis-servis yang anda langgan secara tidak sengaja dan memberi panduan bagaimana untuk membatalkannya. Panggilan hendaklah dibuat kepada Khidmat Pelanggan operator rangkaian masing-masing.

Kesimpulan

Ramai yang beranggapan bahawa operator rangkaian mempunyai kemampuan untuk menghalang (block) nombor-nombor penyedia perkhidmatan luar ini. Kemampuan untuk menghalang sememangnya ada, tetapi operator tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sesuatu nombor itu melainkan mendapat arahan bertulis atau arahan langsung daripada pihak berkuasa (polis, kerajaan dan lain-lain). Tambahan pula, ada pengguna lain yang mungkin menggunakan servis tersebut dan tindakan menghalang nombor yang berkenaan akan menyebabkan pengguna-pengguna ini tidak dapat menggunakan servis tersebut.

Kesimpulannya, para pengguna seharusnya menyiasat dan membaca dengan teliti apa jua SMS yang diterima daripada pihak ketiga. Jika anda kurang pasti akan kandungan SMS tersebut atau kandungannya agak meragukan, abaikan sahaja dan jika mampu simpan SMS tersebut sebagai bukti seandainya wujud sebarang masalah di masa depan.

This entry was posted in Bahasa Melayu, Mobile Devices & Apps. and tagged . Bookmark the permalink.

2 Responses to Mengenalpasti SMS Asli Dan Palsu

  1. viviyan says:

    camna mahu buang number kita mesej di digi ocs ?

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s