Soal Jawab : Puasa Di Bulan Ramadhan


Puasa bukan setakat menahan makan dan minum!

Soalan PAFA (Perkara Asas Fardhu Ain)! Rukun Islam ada berapa perkara? Senaraikan di bawah ini. Jika anda seorang lepasan universiti ataupun sudah berkahwin, seharusnya anda tidak boleh lupa!

PERTAMA: Mengucap ____________.

KEDUA: Solat ____________ sehari semalam.

KETIGA: Berpuasa ____________.

KEEMPAT: Membayar ____________.

KELIMA: Menunaikan ____________ di Mekah jika berkemampuan.

Imbas kembali Rukun Islam yang anda semua pelajari dan ingati, dan anda sedia maklum salah satu daripada rukun tersebut adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa juga bukanlah merupakan perkara yang asing bagi kita, hatta kanak-kanak kecil pun sudah sedia maklum konsep asas puasa itu sendiri. Di negara kita Malaysia, apabila menjelangnya bulan Ramadhan, hampir seluruh negara bertukar kepada aura ‘Islamik’ dengan kita masing-masing bersemangat untuk mengerjakan amal ibadat dan membuat perkara-perkara kebaikan. Alangkah indahnya!

Di bawah ini saya ringkaskan soalan-soalan lazim (FAQ?) berkaitan puasa dan amalannya. Jawapan-jawapan bagi setiap soalan di bawah dipetik dan diolah daripada buku ‘Tazkirah Ramadhan’ tulisan Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor.

Apakah Itu Puasa?

Jika ditanya kepada seorang kanak-kanak, mereka akan menjawab puasa itu merupakan lapar dan dahaga kerana tidak boleh makan dan minum. Menurut Kamus Dewan pula, puasa ditakrifkan sebagai perbuatan menahan diri daripada makan dan minum dengan sengaja untuk sesuatu maksud yang tertentu.

Apa Pula Puasa Menurut Islam?

Menurut syarak, puasa itu bermaksud meninggalkan makan, minum dan segala perkara-perkara yang boleh membatal dan merosakkan puasa daripada terbit fajar (waktu subuh) sehinggalah terbenam matahari (waktu maghrib). Dari aspek kerohanian, amalan puasa sebenarnya bertujuan untuk mendidik manusia supaya bersabar dan patuh pada peraturan, selain meningkatkan keimanan dan takwa dalam diri.

Seruan Kewajipan Berpuasa Di Dalam Al-Quran?

Lihat petikan ayat-ayat Al-Quran di bawah ini, yang menerangkan dengan jelas dan nyata berkenaan kewajipan berpuasa;

[Al-Baqarah – 183]
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

[Al-Baqarah – 184]
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

[Al-Baqarah – 185]
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, sudah jelas dan nyata puasa itu diwajibkan bagi setiap muslim pada bulan Ramadhan, jika syarat-syaratnya dipenuhi dan tiada uzur syarie.

Siapakah Yang Diwajibkan Berpuasa?

Secara logik, sesiapa juga boleh berpuasa jika dia mampu menahan makan dan minum tanpa memudaratkan diri. Tetapi Islam telah mengadakan garis panduan berkenaan individu-individu yang diwajibkan berpuasa. Garis panduan ini dinamakan Syarat-Syarat Wajib Puasa, yang kita semua pernah belajar di sekolah dahulu. Syarat-syaratnya adalah;

PERTAMA: Beragama Islam. Ini adalah logik, kerana kewajipan puasa hanyalah kepada orang Islam (lihat ayat-ayat Quran sebelum ini). Orang bukan Islam tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan sehinggalah dia memeluk Islam.

KEDUA: Cukup umur, atau dalam bahasa lazimnya, baligh. Takrifan baligh saya rasa anda semua telah sedia maklum. Ini bermaksud kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, TETAPI mereka digalakkan dilatih berpuasa agar tidak ‘terkejut’ apabila mereka telah cukup umur untuk berpuasa.

KETIGA: Berakal. OK, manusia mempunyai otak, tetapi tidak semestinya berakal. Berakal dalam konteks ini bermaksud individu tersebut boleh berfikir dan faham mengapa dia berpuasa dan melakukan sesuatu. Dalam erti kata yang lain, dia boleh berfikir dan tidak gila/hilang akal. Orang yang gila dan seumpamanya tidak diwajibkan berpuasa.

KEEMPAT: Berdaya dan mampu. Individu yang uzur dan sakit dan merasa tidak mampu untuk berpuasa tidak diwajibkan, TETAPI mereka perlu menggantikan puasa mereka apabila sihat dan sudah mempunyai daya upaya, atau membayar fidyah, mengikut keadaan.

KELIMA: Bermukim, atau bahasa mudahnya tinggal tetap di sesuatu tempat/negeri. Individu yang bermusafir tidak diwajibkan untuk berpuasa, tetapi tidak menjadi masalah jika dia mahu berpuasa malah amat digalakkan.

Itulah syarat-syarat yang mewajibkan puasa. Jika diri anda memiliki lima ciri-ciri di atas, bermaksud anda wajib berpuasa. OK, anda tahu anda wajib berpuasa, tetapi apakah yang menyebabkan puasa kita sah? Teruskan bacaan.

Apakah Syarat Sah Puasa?

Puasa yang dilakukan tanpa mengikut syarat-syarat yang tertentu akan menjadi tidak sah sekaligus sia-sia sahaja. Anda sudah pasti mahu puasa anda sah dan mengikut syarat-syaratnya bukan? OK, berikut adalah syarat-syarat sah puasa;

PERTAMA: Beragama Islam. Sepertimana dalam syarat wajib puasa, individu tersebut haruslah seorang Islam yang diwajibkan berpuasa dan seterusnya membolehkan puasa mereka menjadi sah. Individu bukan Islam kita sudah maklum tidak diwajibkan berpuasa, maka jika mereka tetap berpuasa, puasa itu tidak sah dan bukan satu ibadat.

KEDUA: Berakal. Saya sudah terangkan maksud berakal ini dalam syarat wajib puasa di atas. Sama juga maksudnya. Maka orang yang gila apabila berpuasa tidak sah puasanya kerana mereka tidak tahu dan faham bahawa mereka sedang berpuasa.

KETIGA: Mumayyiz, iaitu kanak-kanak yang tahu dan faham dalam membezakan baik dan buruk. Kanak-kanak ini tidak diwajibkan untuk berpuasa, tetapi jika mereka berpuasa, puasa itu dikira sah dan mendapat pahala. Maka Islam sebenarnya menganjurkan kanak-kanak dilatih berpuasa apabila mencapai umur mumayyiz.

KEEMPAT: Suci daripada haid dan nifas. Syarat ini adalah khusus untuk kaum wanita. Wanita yang dalam haid atau nifas tidak sah puasanya kerana tidak cukup keahlian dalam beribadat sepanjang tempoh tersebut.

Terdapat satu salah faham berkenaan syarat ini. Ada pihak yang berpendapat bahawa individu yang dalam hadas besar (bukan haid/nifas) tidak boleh berpuasa. Persepsi ini timbul kerana kekeliruan berkenaan hal melakukan hubungan seks dengan suami/isteri pada malam Ramadhan dan pasangan itu belum mandi wajib dan mahu berpuasa pada keesokkannya. Sebenarnya pasangan itu boleh berpuasa seperti biasa kerana berhadas besar akibat bersetubuh bukanlah perkara yang membatalkan sah puasa tersebut. Cuma digalakkan pasangan tersebut mandi wajib sebelum subuh atau sahur supaya mereka suci dan boleh melakukan ibadat yang lain seperti solat.

KELIMA: Bukan hari yang dilarang berpuasa. Syarat ini tidak begitu relevan dengan bulan Ramadhan, tetapi untuk pengetahuan para pembaca, terdapat hari-hari tertentu di mana kita dilarang untuk berpuasa, antaranya adalah pada Hari Raya Aidilfitri Pertama (1 Syawal) dan juga pada Hari Raya Haji (10 Zulhijjah).

Setakat ini, anda sudah tahu berkenaan syarat-syarat wajib dan sah puasa. Anda pun mulalah berpuasa, tetapi semasa berpuasa, jika anda melakukan perkara-perkara tertentu, puasa anda boleh menjadi batal. Apakah perkara itu? Teruskan bacaan.

Perkara Yang Membatalkan Puasa?

Jangan ingat jaringan bola sepak sahaja yang boleh dibatalkan, puasa anda juga boleh terbatal (disqualified?) apabila melakukan salah satu atau kombinasi daripada perkara dan perbuatan yang berikut;

PERTAMA: Memasukkan sesuatu dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Apa itu rongga? Rongga adalah bahagian yang berlubang atau beruang. Tubuh anda sebenarnya memiliki beberapa rongga, antaranya rongga hidung, mulut, telinga dan juga ‘di bawah sana’. Maka, perbuatan yang memasukkan benda ke dalam rongga seperti makan, minum, merokok dan lain-lain akan membatalkan puasa anda.

KEDUA: Muntah dengan sengaja. Jika anda sengaja muntah, puasa anda secara automatik akan batal. Muntah secara tidak sengaja (seperti loya melihat darah dan lain-lain) tidak membatalkan. Lagipun, siapa yang mahu sengaja muntah?

KETIGA: Mengeluarkan air mani dengan sengaja. Jika anda sedang berpuasa dan anda sengaja merangsang diri anda mencapai klimaks/orgasm sehingga keluar ‘air kepuasan’, puasa anda terbatal. Perbuatan merangsang diri itu adalah seperti masturbasi (melancap) dan menonton video lucah termasuk yang bertaraf 3gp. Harus diingatkan jika anda klimaks secara tidak sengaja, seperti mimpi basah semasa sedang berpuasa, tidak akan membatalkan puasa.

KEEMPAT: Bersetubuh di siang hari. Tidak kiralah anda melakukannya secara halal (dengan suami/isteri) atau secara haram (faham-faham sendiri), puasa anda akan batal sekiranya anda ‘bersatu’. Malah, anda perlu membayar kaffarah! Sabar yer cik abang dan cik adik yang dah kahwin, malam nanti nak buat berapa round dan berapa lama pun tak ada masalah. Saya faham keinginan anda. :-)

KELIMA: Datang haid dan nifas. Ini khusus untuk kaum wanita. Jika anda sedang berpuasa dan tiba-tiba kedatangan haid, atau bersalin, puasa anda terbatal dengan sendirinya. Puasa tersebut hendaklah diganti apabila anda suci dan di luar bulan Ramadhan.

KEENAM: Pitam atau gila. Katakan anda sedang berpuasa dan tiba-tiba anda pitam (pengsan) atas sebab-sebab tertentu (lazimnya berkaitan kesihatan), puasa anda adalah terbatal. Puasa anda juga terbatal sekiranya anda secara tiba-tiba menjadi gila kerana sebab-sebab tertentu yang mungkin payah dihuraikan di sini.

KETUJUH: Mabuk sepanjang hari. Ini sebenarnya berkait rapat dengan konsep hilang akal yang disebutkan sebelum ini. Jika anda mabuk teruk, anda tentunya tidak dapat berfikir dengan waras dan puasa anda menjadi tidak sah, sekaligus terbatal.

KELAPAN: Murtad. Individu yang mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam ketika berpuasa maka batallah puasanya kerana dirinya bukan lagi seorang Islam yang diwajibkan berpuasa.

Bagaimana sekarang? Sudah jelas berkenaan maksud puasa, syarat wajib, syarat sah dan perkara yang membatalkan puasa? Alhamdulillah. Jika anda masih kurang jelas, baca kembali dengan perlahan dan fahami satu persatu isi yang ditulis di atas.

Niat Puasa?

Adakah orang berpuasa tanpa niat? OK, apabila anda berkeinginan hendak berpuasa esok hari, maka anda sebenarnya telah memasang niat. Tetapi untuk menetapkan niat tersebut menjadi lebih jelas dan mantap, maka digalakkan melafazkan niat puasa seperti di bawah ini;

Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

Waktu membaca niat ini adalah berbeza mengikut individu. Ada yang membacanya sebelum sahur, ada yang membacanya selepas selesai solat Tarawih & Witir. Tetapi pendapat peribadi saya adalah lebih elok jika niat tersebut dibaca seelok-eloknya sebelum tidur, kerana kita telah menetapkan diri kita untuk berpuasa esok hari sebelum tidur dan andainya kita ‘terbabas’ bersahur, kita sudah berniat puasa dan dalam keadaan berpuasa.

This entry was posted in Bahasa Melayu, Lifestyle & Social and tagged , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Soal Jawab : Puasa Di Bulan Ramadhan

  1. jaidi says:

    soalan…adakah terbatal puasa kita bila kita musafir atau balik kg dr pagi sampai petang dlm perjalanan…?

    Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s