Berdua, dan tiada duaNya


Setiap perkara itu ada PASANGANnya

Fikirkan sejenak, lihat di sekeliling anda. Pernahkah anda terfikir kenapa setiap benda itu dijadikan berpasangan? Kereta tidak mungkin dapat bergerak jika tiada sumber tenaga. Manusia tidak akan lahir tanpa ‘penyatuan’ seorang lelaki dan perempuan. Kejahatan akan berlaku tanpa dikawal jika tiada kebaikan. Saya hampir pasti, setiap perkara dan benda yang berada di dunia ini dijadikan ada ‘pasangannya’.

Pasangan di sini, bukanlah semata-mata merujuk pada nilai atau fizikal sesebuah objek itu. Ada lelaki, ada perempuan. Ada siang, ada malam. Ada hidup, adalah mati. Ini semua merupakan perkara-perkara yang kita nampak menggunakan mata kasar kita. Sebenarnya, perkara-perkara yang tidak nampak dengan mata kasar juga ada ‘pasangannya’. Ada syurga, ada neraka. Ada sebab, ada akibatnya. Anda buat, anda tanggung. Anda pergi, anda tentu akan sampai.

Saya bukanlah mahu berfalsafah, jauh sekali untuk memberi tazkirah kepada para pembaca yang saya hormati. Cuma sedetik di hati ini tercetus untuk memikirkan perkara ini, yang bagi saya amatlah unik dan menunjukkan kebijaksanaan Pencipta Agung, iaitu Allah s.w.t. Ingat, hanya Allah s.w.t. yang tiada dua, satu dan kekal satu. Surah Al-Ikhlas menegaskan perkara ini,

[1] Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa
[2] Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.
[3] Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4] Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Ciri-ciri atau attribut yang tunggal, yang Esa hanyalah milik Allah s.w.t. Kita sebagai makhluk tertakluk kepada ketetapan ‘pasangan’. Al-Quran, walaupun ia kitab yang tunggal yang tiada duanya, tetapi tidak boleh ditafsir sendiri tanpa dipasangkan dengan Hadis Rasullullah s.a.w. Negara yang mempunyai rakyat haruslah mempunyai pemimpin sebagai pasangan. Bayangkan negara/rakyat tanpa pemimpin, dan pemimpin tanpa rakyat/penyokong. Bolehkah ia berdiri dengan sendiri?

Berpasangan, merupakan perancangan Yang Maha Bijaksana. Pasangan memberikan keseimbangan. Pasangan memberikan ketenangan. Pasangan melengkapkan satu-satu sistem itu. Jika objek atau sesuatu perkara itu cuba berdiri sendiri, nescaya akan kucar-kacirlah jadinya. Baca sahaja sejarah, bagaimana percubaan insan bernama manusia yang cuba mencipta sistem pemerintahan secara mutlak (tunggal) menjadi tidak stabil dan akhirnya gagal. Lihat komunisme/sosialisme, monarki raja berkuasa mutlak tanpa perundingan, di manakah mereka sekarang? Allah sudah menegaskan di dalam Al-Quran dalam Surah Yaasin ayat ke 36;

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.”

Kajian saintifik juga telah mengesahkan bahawa apa jua material dan kejadian di dunia ini pada hakikatnya ‘berpasangan’. Ini adalah hukum Allah, kita sebagai makhluk yang tertakluk di bawahNya seharusnya sedar dan faham hikmah ditekankan konsep pasangan ini. Lihat sahaja diri kita sebagai seorang manusia, jika anda masih bujang seperti saya, semestinya anda akan merasakan diri anda ada semacam ‘kekosongan’ bukan? Jika anda telah berumahtangga, apa anda rasa jika pasangan anda tiada di sisi?

Walau apa jua jawapan anda, hakikatnya ini adalah fitrah, satu sunnatullah. Ada puasa, ada Hari Raya. Insya Allah, jika kita sama-sama memikirkan perihal ini, Insya Allah anda akan merasa satu kekaguman, dan merasakan anda begitu kerdil dalam membuat perancangan berbanding Allah s.w.t. yang begitu hebat perancangannya.

Fikirkan: Anda bertemu dan berpisah dengan ramai orang di dalam hidup anda. Setiap insan yang hadir di dalam hidup anda itu ada tujuannya, dan jika insan itu menyakiti hati anda, bersabarlah. Ada hikmahnya kenapa anda bertemu dengan insan tersebut.

Wallahualam. Sekadar satu perkongsian di akhir minggu Ramadhan ini. :-)

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s