Pejuang Atau Pengkhianat?


Sejarah perlu dibaca dan ditafsir dengan ikhlas, tanpa berpihak kepada sesiapa.

Baru-baru ini negara sedikit kecoh apabila digemparkan dengan berita seorang ahli politik dikatakan mengiktiraf perjuangan seorang tokoh berhaluan kiri sebagai pejuang kemerdekaan. Di saat negara kita di dalam suasana kemerdekaan dan Hari Raya, tindakan ahli politik tersebut mendatangkan reaksi yang agak panas. Semua lapisan masyarakat tidak kira ahli akademik, pejuang veteran dan masyarakat umum memberi komentar dan pandangan yang bersifat menentang, malah melabelkan ahli politik tersebut sebagai buta sejarah dan tidak pergi sekolah.

Saya merujuk kepada isu Mat Indera yang merupakan salah satu anggota Parti Komunis Malaya di zaman pra-kemerdekaan. Ahli politik tersebut memberikan hujah bahawa Mat Indera merupakan pejuang kerana memberi tentangan kepada pentadbiran British, walaupun menyerang anggota polis berbangsa Melayu dan keluarga mereka. Rasionalnya, hujah yang diberikan oleh ahli politik tersebut seolah-olah menggambarkan beliau menyokong PKM sebagai satu entiti yang turut berjuang menuntut kemerdekaan. Adakah berasas?

Timbulnya minat saya untuk memberi komen terhadap isu ini selepas seorang rakan memberi pautan (link) ke satu blog berkenaan apa yang dikatakan ketokohan Mat Indera yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Johor. Penulis blog tersebut, yang menggunakan nama ‘Ugly Wife’ mengemukakan bukti bahawa Kerajaan Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai salah seorang anak Johor yang berjasa, berdasarkan buku biografi ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor. Saya jemput anda untuk baca sendiri entri tersebut di sini dan fikirkan.

Pendapat Saya

Selepas membaca sehingga habis entri yang ditulis oleh Ugly Wife dan membaca teks sejarah Bukit Kepong sendiri dari pelbagai sumber, sebenarnya agak rumit untuk merumuskan adakah boleh diterima premis yang menyatakan Mat Indera merupakan salah satu pejuang kemerdekaan atau pengganas. Dari satu sudut, memang boleh dilihat dengan jelas bahawa Mat Indera menentang pentadbiran British, tetapi dengan menyerang rakan sebangsanya, adakah justifikasi ‘menentang’ ini boleh diterima?

Sebelum saya huraikan dengan lebih lanjut, mari saya berikan beberapa intipati (point) yang menarik berkenaan peristiwa Bukit Kepong. Saya minta anda baca dengan teliti;

PERTAMA: Peristiwa Bukit Kepong berlaku pada 23 Februari 1950. Lihat tarikh tersebut betul-betul dan ingat.

KEDUA: Mat Indera, yang dikatakan dalang serangan, merupakan seorang guru agama dan pernah berguru dengan beberapa tokoh ternama termasuklah ayah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin. Beliau juga pernah mendapat anugerah ‘Butang Perak’ daripada kerajaan Johor.

KETIGA: Mat Indera berminat untuk sama-sama memperjuangkan kemerdekaan, dengan menyertai Angkatan Pemuda Insaf (API), yang merupakan satu gerakan yang dikatakan berhaluan kiri oleh pentadbiran British.

KEEMPAT: Parti Komunis Malaya (PKM) bermula sebagai satu entiti bergelar MPAJA yang berjuang menentang penjajahan Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan keluar dari Tanah Melayu, kumpulan MPAJA ini mula mendapat ilham dan keinginan untuk menguasai Tanah Melayu dengan cadangan menerapkan ideologi komunis sebagai teras.

Daripada intipati di atas, beberapa hipotesis boleh dibuat, iaitu;

PERTAMA: Serangan Bukit Kepong dilakukan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, iaitu ketika negara masih dalam pentadbiran British (tahun 1950). Maka apa jua penentangan sama ada bersenjata ataupun tidak kepada anggota pentadbiran termasuk anggota keselamatan adalah bermaksud menentang kerajaan British.

Perkara ini amat penting, kerana terdapat segelintir pihak mendakwa pihak komunis menentang kerajaan yang dipilih rakyat. Fakta ini kurang tepat, kerana pentadbiran pada ketika itu adalah di bawah British. Anak tempatan yang bekerja dengan kerajaan pada ketika itu (sebelum merdeka), secara ‘teknikalnya’ adalah pegawai kerajaan British. Jika kita bekerja dengan kerajaan yang berkuasa ketika itu, maka kita adalah pegawai kepada kerajaan tersebut.

Contoh mudah, jika anda merupakan seorang pegawai kerajaan Selangor, anda merupakan pegawai kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Ingat, seorang pegawai kerajaan (secara teori) perlu neutral dan tidak mencampur aduk urusan politik dengan pentadbiran.

Maka, secara teknikal, hujah ahli politik tersebut bahawa Mat Indera dan kumpulannya (komunis) menyerang pegawai pentadbiran British adalah ‘hampir tepat’.

KEDUA: Dikatakan bahawa Mat Indera ‘terpaksa’ menyertai Komunis kerana pertubuhan yang disertainya (Angkatan Pemuda Insaf, API) telah diharamkan oleh British. Apabila undang-undang darurat dikuatkuasakan pada 1948, semua parti politik berhaluan kiri telah diharamkan dan pemimpin-pemimpin mereka diburu oleh British. Mat Indera, sebagai salah seorang pemimpin kumpulan berhaluan kiri, melihat hanya komunis yang bersungguh-sungguh menentang British,

…Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera… (petikan entri blog Ugly Wife)

 Mat Indera (dikatakan) tidak mempunyai pilihan, selain menyertai pasukan Komunis yang merupakan kumpulan berhaluan kiri yang bersenjata. Seperkara yang menarik di sini, mengapa Mat Indera tidak menyertai UMNO yang turut memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu? Jawapannya (pada pendapat saya) kerana mungkin beliau melihat UMNO terlalu berlembut dengan British dan ada di kalangan ahli masyarakat pada ketika itu terutamanya golongan muda lebih menyukai tindakan pantas dan agresif.

Pendek kata, pada zaman itu, ada kumpulan yang suka berdiplomasi, dan ada yang menyukai provokasi. Tambahan pula Indonesia pada ketika itu memperoleh kemerdekaan dengan cara ‘revolusi’ (agresif) dan ini membakar semangat sebilangan anak-anak muda pada ketika itu untuk mencontohi Indonesia.

KETIGA: Ada pendapat yang menyatakan bahawa Mat Indera semasa merancang serangan rumah pasung Bukit Kepong, tidak sampai ke tahap membakar dan membunuh kesemua anggota keselamatan. Tetapi anggota bawahannya bertindak di luar batasan dan menyerang secara habis-habisan,

…Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera… (petikan entri blog Ugly Wife)

Kita boleh andaikan di sini, niat sebenar Mat Indera hanya mahu memberi amaran atau menggertak pasukan keselamatan, tetapi tindakan ahli bawahannya yang bertindak di luar batasan menyebabkan operasi tersebut menjadi satu tragedi.

Kesimpulan

Daripada hipotesis yang saya tuliskan di atas, secara peribadi, saya berpendapat niat Mat Indera adalah murni, tetapi jalan yang beliau pilih mungkin kurang tepat. Penentangan bersenjata pada ketika itu adalah kurang tepat kerana British memandang kumpulan bersenjata yang menentang kerajaan sebagai ancaman besar dan pengganas.

Tindakan menyerang pasukan keselamatan di Bukit Kepong bukanlah satu tindakan yang bijak, kerana sentimen perkauman yang agak kuat pada ketika itu. Pasukan keselamatan di zaman British sebilangan besarnya terdiri daripada bangsa Melayu dan di pihak komunis, keanggotaannya secara majoriti terdiri daripada bangsa Cina. Pentadbiran British pula terdiri daripada orang asing. Integrasi yang kurang kemas serta sikap curiga yang kuat juga menjadi faktor. Malah tindakan Mat Indera menjadi ketua kumpulan yang menyerang bangsanya sendiri merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Saya juga boleh berpendapat tindakan agresif untuk memperoleh kemerdekaan juga merupakan langkah yang kurang bijak. Kumpulan berhaluan kiri (termasuk komunis) memilih jalan agresif, manakala entiti seperti UMNO mengutamakan diplomasi dan pendekatan berbaik dengan British. Mengambil kira keadaan pada ketika itu, diplomasi adalah lebih baik, walaupun kesannya agak lambat.

Kesimpulan akhir, saya setuju dengan premis Mat Indera berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu, TETAPI jalan yang beliau pilih adalah kurang tepat. Disebabkan teks sejarah yang ada sekarang ini ditulis daripada perspektif British yang menidakkan perjuangan haluan kiri, maka Mat Indera ditakrifkan sebagai seorang pengganas. Dari sudut pandangan yang lain, Mat Indera juga adalah salah seorang pejuang bangsa, sebagaimana yang dihuraikan dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’.

Politics and Racial sentiments aside, terpulang kepada anda untuk mentafsirkan sejarah. Sejarah ditulis oleh mereka yang berkuasa, dan tidak semua fakta sejarah itu tulus. Sejarah yang baik adalah apabila anda baca daripada pelbagai sumber tanpa sikap prejudis.

Sekali lagi, apa yang tertulis di dalam entri ini adalah pendapat peribadi saya, tiada unsur politik, tiada menyebelahi sesiapa. Saya menghormati keluarga anggota keselamatan Bukit Kepong yang mati mempertahankan maruah bangsa dan diri mereka. Mempertahankan maruah juga dituntut dalam Islam.

Benar atau salah, itu adalah urusan Allah untuk menentukan. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan berhenti berbalah.

Al-Fatihah kepada anggota keselamatan Bukit Kepong yang gugur, dan juga kepada Mat Indera. Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan kekhilafan mereka. Amin.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

2 Responses to Pejuang Atau Pengkhianat?

  1. Pak Andak says:

    Leh Tak Huraikan Bagaimana UMNO leh ‘pujuk’ British utk bagi kemerdekaan?Atau British Yang Pujuk UMNO sebenarnya?

    Like

    • Kalau ikutkan teks sejarah yang ada, kita sedia maklum UMNO ada pergi ke London untuk berunding dengan British. Disebutkan bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman melalui siri rundingan telah berjaya meyakinkan British untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Harus diingat pada peringkat awal, pihak British sendiri tidak yakin untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

      Like

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s