Ikan & Joran


Fikirkan: Jika diberi pilihan, anda mahu ikan atau joran?

Sudah pasti anda mahukan ikan bukan? Siapa yang mahu bersusah payah memancing ikan yang belum pasti akan mengena umpannya. Anda juga tidak mahu bersusah payah menunggu umpan dimakan ikan. Bukan anda sahaja, mungkin ramai yang akan memilih untuk diberi ikan tanpa perlu bersusah-payah memancing. Rasionalnya, adalah kurang bijak jika anda menolak diberikan ikan dan memilih untuk memancing sendiri.

Bagaimana jika satu hari nanti, ikan yang anda terima sekian kali, sudah tidak diberi lagi? Joran lah yang berguna pada ketika itu, tetapi anda tidak mempunyai pengetahuan menggunakannya.

Bajet 2012: Kisah Ikan & Joran

Mungkin anda pelik dengan cerita ikan dan joran ini. Saya bukanlah ingin bercerita tentang memancing, kerana itu bukanlah bidang saya. Cerita ikan di pasar juga bukan, kerana itu adalah kepakaran suri rumah tangga untuk menceritakannya. Ikan dan joran di sini merupakan satu analogi. Di sini saya ingin memberi komen berkenaan Bajet 2012.

Bajet 2012 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri kita baru-baru ini banyak menyentuh berkenaan insentif dan ‘durian runtuh’ yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada setiap lapisan masyarakat. Sememangnya sebagai sebuah kerajaan, kebajikan rakyat itu adalah perlu untuk memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi dan pembangunan negara dapat diteruskan. Pemberian insentif itu sendiri perlulah berimbang daripada segenap faktor dan sektor supaya tiada keciciran dan masalah di masa hadapan.

Jika anda mengikuti Bajet 2012 dengan sepenuhnya atau membaca teks pembentangan mahupun rumusan, kita dapat melihat kerajaan secara bijak mengimbangkan pemberian insentif berbentuk material dan monetari dengan pemberian berbentuk modal dan pelaburan. Insentif material dan monetari ini boleh diumpamakan sebagai ikan, iaitu boleh dilihat, disentuh dan digunakan secara terus, manakala pemberian modal dan pelaburan umpama joran, iaitu kesannya tidak tampak secara langsung dan hanya boleh dilihat pada masa-masa mendatang.

Contoh insentif berbentuk material/monetari (a.k.a. ikan) adalah seperti berikut;

* Bantuan RM500 secara ‘one-off’ untuk isi rumah berpendapatan RM3000 dan ke bawah.

* Bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 untuk para penjawat awam.

* Subsidi, insentif dan bantuan langsung (direct), juga perbelanjaan operasi (OpEx).

Contoh insentif berbentuk modal/pelaburan (a.k.a. joran) adalah seperti berikut;

* Pengecualian cukai terhadap syarikat yang menyumbang kepada institusi pendidikan dan rumah ibadat.

* Pengecualian cukai pendapatan untuk terbitan sukuk (bon Islam).

* Perbelanjaan modal (CapEx) dan pembangunan yang lain.

Keseimbangan dalam pemberian ikan dan joran adalah penting, supaya rakyat dan negara mendapat manfaatnya dan tidak berlaku masalah ketidakkukuhan dari sudut ekonomi dan pengurusan. Mengapa? Biar saya terangkan.

Situasi 01: Jika Diberikan IKAN Sahaja…

Ikan sahaja tidak cukup...

Manusia secara umumnya amat-amat suka jika sesuatu perkara itu diperolehi dengan mudah tanpa perlu melalui susah-payah dan jerih-perih. Istilahnya, disuap adalah lebih enak daripada menyuap sendiri. Tidak salah, tetapi jika tabiat ini dibiasakan, manusia akan menjadi malas dan kurang produktif, kerana dia sudah tahu dan mempunyai perspektif ‘segalanya telah disediakan’.

OK, mungkin anda bertanya, bagaimana dengan satu perkara sensitif ini, iaitu Hak Istimewa Orang Melayu?

Hak Istimewa bersifat ‘membantu’ (assistive) dan bukannya satu jaminan (e.g. suap). Ramai yang telah menyalah anggap hak istimewa ini sebagai satu yang tidak adil kerana menafikan hak pihak lain. Hak Istimewa bertujuan membantu orang Melayu untuk memasuki satu-satu sektor itu dan selepas dia berjaya, untung nasibnya bergantung pada dirinya sendiri. Jika benar Hak Istimewa itu satu jaminan yang pasti, mengapa selepas 50 tahun merdeka, kuota 30% bumiputra dalam hal ekonomi masih belum tercapai?

Berbalik kepada isu ‘ikan’, jika kerajaan memperuntukan hampir keseluruhan bajet dalam bentuk monetari dan bantuan terus, untuk jangka pendek, rakyat akan berasa seronok, disebabkan faktor psikologi yang dipanggil ‘kepuasan segera’ (instant gratification). Kelak, jika sudah seronok dengan keadaan ini, rakyat akan menjadi seperti ‘diberi betis, mahukan peha’. Jika tidak dapat, mulalah melabelkan kerajaan sebagai kejam, zalim, tidak prihatin, pentingkan tembolok kroni, dan pelbagai lagi istilah negatif.

Dan kesannya? Rakyat yang ‘syok sendiri’ ini akan mula menghasut yang lain, dan mungkin akan berlaku ketidakstabilan. Apabila ini terjadi, bukan sahaja rakyat sengsara, tetapi ekonomi dan pembangunan akan terencat. Pelabur menjadi takut dan lari, imej negara tercalar, anasir luar gembira.

“Rupa yang elok, dimanja jangan dimanja. Pujalah ia, sekadar saja…”

Jangan dimanja, kelak memakan diri. Lihat Bajet Bayangan yang ditunjukkan oleh pembangkang. Realistik kah? :-)

Situasi 02: Jika Diberikan JORAN Sahaja…

Belajar memancing ada manfaatnya

Memberi ikan semata-mata bukanlah satu langkah yang bijak, seelok-eloknya perlulah juga belajar untuk memancing. Pelajaran itu merupakan satu modal yang boleh diguna pakai sehingga ke mati, namun apabila bercakap soal belajar ini, manusia secara lahiriahnya tidak begitu gemar untuk belajar dan membaca walaupun dituntut oleh agama khususnya agama Islam,

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)…”

Kehidupan ini penuh dengan cabaran, dan semestinya untuk menghadapi cabaran, kita perlulah belajar dan mencari pengalaman. Namun untuk belajar dan bergerak, lazimnya kita perlukan satu insentif atau motivasi berbentuk monetari atau material. Manusia gemarkan sesuatu ganjaran yang bersifat nampak dan segera, untuk mendorong mereka melakukan sesuatu.

Contoh mudah, kebanyakan ibu bapa berjanji akan memberikan sesuatu yang bernilai jika anak mereka berjaya mencapai sesuatu perkara (achievement).

Bayangkan jika hanya menggesa seorang pekerja itu bekerja dengan menyatakan manfaat pekerjaan mereka untuk keuntungan syarikat, ekonomi dan pembangunan negara tanpa memberikan insentif berbentuk upah dan gaji. Semestinya pekerja akan hilang minat atau tidak mempunyai motivasi untuk bekerja. Semangat mereka akan luntur atau lebih teruk lagi, hilang minat untuk bekerja.

Sosialisme mengwar-warkan konsep bekerja untuk negara dan mengetepikan hak individu sepenuhnya. Segala hasil yang didapati adalah untuk negara dan setiap rakyat akan mendapat bahagian-bahagiannya yang ditetapkan oleh kerajaan. Sekali pandang, sosialisme ini mengamalkan konsep keadilan untuk semua, tetapi sebenarnya konsep inilah yang menafikan hak individu. Jika segala-galanya untuk negara, tidak kira anda rajin atau malas, atau inisiatif anda melebihi orang lain, anda akan tetap dikira sama dengan rakan-rakan anda yang lain. Ini bertepatan dengan konsep memberi joran dan mengetepikan hak untuk mendapat ikan!

Kesimpulan

Manusia memerlukan objektif jangka panjang (joran) dan untuk mencapainya, imbuhan jangka pendek (ikan) boleh menjadi pemangkin. Jika anda memberikan joran sahaja tanpa sedikit ikan, atau memberi ikan semata-mata tanpa belajar menggunakan joran, anda akan menjadi individu yang menang di satu pihak, dan kalah di satu pihak yang lain lagi.

Maka, Bajet 2012 baru-baru ini secara bijak telah mengimbangkan pemberian ‘joran’ dan ‘ikan’, dan strategi ini sekaligus dapat memacu ekonomi negara dan membuat rakyat berasa senang. Kerajaan yang prihatin dan bijaksana akan membuat bajet yang berimbang dan mengambil kira objektif jangka pendek dan juga jangka panjang.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s