Apabila Keluarga Sudah ‘Hilang’


Apabila keluarga sendiri mula menjadi 'musuh'

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi satu keluarga yang tinggal di pinggir Klang dalam kapasiti membuat siasatan. Saya diarahkan untuk membuat tinjauan dan siasatan kerana mendapat maklumat bahawa rumah beliau rosak akibat bencana alam. Saya dan seorang rakan sekerja tiba di sana pada jam 3 petang dan berkesempatan berbual lanjut mengenai situasi beliau.

Dalam perbualan tersebut, isu utamanya bukan semata-mata soal rumah yang rosak, tetapi satu perkara – KELUARGA. Maka, entri ini adalah berkenaan nilai kekeluargaan yang semakin hilang (?)

Mendengar cerita daripada ketua keluarga tersebut, saya rasa cukup terkejut dan sedih. Sedih kerana situasi yang beliau alami tidak sepatutnya berlaku di kalangan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang cukup terkenal dengan adat dan budaya sopan-santunnya. Dari apa yang diceritakan, keluarga tersebut telah diarahkan keluar oleh adik-beradik beliau yang lain dengan alasan pengurusan rumah tersebut kini sepenuhnya menjadi milik abang ipar kepada ketua keluarga tersebut.

Sekali pandang, ya, mungkin kejam, tetapi apa yang menyebabkan situasi ini menjadi satu perkara yang berat?

Para pembaca sekalian, ketua keluarga tersebut merupakan orang yang sekian lama menguruskan rumah yang berkenaan TANPA SEBARANG BANTUAN daripada adik-beradik yang lain. Rumah tersebut merupakan rumah pusaka peninggalan orang tua (mertua) nya tetapi adik-beradik ipar si ketua keluarga ini tidak pernah ambil kisah langsung berkenaan pengurusan hatta apa yang berlaku kepada rumah tersebut. Di saat rumah tersebut dilanda ribut dan mengalami kerosakan, adik beradik (si abang khususnya) mengambil kesempatan dengan menawarkan bantuan untuk membaiki rumah tersebut tetapi dengan syarat keluarga tersebut perlu keluar dari rumah tersebut tanpa syarat.

Mengambil kesempatan atas kesulitan orang lain, itulah yang dialami oleh si ketua keluarga tersebut. Lebih menambahkan keperitan, ahli keluarganya sendiri yang menjadi dalang dan membuat onar. Walaupun sudah jatuh ditimpa tangga, si ketua keluarga tersebut masih mempunyai ketabahan dan motivasi yang kuat dan dalam perbualannya dengan saya, beliau tidak mengharapkan bantuan dari sudut harta tetapi hanya memohon bantuan serba-sedikit dari sudut kewangan untuk menjalankan perusahaan kecilan beliau yang tergendala akibat bencana alam.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita sekarang? Saya percaya kisah di atas hanyalah satu fragmen daripada beribu atau mungkin berjuta kisah yang hampir serupa atau lebih teruk lagi tetapi tidak didedahkan kepada masyarakat umum.

Institusi keluarga merupakan satu entiti yang sering diwar-warkan sebagai benteng terakhir atau tempat bergantung yang dicari jika rakan-rakan tidak lagi menghiraukan kita. Keluarga adalah orang yang benar-benar kenal siapa diri kita, kerana kita membesar bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang lain. Keluarga adalah sumber rujukan yang sudah pasti sahih kerana koleksi pengalaman setiap ahli keluarga itu adalah mahal nilainya. Keluarga juga sepatutnya menjadi entiti atau kumpulan yang sanggup membantu, mempertahankan dan menyokong diri kita sekiranya ditimpa mala-petaka atau bencana.

Adik-beradik sepatutnya saling membantu kerana berasal dari darah daging yang sama, tetapi lihat situasi pada hari ini.

Anak saman ibu, adik-beradik saman sesama sendiri. Anak bunuh ibu akibat tidak puas hati. Anak rampas harta ibu bapa. Adik-beradik berebut harta pusaka. Apa lagi?

Adakah di akhir zaman manusia masing-masing mementingkan diri sendiri hingga sanggup mencantas walaupun nyawa darah dagingnya? Apakah nilai kemanusiaan itu sudah hilang. Jika kita lihat manusia tidak menghiraukan nasib insan lain, mungkin boleh diterima kerana orang luar mungkin satu benda yang asing, TETAPI hari ini adik-beradik atau ahli keluarga sudah tidak menghiraukan dan ambil pusing dengan apa yang berlaku sesama sendiri.

“Biarlah abang/kakak/adik nak buat apa, dia punya hal, ada aku kisah?”

Ungkapan di ataslah yang kini semakin kerap didengari. Jika masyarakat hari ini sudah semakin longgar pegangan hidupnya, ditambah dengan institusi keluarga yang tidak kukuh malah boleh roboh pada bila-bila masa, apa lagi yang kita boleh harapkan?

Apabila manusia mula mengutamakan kepentingan diri, apabila manusia sanggup memijak orang lain, apabila nilai kasih sayang sesama insan itu sudah semakin luntur malah hilang, maka tanda-tanda ini adalah sesuatu yang kita sepatutnya risau dan bimbang. Apakah generasi rakyat Malaysia dalam 10, 20 tahun yang akan datang?

Ya Allah, bukakanlah hati-hati kami agar nilai berkasih sayang itu subur di jiwa!

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s