Salam Ramadhan 1433


Assalamualaikum & salam sejahtera! Selamat Berpuasa! :-)

Alhamdulillah, akhirnya saya dapat meluangkan masa untuk menjenguk dan mengemaskini blog ini. Sudah agak lama juga blog ini ditinggalkan, dengan entri terakhir saya bertarikh awal bulan Mei. Sekarang sudah masuk bulan Ogos.

Kita tinggalkan dulu kontroversi ‘Janji Ditepati’ kerana blog saya ini bukanlah blog berpaksikan politik. Saya ada pendapat yang tersendiri berkenaan isu tersebut, tetapi belum sempat menyusunnya menjadi satu artikel. Insya Allah saya akan tulis kemudian (jika ada masa).

Entri kemaskini kali ini, saya ingin menulis berkenaan Ramadhan, bulan puasa, dan perkara-perkara yang berkait rapat dengannya. Stail entri saya kali ini adalah santai kerana entri ini hanyalah selingan atau boleh dikatakan satu snippets kepada entri-entri yang lebih berat di masa akan datang.

Cerita Bulan Puasa

Rasanya tidaklah perlu saya huraikan apa maksud puasa, kerana saya pasti anda sedia maklum pengertian puasa itu sendiri. Secara asas, puasa bermaksud tidak makan dan tidak minum, tetapi boleh sahaja kalau mahu tidur.

Antara ‘objek-objek’ yang hanya timbul di bulan Ramadhan dan tiada di hari-hari biasa adalah pertamanya, apa yang kita panggil sebagai Bazaar Ramadhan. Seumpama pasar malam tetapi objektif utamanya adalah gerai-gerai makanan. Lazimnya seawal jam 4 petang sudah ada peniaga yang memperdagangkan makanan mereka.

Ramainya! (Gambar dari Harian Metro)

Di kawasan saya (Seksyen 17 Petaling Jaya), Bazaar Ramadhan ini jaraknya meliputi hampir separuh daripada panjang Jalan 17/1A. Bermula jam 3 petang, kita boleh lihat kelibat para peniaga mula mempersiapkan gerai-gerai mereka dan jam 4 petang transaksi jual beli telah bermula. Transaksi berterusan sehinggalah tiba waktu Maghrib ataupun stok dagangan telah kehabisan, yang mana berlaku dahulu.

Saya bukanlah seorang pengunjung avid Bazaar Ramadhan ini, dan selalunya kunjungan saya adalah atas ajakan adik saya. Tidak dinafikan memang agak ramai pengunjung Bazaar Ramadhan ini, bukan sahaja di kalangan muslimin muslimat tetapi juga bukan muslim. Mungkin kerana kepelbagaian makanan dan minuman yang terjual membuatkan sesiapa sahaja yang berkunjung tidak melepaskan peluang untuk membeli.

Tepung pelita, Roti John, Karipap, Akok, dan kuih-muih yang sering menjadi ‘mangsa’ saya. Dan kerana Bazaar Ramadhan juga lah, setiap petang apabila pulang dari pejabat saya perlu berpusing-pusing di sekitar Seksyen 17 untuk mencari parking kerana tempat kebiasaan saya meletak kereta sudah diambil orang.

Juga, apabila membicarakan perihal bulan Ramadhan ini, sudah tentu Solat Terawih menjadi salah satu key subject nya. Hanya boleh dijumpai pada bulan Ramadhan, hampir setiap masjid dan surau menjalankan aktiviti Solat Tarawikh berjemaah ini. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan masjid memilih untuk melaksanakan set 8 rakaat dan 3 witir berbanding 20 rakaat dan 3 witir, kerana ‘permintaan’ yang tinggi daripada para jemaah.

Sewaktu saya kecil dahulu, hampir semua tempat melaksanakn Tarawikh 20 rakaat. Dan selepas selesai solat, ada ‘moreh’ iaitu jamuan ringkas untuk para jemaah buat menyegarkan badan. Moreh ini pada kebanyakan masa adalah kuih dan minuman seperti teh panas, tetapi ada juga yang menghidangkan ‘makanan berat’ seperti nasi.

Bersahur pula, amalan keluarga saya adalah bangkit pada jam 4 pagi. Di zaman ketika di universiti, saya lewatkan sedikit waktu bangun bersahur, iaitu sekitar jam 4:30 atau 5 pagi. Ini kerana sahur ketika zaman belajar adalah amat ringkas, kadangkala Maggi Hot Cup secawan beserta air kopi panas, atau ketika terdesak, beberapa potong kuih lebihan berbuka dan air kosong.

Menjelang Hari Raya

Memandangkan baru satu per tiga daripada bulan Ramadhan telah kita lalui dan kini dalam area dua per tiga, saya akan tulis entri berkenaan pengalaman membuat persiapan Hari Raya apabila kita sudah memasuki 10 malam akhir Ramadhan.

Kepada para pembaca yang beragama Islam, sekali lagi, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s