Takdir Dan Waktu


Assalamualaikum W.B.T. dan salam sejahtera kepada para pembaca yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana kiranya sudah lama saya tidak menulis post yang baru dalam blog ini. Untuk post kali ini, saya tinggalkan sejenak soal gajet, teknologi dan topik-topik lazim yang sering saya kongsi, dan kali ini mari kita berfikir dan mendekati pemikiran falsafah barang sebentar.

Post ini agak panjang, dan lebih kepada sebuah rencana berdasarkan kajian dan pendapat peribadi saya. Kepada para pembaca yang sudi membaca sehingga tamat, diucapkan ribuan terima kasih dan boleh memberi pendapat dan kritikan di ruangan komen.

Selangkah Ke Tahun Baru

Waktu

Masa Akan Terus Bergerak…

Sekali lagi, kita akan menghampiri penghujung tahun dan selepas itu, kita akan menjejak ke tahun yang baharu. Itulah rutin dan aturan kehidupan, di mana satu tahun itu adalah 365 hari dan kita akan mengisinya dengan aktiviti, perancangan dan tindakan sama ada yang telah dirancang ataupun yang hadir secara mengejut.

Menusuri 2012, atau lebih tepat mengimbas kembali perjalanan hidup sepanjang tahun 2012, sudah pasti tidak semuanya terisi dengan perkara yang menggembirakan. Sedetik atau sebahagiaan daripada tempoh masa itu lazimnya akan dicalit dengan kisah duka atau kesedihan yang mungkin menggigit wibawa, mengganggu emosi ataupun mencalar peribadi. Pepatah ‘hidup umpama roda, kadang di atas kadang di bawah’ adalah satu konotosi yang tepat walaupun mungkin tidak persis.

Apakah takdir akan memihak kepada kita di tahun baru yang bakal mendatang ini?

Bercakap soal takdir, ia adalah satu persoalan atau isu yang terhijab daripada pandangan mata dan fikiran kita. Namun demikian, sebagai seorang Muslim, percaya kepada ketentuan (Qada dan Qadar) merupakan salah satu cabang daripada Rukun Iman yang enam. Seorang Muslim dituntut agar percaya kepada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Takdir adalah salah satu cabang perkara ghaib, satu rancangan agung (master plan) daripada Allah S.W.T kepada semua para makhluk di bawah naungannya. Setiap makhluk yang dicipta sudah ada aturan perjalanannya, sudah ada manualnya, bagaimana dia/ia berfungsi apabila berada di dunia, interaksinya dengan makhluk lain, untung rugi, nasib dan malangnya dan hidup dan matinya. Semua sudah ditentukan sebelum makhluk itu ujud secara jasmani lagi di dunia ini.

Kita Adalah Pelakon?

Ada satu pepatah Inggeris (kalau tidak salah saya), yang secara kasarnya bermaksud, kita manusia adalah pelakon dan dunia ini adalah pentas dan propnya, dan Tuhan adalah pengarahnya. Setiap tindakan dan tutur kata sudah di-skrip, setiap babak sudah dirangka, dan kita hanya menjalankannya.

Maka soalnya, adakah pepatah ini konsisten dan tidak berlawanan dengan konsep takdir yang kita selaku seorang Muslim percaya dan berpegang selama ini?

Takdir adalah ‘pre-defined script’ yang sudah diaturkan oleh Allah S.W.T berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Allah S.W.T yang Maha Bijaksana, sudah tahu apa yang terbaik untuk setiap makhluknya, dan seterusnya mengaturkan perjalanan hidup yang terbaik. Walau bagaimanapun, bukanlah bermakna kita tidak diberi pilihan langsung dan ‘teraniaya’ dengan takdir yang ‘unfavorable’.

Jika kita semua sudah punya takdir yang menentukan baik buruk untung jahannam, mengapa kita masih diajar untuk mengenal baik dan buruk, dan diberi peluang untuk membuat pilihan?

Jawapannya, kerana takdir adalah satu ‘pre-defined script’ yang masih tertakluk kepada tindakan kita. Harus diingat setiap yang berlaku adalah berdasarkan Sunnatullah atau Ketetapan Ilahi. Matahari harus terbit dari Timur dan tenggelam di Barat, kecuali di hari Kiamat apabila Sunnatullah ini telah berubah. Haiwan herbivor harus makan tumbuhan dan jika ia melanggar aturan ini, sakit dan matilah ia. Manusia harus makan dan minum, jika enggan, rosaklah jasmaninya. Ini adalah takdir, tetapi lebih kepada ‘operation part’ dan unsur fizikal/gerakerja yang sudah ada aturan yang tidak boleh diubah.

Haiwan, tumbuhan dan makhluk selain manusia adalah tertakluk kepada gerakerja yang disebut di atas dan tidak boleh mengubahnya. Syaitan tidak mungkin menjadi baik, kerana Allah S.W.T telah menetapkan di dalam takdirnya bahawa ia adalah ejen penyesat manusia dan confirm jahat sehingga kiamat. Malaikat tidak mungkin menjadi jahat kerana sudah ditakdirkan (diprogram) untuk tidak melanggar arahan dan melaksanakan tugas-tugas tertentu oleh Allah S.W.T.

Manusia Yang Mulia

Manusia pula adalah makhluk Allah yang paling unik dan mulia. Manusia sudah diberikan takdir, tetapi dia masih boleh membuat pilihan. Untuk membantu manusia membuat pilihan ini, Allah S.W.T. mengutuskan Nabi dan Rasul sebagai pembimbing dan kitab-kitab dan Suhuf sebagai rujukan dan panduan. Walaupun diutus Nabi dan Rasul serta diberi Kitab, Allah S.W.T adalah Maha Pemurah dan masih memberi peluang kepada manusia untuk memilih jalan hidupnya, dan Allah S.W.T. telah menegaskan bahawa sudah jelas agama/pilihan yang benar dan terpulang pada manusia untuk mengikutnya atau tidak!

Dalam erti kata mudah, jika enggan mengikut, tidak mengapa tetapi bersedialah dengan balasan di hari kemudian dan jika kita mengikut/beriman, telah dijanjikan imbuhan dan balasan yang baik dan menggembirakan. Begitu Maha Pemurahnya Allah S.W.T dan sudah ditegaskan, tiada (paksaan) dalam beragama kerana sudah jelas jalan yang benar dan salah!

“Tidak ada paksaaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kebatilan” (Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256).

Atas dasar itulah, manusia dianugerahkan akal buat berfikir dan melihat baik dan buruk, dan bukan mengikut nafsu sebagaimana haiwan dan tumbuhan. Kita lebih mulia daripada makhluk yang lain kerana kita punya akal. Kita diberi peluang untuk memilih malah ada panduan dan bimbingan, namun ramai di kalangan kita memilih jalan yang salah!

Tetapi, bagaimana jika kita ditimpa takdir yang amat pedih, seperti ditinggalkan kekasih, walaupun kita adalah manusia yang mengikut perintahNya, tidak tinggal solat lima waktu, berbaik sesama rakan dan keluarga? Bukankah itu tidak adil, apabila kita ikhlas melaksanakan suruhan agama, tetapi diberi takdir yang tak terduga?

Ujian

Perkara ini, lazimnya kita beri nama sebagai ‘ujian’. Kita diuji dengan perkara-perkara yang mengejutkan dan membuatkan kita terkesima, terpaku, tertekan dan pelbagai ‘ter’ lagi. Pernahkah kita terfikir, mengapa kita diuji walaupun kita secara relatifnya merupakan seorang hamba yang taat?

Untuk sama-sama memahami isu ini, saya ingin menarik perhatian para pembaca sekalian untuk kita kaji satu syarikat pengeluar kereta yang bernama Toyota. Saya pasti para pembaca amat maklum dengan jenama ini bukan? Toyota merupakan satu jenama yang amat utuh, dan sistem pengeluaran kenderaannya yang diberi nama ‘Toyota Way’ adalah amat efisien, dan menjadi kajian dan contoh para pengamal Pengurusan Kualiti (QM). Malah, Toyota jugalah yang memperkenalkan (atau mengamalkan dengan meluas) konsep ‘Kaizen’ dan ‘Just-In-Time Manufacturing’ (sekadar menyebut beberapa contoh).

Sekitar tahun 2010, terjadi perkara yang mengejutkan di mana terdapat laporan kenderaan Toyota di Amerika dan beberapa negara mengalami kecacatan pengeluaran (output defect) pada komponen brek dan pendikit (accelerator) yang menyebabkan beberapa kemalangan. Reputasi Toyota terjejas dan ramai yang tidak percaya syarikat yang ‘sempurna’ dan dijadikan ‘case study’ seperti Toyota mengalami perkara tersebut.

Satu Pelajaran Dan Pengalaman

Berbalik kepada perbincangan kita, apa yang dialami oleh Toyota, merupakan satu ‘ujian’ yang ditakdirkan menimpa mereka. Toyota merupakan pengeluar kereta bereputasi baik tetapi mengapa perkara ini terjadi juga kepada mereka? Sebenarnya terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran yang kita boleh pelajari dan dikaitkan dengan ujian yang menimpa kita sebagai manusia khalifah bumi Allah S.W.T. ini.

PERTAMA: Ujian adalah perlu supaya kita sentiasa sedar siapa diri kita dan terdapat yang lebih berkuasa daripada kita. Walaupun kita merupakan hamba yang taat beribadat dan beramal baik, jika tiada ujian ditimpakan kepada kita, tidak mustahil kita boleh sampai ke tahap lupa diri dan riak atas dasar kita melihat hidup kita sempurna. Sebab itulah, kita saban kali ditimpa ujian supaya kita sentiasa bersyukur dengan nikmat dan kurniaan yang diberi Allah S.W.T. Ujian ini tidak semestinya berbentuk kematian atau kehilangan; sakit seperti demam; dimarahi bos; tidak sengaja melakukan sesuatu; ini semua adalah ujian untuk kita.

KEDUA: Ujian yang menimpa merupakan satu peluang untuk kita memperoleh pelajaran dan pengalaman. Sukacita diingatkan bukan setiap orang berpeluang mengalami apa yang kita alami. Saya tidak bermaksud kita seharusnya mengharapkan ujian berat menimpa diri, tetapi maksud saya, jika kita ditimpa ujian berat, ia satu cara untuk kita belajar dan menimba pengalaman dan seterusnya boleh membantu dan berkongsi dengan kawan-kawan atau ahli keluarga kita yang mungkin mengalami ujian yang serupa di masa-masa akan datang.

KETIGA: Hikmah mengapa ujian menimpa diri kita adalah ia merupakan satu mekanisme untuk mengeratkan silaturrahim sesama manusia (rakan, taulan, masyarakat). Bagaimana? Lazimnya ujian yang melanda menuntut kita untuk mendapatkan bantuan dan sokongan emosi daripada orang lain untuk menyelesaikannya. Ia juga memberi kesedaran bahawa kita hidup dalam kelompok masyarakat dan perlu saling membantu. Suatu ujian itu sukar diselesaikan berseorangan. Jika kita tertekan, kita perlukan rakan atau keluarga untuk menenangkan emosi kita. Jika kita ditimpa kemalangan, kita perlukan kepakaran doktor untuk merawat kita, ahli keluarga dan rakan untuk memberi semangat, dan rakan sekerja untuk membantu kerja kita di pejabat. Malah jika kita berseorangan, naluri kita perlukan seseorang untuk kita berkongsi idea dan pendapat, yang mungkin tidak semua orang boleh tahu.

KEEMPAT: Ujian yang menimpa merupakan kunci atau pintu kepada sesuatu hadiah atau kebaikan yang akan mendatang kelak. Ini merupakan ‘janji’ Allah S.W.T. kepada manusia sebagaimana yang tersebut dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6. Allah S.W.T. telah ‘mengulang’ ayat yang sama sebanyak dua kali, dan ini merupakan satu penegasan jika tidak perjanjian

(5) “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(6) “Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Maka seharusnya kita menerima ujian yang menimpa dengan penuh sabar dan redha di samping berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Kita ditakdirkan dengan ujian berat kerana Allah S.W.T. menyayangi kita dan ingin memberikan kita pengalaman dan pelajaran. Dan sekali lagi, kita punya pilihan untuk tidak memperdulikan ujian tersebut, tetapi kita akan tergolong dalam kumpulan orang yang ‘rugi’. Pilihan di tangan kita.

Azam Baru Di Tahun Baru

Seperti biasa, menjelang tiba tahun baru, antara perkara yang menjadi perbualan adalah berkenaan azam dan impian yang ingin dilaksanakan. Maka, bermacam-macamlah perkara dan benda yang teringin dan mahu dilaksanakan. Jika dibuat satu senarai, mungkin panjang berhelai-helai mukasurat.

Azam, atau impian, atau perkataan yang lebih canggih lagi, resolusi (err… 1024 x 768 ?), tidak salah untuk kita senaraikannya, malah digalakkan supaya kita mempunyai fokus. Tetapi bukan berapa banyak atau berapa canggih azam kita itu, tetapi adakah kita mampu untuk melaksanakannya?

Kepada para pembaca yang telah atau sedang menempuh alam pekerjaan, sudah pasti syarikat/organisasi anda punya satu ‘statement’ yang dipanggil Visi dan Misi, dan mungkin juga Objektif. Visi dan Misi ini adalah ‘panduan’ umum kepada organisasi anda berkenaan apa yang ingin dicapai dan bagaimana untuk mencapainya. Kita sebagai manusia, adalah molek jika mempunyai Visi dan Misi sendiri.

Visi dan Misi peribadi tidak perlulah berbunyi canggih atau bombastik, tetapi biarlah menggunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami kerana ia akan menjadi rujukan peribadi kita (jika anda mahu tunjuk pada orang lain, tiada masalah). Visi dan Misi itu haruslah realistik, ‘attainable’ (boleh dicapai), tidak rumit dan mempunyai sasaran yang nyata dan bukannya sesuatu yang ‘maya’ (imaginary).

Juga, Visi dan Misi adalah unik bagi setiap daripada kita, dan seharusnya kita mampu menggarap Visi dan Misi sendiri tanpa perlu merujuk kepada orang lain. Kita tahu apa yang ingin kita capai dan tidak salah meletakkan misi yang dianggap ‘mustahil’ tetapi boleh dicapai. Saya beri contoh Visi dan Misi saya (yang telah diubahsuai) untuk kita kaji bersama;

VISI

Menjadi insan yang berguna dan bertanggungjawab kepada keluarga, taulan, rakan, dan masyarakat serta bersedia berkongsi.

MISI

Pertama: Menjadi anak yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Kedua: Mengambil – xxxxx xxxxx – dan – xxx xxxxxx – menjadi isteri yang sah dan menjaga mereka berdua dengan penuh kasih sayang.

Ketiga: Menjalankan amanah di tempat kerja dan membina hubungan baik dengan rakan sekerja.

Keempat: Menghormati dan menghargai insan-insan yang setia dan berjasa kepada kita iaitu rakan, guru, pemimpin dan individu-individu yang telah membantu.

Kelima: Bersedia berkongsi sama ada ilmu, harta, kepakaran, dan lain-lain jika diperlukan kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan.

Daripada contoh yang diberikan di atas;

PERTAMA: Visi merupakan kenyataan berbentuk umum manakala Misi adalah lebih terperinci.

KEDUA: Misi tidak semestinya terlalu terperinci – asalkan ia boleh ‘diukur’ dan dilaksanakan secara sedar.

KETIGA: Misi juga, sebagaimana yang saya sebutkan, boleh dimasukkan perkara yang ‘tidak masuk akal’ tetapi boleh dicapai. Lihat Misi nombor dua; individu ini mempunyai niat untuk beristeri dua, ia ‘mustahil’ tetapi boleh dicapai jika beliau ‘berusaha’.

KEEMPAT: Jika ada keperluan untuk memperincikan Misi tersebut, anda boleh menggarap pula senarai ‘Objektif’ di mana ia akan memperincikan lagi setiap ‘Misi’ tersebut.

Kesimpulan

Tidak kira apa azam/impian/resolusi para pembaca sekalian, haruslah kita ingat bahawa kita hanya mampu merancang dan melaksanakannya, tetapi hasil dan akibatnya adalah dengan izin Allah S.W.T. juga selaku Maha Perancang yang Maha Bijaksana. Takdir itu kadangkala agar sukar bagi kita untuk memahaminya, kerana kita sebagai hamba hanya diberikan ilmu umpama sebatang jari yang dicelup di dalam lautan yang luas.

Maka, hendaklah kita bersyukur sekiranya perancangan kita berjaya, dan janganlah kita menyalahkan takdir andai kita ditimpa musibah dan program kita menemui kegagalan. Ingatlah, Allah S.W.T. itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat setiap hambaNya termasuklah diri kita, sebagaimana yang difirmankanNya di dalam Al-Quran;

“. . . But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.” (Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Ayat di atas saya kerap kali ulang dalam pelbagai post saya di dalam blog ini, kerana maksudnya adalah amat signifikan, dan menjadi peringatan buat kita semua.

Janganlah kita terlalu mengharapkan sesuatu, kerana andai ia tidak diizin oleh Allah S.W.T. di dalam takdir, takut kita akan merana kecewa, dan, hargailah sesuatu yang ingin mendampingi kita, kerana mungkin di dalam takdirNya, ia akan menjadi milik kita, jika tidak sekarang, mungkin suatu hari nanti, dan mungkin juga di Syurga nan abadi!

Salam tahun baru 2013, simpanlah lipatan 2012 di kalbu kenangan, dan bukalah lembaran 2013 dengan semangat dan keazaman. Insya Allah!

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Motivational and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s