Valkyrie : Satu Kajian Yang Bukan ‘Kajian’


Valkyrie Poster

Valkyrie – Kisah Plot 20 Julai

Apabila berbicara berkenaan filem (movie) yang memberi kesan dalam diri, mungkin di kalangan kita ada beberapa atau mungkin satu filem yang paling diingati. Mungkin intipati filem tersebut berjajaran dengan pengalaman hidup, atau mungkin aktor atau aktres filem tersebut hensem dan comel, atau mungkin juga filem tersebut ada nilai-nilai falsafah yang menuntut kita untuk berfikir dan mengambil pengajaran. Masing-masing punya persepsi apabila menilai satu-satu filem tersebut sebagai filem terbaik yang pernah ditonton dalam (seumur) hidupnya.

Saya, seperti anda juga, menonton filem. Tetapi sejujurnya saya sukakan filem yang berkisar berkenaan sejarah, berdasarkan kisah benar ataupun yang ada menampilkan unsur-unsur strategi dan sedikit sebanyak konspirasi, di samping sedikit ‘show off’ berkaitan teknologi dan gajet. Maka, francais filem James Bond, Mission Impossible, Bourne dan seumpamanya saya minat, tidak ketinggalan mungkin beberapa filem cinta yang berfalsafah.

Tetapi pada saya, ada satu filem yang paling memberi kesan kepada saya, membuat diri saya berfikir dan sedikit sebanyak, meneguhkan keimanan bahawa perancangan Allah S.W.T. mengatasi perancangan manusia. Ia bukannya filem Islamik, dan merupakan satu filem yang digarapkan berdasarkan kisar benar yang berlaku lebih kurang 60 tahun dahulu.

Filemnya – Valkyrie (rujuk di sini untuk perincian berkenaan filem ini). Sila tonton trailer di bawah ini untuk mendapatkan idea what it is all about;

Teraju utama filem ini adalah saudara Tom Cruise (Mission Impossible) dan pelakon-pelakon tersohor lain seperti saudara Bill Nighy, Kenneth Branagh, Tom Wilkinson (sekadar menyebut beberapa nama). Filem ini adalah produksi tahun 2008 iaitu 5 tahun lepas, dan berkisar berkenaan percubaan sekumpulan pegawai tentera dan ahli politik untuk membunuh pemimpin Jerman pada ketika itu, Adolf Hitler yang memperkasakan fahaman Nazi (National Socialism).

Filem ‘lama’. Tetapi intipatinya kekal segar.

Apa yang dilakonkan dalam filem ini adalah satu kisar benar, tetapi digarap dengan sebegitu cantik dan kemas oleh pengarahnya sehinggakan para penonton tidak merasakan mereka menonton satu manifestasi kisah sejarah. Lazimnya filem berlatarkan sejarah adalah genre yang tidak begitu diminati oleh kebanyakan orang tetapi pengarah filem ini telah berjaya menggarap kisah tersebut menjadi seumpama kisah thriller dan saspens.

Kisah yang menjadi latar belakang filem ini adalah berdasarkan kisah sejarah yang dinamakan ‘Plot 20 Julai’ (baca di sini). Sebenarnya telah banyak percubaan untuk membunuh Adolf Hitler ini tetapi gagal, dan Plot 20 Julai ini merupakan ‘nyaris-nyaris’ dan hampir berjaya.

Jika anda berkesempatan, saya mengesyorkan anda untuk menontonnya. Sekali lagi, syor saya bukan kerana pelakonnya adalah Tom Cruise, atau ada scene letupan dan pengeboman, tetapi ada beberapa nilai falsafah dan pengajaran yang amat-amat terkesan dan boleh membuat kita berfikir.

Dialog

Salah satu kekuatan (dan keunikan) filem ini adalah pada dialognya.

Dialog yang diucapkan dalam filem ini tidak berbunyi klise, tetapi pada pendengaran saya, ia sarat dengan mesej falsafah dan amat kena dengan suasana filem ini. Jika anda telah menonton filem ini, anda mungkin bersetuju dengan saya. Ia tidak serupa dengan filem-filem bertemakan perang yang lain. Daripada satu sudut, ia ‘makan dalam’. Daripada sudut yang lain, ia mengajak kita berfikir.

Mungkin molek jika saya dapat memetik dialog daripada adegan-adegan yang saya rasa mempunyai nilai falsafah dan mempunyai maksud yang mendalam (dan mungkin menyindir).

Adegan I: Diskusi Bilik Jeneral

vlcsnap-2013-03-21-21h01m48s11

Gen. Fromm: They say when there’s no clear option, the best thing is to do nothing.

Col. Stauffenberg: We’re at war. We must act. Sometimes rashly.

Apabila tiada pilihan yang jelas, adakah kita hanya perlu duduk diam dan berserah kepada takdir? Satu ‘statement’ yang boleh difikirkan dengan mendalam dan menarik untuk dibincangkan.

Adegan II: Di Tandas

vlcsnap-2013-03-21-21h07m34s221

Col. Stauffenberg: Action is inevitable, as are the consequences.

Sesuatu tindakan yang dilaksanakan itu akan menemui penyudahnya, sama ada ia berakhir dengan baik ataupun dengan kurang baik.

Adegan III: Meletupkan

vlcsnap-2013-03-21-21h12m54s42

Col. Mertz: Any problem on Earth can be solved with the careful application of high explosives. The trick is not to be around when they go off.

Dialog ini menjentik hati saya, kerana ini mengingatkan kepada satu peristiwa penuh kontroversi di Malaysia. Adakah dengan meletupkan sesuatu (seseorang?) dapat menyelesaikan masalah?

Adegan IV: Perbalahan

vlcsnap-2013-03-21-21h26m17s187

Col. Stauffenberg: Today’s failure had nothing to do with Himmler, and you know it. This is a military operation in the hands of a politician, nothing more.

Adakah benar campurtangan politik akan menyebabkan sesuatu organisasi menjadi kacau bilau dan tidak efisien? Juga satu ‘statement’ yang menarik untuk dibincangkan.

Apa yang saya petik di atas adalah sebahagian yang saya rasa amat menarik dan ‘kena’ dengan keadaan semasa. Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya, skrip/dialog yang dituturkan dalam filem ini adalah antara yang terbaik dari sudut gaya bahasa dan penggunaannya. Tidak terlalu ‘bland’.

Falsafah & Pengajaran

Semua filem yang dipertontonkan kepada khalayak lazimnya punya mesej, tema, falsafah atau pengajarannya yang tersendiri, kecuali filem tersebut merupakan filem ‘sampah’ atau ‘silap bikin’. Filem Valkyrie ini juga punya mesej dan falsafahnya yang boleh kita ambil sebagai pengajaran. Antaranya (pada pendapat saya);

PERTAMA: Manusia Hanya Merancang, Tetapi Tuhan Yang Menentukan Hasilnya

Walau sehebat dan terperinci mana sesuatu perancangan tersebut, jika tidak diizinkan Tuhan, ia tidak akan berjaya dilaksanakan. Filem ini menunjukkan kepada kita kebenaran ‘statement’ ini. Walaupun bijak pandai yang merancang, tetapi ‘kata putus’ tetap di tangan Tuhan. Lagipun, kita semua juga tertakluk di bawah perancangan Tuhan.

KEDUA: Membunuh Tidak Akan Menyelesaikan Masalah

Diceritakan dalam filem ini bahawa dengan membunuh sahajalah salah satu jalan keluar untuk menyelesaikan ‘masalah’ dan menghapuskan ‘kejahatan’. Membunuh itu sendiri merupakan satu kesalahan, apatah lagi membunuh seorang pemimpin! Benar, walaupun pemimpin itu kejam dan sadis, tetapi sebaiknya tindakan yang melibatkan pertumpahan darah perlu dielakkan kerana kesannya amat buruk. Matlamat tidak menghalalkan cara. Itulah sebabnya kita perlu berfikir.

KETIGA: Sesuatu Perkara Itu Perlu Dilaksanakan Oleh ‘Ahlinya’

Dalam filem tersebut, percubaan kali pertama untuk membunuh Adolf Hitler di dalam kubunya ‘gagal’ kerana tidak mendapat pelepasan daripada pengurusan kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli politik. Saya tidak bermaksud politik itu tidak baik, tetapi kadang-kala campur tangan politik yang keterlaluan di dalam organisasi atau kumpulan yang sepatutnya bebas politik akan menyebabkan sesuatu perancangan itu terkeluar dari matlamat atau gagal dilaksanakan dengan baik. Di negara kita Malaysia ada banyak contoh, anda boleh kaji sendiri. Sekali lagi, tidak salah jika unsur politik hendak masuk, tetapi perlu pada batasannya!

KEEMPAT: Berani Menyuarakan Pendapat

Masing-masing punya pendapat, dan tidak semua pendapat ahli-ahli di dalam sesuatu kumpulan atau organisasi tersebut adalah serupa. Ini kerana setiap manusia mempunyai cara berfikir dan ‘worldview’ mereka sendiri berdasarkan pembelajaran, pengalaman dan pemerhatian serta proses berfikir yang berbeza daripada individu ke individu yang lain. Maka, jika kita punya pendapat yang berbeza, tidak salah untuk kita berkongsi dengan ahli kumpulan yang lain kerana pendapat kita mungkin adalah penyelesaian yang terbaik. Jika tidak sekalipun, pendapat kita itu boleh menjadi pelengkap kepada beberapa pendapat yang dihimpunkan. Konsep hidup manusia adalah saling melengkapi, jadi jika tiada pertukaran idea, maka lohong idea akan kekal wujud.

KELIMA: Belajar Daripada Sejarah

Saya ada menulis satu artikel khusus berkenaan mengapa kita perlu belajar daripada sejarah (klik di sini). Asasnya, sejarah itu merupakan satu catatan kronologi yang menerangkan dengan jelas dan nyata mengapa sesuatu perkara itu berlaku dan apa kesan daripada tindakan-tindakan yang dilakukan. Sejarah adalah perkara yang lepas, dan apa yang berlaku hari ini adalah rentetan daripada tindakan dan keputusan daripada rantaian peristiwa yang sudah berlalu. Jadi jika kita tidak mengkaji apa yang telah berlaku dahulu, kita mempunyai risiko untuk mengulangi kesilapan yang serupa. Kekalahan Jerman pada Perang Dunia Ke 2 sedikit sebanyak adalah kerana Adolf Hitler mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Napoleon.

Kesimpulan

Ada pepatah mengatakan bahawa ‘sejarah mengajar kita’. Ada insan yang menyatakan mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan yang serupa. Ada juga yang menegaskan bahawa perkara yang telah berlaku (sejarah) sama ada pahit atau manis, ada rahsia tersiratnya.

Pendek kata, manusia adalah pelaksana kepada perancangan Tuhan, dan apa jua perancangan yang berlaku dan berjalan itu adalah untuk kita bersyukur dan belajar. Sukacita saya ingin memetik nasihat yang dikongsikan oleh bos saya;

Kita adalah PELAKSANA dan harus MELAKSANA

Kita adalah PELAKSANA dan harus MELAKSANA

Kita adalah pelaksana, dan kita perlu redha dengan perancangan Tuhan kerana setiap satu peristiwa itu ada pahala untuk kita dapat dan ada dosa untuk kita elak, jika kita mengkaji, belajar dan mengetahui.

Di mana hendak dapatkan movie ini? Ehem, nak yang original atau lanun? Saya pasti jika anda kaki movie anda tahu di mana sumber-sumbernya bukan? ;-)

P/S: Belajarlah sejarah, walaupun ia membosankan. Hehehe.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Motivational and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s