Satu Janji : Coretan Di Penghujung Ramadhan


A Promise

Pada 30 Julai 2013 (21 Ramadhan 1434), saya berkesempatan menghadiri satu majlis ilmu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diadakan di Sime Darby Convention Centre. Majlis ilmu tersebut berkonsepkan syarahan, dan perkongsian yang disampaikan merupakan satu perkara yang amat serius – melibatkan akidah orang Islam yang diancam oleh anasir-anasir luar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Alhamdulillah, syarahan yang disampaikan oleh seorang tokoh korporat ini telah berjaya membuka mata saya (dan hadirin yang mendengar), serta mengajak saya berfikir dengan mendalam berkenaan tujuan hidup kita ini, serta adakah jaminan yang pasti bahawa kita akan selamat daripada anasir-anasir luar yang secara berterusan mengasak kita tanpa rasa jemu.

Di penghujung Ramadhan ini, saya terfikir sejenak.

Secara umum kita lazimnya menganggap bahawa apabila kita telah dilahirkan dalam situasi yang favorable, kita akan selamat. Contohnya, anak orang kaya mungkin menganggap mereka bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang berada, dan minda mereka secara automatik meletakkan diri mereka di dalam zon selesa (comfort zone). Orang yang berada di dalam zon selesa ini dikatakan mudah untuk ditundukkan kerana mereka (lazimnya) tiada pendirian yang tetap, gemar mengikut trend, dan mudah mengikut telunjuk kerana tidak merasa keperitan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Maka, jika kita dilahirkan sebagai orang Melayu dan beragama Islam, ia bukan satu jaminan bahawa kita akan selamat dan teguh. Peringatan ini disampaikan dalam syarahan tersebut dan beserta bukti-bukti visual yang ditunjukkan, ancaman yang dihadapi di negara kita bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Alhamdulillah, reaksi yang ditunjukkan oleh hadirin serta komitmen YADIM untuk ‘berjuang habis-habisan’ menentang anasir-anasir ini diharap memberi kesan positif.

Pulang ke rumah, minda saya masih berfikir berkenaan isi-isi yang disampaikan dalam syarahan tersebut. Syarahan tersebut berfokus kepada ancaman kepada umat Islam di Malaysia, tetapi saya memikirkannya daripada perspektif yang berbeza.

Apakah ada Jaminan?

Apabila kita berjanji, selalunya kita akan mengikatnya dengan jaminan supaya janji itu kelihatan lebih berintegriti dan dipercayai. Semua orang boleh berjanji berkenaan pelbagai perkara, tetapi jaminan itulah yang mengikat kepercayaan dan hati pihak yang berjanji.

Guarantee. Dalam perjanjian pinjaman bank, ada jaminan. Dalam perkahwinan, ada jaminan. Semua aspek kehidupan ada jaminan.

Dalam Al-Quran, Allah S.W.T. juga memberi jaminan kepada hamba-hambaNya yang melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Pelbagai ayat-ayat Al-Quran boleh kita rujuk sebagai bukti, tetapi itu janji Allah S.W.T. yang semestinya ditepati dan dipercayai. Kita sebagai orang Islam percaya bahawa janji dan jaminan Allah S.W.T. adalah pasti dan benar.

Berbalik pada persoalan : apakah ada jaminan dalam hidup ini?

Ia merupakan satu soalan yang sukar untuk dijawab, kerana janji dan jaminan itu merupakan satu perkara yang amat-amat berat walaupun lahiriahnya mudah untuk dilafazkan. Itulah hakikat kehidupan, lebih mudah berkata daripada melaksana. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Realiti tak seindah fantasi.

Saya mengakui bukan semua janji itu dapat ditepati, kerana situasi, sebab dan faktor itu dapat mengubah kondisi perjanjian dan jaminan itu. Manusia itu merupakan makhluk yang vulnerable pada sifat dan sikapnya. Allah S.W.T. telah berfirman;

“Dan manusia mendoa untuk kejahatan sebagaimana ia mendoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.” (Al-Quran: Surah Al-Isra, ayat 11)

Manusia itu fitrahnya ‘tergesa-gesa’, bermaksud pendiriannya boleh berubah dan tidak tetap sehingga mati. Seseorang itu mungkin boleh mendabik dada bahawa dia berpendirian tetap, setia, tidak termakan pujukan dan seumpamanya, tetapi haruslah kita ingat bahawa hati kita bukanlah kita yang mengawalnya secara mutlak, tetapi tertakluk kepada Allah S.W.T. selaku pemegang hati-hati manusia dan Maha Perancang. Al-Quran mengesahkan;

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala  yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Quran: Surah An-Anfal, ayat 63)

Boleh dirumuskan di sini bahawa janji dan jaminan itu masih tertakluk kepada keizinan Allah S.W.T. untuk ia terlaksana. Kita lazim mendengar ungkapan ‘Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan kejayaan dan kegagalannya’. Ungkapan ini adalah benar dan selari dengan konsep takdir.

Justeru, tiada yang mustahil untuk berlaku jika diizinkan Allah S.W.T. dan tidak melanggar sunnatullah. Keajaiban itu berlaku atas izin Allah. Kemalangan itu juga berlaku atas izin Allah. Kenikmatan itu juga berlaku atas izin Allah. Apa juga yang berlaku atas diri merupakan siri takdir yang telah ditetapkan untuk kita lalui, atas dasar untuk kita belajar dan bersyukur atas segala kurniaNya. Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan menurut kemampuannya.

“Allah tidak memberati (menguji) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Perlukah Kita Berjanji?

Situasi kadang-kala memerlukan kita berjanji untuk mencetuskan keyakinan dan kepercayaan, walaupun bukan di bawah kuasa kita untuk memastikan perkara yang dijanjikan itu dapat ditunai dalam kadar 100%. Tetapi adakah manusia itu mampu menunggu sekiranya janji itu mengambil masa untuk ditunaikan?

Memetik semula ayat Al-Quran di perenggan sebelum ini, dengan emphasize pada ayat yang ditebalkan;

“Dan manusia mendoa untuk kejahatan sebagaimana ia mendoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.” (Al-Quran: Surah Al-Isra, ayat 11)

Tergesa-gesa juga membawa maksud kurang sabar. Apabila sesuatu perkara itu mengambil masa yang amat lama untuk terlaksana (atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan), kecenderungan untuk kita menjadi tidak sabar meningkat, dan dalam situasi ini kita akan mudah terpengaruh dengan desakan daripada pihak luar (ketiga?) untuk meninggalkan perkara tersebut.

Bukan semua orang memiliki daya kesabaran yang tinggi dan mantap, lebih-lebih lagi apabila situasi kelihatan begitu kabur dan tidak menentu. Tidak semua orang mampu beristiqamah dan yakin pada sesuatu usaha yang dilakukan apabila ditimpa halangan berat yang dilihat memusnahkan segala usaha secara total.

Tetapi kita sudah berjanji kepada Allah S.W.T. bahawa apa kita bertawakal (berserah) kepadaNya akan sebab dan akibat yang berlaku apabila kita telah berusaha. Dan kegagalan itu bukan bermaksud segala-galanya telah berakhir, kerana mungkin beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, ataupun mungkin kerana masanya belum lagi tiba untuk kita mendapatkan perkara tersebut.

Dalam soal ini, usaha harus digerakkan secara konsisten dan jika memerlukan kita menukar strategi, adalah molek untuk dilakukan. Gerakan yang konsisten, bersandar dengan keyakinan kepada Allah S.W.T. Beberapa pepatah Inggeris ada menyebut;

“You may have lost the battle alone, but we’re going to win the war together” – Keely Dennett.

“You may have to fight a battle more than once to win it” – Margaret Thatcher

“Losing a battle doesn’t mean you’ve lost the war…” – Unknown

Semua pepatah di atas membawa satu tema – konsistensi – yang akan mencorak kemenangan dalam jangka panjang. Analoginya seperti dalam peperangan : Jika kita mengalah dalam kempen perang yang pertama, maka kempen-kempen yang seterusnya hanyalah sia-sia dan membazir sumber, selain mencalarkan imej.

Walau bagaimanapun, jika segala daya usaha telah dilakukan tetapi hasilnya tidak memuaskan atau kegagalan, mungkin ada hikmahnya Allah S.W.T. tidak mengizinkan perkara itu berlaku walaupun kita amat-amat-amat (di-emphasize-kan) menginginkannya. Ayat Al-Quran ini dengan jelas dan cantik menerangkannya;

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Berjanjilah, berusahalah, beristiqamahlah, dan bertawakal kepada Allah. Semoga kita istiqamah di penghujung Ramadhan ini, Insya Allah.

* * * * * * *

Artikel ini memetik sedikit sumber daripada laman berikut : Rujukan 1 | Rujukan 2 | Rujukan 3

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , , , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s