Persepsi Merentas Generasi – Menghargai & Menyayangi


Perception Meaning

Definisi ‘Persepsi’ – dalam Bahasa Inggeris.

Persepsi – Satu perkataan yang lazim didengari. Persepsi secara umumnya bermaksud pemahaman peribadi atas seseorang atau sesuatu perkara/peristiwa. Maka, persepsi adalah berbeza bagi setiap orang walaupun melihat pada perkara atau individu yang serupa. Perbezaan persepsi ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana setiap daripada kita memiliki set kepercayaan dan sudut pandangan yang berbeza dan dicorakkan oleh cara didikan dan pendedahan kepada persekitaran. Kita mungkin melihat sesuatu itu sebagai mengjengkelkan tetapi orang lain melihatnya sebagai sesuatu yang mencetuskan keterujaan. Itulah persepsi.

Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi dengan anda, berkenaan persepsi merentas generasi.

Satu generasi lazimnya ditakrifkan sebagai tempoh di antara 10 hingga 20 tahun. Tempoh ini bukanlah satu sela masa yang singkat dan sepanjang tempoh ini, perubahan daripada sudut budaya, cara hidup, pemikiran dan teknologi pasti akan berlaku dalam satu-satu masyarakat itu. Maka, kita boleh membuat deduksi awal bahawa setiap generasi itu mempunyai persepsi dan pemikiran yang berbeza, atas dasar sosio-budaya dan sosio-ekonomi dari setiap generasi adalah berbeza.

Pakar psikologi dan pengamal pemasaran (marketing) faham akan perkara ini dan mereka telah mengkelaskan generasi-generasi ini kepada beberapa kategori. Kita biasa dengan akan istilah seperti ‘Baby Boomers’, ‘Generation X’, dan ‘Generation Y’. Setiap generasi ini lahir dalam tempoh di mana perkembangan sosio-budaya dan sosio-ekonomi yang berbeza, dan seterusnya mencorakkan persepsi mereka sama ada dalam cara membuat keputusan sehinggalah cara menguruskan rumahtangga/kumpulan.

Memahami Evolusi Generasi

Perbezaan Generasi X (kiri) dan Generasi Y (kanan). Generasi X lahir di era 60'an hingga awal 80'an, manakala Generasi Y lahir pada era 80'an dan 90'an.

Perbezaan Generasi X (kiri) dan Generasi Y (kanan). Generasi X lahir di era 60’an hingga awal 80’an, manakala Generasi Y lahir pada era 80’an dan 90’an.

Idea untuk menulis artikel ini datang selepas sesi perkongsian dan perbincangan saya bersama rakan sekerja daripada Akademi YBK, Encik Romdani dan Puan Norleza. Pada asalnya perbincangan menjurus kepada dilema keluarga miskin di luar bandar dan ia berterusan sehinggalah kepada persoalan berikut;

Apakah modul atau cara terbaik untuk membentuk sikap generasi muda miskin bandar yang lazimnya bersifat resistance (suka memberontak/membantah)?

Saya tertarik apabila rakan sekerja saya itu memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada penyelesaian praktikal dan modul yang berkesan untuk membentuk sikap generasi muda miskin bandar ini agar mengubah diri ke arah positif. Lebih-lebih lagi, berdasarkan pengalaman peribadi En. Romdani sendiri, beliau memberikan ‘statistik’ bahawa 9 daripada 10 orang lazimnya akan gagal walaupun diberi pelbagai inisiatif dan peluang untuk berubah, termasuklah motivasi.

Hanya seorang sahaja yang ‘berjaya’. Namun saya dimaklumkan yang ‘seorang’ ini juga goyah daripada sudut motivasi dalaman dan berkemungkinan untuk patah hati di tengah jalan dan kembali ke cara hidup lama. Kami cuba ‘merungkaikan’ apa sebenarnya kunci kepada cabaran ini, dan salah satunya adalah kekangan kasih sayang daripada ibu bapa – dan seterusnya membawa kepada persoalan berikut;

Adakah kanak-kanak di bandar kekurangan kasih sayang berbanding kanak-kanak di luar bandar, walaupun secara relatifnya, mereka mempunyai akses kepada kemudahan dan kondisi hidup yang lebih baik?

Saya memberikan argumen saya kepada mereka, dan argumen saya berkisar kepada persepsi merentas generasi di samping takrifan kasih sayang. Saya melihat setiap generasi itu mempunyai takrifan berkenaan persepsi kasih sayang terhadap anak-anak, di mana saya huraikan di bawah.

Menghargai dan Mengasihi – The Things We Lack Of

Biar saya mulakan dengan kenyataan di bawah ini;

Kita Tidak Diajar Untuk Menghargai, Kerana Kita Tidak Pernah Dihargai

Mungkin kedengaran agak ‘radikal’, tetapi berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, sebahagian besar daripada masyarakat Melayu tidak tahu konsep menghargai secara keseluruhannya (cohesive). Kekurangan penghargaan ini sebenarnya boleh membentuk persepsi dan sikap kita dalam melihat situasi dan dunia luar, di samping berpotensi melumpuhkan motivasi diri.

Biar kita kupas cabaran ini secara jujur dan saya mengajak para pembaca untuk berfikir dengan minda terbuka. Cuba kita lihat cara didikan ibu bapa kita (atau untuk lebih accuracy, cara didikan datuk dan nenek kita). Generasi mereka lebih menekankan framework disiplin dan kejayaan dalam pelajaran, dan meletakkan pembinaan sahsiah dalaman dan sosial di tempat kedua. Saya pasti kita biasa dengar ungkapan ini diucapkan oleh ibu bapa kita;

Belajar rajin-rajin, masuk universiti, lepas tu dapat kerja besar-besar, gaji besar, dan hidup senang…

dan variasi-variasi seumpamanya. Generasi ini (lahir pasca perang dunia ke-2 sehingga awal 80’an) mengutamakan didikan bersifat kekerasan dan kurang peka terhadap perkembangan emosi. Kekerasan ini tidak salah kerana niat adalah untuk melentur disiplin, tetapi apabila emosi tidak diambil kira, ia akan mewujudkan sifat memendam dan seterusnya mematahkan semangat untuk mencuba sesuatu yang positif.

Para pembaca yang dihormati,

Saya berani berkata demikian kerana saya mendengar sendiri cerita daripada ibu bapa dan kerabat saya, di samping rakan-rakan yang berpengalaman bersama generasi tersebut. Disiplin diimplementasikan dalam rangka yang amat ketat tanpa kompromi, dan konsep kritikan dan bertanya merupakan sesuatu yang dianggap ‘menjawab’ dan memberi konotasi ‘kurang ajar’.

Maka, generasi ibu bapa saya merupakan kumpulan yang sebahagian besarnya tidak akan dan tidak pernah mempersoalkan apa jua arahan ibu bapa (datuk nenek) walaupun mungkin tidak kena, kerana konsep ‘kurang ajar’ dan ‘menjawab’ merupakan doktrin tonggak dalam cara parenting pada zaman tersebut. Rasa tidak puas hati dan ‘pelik’ itu dipendamkan dan rasional arahan tersebut tidak pernah dipersoalkan walaupun mungkin ada yang meragukan.

Ibu bapa pada zaman tersebut lebih (maaf) tertutup mindanya dan berpegang pada konsep superiority yakni ‘aku lebih makan garam daripada kau’. Maka mereka kurang toleran pada kesilapan dan perkara-perkara yang memalukan dan jika berlaku, hukuman keras akan dilaksanakan tanpa menyiasat terlebih dahulu secara komprehensif. Bantahan dan penolakan adalah amat jarang berlaku dan diterima dengan ‘redha’ walaupun hati tidak rela. Maka anak-anak ini akan memendam perasaan mereka dan sehinggalah mereka berkeluarga, sedikit sebanyak cara parenting ini akan berterusan.

Para pembaca yang dihormati,

Berdasarkan kajian saya juga, konsep ‘menghargai’ merupakan sesuatu yang asing di kalangan ibu bapa pada generasi pasca perang dunia ke-2 sehingga awal 80’an. Sebagaimana yang saya huraikan sebelum ini, konsep keibubapaan pada zaman tersebut menekankan disiplin dan kesempurnaan secara total dan sedikit ruang yang diberikan untuk menghargai anak-anak. Malah, tidak keterlaluan juga saya sebutkan, suami pada zaman tersebut juga tidak menunjukkan penghargaan kepada isterinya secara emosi dan beranggapan bahawa penghargaan tersebut adalah sufficient dengan penyediaan nafkah zahir dan batin secukupnya.

Penghargaan ini mungkin pada segelintir pihak bukanlah isu besar, tetapi sebenarnya penghargaan ini yang memegang kunci emosi dan perasaan. Penghargaan boleh menukar seseorang daripada benci kepada sayang, suka kepada meluat dan seumpamanya. Alhamdulillah, generasi sekarang saya lihat lebih peka dalam menghargai berbanding generasi sebelumnya.

Apakah penghargaan tersebut perlu dengan jujukan material? Tidak perlu sebenarnya. Saya bagi contoh mudah;

Hari ini adalah hari lahir anda. Seharusnya anda merasa gembira dan menanti ucapan selamat. Namun hari tersebut, tiada seorang pun yang memberi ucap selamat. OK, mungkin rakan-rakan anda lupa, tidak mengapa. Tetapi ibu bapa anda juga tidak memberikan ucap mereka, dan hari tersebut adalah seperti hari-hari lain yang ordinary. Apa perasaan anda?

Secara peribadi saya telah bertanya kepada beberapa orang (dalam generasi ibu bapa saya – lahir 50’an – 70’an) dan sebahagian besar memaklumkan bahawa amat jarang (malah ada yang tidak pernah) ibu bapa mereka mengucapkan selamat hari lahir. Juga, jika mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran atau apa-apa pencapaian yang signifikan, penghargaan secara peribadi adalah amat jarang dilakukan.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana sebagaimana yang saya sebutkan tadi, cara parenting pada zaman itu adalah sedemikian rupa. Maka anak-anak ini menjadi indifferent pada sikap dan menjadi kaku dalam memberi penghargaan. Berdasarkan kajian saya juga, mereka sebenarnya bukan mahu penghargaan daripada sudut material, tetapi cukup sekadar ucapan yang menunjukkan kepekaan dan ingatan.

“A simple good morning (or motivational/support) message can change someone’s day from doom to full with glory, although he/she will face the hell of life on that day” – AUDI FALIQ IBRAHIM

Para pembaca yang dihormati,

Menghargai itu adalah asing, terasing. Maka anak-anak ini rasa terasing daripada ibubapa mereka, walaupun secara fizikalnya mereka mesra dan kelihatan tiada masalah. Bercakap berkenaan pengalaman, saya ada merasa sendiri cara parenting sebegini tetapi ibubapa saya tidak setegas datuk nenek saya dalam isu disiplin. Penghargaan masih diberikan walaupun tidak komprehensif, dan adik-adik saya amat bertuah kerana ibu bapa saya bersikap lebih lenient dan boleh mendengar pendapat dan kritikan.

Boleh dibuat inferens di sini bahawa kita perlu mencari jalan dalam membudayakan sikap ‘menghargai  dengan mengingati’ di kalangan generasi, terutamanya masyarakat Melayu. Ini dapat membentuk persepsi positif dan tidak bersifat negatif serta bias.

Generasi Peralihan – Sebagai Penggerak (Initiator)

GenerationGapSaya merupakan generasi 80’an. Generasi ini pada saya merupakan generasi peralihan, kerana di zaman kami merupakan tempoh transition antara teknologi mekanikal kepada elektronik. Penggunaan peralatan elektronik mula mencambah pada zaman generasi 80’an ni. Walkman, kaset lagu, komputer, TV berwarna, NES (Micro Genius –  permainan elektronik), jam digital (Baby G), Tetris, lahir di zaman generasi 80’an. Ini bermaksud, generasi kami berpeluang merasakan hidup secara manual (basuh baju guna tangan/mesin semi-auto) kepada mesin basuh automatik. Kipas angin kepada air-cond, umpamanya.

Daripada sudut interaksi, kami juga adalah generasi yang hybrid, kerana pada zaman saya, interaksi sosial sudah menjadi lebih luas dan terbuka. Dahulunya, ibu bapa kita terhad ruang lingkupnya kepada hanya local iaitu setempat (kampung, pekan atau paling jauh, negeri) tetapi generasi saya ruang lingkupnya adalah lebih luas. Di sekolah dan institusi pengajian tinggi, generasi kami berpeluang berinteraksi dengan rakan-rakan dari negeri lain dan sekaligus memberikan insights dan pengetahuan terhadap cara hidup dan budaya negeri masing-masing serta memupuk semangat toleransi.

Para pembaca yang dihormati,

Bercakap mengenai negeri-negeri, generasi dahulu yang ruang lingkupnya bersifat setempat, kerap mempunyai persepsi negatif terhadap individu daripada negeri lain. Ungkapan seperti “Orang Melaka kasar-kasar” atau “Orang Kelantan/Terengganu sombong” atau “Orang Negeri Sembilan bela hantu/saka” (sekadar memberikan contoh realiti berdasarkan pengalaman) merupakan satu perkara short-sighted dan lahir daripada persepsi yang salah kerana hanya mendengar cakap-cakap orang yang tidak sahih atau terpencil sifatnya. Tetapi konotasi negatif ini semakin berkurang kerana generasi kami (dan seterusnya) lebih berpeluang bercampur dan belajar dengan pelbagai lapisan bangsa dan negeri, dan menghapuskan stigma kenegerian secara perlahan-lahan.

Sekarang ni perkahwinan intra-family (sepupu) atau intra-state semakin berkurang dan lebih banyak perkahwinan inter-state. Ini adalah hasil daripada interaksi sosial yang lebih terbuka. Kita perlu berkenal-kenalan lebih daripada zon kita sendiri untuk melahirkan persepsi positif dan lebih memahami.

Maka, generasi 80’an ini merupakan jambatan (bridge) yang mengharmonikan style keibubapaan dahulu dan sekarang. Rakan-rakan saya yang telah berkahwin dan mempunyai anak mengadaptasikan parenting yang lebih terbuka dan toleran – mereka sedia mendengar input daripada anak-anak di samping tidak mengetepikan aspek disiplin, kesantunan dan keagamaan. Ini hasil daripada persepsi positif yang kami nikmati dan pelajari. Juga, saya dan rakan-rakan juga menggalakkan ibu bapa kami bersifat lebih terbuka dan adaptive kepada cara masa kini tanpa mengabaikan kesusilaan dan adat budaya.

Mencetus Konklusi

Rumusannya, persepsi setiap generasi adalah berbeza dan faktor didikan dan stail keibubapaan memainkan peranan penting dalam membentuk minda dan sahsiah seorang anak. Juga, penghargaan memainkan peranan yang amat besar dan tidak seharusnya diabaikan kerana emosi merupakan salah satu kunci kestabilan sikap dan pemikiran dan jika emosi diabaikan, tidak mustahil seseorang itu boleh hilang arah punca dan menyalahkan diri sendiri.

 Sebagai penutup, saya akhiri dengan ungkapan daripada Saidina Umar Al-Khattab, yang saya rasa amat cocok dengan artikel ini kerana ia menyentuh berkenaan approach dan kesan generasi;

“Bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka…”

Rujukan

1. Utusan Online: Bicara Agama – Berusaha mendidik remaja (baca)
2. Wikipedia: Generation (baca)

This entry was posted in Analysis & Research, Anecdote, Bahasa Melayu, Lifestyle & Social, Motivational and tagged , , , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s