Penghujung Rindu (Coretan Pembuka 2014)


20140108 Ros Putih

Pertamanya, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada para pembaca yang dihormati. Alhamdulillah, kita masih diberi penghormatan dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan di tahun 2014, dalam melaksanakan amanah dan perkongsian ilmu dan kasih sayang sesama kita.

Sepanjang 2013 yang telah berlalu, kita telah melalui pelbagai suka duka, cabaran dan keriangan yang memberi kita ilmu dan pengalaman. Saya pasti setiap situasi yang berlaku pada diri kita sepanjang 2013  adalah satu peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T. untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu dan pengalaman, di samping menguji kita untuk sentiasa bersyukur dan berdoa kepadaNya. Situasi yang menggembirakan adalah satu anugerah, manakala situasi yang mengecewakan adalah satu ujian daripadaNya.

Tahun 2013 merupakan tahun yang mencabar bagi diri saya, baik daripada aspek perhubungan, ekonomi dan persepsi. Saya telah melalui kitaran situasi yang amat menduga minda dan hati, di mana situasi-situasi yang dilalui ini adalah berada di luar kawalan dan datang secara kejutan serta bertimpa-timpa. Tidak dinafikan pada peringkat awal, saya lebih cenderung untuk menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku sehingga pada satu tahap hampir patah hati, tetapi setelah berfikir dengan mendalam, situasi-situasi luar jangka yang ditakdirkan kepada saya ini mungkin merupakan satu ‘bayaran’ untuk saya mendapatkan perkara yang lebih baik di masa-masa akan datang. Allah S.W.T. telah berfirman dalam Al-Quran (94:5-6)

20140108 Al-Insyirah

Ayat ini diulang, dan ini bermaksud ia satu jaminan yang pasti bahawa setiap keperitan, kesulitan yang dialami itu ada hikmah dan kebaikan yang menyusul, dan lazimnya dalam cara yang tidak dijangka. Kita semua tertakluk kepada perancangan agung yang telah disusun oleh Allah S.W.T. dan dalam garis masa kehidupan kita, ada masa kita akan diberi kegembiraan dan ada masa kita akan diberikan kedukaan dan kesukaran. Tiada manusia yang akan terlepas, hatta Nabi S.A.W. juga diuji dengan ujian yang begitu berat.

Kehilangan

Salah satu ujian itu, mungkin, apabila kita merasai kehilangan yang tidak terduga. Jika ia kehilangan yang berkekalan (kematian), maka itu sebenarnya satu peringatan kepada kita bahawa orang sekeliling kita juga bakal kehilangan diri kita secara kekal bila tiba masanya. Tetapi jika kehilangan itu bersifat sementara, kadang-kala Allah S.W.T. akan gantikan dengan lebih baik ATAU Allah S.W.T. ciptakan situasi kehilangan itu agar kita akan lebih menghargai apabila tiba saatnya bersatu kembali.

Salah satu hikmah (pada pandangan saya) mengapa Allah merahsiakan perjalanan takdir hambaNya adalah kerana untuk kita membuat penilaian berkenaan jalan yang mana kita hendak lalui. Kita sebenarnya diberi pilihan dalam kehidupan kita dan takdir itu tidak akan berlaku kejam. Cuma dalam proses pemilihan itu, kita akan ditakdirkan dengan situasi di mana mendesak kita membuat keputusan dan di sinilah sebenarnya kebijaksaan Allah S.W.T. itu terletak  – Dia mahu memberi kita ilmu dan pengalaman dalam mengendalikan situasi seumpamanya.

Semasa dalam kegembiraan, lazimnya kita akan lupa kepada Allah S.W.T. kerana ‘hanyut’ dek kegembiraan tersebut. Maka sebagai satu wake-up call, Allah S.W.T. mungkin akan menarik sebentar kegembiraan tersebut dan memberi kita kehilangan. Kehilangan ini adalah peluang untuk kita (dan pihak satu lagi) untuk bermuhasabah dan menghargai nikmat kurniaan Allah S.W.T.

Betul, kita mungkin tidak pernah lupa untuk bersyukur, tetapi Allah S.W.T. anugerahkan kehilangan ini untuk melihat sama ada kita setia untuk merayu kepadaNya, mengakui kekuasaanNya. Jika seseorang itu sememangnya ditakdirkan untuk kita, merupakan hak kita, maka walaupun diuji dengan kehilangan dan perpisahan, Allah akan ketemukan kembali mereka. Takdir itu merupakan perkara yang sulit untuk kita fahami dengan akal fikiran tetapi hati dapat merasakannya.

Penghujung Rindu

Jika dia adalah takdir kita, adalah sebenar-benar hak kita, bila tiba masa, Allah S.W.T. akan laksanakan perancanganNya untuk dia hadir kembali dekat dengan kita, rasa senang dengan kita, dan rasa begitu tenang dengan kita.

Memulakan semula itu bukan satu perkara mustahil, tetapi satu peluang ke arah yang lebih baik dan bahagia kerana kita telah merasai betapa peritnya satu kehilangan walaupun kehilangan itu bukan disebabkan oleh diri kita dan kerana situasi tidak berpihak pada diri.

Maka, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, ada sebabnya, ada ilmunya. Ada penawar pada setiap kepahitan yang perlu kita telan, ada penyembuhnya pada setiap perit luka yang perlu kita basuh.

Kuncinya adalah – TAKDIR dan WAKTU.

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s