Perutusan Aidilfitri 2014 – Pemahaman Dan Harapan


2014-Perutusan

Insan yang rasional tidak akan menanam harapan jika dia tiada keinginan untuk mencapainya. Umpama menanam pohon buah namun bukan untuk dimakan hasilnya.

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera,

Saat artikel ini dicatat, kita sedang berada di minggu terakhir Ramadhan 1435H. Umumnya semua maklum berkenaan keberkatan Ramadhan, dan salah satunya adalah di bulan mulia ini, doa kita lebih dekat dengan Allah S.W.T. dan jika diizinkan, akan dimakbulkan. Maka di bulan Al-Mubarak inilah, adalah saat terbaik untuk kita luahkan harapan kita kepada Maha Mengetahui.

Rakan-rakan yang dihormati,

Umur kita diukur dengan masa. Masa itu pula, bergerak ke hadapan dan tidak sekali-kali akan berpatah balik. Justeru, umur akan meningkat seiring masa yang bergerak ke hadapan. Ada yang merasakan masa itu begitu pantas bergerak bagaikan tiada daya dikejar, ada pula yang merasakan masa itu merangkak perlahan dan tersekat untuk mencapai objektif. Masa itu relatif kepada kita semua walaupun setiap daripada kita diberi tempoh yang sama iaitu 24 jam dalam satu hari.

Masa dan umur yang meningkat memerlukan kita untuk membuat perancangan, atau setidak-tidaknya mempunyai objektif hidup yang ingin dicapai. Realistik ataupun fantasi bukanlah sebab utamanya, kerana apa jua yang dirancang merupakan satu harapan. Harapan itu semestinya, kita semua inginkan ia menjadi kenyataan dan bukan tinggal mainan dalam fikiran.

Setiap daripada kita mempunyai pelbagai set harapan dan tidak semestinya saling eksklusif. Harapan itu boleh jadi satu perkara yang boleh diukur ataupun ia hanya satu konsep abstrak tetapi mampu dicapai jika faktor-faktor pencetusnya dapat diraih dan dicetuskan. Harapan boleh berubah-ubah mengikut masa, tempat, pengaruh luar, pengaruh dalam, dan sebab-sebab (constraint) yang lain, sama ada di dalam kawalan kita ataupun di luar kawalan.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Dalam setiap senarai harapan dan keinginan, kita akan memberi penekanan kepada harapan yang akan memberi kepuasan diri terlebih dahulu. Harapan yang menjanjikan kita kegembiraan dan keceriaan. Kita tidak mahu satu harapan yang menjanjikan kebahagiaan itu bertukar menjadi harapan yang memberi kesakitan dan kekecewaan. Setiap daripada kita tidak mahu perkara seumpamanya berlaku, apatah berfikir potensi untuk setiap satunya berlaku. Kita tidak suka, benci untuk memikirkan musabab negatif berlaku di depan mata.

Dalam keinginan mencapai sesuatu harapan itu, kita perlu membina. Membina itu boleh dilakukan secara sendirian, ataupun secara berjemaah, bersama dengan insan atau kumpulan yang berkongsi harapan atau impian yang sama. Mungkin dengan membina secara bersama, harapan itu akan menjadi lebih kukuh, realistik dan memberi darjah kegembiraan yang lebih tinggi. Jika outputnya cemerlang dengan cara kerja berpasukan, maka logiknya, lebih molek jika dilaksanakan bersama dan bukan secara sendirian.

Membina satu harapan itu mengambil masa dan hasilnya bukan boleh dilihat dalam sekelip mata. Walaubagaimanapun Allah S.W.T. telah menganugerahkan kepada minda kita keupayaan untuk membayangkan output yang mampu terjadi di akhir pembinaan tersebut. Contohnya, kita sedang membina satu harapan untuk berkeluarga (berkahwin) dan di minda kita, di saat ini, kita mampu membayangkan hasilnya – duduk di sebelah pasangan, dengan anak-anak di sekeliling kita, dalam suasana yang bahagia, tenang, gembira, tenteram. Satu ideal, satu kesempurnaan.

Keupayaan minda untuk memprojeksi gambaran akhir (output) yang sempurna menyebabkan kita kadang-kadang tidak boleh menerima jika ada halangan yang mengganggu proses pembinaan harapan kita. Gangguan (distruptions) ini akan menyebabkan emosi kita membayangkan halangan-halangan yang berlaku secara berlebihan dan tidak mustahil akan menyebabkan minda berkata ia tidak dapat dilaksanakan dan gagal di separa jalan.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Kita mempunyai minda. Kita mempunyai emosi. Melalui minda kita mencipta idea, gagasan, dan harapan. Melalui emosi, kita memberi motivasi kepada diri untuk mencapai harapan tersebut. Namun melalui emosi juga, ia mampu menghancurkan motivasi dan memberi imej negatif kepada harapan yang ingin dicapai.

Acap kali kita mendengar cakap orang, apabila emosi menguasai minda, segala-galanya akan dilihat serabut dan negatif. Kita juga sering mengatakan bahawa minda kita lebih kuat daripada emosi, namun tindakan kita mencerminkan sebaliknya. Kita bertindak berdasarkan emosi dan bukan atas minda (rasional). Kita melihat sesuatu daripada kaca mata emosi terlebih dahulu sebelum kita melihat secara rasional. Kita menilai berdasarkan emosi sebelum kita menilai sebab dan musababnya (rasional). Mungkin ada yang menafikan, tetapi itulah yang berlaku.

Kebanyakan harapan terbengkalai apabila anasir luar dan dalam mula masuk campur dan ancaman ini dinilai daripada sudut emosi terlebih dahulu sebelum rasional mengambil alih.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Minda kita melihat sesuatu perkara berdasarkan idea dan nilai yang telah sedia tertanam dalam diri. Setiap daripada kita memiliki set idea dan nilai yang unik berdasarkan latar pendidikan, latar keluarga, pengalaman yang dilalui dan ilmu pengetahuan yang ada. Maka, apabila sesuatu stimulus (input) diberi, setiap daripada kita akan menafsirkan mengikut set idea masing-masing, dan hasilnya (output) boleh jadi positif dan negatif. Contoh mudah adalah seperti berikut;

Apabila melihat buah limau yang biasa, ada yang menafsirkan ia manis dan ada pula yang masam, walaupun limau itu belum dikupas lagi. Manis, masam itu merupakan analogi kepada emosi, yang dirumus daripada idea dan nilai kendiri, dan rasionalnya adalah apabila kita telah mengupas limau tersebut dan mengetahui hakikat rasanya.

Amat malang sekali sebahagian besar daripada kita cenderung untuk menilai sesuatu situasi dan halangan itu dari kacamata emosi dan terus memberi penghakiman (pre-judgement). Saya juga tidak terkecuali, kerana kecenderungan emosi kita lebih kuat daripada rasional, terutamanya apabila disuntik oleh stimulus (emosi) luaran (rakan, saudara-mara, dan lain-lain) yang tidak tahu hujung pangkal apa yang berlaku namun bertindak umpamanya dirinya serba tahu. Satu kekesalan sebenarnya apabila keputusan dibuat atas dasar emosi dan bukan rasional.

Saya kurang bersetuju dengan perumpamaan ‘lebih makan garam’ yang sering ditekankan oleh generasi sebelumnya. Apa yang berlaku adalah generasi sebelumnya cuba untuk menyuntik rangka idea dan nilai mereka kepada generasi yang baharu, tanpa menilai keserasiannya (compatibility). Apa yang dipegang adalah emosi – generasi sebelumnya melihat rangka tersebut berjaya pada waktunya, dan terus beranggapan ianya juga akan berjaya pada waktu ini, di mana realitinya, ia mencetuskan ketidaksenangan dan konflik.

Rakan-rakan yang saya hormati sekalian,

Tajuk artikel ini adalah ‘Pemahaman dan Harapan’ kerana saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan semua untuk meletakkan pemahaman (rasional) melebihi emosi dalam semua gerakerja kita. Kita semua mungkin telah tersasar apabila kita membayangkan harapan kita dalam kanta emosi fantasi semata-mata tanpa mengambil kita atau memberatkan (prioritize) kanta rasional dalam berkeputusan dan memberi kehakiman.

Apabila kita melihat harapan yang dibina di ambang ancaman, emosi kita akan mula timbul dan menjadi dominan, dan domain-domain (persepsi) negatif akan mula mengambil tempat dan mempengaruhi. Kita membayangkan persepsi yang negatif yang tidak berlaku sebagai realiti kerana emosi telah menyempitkan rasional kita. Apabila kita semakin ditekan, kita akan cuba mencari jalan keluar yang pantas dan emosi kita memberikan jalan tersebut berbanding rasional yang cuba mengajak kita bermuhasabah, menilai, menyiasat yang bagi kita adalah menyusahkan (burdensome).

Manusia akan memilih jalan mudah kerana ia tidak suka dibebankan dengan perkara-perkara yang memenatkan. Emosi adalah ubat yang paling pantas dan mudah namun memiliki kesan sampingan yang paling panjang. Di umur tua kita nanti, kita akan dipenuhi dengan sesalan, namun segalanya sudah terlambat.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Dalam setiap konflik ketika membina harapan, kesalahan itu mungkin berpunca daripada salah satu pihak, atau daripada ancaman (emosi) luar yang menyucuk, ataupun mungkin pihak-pihak yang terlibat tidak bersalah langsung. Apa yang berlaku sebenarnya adalah salah tafsir atas tindakan dan perlakuan salah satu pihak yang berkenaan yang dilihat negatif oleh pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Sebagaimana yang disebutkan sebelumnya, kita semua menafsir sesuatu situasi secara berbeza. Satu situasi positif dilihat negatif oleh satu pihak kerana koleksi ideanya (pengalaman dan lain-lain) melihatnya sebagai negatif atas apa yang pernah dilalui. Justeru, saya berani mengatakan bahawa kita hidup dalam dunia yang penuh salah faham dan berburuk sangka, kerana emosi yang melampaui rasional.

Dalam Islam, kita diajar untuk berbaik sangka dalam setiap perkara. Berbaik sangka dari sudut falsafahnya bermaksud kita meletakkan rasional di atas emosi. Kita menilai dari setiap aspek sebelum meletakkan faktor emosi. Jika tindakannya adalah salah dari setiap aspek, maka tidak salah meletakkan emosi ‘benci’ kepadanya, namun jika emosi ‘benci’ ditunjukkan sebelum melihat perkara di sebalik (underneath), maka liabiliti kebenaran adalah pada diri kita. Kita tersalah hukum atas kekhilafan tafsir, yang mungkin memberi liabiliti emosi kepada orang yang tidak bersalah.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Tujuan saya menulis artikel ini bukan untuk menjustifikasikan tindakan saya terhadap beberapa orang yang mungkin telah salah faham atas apa yang berlaku. Saya bersetuju dan menerima dengan sepenuh hati jika kalian yang berkenaan telah memberikan penghakiman negatif dan meletakkan satu label kekal yang pada mata kalian adalah satu kebenaran. Saya hormati jika itu keputusan yang diberikan.

Berkenaan harapan yang telah diberikan, ia bukan fantasi. Mungkin kerana tiada perkara realistik yang dapat dilihat di depan mata, situasi yang kelihatan samar, maka tafsiran yang diberikan adalah ia hanya satu harapan yang tidak mungkin, satu janji yang sia-sia. Sekali lagi, sebagaimana yang disebut di awal artikel ini, insan yang rasional tidak akan menanam harapan jika dia tiada keinginan untuk mencapainya. Umpama menanam pohon buah namun bukan untuk dimakan hasilnya. Saya ingin makan buah tersebut dan berkongsi bersama.

Setahun yang sudah telah digarap kesungguhan untuk kembali semula, maka satu tindakan bodoh jika tidak ingin membawanya ke tahap yang lebih tinggi, ke tingkat kebahagiaan yang diinginkan oleh setiap insan. Cuma sedikit beremosi apabila tiada deklarasi kesungguhan menunjukkan satu cantuman kasih sayang dan beberapa kenyataan yang boleh mencetuskan tafsiran syak (doubtful intention). Namun tetap berlapang dada dan bersangka baik. Kesempitan masa kerana komitmen mungkin menekan emosi dan memberi satu kacamata negatif kepada kita semua.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Di penghujung Ramadhan, harapnya kita semua lebih rasional dan bukan emosi menjadi mainan dan mencetus salah sangka. Walaupun setiap malam Ramadhan itu sunyi pada lahiriahnya, tetapi doa tetap dipanjatkan agar kita diberi kekuatan rasional dan ikatan.

Kepada rakan-rakan pembaca, selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Saya sayang anda semua walau di mana kalian berada. Semoga kita semua lebih rasional dan memahami dalam mencapai harapan yang ingin dikecapi.

Dengan penuh hormat,
AUDI FALIQ BIN IBRAHIM
21 Julai 2014

NOTA: Disunting semula pada 3 Ogos 2014

This entry was posted in Bahasa Melayu, Motivational, Official Statement and tagged , , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s