Kembali Kepada Realiti – Perutusan Tahun Baru 2015


20141231-EndOfYearProclamation1

Assalamualaikum W.B.T. dan salam sejahtera,

Hari terakhir 2014. Ada yang mungkin berasa ‘biasa’ sepertimana hari-hari yang lain. 365 hari yang dilalui tahun ini, sudah pasti berbagai manis dan pahitnya. Adalah berbeza pengalaman yang dilalui setiap daripada kita.

Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran. Aspek cabaran itu pelbagai, ada yang berjaya diatasi, ada yang ditakdirkan tidak berhasil. Sebab-musabab itu sebahagiannya berpunca daripada diri saya sendiri yang ‘disillusionment’.

Setiap orang punya kekuatan dan kelemahan, bahasa mudahnya, kita tidak sempurna. Kita boleh membayangkan kesempurnaan, tetapi apabila kita terlalu mengejar kesempurnaan, ia sebenarnya satu peluru yang membunuh. Saya terlalu berpegang kepada doktrin ini dan menyebabkan beberapa perkara itu tidak menjadi dan mengorbankan diri.

Terdisilusi dengan kesempurnaan merupakan kesilapan saya. Apabila merancang sesuatu, saya membayangkan hasil yang sempurna. Tidak salah mengimpikan kesempurnaan, tetapi masalahnya apabila kesempurnaan itu ingin diterjemah ke realiti dalam apa jua cara, ia sebenarnya akan merencatkan perancangan itu dan seterusnya ia tidak akan menjadi realiti.

Saya berdiskusi dengan seorang rakan (perempuan) baru-baru ini, dan beliau adalah yang pertama berterus terang dan memperlihatkan kesilapan saya ini. Selaku pemerhati yang melihat cara saya berfikir dan bertindak, beliau telah ‘marah’ dengan cara saya melaksanakan sesuatu. Disebutkan, saya adalah orang yang pandai merancang tetapi gagal dalam melaksanakan perancangan, kerana saya terlalu bergantung kepada teori dan kesempurnaan.

Mendengar ‘kemarahan’ beliau, saya tersentak. Saya cuba memberi justifikasi, dengan membentangkan faktor luaran, sejarah dan sebagainya. Saya bertindak defensif, cuba untuk menafikan analisis beliau. Beliau membidas kembali dengan fakta-fakta yang mudah dan jelas. Saya akui, fakta beliau benar, dan saya menerimanya dengan hati terbuka.

Saya tidak marah dengan komen beliau, tetapi amat menghargainya. Jika beliau tidak meluahkan nasihat dan kemarahan itu, mungkin saya hanyut dalam dunia teori dan kesempurnaan. Saya perlu mengubah perspektif, cara bertindak dengan meletakkan tindakan mendahului pemikiran sebagai satu doktrin baharu.

Tindakan melampaui pemikiran mungkin kelihatan radikal. Kita diajar untuk berfikir sebelum bertindak. Tetapi kebanyakan daripada kita (termasuk saya) telah salah faham dengan frasa ‘berfikir sebelum bertindak’ ini. Kita berfikir terlalu mendalam dengan butiran dan perancangan yang terlampau terperinci, analisis risiko, analisis itu dan ini sehingga akhirnya di peringkat perancangan itu, kita membayangkan perkara negatif.

Kita telah me-negatif-kan perkara yang belum berlaku, dan keputusannya, kita mengelak untuk melaksanakannya. Perancangan tidak menjadi kenyataan. Itulah sedikit sebanyak yang berlaku pada saya – saya terlalu banyak berfikir sehingga ter-‘disillution’ dengan bayangan negatif.

Itulah kesilapan saya, yang menyebabkan saya membayar kos yang amat tinggi atas beberapa perancangan. Ada ketika, saya terlalu risau akan impak negatif sehingga saya beberapa kali membawa perancangan ke ‘drawing board’ dan menyebabkan saya terlepas ruang dan peluang. Doktrin ‘theory-centric’ inilah yang telah melunturkan kepercayaan beberapa rakan kerana melihat saya lambat bertindak. Terlalu mengejar kesempurnaan telah menyebabkan satu hubungan itu tidak berterusan dan gagal.

Kata rakan saya itu lagi, saya sebenarnya tidak tahu apa yang saya mahukan, kerana terlalu memikirkan situasi yang ideal dan ingin memuaskan hati orang lain melebihi hajat diri sendiri. Ideal itu tidak wujud, dan saya harus kembali kepada realiti. Bertindak mengikut apa yang berlaku, dan bukan fikiran menjadi wajaran utama. Saya perlu anjak cara saya berfikir dan bertindak, dan ‘enjoy the life’ dan tidak semata-mata duduk dalam kepompong teori.

Semasa belajar dahulu, dalam setiap buku teks, sebenarnya kita telah diberikan ‘amaran’ bahawa teori adalah satu anggapan dalam ruang kesempurnaan, dan realiti adalah amat berlainan. Teori berfungsi sebagai panduan dan bukan untuk diikuti 100%, dan dalam teori, mungkin hanya 5% yang benar. Tetapi saya telah melihat teori itu umpama panduan yang sempurna dan terlupa teori juga merupakan hasil pemikiran manusia yang tidak lepas daripada kesilapan.

Kebelakangan ini saya telah membeli pelbagai buku berkenaan cinta kerana saya ingin mencari jawapan dan memahami bagaimana perasaan cinta dan hati itu berfungsi. Saya telah membeli buku daripada pakar luar negara, termasuk daripada penulisan yang bersifat Islamik, dan bukan sedikit buku yang saya beli. Ia semata-mata kerana ingin mencari jawapan berkenaan mengapa saya gagal untuk ‘sustain’ satu perhubungan di kala saya merasakan saya telah memberikan segala-galanya, termasuk ruang dan masa. Saya gagal mencari jawapannya di dalam buku-buku ini.

Apabila saya gagal mencari jawapan, saya menjadi tidak faham, dan mula mengeluarkan pelbagai teori. Saya menilai daripada aspek apa yang telah saya lakukan kepada (bekas) pasangan saya itu. Saya bertanya kepada beberapa rakan saya, termasuk yang memarahi saya itu, dan mereka semua memberi jawapan yang sama – saya lambat kerana terlalu ingin sempurna dan takut dengan realiti. Saya inginkan kestabilan sebelum berumahtangga, dan dek kerana berfikir begitu, saya membayangkan kestabilan itu dengan maksud memiliki rumah, kerjaya yang bergaji tinggi, dan saya silap – bukan itu yang dilihat sebenarnya. Apa yang diinginkan adalah kesungguhan dalam perhubungan dan itu diterjemahkan melalui ikatan. Bukan sekali saya diingatkan tetapi berkali-kali, tetapi kerana takut impak negatif, saya cuba tahan permintaan itu dan hasilnya, ia gagal lagi.

Justeru, di tahun baru 2015 ini, saya tidak mahu menulis satu senarai azam/resolusi sebagaimana yang saya lakukan di tahun-tahun yang sudah. Semua itu hanya satu teori, dan apabila menulis azam, saya membayangkan kesempurnaan dan bukan realiti. Apa yang saya inginkan di tahun baru nanti, adalah perubahan doktrin diri – iaitu saya akan bertindak dan berfikir, bukan berfikir sebelum bertindak. Saya perlu berpijak di bumi nyata dan bukan berlegar di kayangan yang sempurna. Rakan-rakan, bantulah saya jika saya tersasar.

Selamat tahun baru 2015 kepada rakan-rakan. Semoga 2015 ini memberi lembaran yang benar-benar baharu dan bukan lagi satu teori. Kepada saudari Syairah Diyana, saudara Asuad Ismail, dan beberapa orang lagi yang telah memberikan ‘amaran’ dan ‘nasihat’, terima kasih kerana anda semua telah kembali membawa saya ke dunia realiti.

2015Sign

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Motivational, Official Statement and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s