Mengimbangi Kekangan Dan Tekanan


20150109-Understanding-Limit-1

Setiap perkara ada batasan, sama ada batasan itu nyata atau abstrak. Batasan, atau had, adalah perlu kerana setiap perkara, situasi atau objek itu tidak sempurna dan mampu melaksanakan fungsi dan tugasan melebihi kemampuan. Juga, batasan/had itu berperanan sebagai elemen pemantauan (check and balance) agar perkara, situasi atau objek itu dalam keadaan yang harmoni dan terkawal. Melampaui batasan, akan mencetuskan impak negatif yang lazimnya bersifat jangka panjang.

Dalam anekdot ini, saya ingin memberi pendapat berkenaan situasi kekangan dalam persekitaran kerja dan komitmen. Sebagai individu bekerjaya, semestinya kerja kita itu ada bidang (skop) yang menerangkan apa yang perlu dilaksana dan apa yang tidak boleh dilakukan. Bidang, skop atau deskripsi kerja ini, adalah batas (limit/constraint) kepada kita. Sebagai seorang pekerja, kita ditegah untuk melaksana perkara yang di luar skop tugas, kecuali melalui arahan rasmi daripada pihak atasan. Ini difahami oleh semua orang.

Kekangan

Batas yang disebutkan itu adalah bersifat tampak, iaitu butiran yang jelas untuk kita ikuti dalam hal kerja (dan juga komitmen harian lain). Tetapi, kita sebagai manusia, juga ada batasan daripada sudut kemampuan fizikal, mental dan emosi. Manusia bukan bersifat mesin, yang bebas daripada batasan (ini juga tidak tepat per se, kerana mesin juga ada had operasi). Menariknya, kekangan dalam diri manusia ini jika dilampaui, akan melahirkan tekanan. Tekanan ini merugikan kerana ia akan menjadi sampah (waste) daripada pelbagai sudut.

Saya teringat ayat dalam Al-Quran yang menegah kita daripada melampaui batas;

20150109-Quran-7-31

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-A’raf: 31)

Allah S.W.T. Maha Mengetahui akan keupayaan hamba-hambaNya, dan apabila seorang manusia itu melampaui batas, dia bukan lagi berada di dalam keadaan rasional dan sedar. Ayat di atas, walaupun konteksnya merujuk kepada kesederhanaan, tetapi ‘melampaui batas’ itu sebenarnya boleh kita ekstrapolasi ke konteks yang lebih luas iaitu – kita perlu memahami batas-batas diri kita selaku seorang manusia. Kita tidak boleh memaksa diri jika ia amat jelas akan memberikan impak negatif kepada diri dan juga sekeliling.

Dalam hal kerja dan komitmen, jika kita seorang pengurus atau ketua, kita harus faham batasan dan keupayaan pekerja kita. Niat kita mungkin murni – mahu memberikan satu pelajaran, pengalaman atau skil dengan mengarahkan pekerja kita melakukan sesuatu tugasan sama ada dalam bidang atau luar bidang, tetapi pada masa yang sama, kita harus mengambil kira had yang ada dalam diri mereka – had yang dimaksudkan adalah sama ada pekerja kita itu punya masa untuk diri mereka, pasangan, keluarga dan rakan-rakan. Juga adakah ilmu yang dimiliki itu mampu menghasilkan tugasan yang baik, jika tidak, apakah cara kita itu membantu (coach)?

Saya pernah bersama dalam satu organisasi di mana ada empat (4) pekerja di bawah saya, dan mereka ini ada yang lebih muda dan ada yang lebih tua daripada saya. Setiap daripada mereka itu mempunyai gaya kerja yang berbeza, tetapi semuanya amat komited. Adalah lumrah apabila diberi tugasan, terdapat ralat kecil, dan lazimnya saya sendiri akan memperbetulkan ralat tersebut tanpa memberitahu pekerja yang berkenaan. Ini kerana saya faham situasi mereka – ada yang tertekan memikir hal keluarga, ada yang mungkin terlalu seronok meluangkan masa bersama pasangan/rakan-rakan dan terbawa-bawa ke tempat kerja. Memahami pekerja adalah satu perkara yang amat penting, dan di masa ini, cara pengurusan tidak lagi sesuai mengguna pakai doktrin ‘autokratik’.

Tekanan

Menyebut tentang tekanan, saya difahamkan masyarakat masa kini adalah masyarakat yang tertekan. Saya pelik, kerana jika dibandingkan daripada aspek kerja, zaman ini lebih santai – kita tidak lagi perlu membanting tulang dan berpeluh untuk menerima upah dan gaji, tetapi pekerja zaman dahulu lebih tenang dan gembira (secara relatif). Zaman ini kita duduk dalam hawa dingin dan kerusi empuk, tetapi kita lebih tertekan walaupun hanya perlu berfikir dan menaip.

Jawapannya mudah – punca tertekan itu sebenarnya datang daripada dua pihak, iaitu diri kita sendiri dan pihak luar. Tekanan di tempat kerja yang berpunca daripada diri, salah satunya adalah apabila kita campur aduk perihal kerja dan peribadi. Punca lain, adalah apabila kita tidak berterus terang tentang kemampuan diri kita. Selain itu, punca yang paling utama dan ini sebenarnya satu ubat – apabila kita lupa untuk beribadat kepada Allah S.W.T. semasa bekerja. Beribadat ini termasuklah solat, cuba elak daripada mengeluarkan kata-kata yang kurang enak, dan seumpamanya. Kita berasa tertekan kerana jiwa kita tidak tenang, dan apabila jiwa menjadi tenang, Insya Allah serumit mana pun tugasan tersebut, kita akan rasa lapang dan mampu menanganinya.

Punca luar pula, adalah apabila pihak atasan/pengurusan tidak memahami had/kekangan dalaman pekerjanya, dan hanya tahu menyuap (feed) pekerja dengan tugasan tanpa ada zon penampan (buffer zone). Zon penampan di sini bermaksud, adakah pekerja tersebut diberi masa lapang di luar waktu kerja untuk bersama pasangan/keluarga/rakan tanpa perlu memikirkan hal kerja? Pekerja lazimnya akan berasa tertekan apabila waktu yang sepatutnya tenang dan lapang (baca: cuti) diganggu oleh hal pejabat dan diminta penyelesaian segera.

Saya ada membaca beberapa artikel pengurusan luar negara, di mana kalau tak salah saya, salah satu syarikat automotif Jerman terkemuka, akan menghadkan penerimaan arahan kerja sekiranya pekerja yang berkenaan dalam cuti rasmi. Maksudnya, apabila pekerja itu bercuti, beliau tidak akan menerima sebarang panggilan, SMS, e-mel atau PIN BlackBerry daripada pejabat. Juga, saya mendapat tahu, satu syarikat luar negara, apabila pekerjanya mendapat arahan kerja semasa dalam cuti rasmi, pekerja tersebut akan diberi seminggu cuti ganti tanpa kos! Mengapa? Kerana syarikat-syarikat ini faham apabila pekerjanya dalam cuti rasmi, mereka sebenarnya menyelesaikan komitmen peribadi yang sama tarafnya dengan kerja, dan seharusnya tidak boleh diganggu.

Difahamkan juga ada syarikat multinasional di Malaysia mempunyai polisi HR seumpamanya, tetapi saya belum jumpa (setakat ini), syarikat Malaysia yang mempunyai polisi ‘berani’ seperti itu.

Keseimbangan – Work-Life Balance

Istilah ‘Work-Life Balance’ ini bukanlah asing kepada kita, terutamanya yang mengambil subjek berkaitan pengurusan semasa di universiti. Tetapi aplikasinya amatlah kurang di Malaysia (secara umum). Aspek seorang manusia bukan kerja semata-mata, kita juga ada sisi sosial yang perlu diberi perhatian setara.

Terlalu menumpukan perhatian kepada kerja tanpa menghiraukan sisi sosial (pasangan, keluarga, rakan) adalah satu kesilapan. Adalah benar bahawa kerja itu punca pendapatan dan daripada pendapatan itulah kita gunakan untuk membiayai kos sosial. Ini betul dan satu fakta. Tetapi manusia adalah makhluk emosi, memerlukan ketenangan dan kasih sayang. Emosi itu tidak dapat didapati seratus peratus daripada kerja. Itu mustahil.

Saya tahu ada yang berkata mereka amat sayang dan merasakan kerja itu merupakan nyawa mereka, tetapi mereka tidak faham bahawa kerja adalah dituntut kerana ia merupakan ibadah, tetapi perkara yang paling dituntut (wajib) adalah tanggungjawab kepada Allah S.W.T., Rasul, dan Keluarga. Bahasa mudahnya, kerja adalah alatan (tools) yang memberi kita keupayaan untuk memberi (provide) insan-insan yang penting dalam hidup kita. Terlalu risau dan berfikir perihal kerja melahirkan tekanan dan seterusnya merosakkan hubungan kita. Secara tidak langsung, kita sebenarnya telah melampaui batas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, nasihat untuk diri saya dan rakan-rakan pembaca, kita perlu faham kekangan kita dan rakan-rakan yang lain. Jangan kita memaksa, tetapi kita perlu bersama memperbaiki apa yang ada ke arah yang lebih baik. Autokratik tidak memberi manfaat dan hanya mengundang tekanan, kita perlu suasana kekeluargaan.

Kuncinya, memahami, dan apabila tekanan itu datang, kembali kepada Allah S.W.T.

2015Sign

This entry was posted in Anecdote, Bahasa Melayu, Motivational and tagged . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s