Kisah 4 Isteri


20150112-4Isteri

Dikhabarkan ada seorang hartawan yang memiliki empayar perniagaan yang besar. Beliau mempunyai empat (4) isteri yang masing-masing mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Isteri ke-4 adalah yang termuda di kalangan isteri-isteri beliau. Dek kerana muda dan cantik, hartawan ini sanggup berbelanja dalam memastikan isteri ke-4 beliau ini sentiasa sedap mata memandang. Diberikan pakaian yang cantik, kosmetik yang mahal, serta pelbagai lagi keperluan penjagaan diri yang tidak terbanding.

Isteri ke-3 beliau pula adalah seorang wanita yang bergelar artis, seantero negara mengenalinya. Maka setiap kali hartawan ini keluar ke tempat awam, beliau akan membawa bersama isteri ke-3 ini. Sudah pasti, tumpuan dan reaksi masyarakat adalah amat tinggi setiap kali pasangan ini kelihatan di mana-mana.

Isteri ke-2 pula adalah seorang pensyarah kanan berkelulusan kaunseling dan psikologi. Justeru isteri beliau ini mahir dalam memberi nasihat dan meleraikan jiwa yang kacau. Setiap kali hartawan ini menghadapi masalah, beliau akan meluangkan masa dengan isteri ke-2 ini, dan masalah beliau akan hilang selepas diskusi dan bermanja bersama isterinya.

Isteri pertama, adalah suri rumah sepenuh masa. Setiap kali tiba giliran hartawan itu bermalam di rumahnya, si isteri akan memastikan segala-galanya dalam keadaan terbaik. Rumah dikemas, pakaian terbaik, dan beliau akan memasak sendiri makan malam yang istimewa. Namun, si hartawan tidak menunjukkan rasa gembira, jauh sekali berterima kasih kepada si isteri. Walaupun terasa hati, si isteri tetap menyayangi suaminya sepenuh hati dan jiwa dan sanggup berkorban.

Ditakdirkan pada suatu hari, si hartawan jatuh sakit dan disahkan menghidap barah. Doktor menjangkakan hayat si hartawan hanya mampu bertahan beberapa bulan lagi. Terlantar di katil, si hartawan mula berasa risau, gementar, takut kerananya nyawanya bakal berakhir tidak lama lagi. Beliau berasa keseorangan, dan ingin mengajak isteri-isterinya untuk bersama, bak ikrar orang bercinta – sehidup semati.

Si hartawan memanggil isteri ke-4 bertemunya. Dengan suara yang tersekat-sekat, si hartawan meluahkan betapa beliau mengagumi isterinya itu, dan mengajaknya untuk mati bersama. Si isteri dengan pantas membentak, dan terus keluar daripada bilik wad itu. Tersentak si hartawan melihat tindakan isterinya. Beliau sedih.

Isteri ke-3 pula datang menemuinya. Si hartawan merayu kepada si isteri, namun si isteri tidak mahu, malah dengan bangga memberitahu yang dia akan berkahwin lain selepas kematian si hartawan. Si hartawan tergamam, ingin ditengking si isteri kerana biadap tetapi tiada daya.

Si hartawan teringat isteri ke-2 nya, dan memanggilnya berjumpa. Si isteri, duduk di samping suami di tepi katil, tekun dan memberi semangat kepada si hartawan apabila meluahkan perasaan sedihnya. Tetapi apabila si hartawan mengajak si isteri untuk mati bersama, dia terdiam, lama. Dengan berat, si isteri berkata “Abang, saya boleh memberi semangat, tetapi untuk mati bersama, saya tidak mahu dan tidak akan berlaku!”. Dengan berat hati, si isteri melangkah keluar, meninggalkan suaminya yang pilu dan kelu.

Termenung si hartawan, putus harapan. Beliau tidak tahu lagi, beliau berasa kesal kerana segala curahan harta, tenaga dan masa, tidak dihargai oleh isteri-isterinya. Tidak cukupkah pengorbanan beliau? Tidak puaskah harta yang diberikan, kemewahan, kesenangan? Hidup ini tidak adil! Ketika si hartawan terus berfikir melara, tiba-tiba satu suara, perlahan tetapi penuh kasih sayang, memanggilnya…

“Abang, saya ingin bersama, jangan tinggalkan sayang! Kalau abang mati, sayang juga nak ikut…”

Berkaca-kaca mata dan hati si hartawan, memandang ke pintu. Di sana, isteri pertamanya, dengan badan yang kurus, kelihatan penat, tetapi tetap tersenyum memandang suaminya yang sedang sakit. Itulah isteri pertamanya, yang tidak pernah beliau hargai, tidak pernah diucapkan cinta sayang, tidak pernah dipeluk dicium seperti malam pertama dahulu. Tetapi hari ini, dialah yang datang, menunaikan ikrar sehidup semati yang pernah diucap dahulu.

Kejamnya cinta bukan? Mengapa yang tidak dihargai insan yang benar-benar menyayangi? Mengapa yang bermuka-muka juga yang dicintai?

Sebenarnya, empat isteri itu merupakan satu analogi empat perkara dalam hidup kita.

Isteri ke-4 itu adalah tubuh badan kita. Walaupun kita beri penjagaan terbaik, sabun mahal, spa, supaya nampak hensem/cantik, bila kita mati esok, badan itu akan lupus juga.

Isteri ke-3 itu adalah harta benda kita. Walaupun sebanyak mana kita mengumpul kekayaaan, apabila kita mati esok, harta kita akan berpindah tangan kepada orang lain.

Isteri ke-2 pula adalah keluarga dan rakan-rakan kita. Walau seakrab dan serapat mana pun mereka dengan kita, gelak sedih bila mati esok, mereka hanya boleh mengikut kita sehingga ke kubur sahaja dan selepas itu kita tetap tinggal seorang.

Isteri pertama adalah amalan dan jariah sepanjang hidup kita. Kita lazimnya tidak mengambil pusing hal pahala dan amalan ini, malah terlalu memikirkan hal dunia (isteri 4,3,2) tetapi sebenarnya inilah yang membantu dan mengikuti kita sehingga kita mati, dan menjadi peneman di alam kubur kelak.

Jadi, sebab itu kita perlu berlaku adil kepada empat isteri, dan mengimbangi setiap satu daripadanya.

2015Sign

This entry was posted in Bahasa Melayu, Motivational and tagged , . Bookmark the permalink.

What do you think?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s