Hormat


Sedikit secubit perkongsian sebelum lelap mata dan bangkit esoknya;

  1. Manusia adalah makhluk emosi dan rasional. Orang perempuan lebih dominan pada emosi berbanding rasional manakala lelaki adalah sebaliknya.
  2. Dalam hidup kita, hormat adalah perkara utama. Tiada guna kita berpangkat besar, berharta berjuta atau pandai berjela tetapi tiada perasaan hormat kepada orang yang berada di bawah kita. Berada di atas bukan ‘lesen’ untuk menghina-dina orang di bawah.
  3. Sekali anda kurang ajar pada seseorang, anda telah merentap emosi dan rasa hormat orang itu kepada anda. Jika anda merendah diri dan beradab, anda mencetus rasa hormat orang lain pada anda dan akan memudahkan sesulit-sulit urusan.
  4. Kuncinya adalah ’emosi’. Hormat itu bermaksud anda berbaik dengan emosi dan ego seseorang. Sebagaimana saya sebut di point (1), manusia adalah makhluk emosi. Santunilah emosi seseorang dengan rasional dan bukan berlebihan.
  5. Kepada lelaki terutamanya, peka lah pada emosi orang perempuan. Mereka mudah terasa hati dan jatuh hati jika anda bijak menyantuni emosi mereka. Tetapi janganlah mempermainkan emosi mereka.
  6. Hati itu emosi. Minda itu rasional. Seimbangkan keduanya dan anda akan membina ego positif dan memancar aura kehormatan kepada orang lain.

Diolah semula daripada ‘post’ Facebook ini.

Bahagia


20170203-bahagia

Saudara dan saudari sekalian,

Apakah pemahaman kalian tentang bahagia? Bahagia itu diertikan sebagai gembira, seronok, riang, sayang, cinta dan seumpamanya. Bahagia juga boleh diertikan sebagai ‘sejahtera’. Itu ertinya dalam sejagat (universal). Bahagia itu hadir apabila kita bercakap atau melakukan sesuatu. Ia dizahirkan apabila dirasakan dalam batin. Bahasa Inggerisnya – “Shown from Internal Feeling/Guts”.

Setiap daripada kita ada cara masing-masing untuk menunjukkan diri kita dalam keadaan bahagia. Melalui ucapan, perbuatan, malah niat dan doa. Perasaan bahagia itu boleh hadir apabila kita seronok melakukan sesuatu, atau melaksanakan kebaktian kepada orang lain atau organisasi, atau membuat satu ’cause’ atau kerja amal. Semangat positif yang ditunjukkan oleh diri kita itu adalah maklum balas rasa bahagia.

Membantu orang lain menemui kebahagiaan mereka adalah satu kebahagiaan untuk diri saya, walaupun saya akui, melaksanakannya kadang-kala mengganggu emosi diri. Mungkin nampak bodoh di mata orang lain kerana mengapa saya begitu mendahulukan kebahagiaan orang lain dan pada masa yang sama, menafikan hak kebahagiaan diri sendiri?

Saya menganggapnya sebagai ‘pengorbanan’ – tujuan utama saya adalah untuk melihat insan yang saya sayang dan kagumi hidup bahagia dan menikmati kehidupan dengan sepenuhnya.

Setakat ini saya ‘bahagia’ berseorangan dan melakukan sesuatu secara bersendiri. Saya latih diri untuk berdikari, peka dan mampu membuat keputusan kritikal tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.

Perihal MASA dan WANG


Time-Countdown-1

  1. MASA itu lebih mahal, lebih bernilai, dan lebih terasa kehilangannya, berbanding WANG.
  2. MASA tidak boleh diganti dan ditebus, WANG boleh diganti dan dicari apabila kehabisan.
  3. MASA tidak akan berpatah balik, tetapi WANG boleh ditarik balik jika berkehendak.
  4. MASA boleh ‘dibeli’ tetapi dengan harga yang amat-amat mahal dan ‘trade-off’ yang amat tinggi.
  5. Kita meletakkan WANG sebagai penanda aras, tetapi penanda aras yang terbaik adalah bagaimana kita memanfaatkan MASA dengan sebaik-baiknya.
  6. Allah S.W.T. sendiri bersumpah atas nama MASA, dan kita kerugian kerana MASA dan bukannya WANG.
  7. Kerana MASA itu bergerak ke hadapan dan tidak mungkin berpatah balik. Jika ketetapan itu berlaku, ia akan tetap berlaku.
  8. Benarlah MASA sering memancung kita, dan kita gagal memancung MASA dengan sebaik-baiknya.
  9. Jika kita gagal menyemai kebaikan dan kemesraan di masa lalu dengan baik, kita akan merasakan kesannya sekarang. Ini adalah SEBAB dan AKIBAT.
  10. MASA memberikan kita maklumbalas, tetapi kita seringkali gagal bertindak atas maklumbalas sehingga berlalunya MASA.
  11. Kesal lah dengan MASA yang berlalu, tetapi janganlah kita sia-siakan MASA yang masih tinggal di hadapan.
  12. Bila kita tiada sesiapa kerana gagal meluangkan MASA, tidak ada manfaatnya walaupun WANG kita bertimbun.
  13. Ingatlah, WANG itu boleh dicari ganti, tetapi MASA itu akan tetap berlalu pergi.
  14. Hargailah MASA dan manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya walaupun ia memerlukan WANG.

Separuh Perjalanan


20150702-Half-Way

Hari ini (2 Julai 2015) ialah hari ke-15 dalam bulan Ramadhan. Sudah separuh perjalanan kita dalam bulan puasa ini. Juga, bulan Julai juga menandakan sudah separuh tahun 2015 kita tempuhi. Separuh yang penuh signifikan.

Masa sentiasa berjalan, dan kita lazimnya tidak sedar akan perjalanan masa itu. Kita menyedari masa bergerak setiap kali sambutan hari lahir kita, yang umpama satu peringatan bahawa usia kita bertambah. Setahun demi setahun, apakah tahun-tahun yang telah ditempuhi itu amat signifikan, memberi kesan, dan membawa satu memori yang amat indah?

Separuh Ramadhan, apakah kita merasakan diri kita ada improvement atau mungkin lebih baik sedikit daripada hari-hari yang biasa? Saya sendiri merasa masih banyak kekurangan, masih ada kemalasan serta kekusutan yang perlu diusai dan diperbaiki. Saya ambil maklum akan keberkatan bulan Ramadhan, dan saya sentiasa berdoa agar diri saya ini menjadi lebih baik, di samping hajat-hajat yang lain, yang agak personal.

Separuh 2015, pelbagai peristiwa signifikan yang berlaku. Saya kehilangan seorang ahli keluarga, dan saya juga mendapat pengalaman dan ilmu daripada pendedahan dalam bidang motivasi yang merupakan sebahagian daripada tugas saya. Setiap yang berlaku itu bersebab dan suka duka itu akan membawa kepada suka duka yang lain. Bahasa mudahnya, apa jua yang berlaku itu sebenarnya ujian dan pengalaman untuk melengkapkan diri kita.

Masa yang telah saya tempuhi, saya amat menghargainya. Setiap insan, tempat dan peristiwa itu punya sebab kenapa ia berlaku kepada diri kita. Tidak semua perancangan kita itu menjadi sebagaimana kita inginkan. Cubalah untuk senyum atas masa lalu kita, dan terus bergerak ke hadapan. Kawan-kawan sekalian, saya tidak pernah lupa jasa anda, dan saya memaafkan salah anggap dan silap anda.

Genap setahun saya bersendiri, dan saya masih mencari. Kesal itu ada tetapi apa yang itu di luar kawalan saya. Saya maafkan, saya simpan memori itu, dan saya doakan bahagia untuk dia, kerana itu adalah keputusannya. Pengganti? Saya sedikit pemilih. Anda tahu kriteria saya, preference saya, dan saya tidak berhenti berharap dan berdoa untuk ‘impian’ saya.

Masa lalu dan ‘impian’ adalah motivasi saya, di samping ahli keluarga, di saat ‘sendiri’ ini. Saya mungkin memberi motivasi kepada orang lain, tetapi percayalah, yang paling sukar adalah untuk memotivasikan diri sendiri. Berperang dengan internal representation.

Selamat menjalani ibadah puasa, dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, in advance.

Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak


20150304-Ring1

Saya merujuk kepada artikel yang dikongsi di laman Facebook, dan menarik saya untuk memberikan komentar;

BACA : Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak

Cerita ini seolah-olah menggambarkan situasi yang saya alami, walaupun belum sampai ke tahap majlis bertunang yang disebutkan. Secara peribadi, tiada siapa yang salah dengan mutlak dalam cerita ini. Si lelaki ada sebabnya, si perempuan ada sebabnya, dan takdir Allah itu pun ada sebabnya.

Saya kagum kerana si lelaki masih lagi kuat dan akur pada takdir, dan kepada si perempuan, anda telah membuat keputusan yang terbaik untuk diri anda. Ada pepatah menyebutkan tidak semua cinta itu akan berakhir dengan ikatan, dan jika itu berlaku, jangan disalahkan sesiapa tetapi berdoalah untuk kebahagian (bekas) pasangan. Bukan semua perkara itu kita boleh control.

Apabila bercakap soal cinta, saya bukanlah pakar kerana saya baru sekali bercinta dan tidak berjaya. Saya tidak sebut ‘gagal’ kerana dalam situasi saya, mungkin (bekas) pasangan saya itu perlu membuat keputusan yang beliau rasa terbaik, dan saya sendiri pada waktu yang berkenaan, gagal membaca naluri dan maksud tindakan perempuan itu.

Perempuan ini adalah makhluk emosi, dia diam bukan seperti diam lelaki. Lelaki sifatnya kalau tak puas hati, dia akan sebut (secara langsung atau halus) tetapi perempuan ini unik. Saya gagal membaca emosi perempuan ini dan itulah sebabnya saya tidak berjaya dalam cinta. Teknikalnya, tiada deklarasi rasmi yang kami tamat hubungan tetapi berdasarkan tindakan beliau, saya faham beliau mahu dilepaskan.

Saya boleh beri alasan yang saya adalah 1st timer bercinta tetapi pada saya, elok kita belajar sifat dan naluri perempuan ini sebelum kita mula bercinta. Seperkara lagi nasihat saya kepada lelaki, jika anda berjaya memiliki hati seorang wanita, elok disegerakan usaha untuk mengikatnya dengan pertunangan. Tidak mengapa jika belum mampu untuk berkahwin kerana itu boleh diusahakan, tetapi yang penting adalah ‘ikatan’ tersebut kerana perempuan amat sensitif dengan hal ikatan.

Pertunangan adalah tanda komitmen dan jika anda bercinta tanpa sebarang niat untuk ‘mengikat’, itu akan meresahkan perempuan hari demi hari dan jika perempuan itu jenis berani, beliau tidak teragak-agak untuk tinggalkan anda. Jika situasi menghalang anda untuk mengikat, jangan bercinta atau berterus-teranglah dengan pasangan anda. Jika dia faham, pasangan anda adalah yang terbaik dan jagalah dia. Jika dia memaksa anda, terpulanglah pada penilaian anda.

Saya secara teori dan praktikalnya kini single. Ada rasa kesal dengan apa yang telah berlaku, namun daripada satu sudut, saya rasa bersyukur kerana situasi-situasi yang berlaku memberi saya kesedaran untuk lebih mengenali emosi, sifat dan cara pemikiran perempuan. Hidup adalah satu pelajaran dan perlu diteruskan. Andai ditakdirkan dia jodoh saya dan kembali, saya terima. Jika sebaliknya, itulah takdir yang terbaik untuk saya dan dia dan bersama-sama kita doakan kebahagiaan.