Puisi: Monolog Kuala Perlis


2017-puisitag

Di remang senja,
Lahiriahnya, laut nampak tenang,
Tetapi isinya tiada siapa tahu,

Begitu juga diri kita,
Lahiriahnya tampak tenang,
Tetapi di hati, siapa tahu?

Angin sepoi bertiup,
Belacak berlari di lumpur,
Semangat tetap hidup,
Jangan kendur dan undur.

Aku lihat dengan pandangan,
Aku mimpi dengan angan,
Aku lihat ros di tangan,
Aku mimpi cerita kenangan.

Ralat mungkin,
Jahil perihalnya,
Terkhilaf anggapannya,
Tetapi diam-diam si ombak,
Tetap sabar melembut pantai.

Aku tetap melihat.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Kuala Perlis, 1 November 2014

Puisi: Ceritera Hati 6 (Prolog 2014)


2017-puisitag

Andai dunia menggugat semangatmu,
Andai insan melukai hatimu,
Andai situasi mencengkam jiwamu,
Umpama badai membelah samudera rindu

Sujudlah kepada Allah yang satu,
Adulah kepada Dia yang Maha Tahu,
Berserah pada takdir yang dicipta untukmu,
Siapalah kita untuk mengatur?

Dahulu dibenci, kini dirindu,
Dahulu disisih, kini dirayu,
Dahulu dikeji, kini disanjung,
Dahulu terbiar, kini kembang mekar.

Kita ingin bahagia, bukan mahu derita,
Dia mahu bahagia, kita mahu cinta,
Kita mahu dia, untuk cipta bahagia,
Dia ingin kita, tetapi segan berkata.

Terkhilaf diri kerana situasi,
Memusnah harapan dan imaginasi,
Belum terlambat untuk kembali,
Untuk cipta bahagia yang diimpi.

Noktahkan derita,
Kita buka lembar bahagia,
Kita semai sayang dan cinta.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Putrajaya-Bangi, 17 Disember 2013

Poem: I Am Thinking…


2017-puisitag

I am thinking on earlier times,
When all things were fine and smiles,
Friendship that seemed never dies,
We went thru some thousand miles,

I am thinking about the future,
When our dreams seems unsure,
A lot of pain and pressure,
That tested our faith and secure.

I’m thinking about the present,
When uncertainty never absent,
But I will always persistent,
To be a good man and servant.

Hopefully,
Past will conclude peacefully,
Present will be happy and jolly,
And future, is what we want to be.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 16 December 2013

Puisi: Ceritera Hati 4 (Biar Takdir Berbicara)


2017-puisitag

Setia aku menguis ceritera,
Lembaran ditatap setia,
Tiap satu tiap ketika,
Menelusuri bait-bait kisah.

Helaian itu basah,
Tulisannya kembang merah.

Garis masa sempurna sudah,
Walaupun dinoktah gundah,
Ilmunya bukan sampah,
Ia kandil penyuluh resah.

Lembar baru dibuka,
Sifar, kosong, lompong,
Menanti pena mengukir makna,
Juga erti setiap perkara.

Pena digenggam, statik,
Jiwa bungkam, dijentik.

Biar takdir berbicara,
Biar masa bersuara,
Andai esok itu bahagia,
Atau masih bermuram durja.

Lembaran ditutup,
Namun harapan tiada redup,
Selagi aku masih hidup.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 23 Oktober 2013

Puisi: Kasturi Cinta


2017-puisitag

Kekalutan itu,
Bagai gelora lautan,
Membadai perasaan.

Digantung secoret harapan,
Atas tiang zaman,
Mengharap ia berputik,
Sedetik, sedetik dan sedetik.

Harapan kekal di situ,
Kekalutan kian surut,
Tetap dia setia melutut,
Walau usia semakin larut.

Dilampir setulus doa,
Hampir diri kepada Pencipta,
Moga hadir kasturi cinta.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 17 Oktober 2013