Paradoks Pilihan


Saya terfikir perkara ini ketika melakukan ulangkaji dan pembacaan, berkaitan dengan konsep pilihan (choice/option) keputusan (decision), dan emosi.

Secara umum, aturannya adalah seperti berikut;

Situasi (Event) > Pilihan (Options) > Keputusan (Decision) > Kesan/Destini (Outcome)

Dan, ada satu ungkapan yang menyatakan manusia adalah makhluk emosi (emotional being). Ini bermaksud apa jua keputusan yang kita buat adalah dipengaruhi oleh emosi. Setuju?

Bermaksud, tiada situasi di mana rasional bertindak 100% tanpa pengaruh emosi.

Tetapi bagaimana kita boleh membuat satu pilihan yang optimum, di mana keputusannya adalah rasional DAN kita kekal gembira dari sudut emosi? DAN ini mengambil kira anda selaku pembuat keputusan, mempunyai kriteria tersendiri dan emosi anda bersulam (interweaved) DAN bergantung dengan kriteria tersebut?

Terlalu banyak DAN. OK, saya berikan satu situasi mudah.

Situasinya, andaikan anda dalam proses mencari teman hidup. Dalam keadaan normal, anda ada banyak pilihan tanpa batas (Calon A, Calon B, Calon C, …, Calon ‘n’ ;  n=bilangan calon).

Dalam proses membuat keputusan (decision making), secara rasional anda akan mengkaji setiap pilihan tersebut, dalam kes ini, calon-calon yang berkenaan. Andaikan anda menggunakan segala sumber dan ilmu anda dalam mengenalpasti apa yang terbaik.

DAN dalam masa yang sama, anda mempunyai kriteria (preference) yang tersendiri. Kriteria ini secara mudahnya adalah penapis (filter) yang anda tetapkan sendiri, dan setiap orang ada set filternya yang tersendiri.

Pada pemahaman saya, dalam situasi ini ada dua (2) jenis set kriteria;

SET Kriteria (A) = {agama, latar belakang, pekerjaan, …, dan seumpamanya}

SET Kriteria (B) = {penampilan, asal (negeri), perwatakan, …, dan seumpamanya}

Kriteria (A) adalah rasional @ wajib, bermaksud anda PASTI akan memilih calon yang seagama dengan anda, latar belakang diri dan keluarga yang baik, pekerjaan yang tetap, dan seumpamanya. Ini adalah kriteria prerequisite dan yang paling ‘asas’, jika calon tersebut tidak memenuhi kriteria ini, dia tidak layak dan out. Emosi tidak mempengaruhi secara langsung di sini.

Kriteria (B) adalah yang berkait rapat dengan emosi anda dan semuanya amat subjektif. Anda menyukai orang yang cantik/hensem, mengutamakan calon dari negeri tertentu, dengan sifat tertentu (kelakar, serius, dan sebagainya). Jika kriteria ini tidak dipenuhi, keputusan tetap boleh dibuat dan kesan/destini (berkahwin) tetap berlaku. Cuma anda akan berasa tidak lengkap, kesal, dan mudahnya, emosi anda terganggu.

Berbalik pada persamaan;

Situasi (Event) > Pilihan (Options) > Keputusan (Decision) > Kesan/Destini (Outcome)

Kemungkinan yang berlaku adalah ;

KESAN I : Jika anda berjaya memenuhi kriteria (A) dan kriteria (B), membuat keputusan dan menerima kesan (kahwin), secara TEORInya anda adalah orang yang paling bahagia, emosi stabil dan berada dalam tahap tertinggi. Ini adalah paling ideal. Ceteris paribus (andaian perkara lain tidak mempengaruhi).

KESAN II : Jika kriteria (A) lengkap dan kriteria (B) anda tidak dapat dipenuhi, membuat keputusan dan menerima kesan (kahwin), anda boleh cuba me-rasional-kan emosi anda (redha?), tetapi bagaimana cara terbaik untuk ‘mengubat hati yang duka’ ? Anda boleh bahagia, cuma emosi anda perlu masa untuk stabil ATAU anda mungkin memendam rasa dan ‘berlakon’ anda bahagia.

Jika anda berada di KESAN II, apa tindakan anda (post-action)? Anda boleh berasa kesal, tetapi ia tidak dapat mengubah keputusan yang berlaku, seolah-olah ‘sunk cost’. Tetapi anda tahu anda ‘in-control’ dan boleh mengubahnya dari awal, keputusan di tangan anda.

Dalam situasi ini, apabila anda telah berada di post-outcome, anda tidak boleh start with a clean sheet, anda telah ‘terkunci’. Jadi anda belajar untuk menerima dan (terpaksa) memendam menjadi satu rahsia yang terkunci rapat. Tetapi dalam proses ini, anda terpaksa berlakon anda tiada apa-apa, gembira dan bahagia – terpaksa menipu diri anda sendiri (dan pasangan anda).

Apabila emosi anda terganggu, anda tidak berada dalam potensi diri yang puncak (peak performance). Jadi seharusnya, secara teori, anda harus mengelak membuat keputusan yang silap dari mula. Tetapi bila anda over-analyse dan terlalu berhati-hati, anda tidak akan kemana-mana dan tersangkut di keadaan yang sama, dalam situasi ini, anda kekal bujang.

Jadi soalan saya, berdasarkan situasi contoh di atas;

PERTAMA : Adakah kita harus mempertahankan ‘kriteria B’ kita dalam membuat keputusan, untuk mengelakkan emosi kita terganggu di kemudian hari? ATAU sebaliknya (just follow the flow) dan secara tak langsung, seolah-olah anda laissez-faire @ sambil lewa dalam membuat keputusan?

KEDUA : (Berkait dengan soalan pertama), andai anda berkata kita harus just follow the flow, bagaimana anda ‘merasionalkan’ emosi anda. Saya tidak bermaksud anda mempertikaikan takdir Tuhan, tetapi bagaimana cara anda ‘memujuk’ diri anda?

KETIGA : Bagaimana cara untuk merungkai (de-associate/de-merge) emosi anda dengan ‘Kriteria B’? Maksud saya bagaimanakah caranya supaya apabila Kriteria B tidak mempengaruhi emosi kita?

Ulasan dan perbahasan anda amat dialu-alukan. Terima kasih.

Advertisements

Kecelakaan Motor Besar


Semalam (26 November 2017) saya telah menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan sekerja di Perak. Perjalanan pergi amat lancar, dengan sekali-sekala hujan turun di beberapa lokasi di lebuhraya.

Namun apa yang menarik perhatian saya adalah gelagat sekumpulan (konvoi) motosikal berkuasa tinggi, atau lebih mudah disebut ‘motor besar’, yang menunggang dengan kelajuan yang amat tinggi. Saya sebutkan amat tinggi kerana pada ketika itu kelajuan kenderaan saya adalah 120KM sejam, dan para penunggang ini lebih laju dari saya. Anggaran saya adalah hampir 200KM sejam atau lebih kerana sekelip mata mereka ini hilang dari pandangan mata.

Saya terfikir, tidak risaukah mereka dengan keselamatan diri? Sebab saya lihat kumpulan ini tidak segan silu ‘mencilok’ dan memecut dengan laju tanpa perasaan takut. Mungkin mereka telah biasa, tetapi tindakan mereka membuatkan saya (dan rakan-rakan di dalam kereta) berasa seriau dan seram.

Selesai majlis, kami bertolak pulang, dan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 3 jam menjadi lebih panjang kerana berlaku kemalangan di kawasan Bukit Tagar menyebabkan lebuhraya menjadi sesak. Mulanya kami menyangka kesesakan ini adalah disebabkan pergerakan pulang warga kota ke bandar tetapi semakan di Twitter PLUS Trafik menyebutkan ini;

Kami ‘tersangkut’ dalam kesesakan hampir 1 jam dan difahamkan kesesakan menjangkau hampir 20KM. Malam itu, berita menyebutkan kemalangan adalah berpunca daripada motosikal berkuasa tinggi yang saya rasa hilang kawalan, bertembung dengan trak penyelenggaraan lebuhraya. Saya rasa impaknya agak kuat kerana trak tersebut seperti ‘terlipat’ – seumpama ‘peluru berpandu yang menghentam sasaran’.

Kemalangan seperti ini menggusarkan, kerana ia melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi. Saya bersetuju bahawa kemalangan sebegini bukan salah penunggang secara keseluruhannya – kadang-kala ia berlaku di luar kawalan kita. Tetapi andai penunggang ini menunggang dengan kelajuan yang ‘munasabah’ dan tidak melakukan ‘maneuver’ yang bahaya, mungkin risiko dapat dikurangkan.

Justeru, saya menyeru kepada para pembaca dan rakan-rakan yang memiliki motosikal berkuasa tinggi atau yang berminat untuk memulakan hobi ini, jadilah rasional apabila menunggang di jalan raya. Hobi ini tidak salah, tetapi apabila melibatkan aspek keselamatan diri (dan rakan-rakan konvoi), janganlah diambil ringan. Ingatlah keluarga dan insan yang tersayang.

Bayangkan reaksi mereka apabila anda ditimpa kecelakaan, apatah lagi kematian?

Catatan 1 November 2017


Kadangkala (minda) kita tersalah faham (sesuatu) peristiwa situasi. Seringkali ibu bapa, kenalan atau orang luar bercakap slogan seperti “kerja lebih kuat atau anda tidak akan berjaya”, ataupun “anda gagal” malah “seorang yang bodoh”.

Kadangkala sesuatu situasi itu tidak menjadi atau tidak memihak pada kita – silap strategi, tersalah tafsir, terkhilaf kata, dan seumpamanya – menyebabkan kita teringat-ingat dan mengulang-ulang perkara ini dalam minda kita, seolah-olah ia telah menjadi sebahagian daripada diri kita, BUKANNYA sesuatu yang berlaku untuk kita ambil iktibarnya.

Seperkara lagi – “Andaian itu (boleh) membunuh” – Kita selalu berandaian dan malangnya, cenderung ke arah yang negatif. Kita cuba merealistikkan sesuatu situasi ideal yang abstrak.

Sekarang kita lihat situasi-situasi (negatif) ini daripada sudut yang berbeza. Jadi seorang yang realistik. Umpama peribahasa Melayu “Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum” – kita mempunyai banyak pilihan dan berkuasa untuk memilih. Cuma untuk menjadi seorang yang fleksibel dan realistik, tidak semudah itu.

Berapa banyak peluru yang kita sudah telan, dan berapa kali diri kita ditumbuk oleh kehidupan yang ‘kejam’ ? Kita perlu keberanian dan ketabahan untuk menembak balas dan menumbuk semula, bukan membuta tuli, tetapi dengan ilmu.

Lebam dan luka itu adalah pengalaman. Kadangkala harga yang perlu dibayar adalah amat tinggi.

Stereotaip Orang Melayu


1. Masyarakat kita (Melayu?) dah terbiasa dengan stereotyping (generalization). Orang Melaka dilabel cakap kasar, orang Johor dikatakan sombong, dan seumpamanya.

2. Malangnya ‘label’ ini walaupun kurang tepat, diperturunkan dari satu generasi ke generasi dan diterima bulat-bulat. Ini menyebabkan ia menjadi satu kepercayaan walaupun kita sendiri tak pernah alami atau jumpa orang/keadaan itu.

3. Kita pun mengulang sebut benda yang sama pada orang lain, dan menyebabkan orang lain pun terpengaruh dengan label yang kurang atau tidak tepat tersebut. Lama-kelamaan, ia menjadi satu ‘dogma’ yang susah untuk dibuang. Anda percaya orang Melaka kasar?

4. Orang putih mengatakan, the proof of pudding is by eating it. Anda percaya orang Melaka itu kasar dan suka cakap lepas, tapi anda pernah berkawan dengan orang Melaka?

5. Katakan anda ada kawan orang Melaka, dan kawan anda tu pun memang kasar, cakap lepas, suka sindir anda. OK, tak salah untuk anda label orang Melaka itu kasar, tetapi hanya ‘applicable’ pada dia, dan bukan pada semua orang Melaka.

6. Sikap negatif itu bermula dari individu, dan pada individu itu sendiri. Cuma dia ada pilihan untuk mempengaruhi orang lain jika dia mahu. Jadi untuk melabelkan semua orang Melaka itu kasar kerana kawan anda orang Melaka memang ‘lahabau’ dan ‘hawau’, itu kurang tepat.

7. Justeru, kita perlu kurangkan (atau elok lagi, hentikan) budaya stereotyping dan generalization tak bertempat ini. Jika anda mendengar sesuatu fakta yang kelihatan negatif, anda perlu semak sendiri sama ada sahih atau tidak, bukan terus melompat kepada kesimpulan.

8. Berkenaan Kelantan ini, saya sendiri pernah ada stereotyping yang sama – orang Kelantan ini nakal, gedik, suka berpuak, pandang rendah pada orang lain, perasan bagus, dan lain-lain.

9. Pada masa tu, saya ‘diajar’ dengan ‘kepercayaan’ tersebut dan kalau boleh, elakkan dari puak-puak ini. Sampai satu tahap, bila nampak orang Kelantan ni, saya terus berfikiran negatif.

10. Kepercayaan saya berubah bila saya sendiri berkawan dengan mereka ini. Mula-mula memang tak mahu kawan dengan geng-geng Kelantan (sebab kepercayaan lama masih kuat) namun bila bergaul dengan mereka, saya mula rasa seronok dan teruja nak tahu budaya mereka.

11. Orang Kelantan pertama yang menjadi kawan baik saya ialah rakan sebilik saya di Matrikulasi UIA. Beliau adalah seorang yang hebat dan rendah diri, jauh berbeza dengan ‘stereotyping’ tentang orang Kelantan yang ‘diajar’ pada saya.

12. Seiring masa, dan mungkin takdir juga, saya ditemukan dengan ramai orang dari Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain. Mungkin juga tuah saya, mereka-mereka ini amat baik dan berbeza 180 darjah daripada apa yang saya ‘faham’ tentang diri mereka. Sehinggalah zaman bekerja sekarang.

13. Sehinggakan, saya teruja untuk belajar dialek dan budaya mereka. Ia mencetuskan ‘curiousity’ dalam diri. Antara budaya yang saya rasa unik adalah mereka amat memuliakan tetamu sehingga kita sendiri rasa segan dan seolah-olah sebahagian daripada keluarga mereka.

14. Tahun 2013, saya berpeluang berhari raya di Kelantan di Kota Bharu, mengunjungi guru kelas saya. Beliau bersungguh-sungguh mengajak saya ke rumah beliau ketika itu dan ketika sampai, saya betul-betul dijamu sehingga kenyang, dan beliau sedia memudahkan urusan saya apabila di Kota Bharu.

15. Pokoknya di sini, apabila saya sendiri telah mengalami pengalaman ‘first hand’, ia mengubah kepercayaan saya 100% terhadap sesuatu. Dalam kes ini, stereotyping saya kepada orang Kelantan sudah berubah. Dan saya juga belajar untuk tidak percaya kepada sesuatu perkara melainkan saya telah mengalami atau melihat sendiri perkara tersebut.

16. Kesimpulannya, kita janganlah menjatuhkan hukum atau menerima bulat-bulat sesuatu ‘stereotyping’ itu tanpa mengkaji atau mengalami sendiri. Kita kena berfikiran terbuka dan menerima dengan mengkaji, bukan menerima dengan menelan.

17. Anda jangan benci budu kerana negerinya, tetapi tidak salah kalau anda benci budu kerana rasanya. Faham maksud saya? Jangan di spin point nombor 17 ini.

18. Pendapat di atas juga terguna pakai untuk 12 negeri yang lain – Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan.

19. Post ini ditulis sebagai respon untuk artikel daripada Page FB IIUM Confession – Hinakah Kelantan.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya.

Hormat


Sedikit secubit perkongsian sebelum lelap mata dan bangkit esoknya;

  1. Manusia adalah makhluk emosi dan rasional. Orang perempuan lebih dominan pada emosi berbanding rasional manakala lelaki adalah sebaliknya.
  2. Dalam hidup kita, hormat adalah perkara utama. Tiada guna kita berpangkat besar, berharta berjuta atau pandai berjela tetapi tiada perasaan hormat kepada orang yang berada di bawah kita. Berada di atas bukan ‘lesen’ untuk menghina-dina orang di bawah.
  3. Sekali anda kurang ajar pada seseorang, anda telah merentap emosi dan rasa hormat orang itu kepada anda. Jika anda merendah diri dan beradab, anda mencetus rasa hormat orang lain pada anda dan akan memudahkan sesulit-sulit urusan.
  4. Kuncinya adalah ’emosi’. Hormat itu bermaksud anda berbaik dengan emosi dan ego seseorang. Sebagaimana saya sebut di point (1), manusia adalah makhluk emosi. Santunilah emosi seseorang dengan rasional dan bukan berlebihan.
  5. Kepada lelaki terutamanya, peka lah pada emosi orang perempuan. Mereka mudah terasa hati dan jatuh hati jika anda bijak menyantuni emosi mereka. Tetapi janganlah mempermainkan emosi mereka.
  6. Hati itu emosi. Minda itu rasional. Seimbangkan keduanya dan anda akan membina ego positif dan memancar aura kehormatan kepada orang lain.

Diolah semula daripada ‘post’ Facebook ini.