MicroGenius / NES di Telefon Pintar


NES-Intro-J
Anda yang lahir pada tahun 80-an, sudah pasti biasa dengan ‘game’ ini.

Jika anda lahir pada tahun 80-an seperti saya, pasti pernah mendengar dan menggunakan Micro-Genius, konsol permainan ala-ala Playstation dan Xbox pada hari ini. Konsol yang popular pada era 80 dan 90-an ini adalah klon (pirated) kepada Nintendo Famicom/Entertainment System (NES) dan menggunakan katrij (tape) sebagai sumber permainan. Permainan seperti Circus Charlie, Contra, Super Mario dan pelbagai lagi adalah hiburan berasaskan elektronik yang paling canggih pada zaman tersebut (selain ‘Tetris’).

Micro-GeniusEra millenium ini, di mana anda dan saya sudah mencecah umur 30-an dan melihat anak-anak zaman sekarang dengan Xbox mereka, sudah pasti terdetik ingin merasai kembali permainan legend sebagaimana disebutkan di atas. Konsol Micro-Genius anda mungkin sudah rosak, atau kalau masih OK, tidak serasi dengan TV zaman sekarang. Mujurlah anda masih boleh menggunakan telefon pintar anda untuk bermain Circus Charlie dan seumpamanya, dengan memuat turun app emulator NES.

Prosedur yang diterangkan dalam artikel ini adalah untuk telefon bimbit/tablet berasaskan Android (termasuk BlackBerry, yang boleh menjalankan aplikasi Android secara side-load). Untuk iPhone, saya mendapati tiada aplikasi emulator NES pada App Store dan memerlukan jail-break yang agak kompleks, jadi pengguna iPhone, teknikalnya anda tidak boleh memainkan permainan NES tanpa jail-breaking.

Prosedur

NES-PlayStore-Download-J
DARI KIRI : Cari Nostalgia.NES di Google Playstore dan muat turun; Lepas ‘unzip’ ROM, app akan ‘scan’ telefon untuk mencari ROM; Jika ROM tidak tersenarai, pilih MENU dan ‘Search Device for ROMs’.

Buka Google PlayStore dan cari app bernama Nostalgia.NES. Ada dua versi, iaitu percuma (lite) dan berbayar. Jika anda tidak kisah dengan iklan, muat turun versi percuma. Versi percuma ada beberapa had (limitation) tetapi ia tidak mengganggu fungsi permainan.

Selesai pemasangan, anda perlu mendapatkan ‘ROM’ untuk permainan yang berkenaan. ROM ini adalah data file permainan dan perlu dimuat turun. Banyak laman web yang menyedia fail ROM ini (cari ‘NES ROM’) dan untuk memudahkan anda, saya sertakan beberapa ROM untuk anda muat turun di sini.

Fail tersebut adalah koleksi ROM 11 games iaitu Circus Charlie, Contra, Dig Dug, Excitebike, Gun Smoke, Popeye, Rush n Attack, Salamander, Super Mario Bros, Thundercade, dan Yie Ar Kung-Fu.

Un-ZIP fail berkenaan dalam telefon anda. Kemudian buka app Nostalgia.NES dan ia akan scan telefon anda untuk mencari ROM. Jika scan tidak dimulakan, pergi ke Menu dan pilih Search Device for ROMs. Selesai scanning, ROM yang dijumpai akan dipaparkan dan anda boleh mula bermain dengan memilih game yang dikehendaki.

NES-SampleGame-J
DARI KIRI : Super Mario Bros; Circus Charlie; Contra.

ROM yang berkenaan juga boleh dimainkan di PC anda, dengan menggunakan emulator NES untuk PC. Anda boleh cuba VirtuaNES.

Selamat bermain dan mengimbau nostalgia!

Mengoptimasikan ‘Homescreen’ Android Dan Bajet Kahwin


android-platform-iconSalah satu fitur (feature) telefon bimbit pintar dan tablet berasaskan sistem operasi Android adalah kebolehan untuk memanipulasikan skrin utamanya ataupun lazimnya disebut sebagai homescreen. Definisi homescreen itu sendiri sebenarnya berbeza mengikut sistem operasi sesuatu peranti pintar. Contohnya, homescreen pada telefon Apple iPhone dan tablet Apple iPad adalah merujuk kepada paparan senarai aplikasi terpasang manakala sistem Android memberi satu ruang beza antara skrin utama dan lelaci aplikasi (application drawer).

Artikel ini ingin mengupas bagaimana untuk mengoptimasikan skrin utama peranti berasaskan Android supaya lebih produktif dan menjimatkan masa penggunanya dalam melaksanakan tugasan seharian. Pengoptimasian ini adalah berasaskan kajian dan eksperimen saya sendiri dalam mengenalpasti kombinasi dan fitur terbaik untuk dimuatkan di skrin utama peranti Android. Saya menggunakan Samsung Galaxy Note II (GT-N7100) dan Samsung Galaxy S Advance (GT-I9070) sebagai ‘peranti kawalan’ semasa kajian dijalankan.

Mengenalpasti ‘Common Tasks’ Seorang Pengguna

POPULARITI - Pada peringkat awal pengenalannya SMS tidak menerima sambutan menggalakkan, namun apabila kekangan daripada sudut sistem dan operator diatasi, ia menjadi salah satu 'lubuk duit' buat operator sebelum aplikasi IM mengambil alih.
POPULARITI – Peringkat awal pengenalannya SMS tidak menerima sambutan, namun apabila kekangan diatasi, ia menjadi salah satu ‘lubuk duit’ buat operator sebelum aplikasi IM mengambil alih.

Dahulunya fungsi primer telefon bimbit adalah untuk membuat dan menerima panggilan dan fungsi sekundernya untuk menghantar dan menerima SMS. Sekitar tahun 2000 dan ke atas apabila SMS antara operator rangkaian direalisasikan, SMS sudah menjadi fungsi primer telefon bimbit, setaraf dengan panggilan suara.

Integrasi data (internet) dan kos peranti pintar yang semakin mampu dimiliki rakyat kebanyakan telah mengubah cara interaksi dan corak sosial masyarakat. Peranti pintar kini mampu melaksanakan tugasan yang sebelum ini hanya eksklusif untuk komputer meja (desktop PC) di samping liputan data (cellular + WiFi) yang ubiquitous membolehkan tugasan dilakukan di luar pejabat tanpa keputusan perhubungan (being disconnected). Percambahan rangkaian sosial yang berteraskan internet seperti Facebook dan Twitter serta aplikasi permesejan segera seperti WhatsApp dan Viber (sekadar menyebut beberapa nama) melicinkan lagi urusan komunikasi rasmi dan peribadi.

Maka apa yang kita boleh rumuskan secara umum, penggunaan tipikal seorang insan yang memiliki peranti pintar boleh dibahagikan kepada tiga tahap;

Fungsi Primer: Panggilan suara/video; SMS; Aplikasi native (kalendar, jam, nota, kamera, dll.)

Fungsi Sekunder: Pelayaran Web; Rangkaian Sosial; Permesejan Segera (IM).

Fungsi Tertier: Aplikasi non-native seperti Permainan, Rujukan, Pengimejan dll.

Corak penggunaan di atas merupakan hasil pemerhatian umum saya atas beberapa orang pengguna (rakan dan keluarga) dan secara umumnya boleh diguna pakai sebagai andaian umum (general assumption).

Had (Limitation)

Kita juga perlu maklum bahawa peranti pintar Android terdiri daripada pelbagai jenis (telefon dan tablet) dan saiz skrin yang berbeza. Dalam kajian ini, saiz skrin memainkan peranan kerana ia menentukan ruang (estate) untuk kita meletakkan elemen-elemen penting iaitu aplikasi, widget dan pintasan di skrin utama.

Mengambil kira faktor ini, saya turut menggunakan Samsung Galaxy S Advance (saiz skrin 4.0 inci) sebagai peranti kawalan di samping Samsung Galaxy Note II (saiz skrin 5.5 inci) sebagai peranti utama. Purata saiz skrin untuk telefon bimbit berasaskan Android di pasaran adalah 4.0 inci.

Berkenaan versi sistem operasi Android, Samsung Galaxy Note II menggunakan Android 4.1 (Jelly Bean) manakala Samsung Galaxy S Advance secara defaultnya menggunakan Android 2.3.6 (Gingerbread). Walaubagaimanapun, versi sistem operasi bukan isu utama memandangkan semua versi Android membenarkan manipulasi skrin utama.

Walaupun kajian saya ini menggunakan peranti Samsung, ia juga relevan untuk peranti jenama lain seperti HTC, Sony, LG (sekadar menyebut beberapa nama), cuma berkemungkinan sesetengah jenama mempunyai had dalam memanipulasi skrin utamanya.

Selayang Pandang – Skrin Utama (Homescreen)

Mari kita lihat skrin utama tipikal untuk telefon pintar Android. Dalam contoh ini, screenshot adalah diambil daripada telefon pintar Sony Xperia Neo L (MT-25i) dan Samsung Galaxy Note II (GT-N7100);

SKRIN UTAMA DUA JENAMA - Perbandingan di antara Sony (kiri) dan Samsung (kanan). Perbezaan yang ada tidak begitu ketara.
SKRIN UTAMA DUA JENAMA – Perbandingan di antara Sony (kiri) dan Samsung (kanan). Perbezaan yang ada tidak begitu ketara kerana ciri-ciri Android lazimnya serupa tidak kira jenama.

Daripada contoh di atas, skrin utama peranti Android secara umumnya membenarkan kita meletakkan elemen-elemen seperti widget, pintasan (shortcut) kepada aplikasi dan juga folder. Jumlah elemen yang boleh disusun pada skrin utama adalah bergantung kepada ruang/saiz skrin. Kekangan ruang lazimnya boleh diatasi dengan menambah skrin utama (juga disebut pages) tetapi terlalu banyak skrin utama boleh menambahkan potensi ketidakaturan (clutter).

Objektif saya adalah untuk menggunakan ‘single homescreen’ untuk semua fungsi utama di hujung jari, tetapi saya mungkin juga akan memberi alternatif untuk skrin utama lebih daripada satu (bilangan maksimum adalah tiga) tanpa menjejaskan produktiviti secara ketara.

Rujuk kembali screenshot di atas. Di sebelah bawah skrin utama lazimnya telah dirizabkan ruang untuk membuka lelaci aplikasi (application drawer) dan juga tiga hingga empat pintasan ke aplikasi utama (Phone, Contacts, Messaging, dan lain-lain). Pintasan-pintasan ini sebenarnya boleh ditukar * kepada pintasan ke aplikasi lain dan juga folder.

* NOTA: Saya dimaklumkan untuk peranti HTC, pintasan yang diberikan tidak boleh ditukar.

Kita telah pun mengenali skrin utama secara umum, dan langkah seterusnya adalah untuk mengoptimasikannya.

Mengoptimasikan ‘Homescreen’ Untuk Fungsi Primer, Sekunder & Tertier

Homescreen yang perfect sebenarnya bergantung kepada setiap pengguna itu kerana corak penggunaan yang berbeza daripada orang ke seorang yang lain. Namun begitu, jika diambil kira fungsi primer, sekunder dan tertier yang disebutkan di awal artikel, saya telah cuba menyusun atur homescreen yang menyentuh ketiga-tiga fungsi tersebut. Apa yang saya lakukan adalah;

PERTAMA: Menambah empat (4) folder di skrin utama – Social Network, Tools & References, Instant Messaging dan MultiMedia. Sebagaimana namanya, keempat-empat folder ini akan menjadi gathering point untuk pintasan aplikasi-aplikasi. Folder ini boleh dikurangkan atau ditambah tetapi saya berpendapat keempat-empat ‘kategori’ ini adalah essential.

KEDUA: Mengubah senarai aplikasi di ruangan rizab di sebelah bawah skrin utama. Beberapa aplikasi pre-assigned ini sebenarnya redundant pada fungsi dan hanya membazir ruang.

KETIGA: Menambah widget yang bersesuaian dan jika perlu, menambah skrin utama.

Gerakerja ini telah menghasilkan skrin utama sebagaimana di bawah;

SEBELUM DAN SELEPAS OPTIMASI - Perbezaan di antara skrin utama 'stok standard' dan selepas manipulasi dilakukan.
SEBELUM DAN SELEPAS OPTIMASI – Perbezaan di antara skrin utama ‘stok standard’ (kiri) dan selepas manipulasi dilakukan (kanan).

Empat folder utama yang ditambah telah diisi dengan aplikasi-aplikasi yang relevan. Aplikasi-aplikasi ini merupakan yang paling kerap digunakan dan dengan meletakkannya di homescreen, maka capaian menjadi lebih licin dan tidak perlu lagi bersusah payah membuka lelaci aplikasi. Anda boleh menambah dan mengurangkan folder mengikut kesesuaian dan corak penggunaan masing-masing.

Untuk widget, saya telah memilih untuk meletakkan ‘Clock (modern)’ a.k.a. jam analog dan ‘Facebook Buttons’ kerana kedua-dua widget ini antara yang kerap saya gunakan. Widget Facebook memudahkan saya untuk mengemaskini status, muat naik gambar dan daftar masuk tanpa perlu membuka aplikasi Facebook. Jam analog pula kerana saya lebih mudah melihat waktu dalam bentuk begitu berbanding jam digital.

Untuk bahagian rizab, aplikasi asalnya adalah PHONE, CONTACTS, MESSAGING dan INTERNET (pelayar web). PHONE dan CONTACTS sebenarnya terdiri daripada satu aplikasi dan meletakkan kedua-duanya adalah satu redundancy. Anda boleh mengakses PHONE (keypad) melalui CONTACTS dan sebaliknya sebagaimana yang diperlihatkan pada screenshot di bawah. Dalam kebanyakan kes, kita lebih banyak menggunakan CONTACTS berbanding PHONE yang saya rasa hanya digunakan ketika mahu top-up prepaid atau mengakses USSD.

SATU ANTARAMUKA - Aplikasi 'Phone/Keypad' dan 'Contacts' boleh diakses dalam satu skrin melalui 'tab' di sebelah atas. Maka boleh dikatakan aplikasi Phone dan Contacts adalah 'redundant'. Saya berpendapat dua fungsi ini 'diasingkan' kepada dua aplikasi adalah untuk memudahkan pengguna pertama kali telefon pintar.
SATU ANTARAMUKA – Aplikasi ‘Phone/Keypad’ dan ‘Contacts’ boleh diakses dalam satu skrin melalui ‘tab’ di sebelah atas. Maka boleh dikatakan aplikasi Phone dan Contacts adalah redundant. Saya berpendapat dua fungsi ini ‘diasingkan’ kepada dua aplikasi adalah untuk memudahkan pengguna pertama kali telefon pintar.

Atas sebab itu, saya telah mengeluarkan PHONE daripada senarai aplikasi di bahagian rizab dan mengekalkan CONTACTS. Aplikasi S PLANNER (atau CALENDAR) ditambah dan pelayar web FIREFOX menggantikan INTERNET. Aplikasi MESSAGING dikekalkan.

Apa Yang Ada Di Dalam Empat Folder ‘Teras’?

EMPAT FOLDER TERAS - Dari kiri: Social Network, Tools & References, Instant Messaging, dan MultiMedia.
EMPAT FOLDER TERAS – Dari kiri: Social Network, Tools & References, Instant Messaging, dan MultiMedia.

Di pertengahan artikel saya telah menyebutkan bahawa empat (4) buah folder telah ditambah di skrin utama sebagai tempat mengumpulkan pintasan aplikasi mengikut kategori masing-masing. Berikut saya huraikan aplikasi-aplikasi yang saya letakkan di dalam tiap-tiap folder yang berkenaan dan di penghujung huraian, saya sertakan pautan (link) untuk tiap-tiap aplikasi tersebut di Google Play Store untuk rujukan para pembaca.

Folder : Social Network

Folder ini menempat aplikasi-aplikasi yang tertakluk di bawah kategori rangkaian/laman sosial. Kebanyakan aplikasi ini umumnya para pembaca sudah sedia maklum dan mungkin merupakan pengguna aktif (seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain) maka tidak perlulah saya huraikan aplikasi yang mainstream.

Everypost IconEverypost merupakan aplikasi yang membolehkan status, gambar, video dan elemen multimedia yang lain dipost serentak ke pelbagai rangkaian laman sosial seperti Facebook, Twitter, Google Plus tanpa perlu melakukan satu-persatu pada setiap aplikasi. Aplikasi ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan masa dalam menguruskan kemaskini laman sosial.

Pinterest IconPinterest berfungsi seumpama clipboard, di mana anda boleh menyimpan (pin) gambar-gambar menarik yang anda temui ketika melayari Internet. Gambar-gambar ini kemudiannya boleh dishare di laman sosial. Anda boleh merujuk laman Pinterest saya di sini untuk mendapatkan gambaran.

Klik pautan di bawah untuk maklumat lanjut setiap aplikasi di Google Play Store;

Facebook | Twitter | Google+ | LinkedIn | Foursquare | Instagram | Keek | Pinterest | Flipboard | Pages Manager | Everypost

Folder : Tools & References

Aplikasi yang ditempatkan di dalam folder ini terdiri daripada aplikasi native (build-in) dan juga non-native (dimuat turun), serta merupakan aplikasi yang membekalkan rujukan, pelaporan dan informasi utama. Aplikasi native di dalam folder ini adalah Calculator, Clock (alarm), dan S Note (Memo/Diary).

Aplikasi yang saya muat turun daripada Google Play Store adalah seperti berikut;

WordWeb IconWordWeb adalah kamus Bahasa Inggeris paling komprehensif. Berasal daripada aplikasi PC, WordWeb untuk Android masih mengekalkan ciri-ciri sebagaimana versi PC. Kamus ini boleh digunakan secara offline (tanpa sambungan data) dan ini memudahkan rujukan di mana sahaja. Kosa katanya amat luas dan jika anda mahu, definisi kata-kata lucah (vulgar) turut dihuraikan. Kelebihan yang lain – ianya percuma!

XE IconXE Currency adalah currency converter yang ringkas dan kadar tukarannya dikemaskini dengan kerap. Anda boleh menetapkan matawang utama dan menetapkan sehingga 10 matawang lain untuk melihat kadar tukaran. Walaupun kadar ini lazimnya tidak sama dengan kadar yang ditetapkan oleh bank-bank tempatan, tetapi boleh digunakan untuk membuat anggaran kasar.

Google Translate IconGoogle Translate merupakan aplikasi penterjemahan yang tidak asing lagi di kalangan pengguna Internet. Walaupun kualiti penterjemahannya boleh dipertikaian daripada sudut ketepatan dan kejituan nahu bahasanya, namun aplikasi ini amat berguna untuk kerja-kerja penterjemahan pantas. Contohnya, jika anda menerima SMS bertulisan karakter Cina, gunakan sahaja aplikasi ini bagi menterjemahkan maksudnya. Satu tips saya – kepada yang bercinta, cetuskan keunikan dengan mengucapkan ungkapan “I Love You” kepada pasangan anda dalam pelbagai bahasa menggunakan aplikasi ini. Saya lakukan ini satu masa dahulu… :-)

TrackID IconTrackID membolehkan kita mengenalpasti tajuk dan artis yang menyanyikan satu-satu lagu dengan hanya merakam petikan lagu tersebut daripada sumber asal seperti radio ataupun fail mp3. Aplikasi ini dibangunkan oleh pihak Sony dan asalnya eksklusif untuk pengguna telefon Sony/Sony Ericsson, tetapi kini boleh dipasang di telefon pintar Android jenama lain. Kualiti detectionnya, berdasarkan pengalaman penggunaan saya, adalah boleh diharap walaupun kadangkala tidak tepat.

Outlook IconOutlook.com merupakan client untuk e-mail berasaskan web Outlook.com (dahulunya dikenali sebagai Hotmail). Sebab saya menggunakan aplikasi ini adalah kerana kebolehannya untuk sync folderfolder tertentu di dalam akaun e-mail saya dan tidak memerlukan saya sync kesemua folder yang berpotensi menyebabkan telefon saya menjadi tergantung (hang) dan kuota Internet saya dihabis licinkan kerana terlampau banyak data.

MyTracks IconGoogle My Tracks dilaporkan sebagai aplikasi yang terarah kepada fitness kerana aplikasi ini bertugas merekodkan laluan (track) perjalanan kita pada satu-satu masa tertentu. Tetapi saya menggunakan aplikasi ini untuk merekodkan laluan dan jarak pemanduan saya daripada satu destinasi ke destinasi yang lain. Kejituan dan ketepatan aplikasi ini dalam merekodkan laluan dan jarak perjalanan adalah tidak dapat disangkal lagi. Laluan perjalanan dilakarkan dengan tepat di Google Maps dan laporan untuk setiap sesi meliputi kelajuan maksimum/minimum, elevation serta jumlah masa dan jarak yang diambil untuk ke destinasi. Aplikasi ini jika dicadangkan digunakan secara mandatori dalam satu-satu organisasi boleh mengurang masalah penipuan mileage claim.

Waze IconWaze adalah aplikasi GPS sosial yang amat berguna jika kita mahu mengetahui keadaan lalulintas di satu-satu tempat. Laporan keadaan lalulintas adalah dibekalkan oleh pengguna Waze sendiri dan lazimnya amat tepat. Saya lazimnya menggunakan aplikasi ini untuk mengetahui keadaan trafik sebelum ke satu-satu destinasi terutamanya di hujung minggu.

Wordpress IconWordPress sebagaimana namanya adalah client untuk pengurusan blog, dan sudah pasti saya menggunakan aplikasi ini untuk menguruskan blog ini apabila tidak berada di depan PC. Komen yang masuk juga kadang-kala saya balas melalui aplikasi ini di samping melihat kadar trafik blog ini.

Opera Mini IconOpera Mini adalah satu pelayar web sepertimana Firefox dan Chrome. Jangan terkeliru kerana Opera Mini adalah berbeza dengan Opera Mobile, juga merupakan pelayar web. Mungkin anda bertanya mengapa saya memasang aplikasi ini sedangkan saya sudah ada Firefox di dalam telefon. Jawapannya adalah kerana Opera Mini ini berfungsi melalui proksi dan kelebihannya adalah kita boleh membuka laman web yang disekat di dalam Malaysia. Kadangkala kajian saya menuntut untuk membuka laman web ‘terlarang’ dan dengan menggunakan aplikasi ini, ia bukan satu masalah.

Klik pautan di bawah untuk maklumat lanjut setiap aplikasi di Google Play Store;

WordWeb | XE Currency | Google Translate | TrackID | Google My Tracks | Waze | WordPress | Opera Mini

Folder : Instant Messaging

Semua aplikasi permesejan segera saya letakkan di dalam folder ini bagi memudahkan akses sekiranya ada rakan-rakan yang menghantar mesej atau saya ingin menghantar pesanan. Kesemua aplikasi yang tersenarai merupakan aplikasi mainstream dan tidak perlu saya huraikan dengan lanjut.

Klik pautan di bawah untuk maklumat lanjut setiap aplikasi di Google Play Store;

WhatsApp | Viber | Facebook Messenger | Google Hangouts | WeChat | LINE | KakaoTalk | Samsung ChatOn

Folder : MultiMedia

Menghimpunkan aplikasi berkaitan pengimejan dan muzik, dan hampir semua aplikasi adalah aplikasi native (Camera, Music Player, Gallery) kecuali TubeMate. TubeMate merupakan aplikasi yang membolehkan kita memuat turun video daripada YouTube melalui telefon dan ia tidak ditawarkan melalui Google Play Store sebaliknya perlu dimuat turun daripada sumber lain.

Cara pemasangan dan penggunaan aplikasi TubeMate ini saya telah huraikan dalam artikel sebelumnya yang boleh dirujuk di sini.


Bonus : Eh, Aplikasi Apa Tu???

Mungkin para pembaca yang tajam penglihatannya, apabila melihat screenshot skrin utama yang dioptimasikan, telah melihat satu aplikasi yang tidak duduk di dalam mana-mana folder dan berseorangan di luar, dan aplikasi itu seperti amat ‘mengujakan’.

KANTOI? - Aplikasi Bajet Kahwin yang duduk di luar bersendirian. Ia masih teruna.
KANTOI? – Aplikasi Bajet Kahwin yang duduk di luar bersendirian. Ia masih teruna.

Aplikasi Bajet Kahwin ini, dibina oleh pembangun aplikasi tempatan dan menurut pembangunnya, aplikasi ini bertujuan untuk membantu bakal pengantin (dan juga pasangan yang sedang bercinta, putus cinta, masih solo, atau yang berniat ingin ‘menambah cawangan’?) untuk menganggarkan kos mengadakan majlis perkahwinan. Saya lampirkan screenshot aplikasi ini;

BERAPA BANYAK? - Kos bagi pihak lelaki dan perempuan boleh dianggar. Untuk yang 'menambah cawangan', mungkin perlu didarab dengan jumlah 'cawangan' yang ingin ditambah. Hahaha...
BERAPA BANYAK? – Kos bagi pihak lelaki dan perempuan boleh dianggar. Untuk yang ‘menambah cawangan’, mungkin perlu didarab dengan jumlah ‘cawangan’ yang ingin ditambah. Hahaha…

Kelebihan aplikasi ini pada saya adalah ia membolehkan kita menganggar kos bagi pihak lelaki dan pihak perempuan dan untuk pihak lelaki, kadar mas kahwin turut boleh dikira berdasarkan negeri asal pasangan (jika berkenaan, untuk Kelantan dan Terengganu, mas kahwin tidak ditetapkan tetapi negotiable). Komponen kos termasuklah kos hantaran, pelamin, makanan, dan lain-lain yang berkaitan.

Kekurangannya, pada pendapat saya, aplikasi ini hanya menjumlahkan kesemua kos tanpa ada ruang untuk mengoptimasikannya, dan mungkin beberapa komponen kos tidak tersenarai untuk dikira secara tepat. Walaubagaimanapun, pembangun aplikasi ini patut diberi pujian kerana ia telah membina satu aplikasi yang ringkas tetapi amat membantu.

Jika para pembaca berasa pelik, tidak, masa saya untuk berkahwin masih jauh lagi. Saya perlu ‘mencari’ pasangan terlebih dahulu…

Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store – klik di sini untuk info lanjut.

Cara ‘Download’ Video YouTube Melalui Telefon


YouTube LogoAnda pengguna Android smartphone?Salah satu aktiviti yang menjadi kelaziman para pengguna smartphone adalah menonton video. Salah satu sumber video yang menjadi pilihan untuk ditonton semestinya daripada laman YouTube di samping laman-laman video yang lain. Jika menggunakan PC atau laptop, terdapat pelbagai cara untuk download video yang diminati di YouTube sama ada melalui penggunaan software ataupun laman web khas yang menawarkan servis download & convert, tetapi bagaimana jika anda tiada di hadapan PC/laptop dan ingin download video YouTube yang anda tonton di smartphone anda?

Carian aplikasi di Google Play Store hanya akan mengundang kehampaan kerana tiada aplikasi khusus untuk anda download video YouTube secara efektif. Ini bukan satu perkara yang pelik kerana YouTube adalah milik penuh Google dan semestinya pihak Google tidak mahu para pengguna smartphone untuk bypass aplikasi YouTube rasmi mereka dan sekaligus mengelak daripada iklan-iklan yang dipaparkan. Walaubagaimanapun, banyak aplikasi yang dibangunkan oleh pihak ketiga yang boleh digunakan untuk download mana-mana video YouTube melalui smartphone anda.

Salah satu aplikasi yang boleh memainkan peranan ini adalah TubeMate YouTube Downloader. Aplikasi ini secara asasnya akan membuka laman web YouTube versi mobile di dalam aplikasinya dan anda boleh menonton dan jika berpuas hati, download video yang ditonton tersebut.

Prosedur Pemasangan (Installation Procedure)

Disebabkan aplikasi ini bukan diedarkan melalui Google Play Store, maka beberapa ketetapan asas di dalam smartphone anda perlu diubah supaya pemasangan aplikasi ini dapat berjalan dengan jayanya. Ikuti langkah-langkah berikut;

PERTAMA: Download fail pemasangan (installer) TubeMate dengan klik di sini.

Jika anda membaca artikel ini menggunakan PC, sila save fail ini, sambungkan smartphone anda ke PC dan transfer fail ini ke dalam memory card (atau phone memory jika mahu). Pastikan anda ingat lokasi di mana anda letakkan fail ini di dalam direktori smartphone anda.

Jika anda membaca artikel ini melalui smartphone, anda boleh klik link yang diberikan untuk download dan meneruskan pemasangan tanpa perlu melalui proses PC-to-Phone File Transfer. Tetapi pastikan anda telah menukar ketetapan untuk membenarkan pemasangan aplikasi luar (third party apps). Penerangan lanjut seperti di bawah.

(1) Pada 'Settings', buka 'Security', dan pada 'Unknown Sources', pastikan ia ditandakan. (2) Amaran Sekuriti akan terpapar apabila anda 'tick', abaikan dengan memilih OK. (3) Buka 'File Manager' dan cari fail pemasangan tadi.
(1) Pada ‘Settings’, buka ‘Security’, dan pada ‘Unknown Sources’, pastikan ia ditandakan. (2) Amaran Sekuriti akan terpapar apabila anda ‘tick’, abaikan dengan memilih OK. (3) Buka ‘File Manager’ dan cari fail pemasangan tadi.

KEDUA: Selepas selesai proses transfer fail pemasangan tadi ke dalam smartphone anda, langkah seterusnya adalah untuk membuka Settings, pilih Security, dan cari ketetapan bernama ‘Unknown Sources’. Tandakan (tick) untuk membenarkan pemasangan aplikasi luar daripada Google Play. Security Warning akan terpapar sebagai peringatan, anda hanya perlu klik OK. Lihat rajah di atas.

PERHATIAN: Rajah di atas diambil daripada telefon Samsung yang menggunakan Android versi 4.1 (Jelly Bean) dan masih relevan untuk Android 4.0 (Ice Cream Sandwich). Untuk Android versi sebelumnya (2.3.x – Gingerbread) seperti yang digunakan oleh Samsung Galaxy S Advance, ketetapan ‘Unknown Sources’ terletak di Settings > Applications.

KETIGA: Cari fail pemasangan yang anda transfer ke dalam memory card atau phone memory tadi. Anda boleh menggunakan aplikasi File Manager yang terbina dalam (contohnya untuk pengguna Samsung, gunakan ‘My Files’). Cari fail pemasangan tadi dan klik untuk memulakan proses pemasangan. Ikut arahan yang diberikan.

(1) dan (2) Ikut arahan pemasangan yang diberikan. (3) Selesai pemasangan, ikon aplikasi akan muncul di 'App Drawer'.
(1) dan (2) Ikut arahan pemasangan yang diberikan. (3) Selesai pemasangan, ikon aplikasi akan muncul di ‘App Drawer’.

KEEMPAT: Selesai pemasangan, ikon aplikasi TubeMate akan terpapar di senarai aplikasi anda. Buka aplikasi tersebut dan secara asasnya anda akan dapat melihat laman web YouTube versi mobile akan terpapar di dalam aplikasi itu sendiri.

KELIMA: Anda boleh membuka dan mencari video yang diminati untuk ditonton atau di download. Memandangkan tujuan aplikasi ini dipasang adalah untuk download video YouTube, maka moleklah untuk kita mencari video untuk di download. Untuk contoh ini, saya ingin download video bertajuk ‘Sway Pussycat Dolls’.

(1) Cari video yang diminati dan buka. (2) Apabila video dimainkan, maka butang Download akan terpapar. (3) Klik butang Download tersebut dan pilih format yang dikehendaki untuk dimuat turun.
(1) Cari video yang diminati dan buka. (2) Apabila video dimainkan, maka butang Download akan terpapar. (3) Klik butang Download tersebut dan pilih format yang dikehendaki untuk dimuat turun.

KEENAM: Dalam contoh ini, saya membuka salah satu video yang berkaitan dengan carian saya (Sway Pussycat Dolls). Apabila video tersebut mula terpapar, butang Download (berwarna hijau) akan muncul. Klik pada butang tersebut dan anda boleh memilih format yang dikehendaki sebelum dimuat turun ke dalam telefon bimbit anda.

Perhatikan dalam senarai format tersebut, ada pilihan untuk muat turun sebagai format lagu (mp3). Ini amat berguna jika anda ingin memuat turun satu-satu muzik video tersebut hanya untuk mendengar lagunya sahaja dan bukan videonya.

Juga dalam contoh di atas, saya memilih video yang tidak boleh dimainkan melalui smartphone. Ini tidak menjadi masalah kerana anda masih boleh download video tersebut, jadi kekangan tersebut dapat diatasi!

Harap aplikasi ini dapat menyelesaikan dilema untuk download video yang dikehendaki melalui smartphone Android anda. Pendapat dan pertanyaan adalah dialu-alukan di ruangan komen.

Sebelum WhatsApp, Ada ICQ Dan mIRC


Jika disebutkan istilah ‘Permesejan Segera’, mungkin ramai yang kurang jelas dan mungkin tidak pernah mendengarnya. Tetapi apabila disebut dengan istilah aslinya iaitu ‘Instant Messaging’ atau singkatannya IM, ramai yang sudah maklum apa yang dimaksudkan. Mutakhir ini ‘Instant Messaging’ (selepas ini disebut ‘IM’) telah menjadi sebahagian daripada cara kita berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat sesama sendiri. Sebut sahaja aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, Viber dan seumpamanya, tiada yang tidak tahu apakah fungsi-fungsi aplikasi tersebut.

IM bukanlah sesuatu perkara atau trend yang baru, malah sejarahnya boleh kita rujuk sejak dari zaman permulaan Internet lagi, dan semestinya pada zaman tersebut tidaklah secanggih dan sepantas apa yang kita ada pada hari ini. Namun evolusi-evolusi yang dilalui oleh IM (dan Internet amnya) merupakan satu perkara yang menarik perhatian saya untuk dihuraikan di dalam artikel ini.

NOTA: Artikel ini mempunyai 3000+ patah perkataan dan boleh dikategorikan sebagai satu rencana panjang. Artikel ini bukan bersifat teknikal tetapi teknik huraian secara kronologi dan mendalam mungkin akan membuat anda keletihan ketika membaca. Sila berhenti membaca jika keletihan dan rehatkan mata anda dengan memandang objek yang jauh sehingga lega sebelum kembali menyambung bacaan. Alternatifnya, dicadangkan anda membaca sekali imbas (skimming) dan melihat imej-imej dalam artikel ini untuk mendapatkan idea berkenaan apa yang ingin disampaikan. Harap maklum. – AUDI FALIQ IBRAHIM

1990an – Zaman Disket 1.44MB

Sekeping gambar yang ditangkap menggunakan Samsung Galaxy S Advance bersaiz 5 MegaPixel akan memenuhkan keseluruhan kapasiti disket ini.
SEKEPING DISKET 1.44MB – Jika sebuah foto yang ditangkap oleh telefon bimbit Samsung Galaxy Advance yang berkeupayaan 5 Megapixel dimuatkan di dalam disket ini, ia akan mengambil hampir keseluruhan ruang yang ada!

Sekitar pertengahan tahun 90’an iaitu ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan dasar IT Budaya Hidup Kita (siapa masih ingat?), kadar penggunaan komputer secara perlahan-lahan meningkat di kalangan pengguna rumah. Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti skim pemilikan komputer melalui pengeluaran simpanan KWSP dan saluran pengedaran dan pembelian komputer melalui Pos Malaysia (ingat Skim Odasaja?) telah mendapat sambutan yang baik dan membantu meningkatkan kadar celik IT dan komputer di kalangan para remaja khususnya dan masyarakat amnya.

Komputer pada zaman itu juga ada pelbagai jenama, bukan sahaja Acer, HP dan Compaq, tetapi kita ada juga Gateway, Pineapple, Raffles, dan banyak lagi. Kebanyakan jenama-jenama ini sudah tidak wujud lagi pada masa kini.

Pada waktu itu saya masih menuntut di sekolah rendah, dan dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat pada ketika itu mula mendekati komputer dan belajar untuk menjadikan komputer sebahagian daripada ‘ahli keluarga’ mereka. Internet pada zaman itu adalah serba ringkas – tiada video, tiada muzik, tiada animasi Flash yang penuh bergaya – elemen tercanggih yang berada di laman web pada ketika itu adalah imej/gambar dan animasi GIF, dan amat-amat jarang untuk melihat laman web yang menghidangkan video lebih daripada seminit dan majoriti perlu menggunakan RealPlayer dan/atau QuickTime. Tiada video HD, apatah lagi yang bersaiz 240p.

Laman Web Yahoo Pada Tahun 1999. Ringkas (Dan Bosan) Kan?
LAMAN WEB YAHOO! PADA TAHUN 1999 – Tiada video, animasi Flash dan tiada interaktiviti canggih. Laman web pada era tersebut menggunakan elemen teks dan gambar.

Di zaman itu juga, tiada jalur lebar (broadband) untuk pengguna di rumah. Internet adalah Dial-Up – setiap kali online ketika itu jugalah talian telefon di rumah tidak akan dapat ditembusi. Juga, tiada istilah always online 24/7 kerana Internet pada masa itu dicaj pada kadar per minit. Lazimnya para pengguna akan meluangkan masa secara purata selama 30 minit sehingga 1 jam sehari untuk menggunakan Internet. Kelajuan adalah relatifnya amat primitif iaitu sekitar 40kbps dan ini bermaksud fail bersaiz sekitar 20MB akan mengambil masa kira-kira hampir 3 jam untuk selesai dimuat turun. Jika mahukan internet pantas untuk pengguna rumah, pilihan yang ada adalah ISDN, kelajuannya adalah sekitar 128kbps, dan amat mahal!

Tumpuan penggunaan Internet pada ketika itu adalah untuk menghantar dan menerima e-mel, mencari dan membaca maklumat serta berita. E-mel yang popular pada ketika itu adalah Hotmail (kini namanya Outlook.com), dan mungkin ramai yang tidak tahu Malaysia pernah ada penyedia perkhidmatan e-mel yang dipanggil WauMail. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan di Internet, tetapi salah satu perkara yang popular pada ketika itu adalah IRC.

WauMail - Penyedia E-Mel Percuma Malaysia. Sekarang Hanya Tinggal Sejarah.
WAUMAIL – Merupakan penyedia khidmat e-mel percuma yang berasal dari negara kita. Pada waktu tersebut, WauMail merupakan satu-satunya penyedia yang memberi pilihan pelbagai bahasa untuk lamannya (termasuk Bahasa Melayu). Kini ia hanya tinggal sejarah.

Internet Relay Chat (IRC) – IM Orang Dulu-Dulu

mIRC - Old Timer Internet sudah pasti kenal. /join #kampung
LOGO mIRC – Internet Relay Chat (IRC) merupakan medium komunikasi pelbagai pengguna di zaman awal penggunaan internet di Malaysia.

Jika anda lahir pada tahun 80an seperti saya, kemungkinan besar anda tahu akan IRC ini. IRC ataupun nama penuhnya Internet Relay Chat secara kasarnya lebih kepada bilik borak (chatroom) tetapi dibahagikan kepada beberapa saluran (channel) dengan topik-topik atau kumpulan-kumpulan tertentu. Klien (software) yang digunakan untuk mengakses IRC ini adalah mIRC (yang paling popular), walaupun ada beberapa klien alternatif yang lain.

IRC ini tidak seperti Yahoo Messenger atau WhatsApp, antaramukanya adalah amat crude dan tidak cantik. Sebagaimana chatroom yang lain, dalam satu-satu channel tersebut mungkin terdapat ratusan pengguna yang keluar dan masuk dan interaksi yang berlaku adalah amat pantas sehinggakan kadang-kadang sukar sedikit untuk mengikuti apa yang diperbincangkan. IRC bergerak menggunakan pelayan (server) khusus dan terdapat pelbagai server seperti DalNet, UnderNet dan sebagainya yang dihoskan di merata lokasi seluruh dunia.

MIRC Screenshot
ANTARAMUKA (UI) mIRC – Amat ringkas dan berfokus kepada kandungan. Pengguna perlu menghubungi server khas IRC seperti UnderNet/DalNet sebelum dapat masuk ke channel yang dikehendaki. Antara channel yang popular di Malaysia pada ketika itu adalah #kampung.

Saya sendiri merupakan salah seorang pengguna IRC yang aktif suatu masa dahulu walaupun bukanlah pengguna tegar. Nama pengguna saya dalam IRC adalah @DiGiMon (Hahaha…) dan channel yang sering saya masuk adalah #kampung. Terdapat pelbagai channel yang terdiri daripada para pengguna Malaysia dan menggunakan Bahasa Melayu. Juga, sebagai pengguna IRC beberapa arahan (command) asas perlu diketahui untuk memudahkan penggunaan. Antara command yang saya masih ingat adalah /join untuk masuk ke dalam channel tertentu dan beberapa lagi yang saya sudah lupa.

Twitter mungkin telah mempopularkan semula penggunaan hashtag # dan alias @ yang sudah pasti diambil daripada dunia IRC.

Walaupun IRC ini nampak terlalu ringkas, tetapi jika kita sudah mahir selok-belok command-command dan juga scriptingnya, ia boleh digunakan untuk menghantar fail seperti gambar-gambar ataupun yang paling kasar, untuk banned satu-satu user itu daripada masuk dalam channel tertentu. Kelemahan IRC ini adalah kita tidak tahu latar belakang para pengguna yang menyertai satu-satu channel itu dengan jelas (identiti hanya berasaskan username dan tiada profile page) dan sesiapa sahaja boleh menipu umur dan lokasinya. IRC ini jugalah yang pernah menjadi isu di negara kita yang melibatkan penipuan kepada para gadis remaja dan penyebaran gambar lucah artis-artis tempatan.

Kelemahan-kelemahan IRC (dan chatroom lain) inilah yang melahirkan sistem IM yang lebih kemas.

ICQ dan AOL Instant Messenger – Pelopor IM

ICQ - Ingat bunyi hon keretapi memanjang?
LOGO ICQ – Merupakan aplikasi IM terawal yang muncul dan sezaman dengan AOL Instant Messenger. ICQ terkenal dengan login alert nya yang merupakan bunyi hon keretapi.

Ciri public chatroom seperti IRC yang tiada sistem pengenalan diri yang sempurna sedikit sebanyak akan mendedahkan diri para penggunanya kepada ancaman sekuriti dan penyalahgunaan identiti. Walaupun IRC sebagai contoh membezakan setiap para pengguna melalui username, namun username ini bukanlah milik penuh pengguna tersebut, dan ini bermakna apabila seseorang pengguna itu keluar dari sistem IRC, username nya boleh digunakan oleh orang lain.

Sekitar awal tahun 2000, sistem IM yang lebih selamat untuk pengguna diperkenalkan. Umum bersetuju bahawa pelopor-pelopor sistem IM yang kemas adalah American Online melalui AOL Instant Messenger nya, dan juga ICQ yang dibangunkan oleh pihak Mirabilis. AOL Instant Messenger kurang popular di kalangan pengguna Malaysia dan lebih banyak digunakan oleh pengguna Amerika Syarikat. Sebahagian besar pengguna Internet Malaysia lebih gemar menggunakan ICQ.

ICQ (dikatakan merupakan singkatan untuk I Seek You) merupakan sistem IM yang memerlukan penggunanya untuk mengesahkan (approved) sesiapa yang ingin menjadi kenalan sebelum memulakan sesi interaksi. Sistem approval ini dapat mengurangkan isu sekuriti di mana pengguna berkuasa untuk meluluskan permohonan (request) mereka yang benar-benar dikenali dan bukannya orang asing yang tiada kaitan terus. ICQ juga memerlukan penggunakan mengisi borang profil yang bertanyakan maklumat asas seperti umur, lokasi, nama penuh, nama timangan dan sebagainya bagi membolehkan potensi kenalan dan pengguna ICQ yang lain mengetahui siapa yang membuat request tersebut. Konsep request-approve ini yang kemudiannya diikuti oleh hampir semua vendor IM yang terkemudiannya.

ICQ ini turut digunakan oleh saya sebagai platform untuk perbincangan dengan rakan-rakan sekelas (ketika itu saya menuntut di sekolah menengah). Uniknya ICQ ini adalah setiap pengguna akan diberikan nombor siri 7 angka sebagai username dan untuk menambah kenalan yang lain, nombor siri individu terbabit perlulah diketahui terlebih dahulu dan diinput di dalam ICQ. Tiada username menggunakan alphanumeric pada ketika itu (tahun 2000+). Menjadi trend pada zaman tersebut untuk bertanya nombor ICQ seumpama bertanya nombor telefon bimbit.

Ciri-ciri yang ditawarkan oleh ICQ adalah serupa dengan apa yang ditawarkan oleh sistem IM pada masa kini. Selain berborak secara individu atau berkumpulan, penghantaran fail juga boleh dibuat sesama pengguna.

Perkara yang paling diingati oleh saya semasa menggunakan ICQ ini adalah bunyi login nya. Selepas berjaya login ke dalam sistem, ICQ akan mengeluarkan bunyi hon keretapi yang amat panjang dan jika anda terlupa menurunkan volume speaker, bersedialah untuk terkejut. Hahaha…

Alaf Baru 2000 – Zaman Pendrive dan Memory Card – 128MB

Pernah jumpa Pendrive 64MB? Pada masa dahulu, ia pernah wujud dan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan.
PEMACU KILAT DAN KAD MEMORI – Pengenalan kedua-dua peranti ini telah mengubah bagaimana data dapat dikongsi dan digerakkan dalam kapasiti yang lebih besar.

Bermula pada tahun 2000 dan ke atas, kadar celik IT dan teknologi di kalangan rakyat Malaysia adalah membanggakan dan komputer tidak lagi dianggap sebagai peralatan pejabat semata-mata. Pada masa inilah pelbagai inovasi teknologi daripada sudut peranti (hardware) dan perisian (software) dapat dilihat dan diadaptasi oleh hampir kesemua lapisan masyarakat.

Disket sudah mula diancam kepupusan bermula pada era ini, dan penggunaan pemacu kilat (flashdrive/pendrive) sudah mula meluas. Kapasiti pendrive yang bermula dari 128MB dan mahal harganya sudah mula meningkat sedikit demi sedikit dan harga juga semakin menurun ke tahap mampu milik. Sekitar tahun 2005, saya membeli pendrive 512MB dengan harga RM100. Bayangkan berapa kapasiti yang boleh dibeli dengan harga tersebut pada hari ini (2013)?

Internet juga sudah menampakkan kemajuan dengan jalur lebar sudah boleh diakses daripada rumah dengan kelajuan yang lebih munasabah. Laman web juga sudah mula menunjukkan kreativiti dan tidak terhad lagi dengan kandungan teks dan animasi GIF semata-mata. Lagu dalam format mp3 sudah mula popular dan pelbagai pemain mudah alih mp3 mula terjual.

Juga tidak dilupakan, laman sosial mula berkembang pada awal 2000 dan ‘King of The Hill’ pada zaman tersebut adalah MySpace dan Friendster sebelum dihapus daripada sejarah oleh Facebook, Twitter dan Google Plus pada hari ini. Pada ketika itu, tiada perasaan malu untuk meminta testimonial daripada rakan untuk ditulis dalam wall Friendster dan golongan perempuan akan pimp-up laman profile MySpace mereka dengan pelbagai kod CSS dan animasi yang kadang-kala membuatkan pelayar web menjadi sejuk beku (freeze) dan terhentak (crash).

Satu lagi – Google di era awal 2000 masih lagi dalam kategori underdog dan pada ketika itu, Yahoo lebih popular.

Dominasi Yahoo Messenger & Windows Live Messenger

Yahoo Messenger - Secara relatifnya masih lagi popular
YAHOO! MESSENGER – Aplikasi IM yang mempopularkan penggunaan IM di kalangan rakyat Malaysia. Boleh dikatakan semua pengguna Internet di Malaysia mempunyai akaun Yahoo! Messenger dan sekaligus Yahoo! Mail.

Pelopor perisian IM seperti ICQ dan AOL Instant Messenger sudah mempunyai pesaing era baru yang lebih kukuh iaitu Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Kedua-dua perisian ini mengetengahkan antaramuka (interface) yang lebih segar dan juga integrasi secara terus dengan akaun e-mel. Integrasi terus dengan akaun e-mel bukanlah perkara baru tetapi dilaksanakan dengan lebih sempurna dan kemas oleh Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger.

Juga, Yahoo dan Windows Live juga telah memudahkan proses menambah kenalan iaitu melalui penggunaan alamat e-mel yang lebih mudah untuk dihafal berbanding nombor siri yang digunakan oleh ICQ. Ditambah dengan kekuatan user base masing-masing melalui akaun e-mel Yahoo dan Hotmail, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger mendapat tempat di kalangan generasi baru pengguna IM.

Ketika saya di universiti (2005+), Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger ini digunakan secara meluas dan ICQ secara teknikalnya telah pupus dalam diam. Di antara keduanya, Yahoo Messenger secara relatifnya mempunyai lebih ramai pengguna berbanding Windows Live Messenger. Salah satu faktor pendorong (pada pendapat saya) adalah branding Yahoo adalah lebih kuat pada ketika itu dan jika seseorang itu mahu membuka akaun e-mel berasaskan web, kecenderungan untuk memilih Yahoo adalah lebih tinggi daripada Hotmail.

Hotmail pada ketika itu dianggap sebagai old-school brand dan GMail masih lagi merupakan by invitation only.

2005 – Era Mobiliti Bermula

Ini adalah ikon kepada hampir semua rakyat Malaysia.
NOKIA 3310 – Merupakan successor kepada model 3210, telefon bimbit ini walaupun amat ringkas pada rekaannya, tetapi menjadi idaman semua orang yang ingin menggunakan telefon bimbit pada waktu itu. Harganya di waktu pelancaran adalah RM1000 ke atas!

Selain peningkatan dalam penggunaan komputer, kadar penembusan untuk penggunaan telefon bimbit telah mula menunjukkan corak peningkatan bermula pada awal tahun 2000 dan meningkat dengan drastik tahun ke tahun. Ini didorong oleh keputusan kerajaan untuk meliberasikan pasaran dan pengenalan pakej prabayar mampu milik oleh lima operator utama pada ketika itu iaitu Celcom, Maxis, DiGi, TMTouch dan TIMECel.

Akses Internet melalui telefon bimbit mula mendapat tempat selepas pengkomersialan sistem rangkaian 3G secara meluas di seluruh negara sekitar tahun 2005  ke atas. Sistem data untuk telefon bimbit sebenarnya sudah wujud lebih awal iaitu pada awal tahun 2000 melalui sistem paket data GPRS dan EDGE tetapi penggunaannya tidak terlalu meluas kerana caj yang mahal dan model telefon bimbit yang menyokong sistem paket data juga amat terhad. Tambahan, liputan data pada ketika itu amat kecil dan tidak konsisten.

Pengguna telefon bimbit di Malaysia pada ketika itu lebih suka menggunakan SMS sebagai medium untuk berinteraksi sesama kenalan dan penggunaan SMS melonjak dengan amat tinggi selepas perjanjian inter-operatibility yang ditandatangan oleh lima operator utama pada tahun 2000 (sebelum itu, SMS hanya boleh dihantar dalam rangkaian yang sama). Dengan persaingan untuk mendapatkan pelanggan di kalangan remaja, setiap operator bersaing sesama sendiri mengeluarkan pakej prabayar yang memberi fokus kepada kadar SMS yang lebih murah.

Aplikasi mig33 yang dijalankan pada telefon NOKIA N82.
APLIKASI mig33 – Aplikasi ini bukan IM yang sebenar tetapi lebih merupakan proksi kepada aplikasi Yahoo! Messenger dan Live Messenger yang berasaskan Java MIDP. Petikan skrin ini adalah aplikasi mig33 yang dijalankan di telefon bimbit Nokia N82 saya.

Apabila rangkaian paket data sudah meliputi hampir semua bandar-bandar utama dengan kualiti yang konsisten serta pengenalan pakej pelan data yang lebih mesra pengguna, maka sedikit demi sedikit take-up rate untuk penggunaan data meningkat. Tambahan pula, harga telefon bimbit berkeupayaan data juga sudah semakin murah dan mampu dimiliki oleh majoriti pengguna telefon bimbit. Jika disebut istilah telefon pintar pada waktu itu, ia merujuk pada telefon bimbit berkeupayaan data sekurang-kurangnya 3G dan menjalankan sistem operasi Symbian OS, dan pengeluar yang menghasilkan model yang memiliki ciri-ciri ini adalah NOKIA, Sony Ericsson dan Motorola.

Menyentuh berkenaan keupayaan IM di telefon bimbit, pada sekitar tahun 2005, tiada sebarang aplikasi IM khusus untuk telefon bimbit berkeupayaan data. Aplikasi yang ada merupakan klien pihak ketiga (third party client) yang memberi akses kepada IM di komputer seperti Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Saya menggunakan aplikasi yang diberi nama mig33 untuk mengakses Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger melalui telefon NOKIA N82. Aplikasi ini adalah Java-based dan ini bermaksud telefon bimbit yang berkeupayaan data dan menyokong Java MIDP boleh menggunakannya.

Pengalaman saya semasa menggunakannya, aplikasi ini pada dasarnya sudah cukup canggih pada ketika itu dan harus diingatkan tidak banyak aplikasi berasaskan Java yang mampu memberikan akses hampir lengkap kepada semua fungsi IM sebagaimana yang biasa kita gunakan di komputer. Kekangan pada ketika itu hanyalah pakej data yang mahal dan harus diambil maklum bahawa penggunaan WiFi pada ketika itu belum cukup popular di telefon bimbit kerana tidak banyak telefon bimbit yang menyokong WiFi dan kepelbagaian standard WiFi yang boleh memeningkan pengguna biasa.

IM Generasi Baru – Mobiliti Sepenuhnya

WhatsApp, Viber, WeChat, Line, BBM - Begitu banyak pilihan, semua pun boleh!
APLIKASI IM ERA BARU – Bermula dengan WhatsApp, kini terdapat pelbagai aplikasi IM yang berasaskan platform telefon pintar seperti Viber, WeChat, Line dan pelbagai lagi. Vendor telefon pintar tidak ketinggalan menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri seperti BlackBerry dengan BlackBerry Messenger dan Samsung dengan ChatOn.

Jika saya katakan bahawa Yahoo Messenger (dan IM berasaskan PC yang lain) diancam kepupusan, setujukah anda?

Trend terkini menunjukkan bahawa penggunaan IM telah berpindah (shift) hampir sepenuhnya daripada cara tradisional (komputer) kepada cara mudah alih. Mutakhir ini telefon pintar bukan lagi satu peranti yang mahal dan terhad kepada golongan bangsawan tetapi boleh dikatakan semua lapisan umur sudah mula menggunakan telefon pintar. Penggunaan meluas telefon pintar telah membawa kepada penurunan harga (konsep economies of scale) dan dengan harga serendah RM300, kita boleh membeli sebuah telefon pintar yang berkeupayaan data 3G. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila melihat pelajar sekolah rendah menggunakan telefon pintar yang kadang-kala lebih canggih daripada yang digunakan oleh kita!

Telefon pintar masa kini berkeupayaan untuk memasang aplikasi yang ciri-cirinya adalah setanding dengan program di komputer kerana keupayaan telefon pintar sedikit sebanyak menyamai keupayaan komputer itu sendiri. Maka jika sebelum ini aplikasi IM untuk telefon bimbit lebih menfokuskan sebagai proksi kepada sistem IM di PC, mutakhir ini aplikasi IM untuk telefon pintar adalah 100% dijalankan di telefon itu sendiri tanpa ada kaitan atau campur tangan komputer.

WhatsApp
LOGO WHATSAPP – Antara pelopor aplikasi IM di telefon pintar.

Pelbagai aplikasi IM untuk telefon pintar yang boleh digunakan dan antara beberapa nama yang popular adalah WhatsApp, Viber, WeChat, Line, Kakao Talk dan banyak lagi. Di Malaysia, saya mendapati WhatsApp masih lagi menjadi kegemaran rakyat Malaysia untuk berinteraksi dengan pendatang baharu WeChat turut mula mendapat tempat. Lazimnya para pengguna akan memasang semua aplikasi IM yang ada di dalam telefon pintar mereka untuk memastikan mereka mendapat akses yang maksimum kepada semua rakan-rakan. Di samping itu, hampir semua vendor IM ini menghasilkan aplikasi mereka untuk semua platform sistem operasi (OS) telefon pintar yang digunakan di pasaran, dan ini merupakan satu langkah bijak dan memudahkan pengguna yang menggunakan pelbagai sistem OS.

Vendor IM tradisional seperti Yahoo dan Microsoft (Live Messenger) juga ada menghasilkan aplikasi untuk telefon pintar tetapi apa yang saya dapat perhatikan, tidak ramai yang menggunakan Yahoo mahupun Live Messenger di telefon pintar mereka. Salah satu faktor adalah majoriti daripada kita telah terbiasa dengan anggapan bahawa Yahoo Messenger dan Live Messenger adalah program PC dan versi untuk telefon pintar adalah inferior (walaupun tidak begitu). WhatsApp dan lain-lain IM bermula dari platform telefon pintar dan sudah sebati dengan sistem operasi telefon pintar itu sendiri.

Juga dapat dilihat, trend di mana laman sosial turut menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri, seperti Facebook dengan Facebook Messenger dan Google Plus dengan Google Messenger (dikatakan Google akan menggabungkan aplikasi Google Talk yang kurang digunakan bersama Google Messenger) di mana aplikasi IM ini diintegrasi sepenuhnya dengan laman sosial masing-masing bagi mewujudkan seamless experience.

Sememangnya yang mendapat manfaat adalah kita sebagai pengguna, namun operator rangkaian sudah mula rasa terancam dengan penggunaan aplikasi IM yang semakin meluas. Mengapa?

Keupayaan aplikasi IM untuk berkongsi elemen multimedia selain teks adalah satu 'ancaman'.
WHATSAPP DI TELEFON PINTAR BERASASKAN ANDROID – Aplikasi IM seperti ini sudah mula menjadi ancaman kepada operator rangkaian kerana lebih cekap dan mampu menghantar elemen multimedia seperti gambar, video dan bunyi berbanding sistem tradisional SMS dan MMS yang mempunyai kekangan.

Lihat petikan skrin untuk aplikasi WhatsApp di atas, apa yang para pembaca boleh rumuskan dan kaitan dengan ancaman kepada operator rangkaian? Sebenarnya secara tidak langsung, penggunaan IM seperti WhatsApp yang semakin meluas telah mengancam sumber pendapatan utama kebanyakan operator iaitu – SMS. Berbanding dengan SMS yang dicaj bagi setiap mesej yang dihantar keluar, jika menggunakan IM, kita boleh menghantar seberapa banyak mesej tanpa dicaj bagi setiap salah satunya. Tambahan pula, aplikasi IM membolehkan kita bukan sahaja menghantar teks, tetapi elemen-elemen multimedia seperti gambar beresolusi tinggi, bunyi dan juga video di mana sistem MMS pun tidak mampu melaksanakannya.

Viber
LOGO VIBER – Keupayaan aplikasi IM yang sudah mampu membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data merupakan satu ‘ancaman’.

Sukacita juga dimaklumkan, kebanyakan aplikasi IM ini bukan sahaja mampu menghantar dan menerima pesanan, tetapi juga sudah berkeupayaan membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data (contoh seperti Viber, Skype, WeChat). Dan ini sudah pasti ‘menambah garam pada luka’ yang dialami oleh para operator rangkaian yang sudah pening melihat pendapatan SMS mereka menurun pada hampir setiap suku kewangan.

Sebahagian mungkin menegaskan bahawa operator tidaklah mengalami impak yang besar daripada penurunan penggunaan SMS (dan suara) kerana para pengguna masih perlu melanggan pelan data untuk menggunakan aplikasi-aplikasi ini dan operator rangkaian boleh merancang pelbagai pelan data yang bersesuaian mengikut kumpulan-kumpulan ini. Ada kebenarannya pendapat ini, tetapi secara peribadi, ia sebenarnya tidak cukup dan masih menjadi satu ancaman kerana ada faktor ini – WiFi. Berikut adalah pendapat peribadi saya;

Seorang individu biasa yang memiliki telefon pintar tanpa pelan data masih lagi boleh menggunakan aplikasi IM dan lain-lain aplikasi berasaskan Internet dengan menggunakan WiFi. Jika dihitung bilangan jam di mana seseorang individu itu berada, sudah pasti kebanyakan masanya akan diluangkan di rumah dan pejabat. Di kedua-dua tempat ini (rumah dan pejabat), lazimnya sudah tersedia rangkaian WiFi yang stabil dan laju maka secara logik, individu ini akan menggunakan rangkaian WiFi yang disediakan dan sekaligus melangkau (bypass) operator rangkaian mereka! Malah, di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah, terdapat rangkaian WiFi percuma disediakan dan ini juga satu bonus untuk individu ini tetapi satu sumpahan (curse) untuk operator rangkaian.

Jika Operator tidak merasa terancam, mengapa pakej seperti ini perlu dihasilkan? ;-)
PELAN PRABAYAR BERASASKAN SOSIAL – Operator rangkaian sudah mula menyedari ancaman yang dibawa oleh aplikasi IM ini dan hasilnya mencipta pakej yang mengintegrasikan secara terus akses kepada aplikasi-aplikasi tersebut dengan bayaran yang tetap.

Maka sekali lagi ditegaskan, ketiadaan pelan data bukan satu masalah besar kepada para pengguna telefon pintar kerana hampir semua tempat sudah disediakan akses WiFi. Malah, majoriti rakan-rakan saya yang menggunakan telefon pintar mengakui tidak melanggan pelan data dan menggunakan WiFi sebagai sumber data.

Saya pasti operator rangkaian sedar berkenaan perkara ini, dan mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan menaikkan harga pelan data atau mewajibkan langganan data kerana ini akan mengundang protes pelanggan dan boleh diambil kesempatan oleh operator pesaing. Jika anda lihat, ketiga-tiga operator utama (Celcom, Maxis, dan DiGi) sudah memperkenalkan pelan khas pakej sosial di mana memberi akses tanpa had (maksudnya tiada caj data) kepada aplikasi IM WhatsApp.

Kesimpulan

Evolusi penggunaan Instant Messaging (IM) yang dihuraikan sedikit sebanyak telah menyedarkan kita bahawa konsep tradisional dalam membuat sesuatu perkara itu boleh berubah seiring dengan kemajuan dan kecekapan teknologi yang ada. Evolusi ini bukan terhad hanya kepada IM sahaja, tetapi boleh dikatakan semua jenis pekerjaan sudah mula menfokuskan kepada konsep mobiliti dan tidak lagi statik pada satu ruang dan masa. Dengan keupayaan telefon pintar/tablet yang menyamai keupayaan komputer tradisional, tidak mustahi suatu masa nanti, pejabat tidak wujud secara fizikal dan hanya wujud dalam bentuk digital.

P/S: Untuk mengemaskini blog ini pun sudah tidak mewajibkan saya duduk di hadapan laptop, kerana aplikasi WordPress sudah dihasilkan untuk telefon pintar sebagaimana petikan skrin di bawah. Mungkinkah komputer tradisional yang kita gunakan hari ini bakal menjadi sejarah satu hari nanti?

Screen_20130425_113356
APLIKASI WORDPRESS UNTUK BLACKBERRY – Kini blog pun sudah boleh ditadbir melalui telefon pintar.

Analisis 2013 : Pelan Prabayar Di Malaysia


2013PrepaidCompareOpeningSebelum ini saya ada menulis satu artikel berkenaan perbandingan antara pelan-pelan telekomunikasi prabayar daripada empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia, iaitu Celcom, Maxis, DiGi dan U Mobile. Walaupun pada asalnya artikel tersebut bersifat ilmiah dan merupakan pendapat peribadi saya, namun ia sedikit sebanyak telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan para pengunjung blog ini. Statistik yang dikumpulkan juga mendapati hampir setiap minggu, artikel tersebut merupakan yang paling banyak dibaca, walaupun secara teknikalnya analisis yang dihujahkan telah menjadi kurang tepat.

Artikel tersebut ditulis pada 8 Jun 2011, iaitu hampir setahun lebih yang lepas. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai perubahan telah berlaku daripada sudut penawaran dan kadar untuk setiap pelan prabayar yang dibincangkan, dan menyebabkan analisa asal menjadi kurang tepat dan mungkin mengelirukan. Maka, atas permintaan beberapa orang pembaca, saya kira sudah tiba masanya untuk saya menulis semula perbandingan dan analisa yang lebih terkini berdasarkan maklumat semasa.

Artikel 'Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia' hampir setiap minggu menjadi artikel utama yang dibaca oleh para pengunjung blog ini.
Artikel ‘Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia’ hampir setiap minggu menjadi artikel utama yang dibaca oleh para pengunjung blog ini.

Semua data dan maklumat berkenaan kadar untuk setiap pelan prabayar yang dibincangkan adalah dirujuk daripada laman web syarikat telekomunikasi yang berkenaan dan adalah sahih serta terkini semasa artikel ini ditulis. Sambungan (link) kepada maklumat yang menjadi dasar artikel ini saya lampirkan di pengakhiran artikel untuk rujukan para pembaca yang dihormati.

Juga, artikel ini saya telah susun supaya lebih mudah dibaca dan seringkas mungkin, dan dengan itu beberapa perkara seperti ‘Closed Group Service’ (Activ10, Friend & Family) dan juga servis-servis tambahan (voicemail, CLIP, Callback Tones) tidak akan disentuh. Apa yang disentuh adalah menjurus kepada kadar untuk panggilan, permesejan dan data.

Untuk membaca artikel asal ‘Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia’, sila klik di sini.

Pelan Prabayar Yang Terlibat

Perbandingan dijalankan atas empat pelan prabayar utama yang ditawarkan oleh empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia iaitu,

Celcom : Xpax 2 (juga kadangkala disebut sebagai ‘New Xpax’).

Maxis : Hotlink Plan.

DiGi : DiGi Best Prepaid.

U Mobile : U Mobile Prepaid.

Pelan-pelan prabayar ini merupakan pelan prabayar utama untuk setiap syarikat telekomunikasi yang berkenaan. Artikel ini tidak akan menyentuh pelan prabayar yang bersifat ‘supplementary’ atau variasi-variasi khas daripada pelan-pelan prabayar di atas seperti UOX/SOX, Hotlink Edisi Kampus, dan sebagainya kerana pelan-pelan ini mensasarkan golongan/demografi tertentu seperti para pelajar dan pekerja asing.

Juga, pelan-pelan prabayar yang ditawarkan oleh MVNO seperti Salamfone, TuneTalk, XOX, Happy Prepaid juga tidak akan disentuh dalam artikel ini kerana syarikat-syarikat ini bukan syarikat telekomunikasi ‘full-fledge’.

Penyusunan Kandungan Analisis

Terlebih dahulu saya akan mempersembahkan ringkasan kadar untuk setiap pelan prabayar daripada sudut panggilan, permesejan dan pelan data. Ulasan ringkas akan saya lampirkan berdasarkan pendapat dan analisa peribadi. Selepas semua kadar telah dibentangkan, satu simulasi kos penggunaan sebenar akan dijalankan berdasarkan kadar-kadar yang dibentangkan tadi merangkumi beberapa andaian (assumption) dan bersandarkan kepada penggunaan harian tipikal seorang pengguna.

Bahagian I: Kadar Yang Ditawarkan

Berikut adalah ringkasan berkenaan kadar (rates) yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi pada pelan prabayar masing-masing. Kadar yang dihuraikan adalah untuk panggilan suara (voice call), panggilan video (video call), khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS). Satu jadual telah disediakan sebagaimana di bawah;

Jadual Kadar Untuk Panggilan Suara/Video, SMS dan MMS

Merujuk kepada jadual, boleh dikatakan penawaran beberapa syarikat telekomunikasi telah menjadi sedikit ‘complicated’ berbanding beberapa tahun yang lepas, terutamanya apabila melihat kepada blok panggilan yang bukan lagi berdasarkan kepada ‘per minit’ sebagaimana sebelumnya.

Sebagai contoh, Celcom telah memanjangkan blok panggilannya kepada 5 minit dan 10 minit untuk panggilan luar dan dalam rangkaiannya. Maxis masih mengekalkan blok per minit, cuma kadarnya adalah bergantung kepada jumlah baki minima di dalam akaun (jika baki kredit lebih RM10 pada satu-satu masa, maka kadarnya adalah lebih murah). U Mobile pula mengekalkan blok 30 saat.

DiGi pula kelihatan seperti sedikit mengelirukan – blok panggilannya dipecahkan kepada tiga iaitu enam saat pertama; 2 minit seterusnya; dan minit selepas 2 minit sebelumnya (?). Ini bermaksud (berdasarkan pemahaman saya), panggilan berdurasi 5 saat kosnya adalah 6 sen, jika 1 minit 30 saat adalah 26 sen, dan jika tiga minit menjadi 46 sen.

Menyentuh berkenaan kadar panggilan video, keempat-empat syarikat telekomunikasi menawarkan kadar yang hampir identikal, kecuali U Mobile yang mengenakan kadar 60 sen seminit untuk panggilan video di luar rangkaian; kadar yang mungkin agak tinggi.

Perbezaan pada blok panggilan ini mungkin merupakan strategi syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan impak penurunan keuntungan daripada panggilan suara dan untuk menggalakkan para pengguna bercakap lebih banyak atau lebih lama.

Untuk kadar SMS, Celcom menawarkan kadar terendah untuk SMS ke rangkaian yang sama (1 sen) dan untuk SMS ke luar rangkaian, Maxis adalah merupakan yang tertinggi berbanding yang lain (10 sen).

Kadar untuk khidmat pesanan multimedia (MMS) pula memperlihatkan kadar purata sebanyak 25 sen kecuali Maxis yang mengenakan kadar 50 sen untuk MMS ke rangkaian lain.

Bahagian II: Data Mudah Alih (Mobile Data) dan Servis Internet BlackBerry (BIS)

Mutakhir ini penggunaan data mudah alih di kalangan pengguna telah melonjak ke tahap yang tinggi seiring dengan kos telefon pintar (smartphone) yang semakin murah dan liputan data yang semakin baik di kalangan semua syarikat telekomunikasi. Juga, pelan data sudah lagi tidak terhad kepada pengguna pascabayar (postpaid) sahaja dan semua syarikat telekomunikasi ada menawarkan pelan data untuk pengguna prabayar sebagaimana yang diringkaskan dalam jadual di bawah ini;

Penawaran Pelan Data Harian, Mingguan dan Bulanan Untuk Pengguna Prabayar.
Penawaran Pelan Data Harian, Mingguan dan Bulanan Untuk Pengguna Prabayar.

Merujuk kepada jadual, dapat dirumuskan bahawa pelan data yang ditawarkan dipecahkan kepada tiga kategori utama iaitu Harian, Mingguan dan Bulanan dengan kuota masing-masing.

Untuk pelan harian, kuota purata sebanyak 500MB ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi dengan Maxis memberikan pilihan untuk kuota yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah. Untuk pelan mingguan pula, Celcom adalah yang tertinggi dengan RM18 tetapi kouta yang lebih besar (1GB) manakala U Mobile tiada pelan mingguan. Pelan bulanan pula menyaksikan Maxis menawarkan kuota 3GB tetapi dengan harga yang agak tinggi (RM68) manakala pesaingnya DiGi dan U Mobile menawarkan harga RM48 untuk kuota 2GB. Celcom pula tidak menawarkan pelan data bulanan (setakat ini) dan ini mungkin mengecewakan para penggunanya yang terpaksa melanggan pelan data mingguan sebanyak empat kali sebulan, naiktaraf ke pascabayar atau beralih ke rangkaian lain.

Untuk pengguna telefon pintar BlackBerry, mereka perlu melanggan pelan data khas yang bersandarkan pada sistem BlackBerry Internet Services (BIS) dan berikut dilampirkan ringkasan penawaran pelan BIS bagi keempat-empat syarikat telekomunikasi;

Ringkasan penawaran pelan BIS untuk keempat-empat syarikat telekomunikasi.
Ringkasan penawaran pelan BIS untuk keempat-empat syarikat telekomunikasi.

Berdasarkan jadual, dapat dirumuskan bahawa pelan BIS yang paling rendah adalah ditawarkan oleh U Mobile, dan Maxis pula menawarkan kuota data yang lebih besar (1.5GB) tetapi pada harga yang amat tinggi (RM98). Secara puratanya syarikat telekomunikasi menawarkan kuota sebanyak 250 hingga 300MB – amat kecil secara teori tetapi mencukupi (sufficient) untuk telefon BlackBerry yang menggunakan data dengan amat rendah.

Menarik juga untuk disentuh berkenaan pelan BIS Maxis, harga RM98 yang ditunjukkan untuk pelan bulanan adalah untuk pelan ‘standard’, iaitu merangkumi akses penuh untuk internet, streaming, penggunaan aplikasi non-native (yang bukan dikeluarkan oleh RIM) dan juga tethering (sambungan ke PC untuk menggunakan akses Internet). Maxis ada menawarkan pelan bulanan yang lebih berpatutan yang dinamakan ‘BIS Bonus’ sebanyak RM20 tetapi pelan ini amat terhad penggunaannya dan tidak termasuk akses kepada aplikasi non-native seperti WhatsApp, Viber dan sebagainya.

Bahagian III: Simulasi Penggunaan & Kos

Saya sudah pun menghuraikan berkenaan kadar-kadar yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi untuk panggilan suara/video, SMS/MMS dan juga data mudah alih. Sekarang kita boleh menjalankan simulasi penggunaan untuk melihat kos bulanan yang akan ditanggung untuk seorang pengguna tipikal.

Untuk memastikan bahawa simulasi dijalankan dengan seadil mungkin, maka beberapa anggapan (assumption) perlu diperjelaskan, iaitu;

PERTAMA: Panggilan, mesej kepada ‘Closed Group Service’ (Activ10, Friends & Family, 8pax/15pax) tidak diambil kira.

KEDUA: Penggunaan/kredit minimum telah pun dicapai, untuk memastikan kadar yang dikenakan adalah adil (fair). Maka untuk Maxis, kadar yang diambil kira adalah kadar apabila baki akaun di atas RM10.

KETIGA: Sebarang bonus untuk panggilan, SMS, MMS dan sebagainya juga tidak diambil kira dalam simulasi ini.

Seperti biasa, satu watak hipotetikal diwujudkan, yang bernama Fifah.

Sekadar Gambar Hiasan
Sekadar Gambar Hiasan

Fifah merupakan seorang eksekutif berusia sekitar 30an dan bekerja di sebuah organisasi berasaskan khidmat sosial. Beliau merupakan rakan rapat kepada Yanie yang merupakan juga seorang eksekutif berusia 26 tahun. Walaupun amat rapat dan sering keluar bersama, namun Fifah tidak terpengaruh dengan gaya Yanie yang amat peka terhadap trend gajet semasa. Fifah menggunakan telefon bimbit Samsung Galaxy manakala Yanie menggunakan iPhone 5 yang dibeli ketika hari pelancaran menggantikan Nokia N8 yang sudah lama digunakan. Walaupun begitu, Fifah tahu dan aktif menggunakan aplikasi-aplikasi di dalam telefon pintarnya dan kerap membuat panggilan suara dan bermesej atas tuntutan kerja dan juga peribadi. Fifah merupakan seorang pengguna prabayar manakala rakannya Yanie telah bertukar kepada pascabayar.

Watak Fifah ini merupakan figura yang mewakili golongan belia yang menggunakan telefon bimbit pintar, yang peka dengan teknologi dan pada masa yang sama mengambil kira perbelanjaan dan bajet harian. Watak Yanie yang disebutkan merupakan watak hipotetikal yang digunakan pada artikel sebelum ini. Simulasi dimulakan.

Simulasi I: Panggilan

Fifah membuat panggilan pendek (kurang seminit) adalah lebih kurang 4 panggilan sehari, dengan jumlah panggilan secara purata sebanyak 10 panggilan sehari. Panggilan pendek yang dibuat adalah secara purata selama 40 saat, dan panggilan panjang dalam 5 minit. Secara kasar, penggunaannya adalah serupa dengan Yanie. Satu jadual telah dilakarkan:

Ringkasan Durasi & Kekerapan Panggilan Untuk Sebulan
Ringkasan Durasi & Kekerapan Panggilan Untuk Sebulan

Daripada jadual penggunaan di atas, maka kos untuk panggilan telah dapat dikira;

Simulasi: Kos Panggilan Untuk Sebulan
Simulasi: Kos Panggilan Untuk Sebulan

Simulasi II: SMS dan MMS

Jumlah SMS yang dihantar oleh Fifah dalam sebulan adalah sebanyak 200 SMS, dengan 100 SMS ke rangkaian yang sama dan 100 SMS ke rangkaian lain. Manakala sebanyak 50 MMS dihantar dalam sebulan oleh Fifah, dengan 25 MMS ke rangkaian yang sama dan selebihnya ke rangkaian yang berlainan. Maka, kos untuk sebulan adalah seperti berikut:

Simulasi: Kos Untuk Permesejan.
Simulasi: Kos Untuk Permesejan.

Simulasi III: Data Mudah Alih

Fifah merupakan pengguna aktif aplikasi di dalam telefon bimbitnya seperti WhatsApp, Viber, Facebook dan seumpamanya. Di samping itu, Fifah juga menggunakan telefon bimbitnya untuk memeriksa dan membalas e-mel pejabat apabila berada di luar pejabat di samping perlu mencari maklumat melalui Internet dengan kerap. Maka, Fifah perlu melanggan pelan data untuk telefon bimbitnya memandangkan WiFi hanya terdapat di rumah beliau. Kos untuk pelan data telah diringkaskan sebagaimana di bawah,

Simulasi: Pelan Data Mudah Alih
Simulasi: Pelan Data Mudah Alih

Ambil maklum untuk Celcom, pelan data mingguan didarab dengan 4 kerana Celcom tidak memiliki pelan data bulanan untuk pelan prabayarnya.

Akhir Simulasi: Kos Keseluruhan

Kita sudah melihat, satu demi satu, kos untuk panggilan, permesejan dan pelan data mudah alih. Maka, berapakah yang perlu dibayar oleh Fifah untuk sebulan jika penggunaan di atas berlaku? Satu jadual telah dilakarkan,

Simulasi: Jumlah Kos Keseluruhan
Simulasi: Jumlah Kos Keseluruhan

Apakah pelan prabayar yang sesuai untuk Fifah?

Isikan jawapan anda di sini: __________________________

Kesimpulan

Berdasarkan analisis dan simulasi yang telah dijalankan, maka secara teori, pelan Celcom Xpax dilihat adalah yang terbaik jika anda seorang yang mempunyai ciri-ciri penggunaan seimbang untuk panggilan, permesejan dan data. Tetapi jika penggunaan anda adalah lebih terarah kepada data, maka pelan selain Celcom Xpax dilihat lebih sesuai walaupun lebih mahal daripada aspek panggilan dan permesejan.

Peringatan & Makluman Tambahan

Maklumat dan analisis yang diberikan adalah tepat ketika artikel ini ditulis (30 Januari 2013) dan kekal, sehingga mana-mana syarikat telekomunikasi yang disebutkan membuat perubahan kadar. Analisis ini dibuat dengan adil dan saksama atas dasar memberi dan berkongsi maklumat, dan saya tidak sekali-kali mewakili atau menggalakkan (endorsed) anda untuk memilih mana-mana pelan prabayar di atas.

Jika terdapat sebarang kesilapan fakta atau pengiraan, boleh dimaklumkan kepada saya secara terus di ruangan komen dan Insya Allah saya akan memberi respon dan membuat pembetulan dengan seberapa segera.

Rujukan

Sila klik link yang disenaraikan di bawah untuk maklumat lanjut dan terkini berkenaan pelan prabayar yang dibincangkan dalam artikel ini. Sumber adalah terus daripada laman web syarikat telekomunikasi yang berkenaan.

Celcom Xpax | Maxis Hotlink | DiGi Best Prepaid | U Mobile Prepaid