Ultimatum


Ultimatum

Saudara dan saudari sekalian,

Hari ini (15 Disember 2015), saya telah mengeluarkan satu ‘ultimatum’. ‘Ultimatum’ ini daripada segi emosi adalah amat berat tetapi sangat perlu untuk kestabilan jangka panjang pihak-pihak yang terlibat.

Penilaian implikasi ‘ultimatum’ ini telah dilaksanakan selama satu minggu, mengambil kira semua aspek. Berdasarkan penilaian, ‘ultimatum’ ini perlu diteruskan walaupun beban emosinya amat-amat berat.

‘Ultimatum’ ini menuntut satu pengasingan yang mandatori. Pengasingan di mana satu pihak melihatnya sebagai ancaman dan kegagalan, manakala satu pihak lagi memerlukannya bagi mengelak kesan jangka panjang akibat hipokrit.

Objektif ‘ultimatum’ ini adalah untuk menjelaskan kebenaran dan mengelakkan salah faham yang berpanjangan. Walaupun ada yang mempersoalkan mengapa ‘ultimatum’ ini tidak dimaklumkan di peringkat awal, ia kerana saya ingin memberi peluang kepada emosi diri untuk hidup subur namun amat dukacita ia layu tanpa mekar walaupun puas dibaja.

Sebagaimana tunas yang mati jika tidak dibersihkan menjadi racun, maka ‘ultimatum’ ini adalah langkah pencegahan (preventive) bagi mengelakkan racun emosi jangka panjang. Ia adalah kebaikan yang terpaksa lahir daripada kepahitan.

Untuk membendung implikasi jangka pendek, maka saya telah mengambil langkah menyahaktifkan dan mengunci (private) media sosial bagi memberi ruang semua pihak menenangkan diri untuk tempoh satu (1) minggu.

Semua pihak yang terlibat dengan ‘ultimatum’ ini diharap dapat menerimanya dengan berlapang dada dan diharapkan tiada dendam tetapi hulurkanlah salam kemaafan. Sesungguhnya setiap dukacita itu akan terbit ganjaran yang lebih baik.

Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak


20150304-Ring1

Saya merujuk kepada artikel yang dikongsi di laman Facebook, dan menarik saya untuk memberikan komentar;

BACA : Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak

Cerita ini seolah-olah menggambarkan situasi yang saya alami, walaupun belum sampai ke tahap majlis bertunang yang disebutkan. Secara peribadi, tiada siapa yang salah dengan mutlak dalam cerita ini. Si lelaki ada sebabnya, si perempuan ada sebabnya, dan takdir Allah itu pun ada sebabnya.

Saya kagum kerana si lelaki masih lagi kuat dan akur pada takdir, dan kepada si perempuan, anda telah membuat keputusan yang terbaik untuk diri anda. Ada pepatah menyebutkan tidak semua cinta itu akan berakhir dengan ikatan, dan jika itu berlaku, jangan disalahkan sesiapa tetapi berdoalah untuk kebahagian (bekas) pasangan. Bukan semua perkara itu kita boleh control.

Apabila bercakap soal cinta, saya bukanlah pakar kerana saya baru sekali bercinta dan tidak berjaya. Saya tidak sebut ‘gagal’ kerana dalam situasi saya, mungkin (bekas) pasangan saya itu perlu membuat keputusan yang beliau rasa terbaik, dan saya sendiri pada waktu yang berkenaan, gagal membaca naluri dan maksud tindakan perempuan itu.

Perempuan ini adalah makhluk emosi, dia diam bukan seperti diam lelaki. Lelaki sifatnya kalau tak puas hati, dia akan sebut (secara langsung atau halus) tetapi perempuan ini unik. Saya gagal membaca emosi perempuan ini dan itulah sebabnya saya tidak berjaya dalam cinta. Teknikalnya, tiada deklarasi rasmi yang kami tamat hubungan tetapi berdasarkan tindakan beliau, saya faham beliau mahu dilepaskan.

Saya boleh beri alasan yang saya adalah 1st timer bercinta tetapi pada saya, elok kita belajar sifat dan naluri perempuan ini sebelum kita mula bercinta. Seperkara lagi nasihat saya kepada lelaki, jika anda berjaya memiliki hati seorang wanita, elok disegerakan usaha untuk mengikatnya dengan pertunangan. Tidak mengapa jika belum mampu untuk berkahwin kerana itu boleh diusahakan, tetapi yang penting adalah ‘ikatan’ tersebut kerana perempuan amat sensitif dengan hal ikatan.

Pertunangan adalah tanda komitmen dan jika anda bercinta tanpa sebarang niat untuk ‘mengikat’, itu akan meresahkan perempuan hari demi hari dan jika perempuan itu jenis berani, beliau tidak teragak-agak untuk tinggalkan anda. Jika situasi menghalang anda untuk mengikat, jangan bercinta atau berterus-teranglah dengan pasangan anda. Jika dia faham, pasangan anda adalah yang terbaik dan jagalah dia. Jika dia memaksa anda, terpulanglah pada penilaian anda.

Saya secara teori dan praktikalnya kini single. Ada rasa kesal dengan apa yang telah berlaku, namun daripada satu sudut, saya rasa bersyukur kerana situasi-situasi yang berlaku memberi saya kesedaran untuk lebih mengenali emosi, sifat dan cara pemikiran perempuan. Hidup adalah satu pelajaran dan perlu diteruskan. Andai ditakdirkan dia jodoh saya dan kembali, saya terima. Jika sebaliknya, itulah takdir yang terbaik untuk saya dan dia dan bersama-sama kita doakan kebahagiaan.

Kisah 4 Isteri


20150112-4Isteri

Dikhabarkan ada seorang hartawan yang memiliki empayar perniagaan yang besar. Beliau mempunyai empat (4) isteri yang masing-masing mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Isteri ke-4 adalah yang termuda di kalangan isteri-isteri beliau. Dek kerana muda dan cantik, hartawan ini sanggup berbelanja dalam memastikan isteri ke-4 beliau ini sentiasa sedap mata memandang. Diberikan pakaian yang cantik, kosmetik yang mahal, serta pelbagai lagi keperluan penjagaan diri yang tidak terbanding.

Isteri ke-3 beliau pula adalah seorang wanita yang bergelar artis, seantero negara mengenalinya. Maka setiap kali hartawan ini keluar ke tempat awam, beliau akan membawa bersama isteri ke-3 ini. Sudah pasti, tumpuan dan reaksi masyarakat adalah amat tinggi setiap kali pasangan ini kelihatan di mana-mana.

Isteri ke-2 pula adalah seorang pensyarah kanan berkelulusan kaunseling dan psikologi. Justeru isteri beliau ini mahir dalam memberi nasihat dan meleraikan jiwa yang kacau. Setiap kali hartawan ini menghadapi masalah, beliau akan meluangkan masa dengan isteri ke-2 ini, dan masalah beliau akan hilang selepas diskusi dan bermanja bersama isterinya.

Isteri pertama, adalah suri rumah sepenuh masa. Setiap kali tiba giliran hartawan itu bermalam di rumahnya, si isteri akan memastikan segala-galanya dalam keadaan terbaik. Rumah dikemas, pakaian terbaik, dan beliau akan memasak sendiri makan malam yang istimewa. Namun, si hartawan tidak menunjukkan rasa gembira, jauh sekali berterima kasih kepada si isteri. Walaupun terasa hati, si isteri tetap menyayangi suaminya sepenuh hati dan jiwa dan sanggup berkorban.

Ditakdirkan pada suatu hari, si hartawan jatuh sakit dan disahkan menghidap barah. Doktor menjangkakan hayat si hartawan hanya mampu bertahan beberapa bulan lagi. Terlantar di katil, si hartawan mula berasa risau, gementar, takut kerananya nyawanya bakal berakhir tidak lama lagi. Beliau berasa keseorangan, dan ingin mengajak isteri-isterinya untuk bersama, bak ikrar orang bercinta – sehidup semati.

Si hartawan memanggil isteri ke-4 bertemunya. Dengan suara yang tersekat-sekat, si hartawan meluahkan betapa beliau mengagumi isterinya itu, dan mengajaknya untuk mati bersama. Si isteri dengan pantas membentak, dan terus keluar daripada bilik wad itu. Tersentak si hartawan melihat tindakan isterinya. Beliau sedih.

Isteri ke-3 pula datang menemuinya. Si hartawan merayu kepada si isteri, namun si isteri tidak mahu, malah dengan bangga memberitahu yang dia akan berkahwin lain selepas kematian si hartawan. Si hartawan tergamam, ingin ditengking si isteri kerana biadap tetapi tiada daya.

Si hartawan teringat isteri ke-2 nya, dan memanggilnya berjumpa. Si isteri, duduk di samping suami di tepi katil, tekun dan memberi semangat kepada si hartawan apabila meluahkan perasaan sedihnya. Tetapi apabila si hartawan mengajak si isteri untuk mati bersama, dia terdiam, lama. Dengan berat, si isteri berkata “Abang, saya boleh memberi semangat, tetapi untuk mati bersama, saya tidak mahu dan tidak akan berlaku!”. Dengan berat hati, si isteri melangkah keluar, meninggalkan suaminya yang pilu dan kelu.

Termenung si hartawan, putus harapan. Beliau tidak tahu lagi, beliau berasa kesal kerana segala curahan harta, tenaga dan masa, tidak dihargai oleh isteri-isterinya. Tidak cukupkah pengorbanan beliau? Tidak puaskah harta yang diberikan, kemewahan, kesenangan? Hidup ini tidak adil! Ketika si hartawan terus berfikir melara, tiba-tiba satu suara, perlahan tetapi penuh kasih sayang, memanggilnya…

“Abang, saya ingin bersama, jangan tinggalkan sayang! Kalau abang mati, sayang juga nak ikut…”

Berkaca-kaca mata dan hati si hartawan, memandang ke pintu. Di sana, isteri pertamanya, dengan badan yang kurus, kelihatan penat, tetapi tetap tersenyum memandang suaminya yang sedang sakit. Itulah isteri pertamanya, yang tidak pernah beliau hargai, tidak pernah diucapkan cinta sayang, tidak pernah dipeluk dicium seperti malam pertama dahulu. Tetapi hari ini, dialah yang datang, menunaikan ikrar sehidup semati yang pernah diucap dahulu.

Kejamnya cinta bukan? Mengapa yang tidak dihargai insan yang benar-benar menyayangi? Mengapa yang bermuka-muka juga yang dicintai?

Sebenarnya, empat isteri itu merupakan satu analogi empat perkara dalam hidup kita.

Isteri ke-4 itu adalah tubuh badan kita. Walaupun kita beri penjagaan terbaik, sabun mahal, spa, supaya nampak hensem/cantik, bila kita mati esok, badan itu akan lupus juga.

Isteri ke-3 itu adalah harta benda kita. Walaupun sebanyak mana kita mengumpul kekayaaan, apabila kita mati esok, harta kita akan berpindah tangan kepada orang lain.

Isteri ke-2 pula adalah keluarga dan rakan-rakan kita. Walau seakrab dan serapat mana pun mereka dengan kita, gelak sedih bila mati esok, mereka hanya boleh mengikut kita sehingga ke kubur sahaja dan selepas itu kita tetap tinggal seorang.

Isteri pertama adalah amalan dan jariah sepanjang hidup kita. Kita lazimnya tidak mengambil pusing hal pahala dan amalan ini, malah terlalu memikirkan hal dunia (isteri 4,3,2) tetapi sebenarnya inilah yang membantu dan mengikuti kita sehingga kita mati, dan menjadi peneman di alam kubur kelak.

Jadi, sebab itu kita perlu berlaku adil kepada empat isteri, dan mengimbangi setiap satu daripadanya.

Perutusan Tahun Baru 2015


20141231-EndOfYearProclamation1

Assalamualaikum W.B.T. dan salam sejahtera,

Hari terakhir 2014. Ada yang mungkin berasa ‘biasa’ sepertimana hari-hari yang lain. 365 hari yang dilalui tahun ini, sudah pasti berbagai manis dan pahitnya. Adalah berbeza pengalaman yang dilalui setiap daripada kita.

Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran. Aspek cabaran itu pelbagai, ada yang berjaya diatasi, ada yang ditakdirkan tidak berhasil. Sebab-musabab itu sebahagiannya berpunca daripada diri saya sendiri yang ‘disillusionment’.

Setiap orang punya kekuatan dan kelemahan, bahasa mudahnya, kita tidak sempurna. Kita boleh membayangkan kesempurnaan, tetapi apabila kita terlalu mengejar kesempurnaan, ia sebenarnya satu peluru yang membunuh. Saya terlalu berpegang kepada doktrin ini dan menyebabkan beberapa perkara itu tidak menjadi dan mengorbankan diri.

Terdisilusi dengan kesempurnaan merupakan kesilapan saya. Apabila merancang sesuatu, saya membayangkan hasil yang sempurna. Tidak salah mengimpikan kesempurnaan, tetapi masalahnya apabila kesempurnaan itu ingin diterjemah ke realiti dalam apa jua cara, ia sebenarnya akan merencatkan perancangan itu dan seterusnya ia tidak akan menjadi realiti.

Saya berdiskusi dengan seorang rakan (perempuan) baru-baru ini, dan beliau adalah yang pertama berterus terang dan memperlihatkan kesilapan saya ini. Selaku pemerhati yang melihat cara saya berfikir dan bertindak, beliau telah ‘marah’ dengan cara saya melaksanakan sesuatu. Disebutkan, saya adalah orang yang pandai merancang tetapi gagal dalam melaksanakan perancangan, kerana saya terlalu bergantung kepada teori dan kesempurnaan.

Mendengar ‘kemarahan’ beliau, saya tersentak. Saya cuba memberi justifikasi, dengan membentangkan faktor luaran, sejarah dan sebagainya. Saya bertindak defensif, cuba untuk menafikan analisis beliau. Beliau membidas kembali dengan fakta-fakta yang mudah dan jelas. Saya akui, fakta beliau benar, dan saya menerimanya dengan hati terbuka.

Saya tidak marah dengan komen beliau, tetapi amat menghargainya. Jika beliau tidak meluahkan nasihat dan kemarahan itu, mungkin saya hanyut dalam dunia teori dan kesempurnaan. Saya perlu mengubah perspektif, cara bertindak dengan meletakkan tindakan mendahului pemikiran sebagai satu doktrin baharu.

Tindakan melampaui pemikiran mungkin kelihatan radikal. Kita diajar untuk berfikir sebelum bertindak. Tetapi kebanyakan daripada kita (termasuk saya) telah salah faham dengan frasa ‘berfikir sebelum bertindak’ ini. Kita berfikir terlalu mendalam dengan butiran dan perancangan yang terlampau terperinci, analisis risiko, analisis itu dan ini sehingga akhirnya di peringkat perancangan itu, kita membayangkan perkara negatif.

Kita telah me-negatif-kan perkara yang belum berlaku, dan keputusannya, kita mengelak untuk melaksanakannya. Perancangan tidak menjadi kenyataan. Itulah sedikit sebanyak yang berlaku pada saya – saya terlalu banyak berfikir sehingga ter-‘disillution’ dengan bayangan negatif.

Itulah kesilapan saya, yang menyebabkan saya membayar kos yang amat tinggi atas beberapa perancangan. Ada ketika, saya terlalu risau akan impak negatif sehingga saya beberapa kali membawa perancangan ke ‘drawing board’ dan menyebabkan saya terlepas ruang dan peluang. Doktrin ‘theory-centric’ inilah yang telah melunturkan kepercayaan beberapa rakan kerana melihat saya lambat bertindak. Terlalu mengejar kesempurnaan telah menyebabkan satu hubungan itu tidak berterusan dan gagal.

Kata rakan saya itu lagi, saya sebenarnya tidak tahu apa yang saya mahukan, kerana terlalu memikirkan situasi yang ideal dan ingin memuaskan hati orang lain melebihi hajat diri sendiri. Ideal itu tidak wujud, dan saya harus kembali kepada realiti. Bertindak mengikut apa yang berlaku, dan bukan fikiran menjadi wajaran utama. Saya perlu anjak cara saya berfikir dan bertindak, dan ‘enjoy the life’ dan tidak semata-mata duduk dalam kepompong teori.

Semasa belajar dahulu, dalam setiap buku teks, sebenarnya kita telah diberikan ‘amaran’ bahawa teori adalah satu anggapan dalam ruang kesempurnaan, dan realiti adalah amat berlainan. Teori berfungsi sebagai panduan dan bukan untuk diikuti 100%, dan dalam teori, mungkin hanya 5% yang benar. Tetapi saya telah melihat teori itu umpama panduan yang sempurna dan terlupa teori juga merupakan hasil pemikiran manusia yang tidak lepas daripada kesilapan.

Kebelakangan ini saya telah membeli pelbagai buku berkenaan cinta kerana saya ingin mencari jawapan dan memahami bagaimana perasaan cinta dan hati itu berfungsi. Saya telah membeli buku daripada pakar luar negara, termasuk daripada penulisan yang bersifat Islamik, dan bukan sedikit buku yang saya beli. Ia semata-mata kerana ingin mencari jawapan berkenaan mengapa saya gagal untuk ‘sustain’ satu perhubungan di kala saya merasakan saya telah memberikan segala-galanya, termasuk ruang dan masa. Saya gagal mencari jawapannya di dalam buku-buku ini.

Apabila saya gagal mencari jawapan, saya menjadi tidak faham, dan mula mengeluarkan pelbagai teori. Saya menilai daripada aspek apa yang telah saya lakukan kepada (bekas) pasangan saya itu. Saya bertanya kepada beberapa rakan saya, termasuk yang memarahi saya itu, dan mereka semua memberi jawapan yang sama – saya lambat kerana terlalu ingin sempurna dan takut dengan realiti. Saya inginkan kestabilan sebelum berumahtangga, dan dek kerana berfikir begitu, saya membayangkan kestabilan itu dengan maksud memiliki rumah, kerjaya yang bergaji tinggi, dan saya silap – bukan itu yang dilihat sebenarnya. Apa yang diinginkan adalah kesungguhan dalam perhubungan dan itu diterjemahkan melalui ikatan. Bukan sekali saya diingatkan tetapi berkali-kali, tetapi kerana takut impak negatif, saya cuba tahan permintaan itu dan hasilnya, ia gagal lagi.

Justeru, di tahun baru 2015 ini, saya tidak mahu menulis satu senarai azam/resolusi sebagaimana yang saya lakukan di tahun-tahun yang sudah. Semua itu hanya satu teori, dan apabila menulis azam, saya membayangkan kesempurnaan dan bukan realiti. Apa yang saya inginkan di tahun baru nanti, adalah perubahan doktrin diri – iaitu saya akan bertindak dan berfikir, bukan berfikir sebelum bertindak. Saya perlu berpijak di bumi nyata dan bukan berlegar di kayangan yang sempurna. Rakan-rakan, bantulah saya jika saya tersasar.

Selamat tahun baru 2015 kepada rakan-rakan. Semoga 2015 ini memberi lembaran yang benar-benar baharu dan bukan lagi satu teori. Kepada saudari Syairah Diyana, saudara Asuad Ismail, dan beberapa orang lagi yang telah memberikan ‘amaran’ dan ‘nasihat’, terima kasih kerana anda semua telah kembali membawa saya ke dunia realiti.

Aku kah Terlewat atau Mungkin Waktu Yang Tercepat?


20141203QasehRosPutihJ

Sahabat yang dihormati sekalian,

Lagu tema bulan ini, Disember 2014, di bulan yang terakhir untuk mengkisahkan apa yang perlu. Setahun akan berakhir, dan kurang sebulan, bermulanya lembar baharu. Mungkin gembira, mungkin kurang gembira, mungkin ralat, mungkin tercapai matlamat.

Walau harapan mungkin tidak tercapai atau kabur, tetapi jangan sesekali berputus asa sekiranya kita percaya ia adalah yang terbaik untuk kita. Selagi yang terbaik kita telah berikan, jika belum diizinkan, ia tidak akan dizahirkan. Sampai masa dan tepat situasinya, ia akan datang pada kita dan dipermudahkan.

Setahun yang lalu, sehinggalah sekarang, saya tetap yakin atas garis-garis peristiwa yang berlaku. Saya berkeyakinan kepada apa yang telah saya rangkakan dan tetap akan berpegang kepadanya. Tidak mengapa jika situasi tidak berapa enak, tetapi jika ia salah satu musabab untuk mendapat yang terbaik, biarlah saya laluinya.

Umpama pujangga berkata, jika mawar itu wanginya tidak terlawan, ia akan kekal tersimpan. Jika ia hilang daripada genggaman sekalipun, tiada sekali ia akan hilang daripada ingatan dan diganti tukar.

Dan mawar itu masih tetap, kekal, dan setia tersimpan.

“… Aku kah terlewat, atau mungkin waktu yang tercepat …”