Bahagia


20170203-bahagia

Saudara dan saudari sekalian,

Apakah pemahaman kalian tentang bahagia? Bahagia itu diertikan sebagai gembira, seronok, riang, sayang, cinta dan seumpamanya. Bahagia juga boleh diertikan sebagai ‘sejahtera’. Itu ertinya dalam sejagat (universal). Bahagia itu hadir apabila kita bercakap atau melakukan sesuatu. Ia dizahirkan apabila dirasakan dalam batin. Bahasa Inggerisnya – “Shown from Internal Feeling/Guts”.

Setiap daripada kita ada cara masing-masing untuk menunjukkan diri kita dalam keadaan bahagia. Melalui ucapan, perbuatan, malah niat dan doa. Perasaan bahagia itu boleh hadir apabila kita seronok melakukan sesuatu, atau melaksanakan kebaktian kepada orang lain atau organisasi, atau membuat satu ’cause’ atau kerja amal. Semangat positif yang ditunjukkan oleh diri kita itu adalah maklum balas rasa bahagia.

Membantu orang lain menemui kebahagiaan mereka adalah satu kebahagiaan untuk diri saya, walaupun saya akui, melaksanakannya kadang-kala mengganggu emosi diri. Mungkin nampak bodoh di mata orang lain kerana mengapa saya begitu mendahulukan kebahagiaan orang lain dan pada masa yang sama, menafikan hak kebahagiaan diri sendiri?

Saya menganggapnya sebagai ‘pengorbanan’ – tujuan utama saya adalah untuk melihat insan yang saya sayang dan kagumi hidup bahagia dan menikmati kehidupan dengan sepenuhnya.

Setakat ini saya ‘bahagia’ berseorangan dan melakukan sesuatu secara bersendiri. Saya latih diri untuk berdikari, peka dan mampu membuat keputusan kritikal tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.

Advertisements

7117 – Operation Perseverance


20170107-perseverance

Saudara dan saudari sekalian,

Hari ini, 7 Januari 2017, ditulis dalam singkatan sebagai 7117. Hari ini juga kita sudah seminggu dalam tahun 2017.

Tahun 2017, saya secara rasmi sudah berada di dalam kelompok ‘3 series’. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus hidup di bumi Allah ini, dan memasuki dekad ke-3 dalam kehidupan.

Hari ini juga bermulanya apa yang saya panggil sebagai ‘Operation Perseverance’ – merupakan perancangan peribadi setahun untuk menambah baik lima aspek utama – Kerja; Kesihatan; Kewangan; Peribadi; dan Spiritual.

‘Balance Score Card’ telah saya rangka sebagai panduan untuk memantau lima aspek ini, yang secara langsung merupakan KPI diri saya. Insya-Allah, objektif saya adalah untuk mencapai ‘CGPA’ diri dalam julat ‘First Class’ di hujung 2017.

Semoga Allah S.W.T. memberikan kita kekuatan untuk terus ‘istiqamah’ dan ‘mujahadah’ dalam mencapai objektif diri di tahun 2017. Amin!

Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak


20150304-Ring1

Saya merujuk kepada artikel yang dikongsi di laman Facebook, dan menarik saya untuk memberikan komentar;

BACA : Kisah Sebenar Pinangan Lelaki Ini Ditolak

Cerita ini seolah-olah menggambarkan situasi yang saya alami, walaupun belum sampai ke tahap majlis bertunang yang disebutkan. Secara peribadi, tiada siapa yang salah dengan mutlak dalam cerita ini. Si lelaki ada sebabnya, si perempuan ada sebabnya, dan takdir Allah itu pun ada sebabnya.

Saya kagum kerana si lelaki masih lagi kuat dan akur pada takdir, dan kepada si perempuan, anda telah membuat keputusan yang terbaik untuk diri anda. Ada pepatah menyebutkan tidak semua cinta itu akan berakhir dengan ikatan, dan jika itu berlaku, jangan disalahkan sesiapa tetapi berdoalah untuk kebahagian (bekas) pasangan. Bukan semua perkara itu kita boleh control.

Apabila bercakap soal cinta, saya bukanlah pakar kerana saya baru sekali bercinta dan tidak berjaya. Saya tidak sebut ‘gagal’ kerana dalam situasi saya, mungkin (bekas) pasangan saya itu perlu membuat keputusan yang beliau rasa terbaik, dan saya sendiri pada waktu yang berkenaan, gagal membaca naluri dan maksud tindakan perempuan itu.

Perempuan ini adalah makhluk emosi, dia diam bukan seperti diam lelaki. Lelaki sifatnya kalau tak puas hati, dia akan sebut (secara langsung atau halus) tetapi perempuan ini unik. Saya gagal membaca emosi perempuan ini dan itulah sebabnya saya tidak berjaya dalam cinta. Teknikalnya, tiada deklarasi rasmi yang kami tamat hubungan tetapi berdasarkan tindakan beliau, saya faham beliau mahu dilepaskan.

Saya boleh beri alasan yang saya adalah 1st timer bercinta tetapi pada saya, elok kita belajar sifat dan naluri perempuan ini sebelum kita mula bercinta. Seperkara lagi nasihat saya kepada lelaki, jika anda berjaya memiliki hati seorang wanita, elok disegerakan usaha untuk mengikatnya dengan pertunangan. Tidak mengapa jika belum mampu untuk berkahwin kerana itu boleh diusahakan, tetapi yang penting adalah ‘ikatan’ tersebut kerana perempuan amat sensitif dengan hal ikatan.

Pertunangan adalah tanda komitmen dan jika anda bercinta tanpa sebarang niat untuk ‘mengikat’, itu akan meresahkan perempuan hari demi hari dan jika perempuan itu jenis berani, beliau tidak teragak-agak untuk tinggalkan anda. Jika situasi menghalang anda untuk mengikat, jangan bercinta atau berterus-teranglah dengan pasangan anda. Jika dia faham, pasangan anda adalah yang terbaik dan jagalah dia. Jika dia memaksa anda, terpulanglah pada penilaian anda.

Saya secara teori dan praktikalnya kini single. Ada rasa kesal dengan apa yang telah berlaku, namun daripada satu sudut, saya rasa bersyukur kerana situasi-situasi yang berlaku memberi saya kesedaran untuk lebih mengenali emosi, sifat dan cara pemikiran perempuan. Hidup adalah satu pelajaran dan perlu diteruskan. Andai ditakdirkan dia jodoh saya dan kembali, saya terima. Jika sebaliknya, itulah takdir yang terbaik untuk saya dan dia dan bersama-sama kita doakan kebahagiaan.

Ciri-Ciri Insan Yang Hebat


20150119-Excellent

Saya mendapat ilmu ini daripada status Facebook sahabat, Tuan Ali Isa, berkenaan ciri-ciri seorang insan yang hebat. Saya kongsikan di garis masa Facebook saya dan juga menerbitkan semula di dalam artikel ini buat manfaat dan tindakan kita semua. Semoga kita diberikan petunjuk dan kekuatan untuk sentiasa memperbaiki diri.

Mulakan hari dengan kehebatan. Orang yang hebat:-

  1. Mampu makan dan minum dengan tangan bersih yang digunakan untuk bersalam iaitu tangan kanan. Tidak menggunakan tangan najis iaitu tangan kiri yang digunakan untuk mencuci.
  2. Mampu makan dan minum dengan duduk dalam keadaan tenang. Tidak bergopoh-gapah sehingga terpaksa berdiri untuk menyumbat makan dan minum.
  3. Mampu melahirkan tawa yang indah. Hingga bukan memalukan diri sendiri.
  4. Mampu bangun di awal pagi untuk menjalankan amanah.
  5. Mampu pada setiap masa memasuki rumah dengan memulakan pujian kepada yg Menciptakan.
  6. Mampu memastikan setiap makanan yang diambil dihabiskan dengan sebaiknya.
  7. Mampu mengelakkan sebarang pembaziran bukan sahaja makanan tetapi dalam hal-hal lain jua.
  8. Mampu melawan hawa nafsu di setiap ketika.
  9. Mampu tenang dalam sebarang keadaan.
  10. Mampu menghapuskan sikap cemburu.
  11. Mampu berbuat baik walau dalam keadaan marah.
  12. Mampu untuk berada di kawasan yang baik-baik dan berada bersama keluarga bila senja menjelma.
  13. Mampu mengelakkan kawasan pasar yang keadaan bercampur baur berlainan jantina yang merendahkan martabat wanita.
  14. Mampu berkata baik setiap masa dan tidak mencela sesiapa termasuklah sejahat-jahat makhluk.

Status asal boleh dibaca di sini. Ilmu yang dikongsi adalah pendapat peribadi beliau dan terpulang kepada para pembaca untuk bersetuju atau sebaliknya kepada semua atau sebahagian daripada point yang dibentangkan.