Cara ‘Download’ Video YouTube Melalui Telefon


YouTube LogoAnda pengguna Android smartphone?Salah satu aktiviti yang menjadi kelaziman para pengguna smartphone adalah menonton video. Salah satu sumber video yang menjadi pilihan untuk ditonton semestinya daripada laman YouTube di samping laman-laman video yang lain. Jika menggunakan PC atau laptop, terdapat pelbagai cara untuk download video yang diminati di YouTube sama ada melalui penggunaan software ataupun laman web khas yang menawarkan servis download & convert, tetapi bagaimana jika anda tiada di hadapan PC/laptop dan ingin download video YouTube yang anda tonton di smartphone anda?

Carian aplikasi di Google Play Store hanya akan mengundang kehampaan kerana tiada aplikasi khusus untuk anda download video YouTube secara efektif. Ini bukan satu perkara yang pelik kerana YouTube adalah milik penuh Google dan semestinya pihak Google tidak mahu para pengguna smartphone untuk bypass aplikasi YouTube rasmi mereka dan sekaligus mengelak daripada iklan-iklan yang dipaparkan. Walaubagaimanapun, banyak aplikasi yang dibangunkan oleh pihak ketiga yang boleh digunakan untuk download mana-mana video YouTube melalui smartphone anda.

Salah satu aplikasi yang boleh memainkan peranan ini adalah TubeMate YouTube Downloader. Aplikasi ini secara asasnya akan membuka laman web YouTube versi mobile di dalam aplikasinya dan anda boleh menonton dan jika berpuas hati, download video yang ditonton tersebut.

Prosedur Pemasangan (Installation Procedure)

Disebabkan aplikasi ini bukan diedarkan melalui Google Play Store, maka beberapa ketetapan asas di dalam smartphone anda perlu diubah supaya pemasangan aplikasi ini dapat berjalan dengan jayanya. Ikuti langkah-langkah berikut;

PERTAMA: Download fail pemasangan (installer) TubeMate dengan klik di sini.

Jika anda membaca artikel ini menggunakan PC, sila save fail ini, sambungkan smartphone anda ke PC dan transfer fail ini ke dalam memory card (atau phone memory jika mahu). Pastikan anda ingat lokasi di mana anda letakkan fail ini di dalam direktori smartphone anda.

Jika anda membaca artikel ini melalui smartphone, anda boleh klik link yang diberikan untuk download dan meneruskan pemasangan tanpa perlu melalui proses PC-to-Phone File Transfer. Tetapi pastikan anda telah menukar ketetapan untuk membenarkan pemasangan aplikasi luar (third party apps). Penerangan lanjut seperti di bawah.

(1) Pada 'Settings', buka 'Security', dan pada 'Unknown Sources', pastikan ia ditandakan. (2) Amaran Sekuriti akan terpapar apabila anda 'tick', abaikan dengan memilih OK. (3) Buka 'File Manager' dan cari fail pemasangan tadi.
(1) Pada ‘Settings’, buka ‘Security’, dan pada ‘Unknown Sources’, pastikan ia ditandakan. (2) Amaran Sekuriti akan terpapar apabila anda ‘tick’, abaikan dengan memilih OK. (3) Buka ‘File Manager’ dan cari fail pemasangan tadi.

KEDUA: Selepas selesai proses transfer fail pemasangan tadi ke dalam smartphone anda, langkah seterusnya adalah untuk membuka Settings, pilih Security, dan cari ketetapan bernama ‘Unknown Sources’. Tandakan (tick) untuk membenarkan pemasangan aplikasi luar daripada Google Play. Security Warning akan terpapar sebagai peringatan, anda hanya perlu klik OK. Lihat rajah di atas.

PERHATIAN: Rajah di atas diambil daripada telefon Samsung yang menggunakan Android versi 4.1 (Jelly Bean) dan masih relevan untuk Android 4.0 (Ice Cream Sandwich). Untuk Android versi sebelumnya (2.3.x – Gingerbread) seperti yang digunakan oleh Samsung Galaxy S Advance, ketetapan ‘Unknown Sources’ terletak di Settings > Applications.

KETIGA: Cari fail pemasangan yang anda transfer ke dalam memory card atau phone memory tadi. Anda boleh menggunakan aplikasi File Manager yang terbina dalam (contohnya untuk pengguna Samsung, gunakan ‘My Files’). Cari fail pemasangan tadi dan klik untuk memulakan proses pemasangan. Ikut arahan yang diberikan.

(1) dan (2) Ikut arahan pemasangan yang diberikan. (3) Selesai pemasangan, ikon aplikasi akan muncul di 'App Drawer'.
(1) dan (2) Ikut arahan pemasangan yang diberikan. (3) Selesai pemasangan, ikon aplikasi akan muncul di ‘App Drawer’.

KEEMPAT: Selesai pemasangan, ikon aplikasi TubeMate akan terpapar di senarai aplikasi anda. Buka aplikasi tersebut dan secara asasnya anda akan dapat melihat laman web YouTube versi mobile akan terpapar di dalam aplikasi itu sendiri.

KELIMA: Anda boleh membuka dan mencari video yang diminati untuk ditonton atau di download. Memandangkan tujuan aplikasi ini dipasang adalah untuk download video YouTube, maka moleklah untuk kita mencari video untuk di download. Untuk contoh ini, saya ingin download video bertajuk ‘Sway Pussycat Dolls’.

(1) Cari video yang diminati dan buka. (2) Apabila video dimainkan, maka butang Download akan terpapar. (3) Klik butang Download tersebut dan pilih format yang dikehendaki untuk dimuat turun.
(1) Cari video yang diminati dan buka. (2) Apabila video dimainkan, maka butang Download akan terpapar. (3) Klik butang Download tersebut dan pilih format yang dikehendaki untuk dimuat turun.

KEENAM: Dalam contoh ini, saya membuka salah satu video yang berkaitan dengan carian saya (Sway Pussycat Dolls). Apabila video tersebut mula terpapar, butang Download (berwarna hijau) akan muncul. Klik pada butang tersebut dan anda boleh memilih format yang dikehendaki sebelum dimuat turun ke dalam telefon bimbit anda.

Perhatikan dalam senarai format tersebut, ada pilihan untuk muat turun sebagai format lagu (mp3). Ini amat berguna jika anda ingin memuat turun satu-satu muzik video tersebut hanya untuk mendengar lagunya sahaja dan bukan videonya.

Juga dalam contoh di atas, saya memilih video yang tidak boleh dimainkan melalui smartphone. Ini tidak menjadi masalah kerana anda masih boleh download video tersebut, jadi kekangan tersebut dapat diatasi!

Harap aplikasi ini dapat menyelesaikan dilema untuk download video yang dikehendaki melalui smartphone Android anda. Pendapat dan pertanyaan adalah dialu-alukan di ruangan komen.

Advertisements

Sebelum WhatsApp, Ada ICQ Dan mIRC


Jika disebutkan istilah ‘Permesejan Segera’, mungkin ramai yang kurang jelas dan mungkin tidak pernah mendengarnya. Tetapi apabila disebut dengan istilah aslinya iaitu ‘Instant Messaging’ atau singkatannya IM, ramai yang sudah maklum apa yang dimaksudkan. Mutakhir ini ‘Instant Messaging’ (selepas ini disebut ‘IM’) telah menjadi sebahagian daripada cara kita berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat sesama sendiri. Sebut sahaja aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, Viber dan seumpamanya, tiada yang tidak tahu apakah fungsi-fungsi aplikasi tersebut.

IM bukanlah sesuatu perkara atau trend yang baru, malah sejarahnya boleh kita rujuk sejak dari zaman permulaan Internet lagi, dan semestinya pada zaman tersebut tidaklah secanggih dan sepantas apa yang kita ada pada hari ini. Namun evolusi-evolusi yang dilalui oleh IM (dan Internet amnya) merupakan satu perkara yang menarik perhatian saya untuk dihuraikan di dalam artikel ini.

NOTA: Artikel ini mempunyai 3000+ patah perkataan dan boleh dikategorikan sebagai satu rencana panjang. Artikel ini bukan bersifat teknikal tetapi teknik huraian secara kronologi dan mendalam mungkin akan membuat anda keletihan ketika membaca. Sila berhenti membaca jika keletihan dan rehatkan mata anda dengan memandang objek yang jauh sehingga lega sebelum kembali menyambung bacaan. Alternatifnya, dicadangkan anda membaca sekali imbas (skimming) dan melihat imej-imej dalam artikel ini untuk mendapatkan idea berkenaan apa yang ingin disampaikan. Harap maklum. – AUDI FALIQ IBRAHIM

1990an – Zaman Disket 1.44MB

Sekeping gambar yang ditangkap menggunakan Samsung Galaxy S Advance bersaiz 5 MegaPixel akan memenuhkan keseluruhan kapasiti disket ini.
SEKEPING DISKET 1.44MB – Jika sebuah foto yang ditangkap oleh telefon bimbit Samsung Galaxy Advance yang berkeupayaan 5 Megapixel dimuatkan di dalam disket ini, ia akan mengambil hampir keseluruhan ruang yang ada!

Sekitar pertengahan tahun 90’an iaitu ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan dasar IT Budaya Hidup Kita (siapa masih ingat?), kadar penggunaan komputer secara perlahan-lahan meningkat di kalangan pengguna rumah. Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti skim pemilikan komputer melalui pengeluaran simpanan KWSP dan saluran pengedaran dan pembelian komputer melalui Pos Malaysia (ingat Skim Odasaja?) telah mendapat sambutan yang baik dan membantu meningkatkan kadar celik IT dan komputer di kalangan para remaja khususnya dan masyarakat amnya.

Komputer pada zaman itu juga ada pelbagai jenama, bukan sahaja Acer, HP dan Compaq, tetapi kita ada juga Gateway, Pineapple, Raffles, dan banyak lagi. Kebanyakan jenama-jenama ini sudah tidak wujud lagi pada masa kini.

Pada waktu itu saya masih menuntut di sekolah rendah, dan dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat pada ketika itu mula mendekati komputer dan belajar untuk menjadikan komputer sebahagian daripada ‘ahli keluarga’ mereka. Internet pada zaman itu adalah serba ringkas – tiada video, tiada muzik, tiada animasi Flash yang penuh bergaya – elemen tercanggih yang berada di laman web pada ketika itu adalah imej/gambar dan animasi GIF, dan amat-amat jarang untuk melihat laman web yang menghidangkan video lebih daripada seminit dan majoriti perlu menggunakan RealPlayer dan/atau QuickTime. Tiada video HD, apatah lagi yang bersaiz 240p.

Laman Web Yahoo Pada Tahun 1999. Ringkas (Dan Bosan) Kan?
LAMAN WEB YAHOO! PADA TAHUN 1999 – Tiada video, animasi Flash dan tiada interaktiviti canggih. Laman web pada era tersebut menggunakan elemen teks dan gambar.

Di zaman itu juga, tiada jalur lebar (broadband) untuk pengguna di rumah. Internet adalah Dial-Up – setiap kali online ketika itu jugalah talian telefon di rumah tidak akan dapat ditembusi. Juga, tiada istilah always online 24/7 kerana Internet pada masa itu dicaj pada kadar per minit. Lazimnya para pengguna akan meluangkan masa secara purata selama 30 minit sehingga 1 jam sehari untuk menggunakan Internet. Kelajuan adalah relatifnya amat primitif iaitu sekitar 40kbps dan ini bermaksud fail bersaiz sekitar 20MB akan mengambil masa kira-kira hampir 3 jam untuk selesai dimuat turun. Jika mahukan internet pantas untuk pengguna rumah, pilihan yang ada adalah ISDN, kelajuannya adalah sekitar 128kbps, dan amat mahal!

Tumpuan penggunaan Internet pada ketika itu adalah untuk menghantar dan menerima e-mel, mencari dan membaca maklumat serta berita. E-mel yang popular pada ketika itu adalah Hotmail (kini namanya Outlook.com), dan mungkin ramai yang tidak tahu Malaysia pernah ada penyedia perkhidmatan e-mel yang dipanggil WauMail. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan di Internet, tetapi salah satu perkara yang popular pada ketika itu adalah IRC.

WauMail - Penyedia E-Mel Percuma Malaysia. Sekarang Hanya Tinggal Sejarah.
WAUMAIL – Merupakan penyedia khidmat e-mel percuma yang berasal dari negara kita. Pada waktu tersebut, WauMail merupakan satu-satunya penyedia yang memberi pilihan pelbagai bahasa untuk lamannya (termasuk Bahasa Melayu). Kini ia hanya tinggal sejarah.

Internet Relay Chat (IRC) – IM Orang Dulu-Dulu

mIRC - Old Timer Internet sudah pasti kenal. /join #kampung
LOGO mIRC – Internet Relay Chat (IRC) merupakan medium komunikasi pelbagai pengguna di zaman awal penggunaan internet di Malaysia.

Jika anda lahir pada tahun 80an seperti saya, kemungkinan besar anda tahu akan IRC ini. IRC ataupun nama penuhnya Internet Relay Chat secara kasarnya lebih kepada bilik borak (chatroom) tetapi dibahagikan kepada beberapa saluran (channel) dengan topik-topik atau kumpulan-kumpulan tertentu. Klien (software) yang digunakan untuk mengakses IRC ini adalah mIRC (yang paling popular), walaupun ada beberapa klien alternatif yang lain.

IRC ini tidak seperti Yahoo Messenger atau WhatsApp, antaramukanya adalah amat crude dan tidak cantik. Sebagaimana chatroom yang lain, dalam satu-satu channel tersebut mungkin terdapat ratusan pengguna yang keluar dan masuk dan interaksi yang berlaku adalah amat pantas sehinggakan kadang-kadang sukar sedikit untuk mengikuti apa yang diperbincangkan. IRC bergerak menggunakan pelayan (server) khusus dan terdapat pelbagai server seperti DalNet, UnderNet dan sebagainya yang dihoskan di merata lokasi seluruh dunia.

MIRC Screenshot
ANTARAMUKA (UI) mIRC – Amat ringkas dan berfokus kepada kandungan. Pengguna perlu menghubungi server khas IRC seperti UnderNet/DalNet sebelum dapat masuk ke channel yang dikehendaki. Antara channel yang popular di Malaysia pada ketika itu adalah #kampung.

Saya sendiri merupakan salah seorang pengguna IRC yang aktif suatu masa dahulu walaupun bukanlah pengguna tegar. Nama pengguna saya dalam IRC adalah @DiGiMon (Hahaha…) dan channel yang sering saya masuk adalah #kampung. Terdapat pelbagai channel yang terdiri daripada para pengguna Malaysia dan menggunakan Bahasa Melayu. Juga, sebagai pengguna IRC beberapa arahan (command) asas perlu diketahui untuk memudahkan penggunaan. Antara command yang saya masih ingat adalah /join untuk masuk ke dalam channel tertentu dan beberapa lagi yang saya sudah lupa.

Twitter mungkin telah mempopularkan semula penggunaan hashtag # dan alias @ yang sudah pasti diambil daripada dunia IRC.

Walaupun IRC ini nampak terlalu ringkas, tetapi jika kita sudah mahir selok-belok command-command dan juga scriptingnya, ia boleh digunakan untuk menghantar fail seperti gambar-gambar ataupun yang paling kasar, untuk banned satu-satu user itu daripada masuk dalam channel tertentu. Kelemahan IRC ini adalah kita tidak tahu latar belakang para pengguna yang menyertai satu-satu channel itu dengan jelas (identiti hanya berasaskan username dan tiada profile page) dan sesiapa sahaja boleh menipu umur dan lokasinya. IRC ini jugalah yang pernah menjadi isu di negara kita yang melibatkan penipuan kepada para gadis remaja dan penyebaran gambar lucah artis-artis tempatan.

Kelemahan-kelemahan IRC (dan chatroom lain) inilah yang melahirkan sistem IM yang lebih kemas.

ICQ dan AOL Instant Messenger – Pelopor IM

ICQ - Ingat bunyi hon keretapi memanjang?
LOGO ICQ – Merupakan aplikasi IM terawal yang muncul dan sezaman dengan AOL Instant Messenger. ICQ terkenal dengan login alert nya yang merupakan bunyi hon keretapi.

Ciri public chatroom seperti IRC yang tiada sistem pengenalan diri yang sempurna sedikit sebanyak akan mendedahkan diri para penggunanya kepada ancaman sekuriti dan penyalahgunaan identiti. Walaupun IRC sebagai contoh membezakan setiap para pengguna melalui username, namun username ini bukanlah milik penuh pengguna tersebut, dan ini bermakna apabila seseorang pengguna itu keluar dari sistem IRC, username nya boleh digunakan oleh orang lain.

Sekitar awal tahun 2000, sistem IM yang lebih selamat untuk pengguna diperkenalkan. Umum bersetuju bahawa pelopor-pelopor sistem IM yang kemas adalah American Online melalui AOL Instant Messenger nya, dan juga ICQ yang dibangunkan oleh pihak Mirabilis. AOL Instant Messenger kurang popular di kalangan pengguna Malaysia dan lebih banyak digunakan oleh pengguna Amerika Syarikat. Sebahagian besar pengguna Internet Malaysia lebih gemar menggunakan ICQ.

ICQ (dikatakan merupakan singkatan untuk I Seek You) merupakan sistem IM yang memerlukan penggunanya untuk mengesahkan (approved) sesiapa yang ingin menjadi kenalan sebelum memulakan sesi interaksi. Sistem approval ini dapat mengurangkan isu sekuriti di mana pengguna berkuasa untuk meluluskan permohonan (request) mereka yang benar-benar dikenali dan bukannya orang asing yang tiada kaitan terus. ICQ juga memerlukan penggunakan mengisi borang profil yang bertanyakan maklumat asas seperti umur, lokasi, nama penuh, nama timangan dan sebagainya bagi membolehkan potensi kenalan dan pengguna ICQ yang lain mengetahui siapa yang membuat request tersebut. Konsep request-approve ini yang kemudiannya diikuti oleh hampir semua vendor IM yang terkemudiannya.

ICQ ini turut digunakan oleh saya sebagai platform untuk perbincangan dengan rakan-rakan sekelas (ketika itu saya menuntut di sekolah menengah). Uniknya ICQ ini adalah setiap pengguna akan diberikan nombor siri 7 angka sebagai username dan untuk menambah kenalan yang lain, nombor siri individu terbabit perlulah diketahui terlebih dahulu dan diinput di dalam ICQ. Tiada username menggunakan alphanumeric pada ketika itu (tahun 2000+). Menjadi trend pada zaman tersebut untuk bertanya nombor ICQ seumpama bertanya nombor telefon bimbit.

Ciri-ciri yang ditawarkan oleh ICQ adalah serupa dengan apa yang ditawarkan oleh sistem IM pada masa kini. Selain berborak secara individu atau berkumpulan, penghantaran fail juga boleh dibuat sesama pengguna.

Perkara yang paling diingati oleh saya semasa menggunakan ICQ ini adalah bunyi login nya. Selepas berjaya login ke dalam sistem, ICQ akan mengeluarkan bunyi hon keretapi yang amat panjang dan jika anda terlupa menurunkan volume speaker, bersedialah untuk terkejut. Hahaha…

Alaf Baru 2000 – Zaman Pendrive dan Memory Card – 128MB

Pernah jumpa Pendrive 64MB? Pada masa dahulu, ia pernah wujud dan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan.
PEMACU KILAT DAN KAD MEMORI – Pengenalan kedua-dua peranti ini telah mengubah bagaimana data dapat dikongsi dan digerakkan dalam kapasiti yang lebih besar.

Bermula pada tahun 2000 dan ke atas, kadar celik IT dan teknologi di kalangan rakyat Malaysia adalah membanggakan dan komputer tidak lagi dianggap sebagai peralatan pejabat semata-mata. Pada masa inilah pelbagai inovasi teknologi daripada sudut peranti (hardware) dan perisian (software) dapat dilihat dan diadaptasi oleh hampir kesemua lapisan masyarakat.

Disket sudah mula diancam kepupusan bermula pada era ini, dan penggunaan pemacu kilat (flashdrive/pendrive) sudah mula meluas. Kapasiti pendrive yang bermula dari 128MB dan mahal harganya sudah mula meningkat sedikit demi sedikit dan harga juga semakin menurun ke tahap mampu milik. Sekitar tahun 2005, saya membeli pendrive 512MB dengan harga RM100. Bayangkan berapa kapasiti yang boleh dibeli dengan harga tersebut pada hari ini (2013)?

Internet juga sudah menampakkan kemajuan dengan jalur lebar sudah boleh diakses daripada rumah dengan kelajuan yang lebih munasabah. Laman web juga sudah mula menunjukkan kreativiti dan tidak terhad lagi dengan kandungan teks dan animasi GIF semata-mata. Lagu dalam format mp3 sudah mula popular dan pelbagai pemain mudah alih mp3 mula terjual.

Juga tidak dilupakan, laman sosial mula berkembang pada awal 2000 dan ‘King of The Hill’ pada zaman tersebut adalah MySpace dan Friendster sebelum dihapus daripada sejarah oleh Facebook, Twitter dan Google Plus pada hari ini. Pada ketika itu, tiada perasaan malu untuk meminta testimonial daripada rakan untuk ditulis dalam wall Friendster dan golongan perempuan akan pimp-up laman profile MySpace mereka dengan pelbagai kod CSS dan animasi yang kadang-kala membuatkan pelayar web menjadi sejuk beku (freeze) dan terhentak (crash).

Satu lagi – Google di era awal 2000 masih lagi dalam kategori underdog dan pada ketika itu, Yahoo lebih popular.

Dominasi Yahoo Messenger & Windows Live Messenger

Yahoo Messenger - Secara relatifnya masih lagi popular
YAHOO! MESSENGER – Aplikasi IM yang mempopularkan penggunaan IM di kalangan rakyat Malaysia. Boleh dikatakan semua pengguna Internet di Malaysia mempunyai akaun Yahoo! Messenger dan sekaligus Yahoo! Mail.

Pelopor perisian IM seperti ICQ dan AOL Instant Messenger sudah mempunyai pesaing era baru yang lebih kukuh iaitu Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Kedua-dua perisian ini mengetengahkan antaramuka (interface) yang lebih segar dan juga integrasi secara terus dengan akaun e-mel. Integrasi terus dengan akaun e-mel bukanlah perkara baru tetapi dilaksanakan dengan lebih sempurna dan kemas oleh Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger.

Juga, Yahoo dan Windows Live juga telah memudahkan proses menambah kenalan iaitu melalui penggunaan alamat e-mel yang lebih mudah untuk dihafal berbanding nombor siri yang digunakan oleh ICQ. Ditambah dengan kekuatan user base masing-masing melalui akaun e-mel Yahoo dan Hotmail, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger mendapat tempat di kalangan generasi baru pengguna IM.

Ketika saya di universiti (2005+), Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger ini digunakan secara meluas dan ICQ secara teknikalnya telah pupus dalam diam. Di antara keduanya, Yahoo Messenger secara relatifnya mempunyai lebih ramai pengguna berbanding Windows Live Messenger. Salah satu faktor pendorong (pada pendapat saya) adalah branding Yahoo adalah lebih kuat pada ketika itu dan jika seseorang itu mahu membuka akaun e-mel berasaskan web, kecenderungan untuk memilih Yahoo adalah lebih tinggi daripada Hotmail.

Hotmail pada ketika itu dianggap sebagai old-school brand dan GMail masih lagi merupakan by invitation only.

2005 – Era Mobiliti Bermula

Ini adalah ikon kepada hampir semua rakyat Malaysia.
NOKIA 3310 – Merupakan successor kepada model 3210, telefon bimbit ini walaupun amat ringkas pada rekaannya, tetapi menjadi idaman semua orang yang ingin menggunakan telefon bimbit pada waktu itu. Harganya di waktu pelancaran adalah RM1000 ke atas!

Selain peningkatan dalam penggunaan komputer, kadar penembusan untuk penggunaan telefon bimbit telah mula menunjukkan corak peningkatan bermula pada awal tahun 2000 dan meningkat dengan drastik tahun ke tahun. Ini didorong oleh keputusan kerajaan untuk meliberasikan pasaran dan pengenalan pakej prabayar mampu milik oleh lima operator utama pada ketika itu iaitu Celcom, Maxis, DiGi, TMTouch dan TIMECel.

Akses Internet melalui telefon bimbit mula mendapat tempat selepas pengkomersialan sistem rangkaian 3G secara meluas di seluruh negara sekitar tahun 2005  ke atas. Sistem data untuk telefon bimbit sebenarnya sudah wujud lebih awal iaitu pada awal tahun 2000 melalui sistem paket data GPRS dan EDGE tetapi penggunaannya tidak terlalu meluas kerana caj yang mahal dan model telefon bimbit yang menyokong sistem paket data juga amat terhad. Tambahan, liputan data pada ketika itu amat kecil dan tidak konsisten.

Pengguna telefon bimbit di Malaysia pada ketika itu lebih suka menggunakan SMS sebagai medium untuk berinteraksi sesama kenalan dan penggunaan SMS melonjak dengan amat tinggi selepas perjanjian inter-operatibility yang ditandatangan oleh lima operator utama pada tahun 2000 (sebelum itu, SMS hanya boleh dihantar dalam rangkaian yang sama). Dengan persaingan untuk mendapatkan pelanggan di kalangan remaja, setiap operator bersaing sesama sendiri mengeluarkan pakej prabayar yang memberi fokus kepada kadar SMS yang lebih murah.

Aplikasi mig33 yang dijalankan pada telefon NOKIA N82.
APLIKASI mig33 – Aplikasi ini bukan IM yang sebenar tetapi lebih merupakan proksi kepada aplikasi Yahoo! Messenger dan Live Messenger yang berasaskan Java MIDP. Petikan skrin ini adalah aplikasi mig33 yang dijalankan di telefon bimbit Nokia N82 saya.

Apabila rangkaian paket data sudah meliputi hampir semua bandar-bandar utama dengan kualiti yang konsisten serta pengenalan pakej pelan data yang lebih mesra pengguna, maka sedikit demi sedikit take-up rate untuk penggunaan data meningkat. Tambahan pula, harga telefon bimbit berkeupayaan data juga sudah semakin murah dan mampu dimiliki oleh majoriti pengguna telefon bimbit. Jika disebut istilah telefon pintar pada waktu itu, ia merujuk pada telefon bimbit berkeupayaan data sekurang-kurangnya 3G dan menjalankan sistem operasi Symbian OS, dan pengeluar yang menghasilkan model yang memiliki ciri-ciri ini adalah NOKIA, Sony Ericsson dan Motorola.

Menyentuh berkenaan keupayaan IM di telefon bimbit, pada sekitar tahun 2005, tiada sebarang aplikasi IM khusus untuk telefon bimbit berkeupayaan data. Aplikasi yang ada merupakan klien pihak ketiga (third party client) yang memberi akses kepada IM di komputer seperti Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Saya menggunakan aplikasi yang diberi nama mig33 untuk mengakses Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger melalui telefon NOKIA N82. Aplikasi ini adalah Java-based dan ini bermaksud telefon bimbit yang berkeupayaan data dan menyokong Java MIDP boleh menggunakannya.

Pengalaman saya semasa menggunakannya, aplikasi ini pada dasarnya sudah cukup canggih pada ketika itu dan harus diingatkan tidak banyak aplikasi berasaskan Java yang mampu memberikan akses hampir lengkap kepada semua fungsi IM sebagaimana yang biasa kita gunakan di komputer. Kekangan pada ketika itu hanyalah pakej data yang mahal dan harus diambil maklum bahawa penggunaan WiFi pada ketika itu belum cukup popular di telefon bimbit kerana tidak banyak telefon bimbit yang menyokong WiFi dan kepelbagaian standard WiFi yang boleh memeningkan pengguna biasa.

IM Generasi Baru – Mobiliti Sepenuhnya

WhatsApp, Viber, WeChat, Line, BBM - Begitu banyak pilihan, semua pun boleh!
APLIKASI IM ERA BARU – Bermula dengan WhatsApp, kini terdapat pelbagai aplikasi IM yang berasaskan platform telefon pintar seperti Viber, WeChat, Line dan pelbagai lagi. Vendor telefon pintar tidak ketinggalan menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri seperti BlackBerry dengan BlackBerry Messenger dan Samsung dengan ChatOn.

Jika saya katakan bahawa Yahoo Messenger (dan IM berasaskan PC yang lain) diancam kepupusan, setujukah anda?

Trend terkini menunjukkan bahawa penggunaan IM telah berpindah (shift) hampir sepenuhnya daripada cara tradisional (komputer) kepada cara mudah alih. Mutakhir ini telefon pintar bukan lagi satu peranti yang mahal dan terhad kepada golongan bangsawan tetapi boleh dikatakan semua lapisan umur sudah mula menggunakan telefon pintar. Penggunaan meluas telefon pintar telah membawa kepada penurunan harga (konsep economies of scale) dan dengan harga serendah RM300, kita boleh membeli sebuah telefon pintar yang berkeupayaan data 3G. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila melihat pelajar sekolah rendah menggunakan telefon pintar yang kadang-kala lebih canggih daripada yang digunakan oleh kita!

Telefon pintar masa kini berkeupayaan untuk memasang aplikasi yang ciri-cirinya adalah setanding dengan program di komputer kerana keupayaan telefon pintar sedikit sebanyak menyamai keupayaan komputer itu sendiri. Maka jika sebelum ini aplikasi IM untuk telefon bimbit lebih menfokuskan sebagai proksi kepada sistem IM di PC, mutakhir ini aplikasi IM untuk telefon pintar adalah 100% dijalankan di telefon itu sendiri tanpa ada kaitan atau campur tangan komputer.

WhatsApp
LOGO WHATSAPP – Antara pelopor aplikasi IM di telefon pintar.

Pelbagai aplikasi IM untuk telefon pintar yang boleh digunakan dan antara beberapa nama yang popular adalah WhatsApp, Viber, WeChat, Line, Kakao Talk dan banyak lagi. Di Malaysia, saya mendapati WhatsApp masih lagi menjadi kegemaran rakyat Malaysia untuk berinteraksi dengan pendatang baharu WeChat turut mula mendapat tempat. Lazimnya para pengguna akan memasang semua aplikasi IM yang ada di dalam telefon pintar mereka untuk memastikan mereka mendapat akses yang maksimum kepada semua rakan-rakan. Di samping itu, hampir semua vendor IM ini menghasilkan aplikasi mereka untuk semua platform sistem operasi (OS) telefon pintar yang digunakan di pasaran, dan ini merupakan satu langkah bijak dan memudahkan pengguna yang menggunakan pelbagai sistem OS.

Vendor IM tradisional seperti Yahoo dan Microsoft (Live Messenger) juga ada menghasilkan aplikasi untuk telefon pintar tetapi apa yang saya dapat perhatikan, tidak ramai yang menggunakan Yahoo mahupun Live Messenger di telefon pintar mereka. Salah satu faktor adalah majoriti daripada kita telah terbiasa dengan anggapan bahawa Yahoo Messenger dan Live Messenger adalah program PC dan versi untuk telefon pintar adalah inferior (walaupun tidak begitu). WhatsApp dan lain-lain IM bermula dari platform telefon pintar dan sudah sebati dengan sistem operasi telefon pintar itu sendiri.

Juga dapat dilihat, trend di mana laman sosial turut menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri, seperti Facebook dengan Facebook Messenger dan Google Plus dengan Google Messenger (dikatakan Google akan menggabungkan aplikasi Google Talk yang kurang digunakan bersama Google Messenger) di mana aplikasi IM ini diintegrasi sepenuhnya dengan laman sosial masing-masing bagi mewujudkan seamless experience.

Sememangnya yang mendapat manfaat adalah kita sebagai pengguna, namun operator rangkaian sudah mula rasa terancam dengan penggunaan aplikasi IM yang semakin meluas. Mengapa?

Keupayaan aplikasi IM untuk berkongsi elemen multimedia selain teks adalah satu 'ancaman'.
WHATSAPP DI TELEFON PINTAR BERASASKAN ANDROID – Aplikasi IM seperti ini sudah mula menjadi ancaman kepada operator rangkaian kerana lebih cekap dan mampu menghantar elemen multimedia seperti gambar, video dan bunyi berbanding sistem tradisional SMS dan MMS yang mempunyai kekangan.

Lihat petikan skrin untuk aplikasi WhatsApp di atas, apa yang para pembaca boleh rumuskan dan kaitan dengan ancaman kepada operator rangkaian? Sebenarnya secara tidak langsung, penggunaan IM seperti WhatsApp yang semakin meluas telah mengancam sumber pendapatan utama kebanyakan operator iaitu – SMS. Berbanding dengan SMS yang dicaj bagi setiap mesej yang dihantar keluar, jika menggunakan IM, kita boleh menghantar seberapa banyak mesej tanpa dicaj bagi setiap salah satunya. Tambahan pula, aplikasi IM membolehkan kita bukan sahaja menghantar teks, tetapi elemen-elemen multimedia seperti gambar beresolusi tinggi, bunyi dan juga video di mana sistem MMS pun tidak mampu melaksanakannya.

Viber
LOGO VIBER – Keupayaan aplikasi IM yang sudah mampu membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data merupakan satu ‘ancaman’.

Sukacita juga dimaklumkan, kebanyakan aplikasi IM ini bukan sahaja mampu menghantar dan menerima pesanan, tetapi juga sudah berkeupayaan membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data (contoh seperti Viber, Skype, WeChat). Dan ini sudah pasti ‘menambah garam pada luka’ yang dialami oleh para operator rangkaian yang sudah pening melihat pendapatan SMS mereka menurun pada hampir setiap suku kewangan.

Sebahagian mungkin menegaskan bahawa operator tidaklah mengalami impak yang besar daripada penurunan penggunaan SMS (dan suara) kerana para pengguna masih perlu melanggan pelan data untuk menggunakan aplikasi-aplikasi ini dan operator rangkaian boleh merancang pelbagai pelan data yang bersesuaian mengikut kumpulan-kumpulan ini. Ada kebenarannya pendapat ini, tetapi secara peribadi, ia sebenarnya tidak cukup dan masih menjadi satu ancaman kerana ada faktor ini – WiFi. Berikut adalah pendapat peribadi saya;

Seorang individu biasa yang memiliki telefon pintar tanpa pelan data masih lagi boleh menggunakan aplikasi IM dan lain-lain aplikasi berasaskan Internet dengan menggunakan WiFi. Jika dihitung bilangan jam di mana seseorang individu itu berada, sudah pasti kebanyakan masanya akan diluangkan di rumah dan pejabat. Di kedua-dua tempat ini (rumah dan pejabat), lazimnya sudah tersedia rangkaian WiFi yang stabil dan laju maka secara logik, individu ini akan menggunakan rangkaian WiFi yang disediakan dan sekaligus melangkau (bypass) operator rangkaian mereka! Malah, di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah, terdapat rangkaian WiFi percuma disediakan dan ini juga satu bonus untuk individu ini tetapi satu sumpahan (curse) untuk operator rangkaian.

Jika Operator tidak merasa terancam, mengapa pakej seperti ini perlu dihasilkan? ;-)
PELAN PRABAYAR BERASASKAN SOSIAL – Operator rangkaian sudah mula menyedari ancaman yang dibawa oleh aplikasi IM ini dan hasilnya mencipta pakej yang mengintegrasikan secara terus akses kepada aplikasi-aplikasi tersebut dengan bayaran yang tetap.

Maka sekali lagi ditegaskan, ketiadaan pelan data bukan satu masalah besar kepada para pengguna telefon pintar kerana hampir semua tempat sudah disediakan akses WiFi. Malah, majoriti rakan-rakan saya yang menggunakan telefon pintar mengakui tidak melanggan pelan data dan menggunakan WiFi sebagai sumber data.

Saya pasti operator rangkaian sedar berkenaan perkara ini, dan mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan menaikkan harga pelan data atau mewajibkan langganan data kerana ini akan mengundang protes pelanggan dan boleh diambil kesempatan oleh operator pesaing. Jika anda lihat, ketiga-tiga operator utama (Celcom, Maxis, dan DiGi) sudah memperkenalkan pelan khas pakej sosial di mana memberi akses tanpa had (maksudnya tiada caj data) kepada aplikasi IM WhatsApp.

Kesimpulan

Evolusi penggunaan Instant Messaging (IM) yang dihuraikan sedikit sebanyak telah menyedarkan kita bahawa konsep tradisional dalam membuat sesuatu perkara itu boleh berubah seiring dengan kemajuan dan kecekapan teknologi yang ada. Evolusi ini bukan terhad hanya kepada IM sahaja, tetapi boleh dikatakan semua jenis pekerjaan sudah mula menfokuskan kepada konsep mobiliti dan tidak lagi statik pada satu ruang dan masa. Dengan keupayaan telefon pintar/tablet yang menyamai keupayaan komputer tradisional, tidak mustahi suatu masa nanti, pejabat tidak wujud secara fizikal dan hanya wujud dalam bentuk digital.

P/S: Untuk mengemaskini blog ini pun sudah tidak mewajibkan saya duduk di hadapan laptop, kerana aplikasi WordPress sudah dihasilkan untuk telefon pintar sebagaimana petikan skrin di bawah. Mungkinkah komputer tradisional yang kita gunakan hari ini bakal menjadi sejarah satu hari nanti?

Screen_20130425_113356
APLIKASI WORDPRESS UNTUK BLACKBERRY – Kini blog pun sudah boleh ditadbir melalui telefon pintar.

Analisis 2013 : Pelan Prabayar Di Malaysia


2013PrepaidCompareOpeningSebelum ini saya ada menulis satu artikel berkenaan perbandingan antara pelan-pelan telekomunikasi prabayar daripada empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia, iaitu Celcom, Maxis, DiGi dan U Mobile. Walaupun pada asalnya artikel tersebut bersifat ilmiah dan merupakan pendapat peribadi saya, namun ia sedikit sebanyak telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan para pengunjung blog ini. Statistik yang dikumpulkan juga mendapati hampir setiap minggu, artikel tersebut merupakan yang paling banyak dibaca, walaupun secara teknikalnya analisis yang dihujahkan telah menjadi kurang tepat.

Artikel tersebut ditulis pada 8 Jun 2011, iaitu hampir setahun lebih yang lepas. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai perubahan telah berlaku daripada sudut penawaran dan kadar untuk setiap pelan prabayar yang dibincangkan, dan menyebabkan analisa asal menjadi kurang tepat dan mungkin mengelirukan. Maka, atas permintaan beberapa orang pembaca, saya kira sudah tiba masanya untuk saya menulis semula perbandingan dan analisa yang lebih terkini berdasarkan maklumat semasa.

Artikel 'Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia' hampir setiap minggu menjadi artikel utama yang dibaca oleh para pengunjung blog ini.
Artikel ‘Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia’ hampir setiap minggu menjadi artikel utama yang dibaca oleh para pengunjung blog ini.

Semua data dan maklumat berkenaan kadar untuk setiap pelan prabayar yang dibincangkan adalah dirujuk daripada laman web syarikat telekomunikasi yang berkenaan dan adalah sahih serta terkini semasa artikel ini ditulis. Sambungan (link) kepada maklumat yang menjadi dasar artikel ini saya lampirkan di pengakhiran artikel untuk rujukan para pembaca yang dihormati.

Juga, artikel ini saya telah susun supaya lebih mudah dibaca dan seringkas mungkin, dan dengan itu beberapa perkara seperti ‘Closed Group Service’ (Activ10, Friend & Family) dan juga servis-servis tambahan (voicemail, CLIP, Callback Tones) tidak akan disentuh. Apa yang disentuh adalah menjurus kepada kadar untuk panggilan, permesejan dan data.

Untuk membaca artikel asal ‘Analisis Lengkap: Pelan Prabayar Di Malaysia’, sila klik di sini.

Pelan Prabayar Yang Terlibat

Perbandingan dijalankan atas empat pelan prabayar utama yang ditawarkan oleh empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia iaitu,

Celcom : Xpax 2 (juga kadangkala disebut sebagai ‘New Xpax’).

Maxis : Hotlink Plan.

DiGi : DiGi Best Prepaid.

U Mobile : U Mobile Prepaid.

Pelan-pelan prabayar ini merupakan pelan prabayar utama untuk setiap syarikat telekomunikasi yang berkenaan. Artikel ini tidak akan menyentuh pelan prabayar yang bersifat ‘supplementary’ atau variasi-variasi khas daripada pelan-pelan prabayar di atas seperti UOX/SOX, Hotlink Edisi Kampus, dan sebagainya kerana pelan-pelan ini mensasarkan golongan/demografi tertentu seperti para pelajar dan pekerja asing.

Juga, pelan-pelan prabayar yang ditawarkan oleh MVNO seperti Salamfone, TuneTalk, XOX, Happy Prepaid juga tidak akan disentuh dalam artikel ini kerana syarikat-syarikat ini bukan syarikat telekomunikasi ‘full-fledge’.

Penyusunan Kandungan Analisis

Terlebih dahulu saya akan mempersembahkan ringkasan kadar untuk setiap pelan prabayar daripada sudut panggilan, permesejan dan pelan data. Ulasan ringkas akan saya lampirkan berdasarkan pendapat dan analisa peribadi. Selepas semua kadar telah dibentangkan, satu simulasi kos penggunaan sebenar akan dijalankan berdasarkan kadar-kadar yang dibentangkan tadi merangkumi beberapa andaian (assumption) dan bersandarkan kepada penggunaan harian tipikal seorang pengguna.

Bahagian I: Kadar Yang Ditawarkan

Berikut adalah ringkasan berkenaan kadar (rates) yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi pada pelan prabayar masing-masing. Kadar yang dihuraikan adalah untuk panggilan suara (voice call), panggilan video (video call), khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS). Satu jadual telah disediakan sebagaimana di bawah;

Jadual Kadar Untuk Panggilan Suara/Video, SMS dan MMS

Merujuk kepada jadual, boleh dikatakan penawaran beberapa syarikat telekomunikasi telah menjadi sedikit ‘complicated’ berbanding beberapa tahun yang lepas, terutamanya apabila melihat kepada blok panggilan yang bukan lagi berdasarkan kepada ‘per minit’ sebagaimana sebelumnya.

Sebagai contoh, Celcom telah memanjangkan blok panggilannya kepada 5 minit dan 10 minit untuk panggilan luar dan dalam rangkaiannya. Maxis masih mengekalkan blok per minit, cuma kadarnya adalah bergantung kepada jumlah baki minima di dalam akaun (jika baki kredit lebih RM10 pada satu-satu masa, maka kadarnya adalah lebih murah). U Mobile pula mengekalkan blok 30 saat.

DiGi pula kelihatan seperti sedikit mengelirukan – blok panggilannya dipecahkan kepada tiga iaitu enam saat pertama; 2 minit seterusnya; dan minit selepas 2 minit sebelumnya (?). Ini bermaksud (berdasarkan pemahaman saya), panggilan berdurasi 5 saat kosnya adalah 6 sen, jika 1 minit 30 saat adalah 26 sen, dan jika tiga minit menjadi 46 sen.

Menyentuh berkenaan kadar panggilan video, keempat-empat syarikat telekomunikasi menawarkan kadar yang hampir identikal, kecuali U Mobile yang mengenakan kadar 60 sen seminit untuk panggilan video di luar rangkaian; kadar yang mungkin agak tinggi.

Perbezaan pada blok panggilan ini mungkin merupakan strategi syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan impak penurunan keuntungan daripada panggilan suara dan untuk menggalakkan para pengguna bercakap lebih banyak atau lebih lama.

Untuk kadar SMS, Celcom menawarkan kadar terendah untuk SMS ke rangkaian yang sama (1 sen) dan untuk SMS ke luar rangkaian, Maxis adalah merupakan yang tertinggi berbanding yang lain (10 sen).

Kadar untuk khidmat pesanan multimedia (MMS) pula memperlihatkan kadar purata sebanyak 25 sen kecuali Maxis yang mengenakan kadar 50 sen untuk MMS ke rangkaian lain.

Bahagian II: Data Mudah Alih (Mobile Data) dan Servis Internet BlackBerry (BIS)

Mutakhir ini penggunaan data mudah alih di kalangan pengguna telah melonjak ke tahap yang tinggi seiring dengan kos telefon pintar (smartphone) yang semakin murah dan liputan data yang semakin baik di kalangan semua syarikat telekomunikasi. Juga, pelan data sudah lagi tidak terhad kepada pengguna pascabayar (postpaid) sahaja dan semua syarikat telekomunikasi ada menawarkan pelan data untuk pengguna prabayar sebagaimana yang diringkaskan dalam jadual di bawah ini;

Penawaran Pelan Data Harian, Mingguan dan Bulanan Untuk Pengguna Prabayar.
Penawaran Pelan Data Harian, Mingguan dan Bulanan Untuk Pengguna Prabayar.

Merujuk kepada jadual, dapat dirumuskan bahawa pelan data yang ditawarkan dipecahkan kepada tiga kategori utama iaitu Harian, Mingguan dan Bulanan dengan kuota masing-masing.

Untuk pelan harian, kuota purata sebanyak 500MB ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi dengan Maxis memberikan pilihan untuk kuota yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah. Untuk pelan mingguan pula, Celcom adalah yang tertinggi dengan RM18 tetapi kouta yang lebih besar (1GB) manakala U Mobile tiada pelan mingguan. Pelan bulanan pula menyaksikan Maxis menawarkan kuota 3GB tetapi dengan harga yang agak tinggi (RM68) manakala pesaingnya DiGi dan U Mobile menawarkan harga RM48 untuk kuota 2GB. Celcom pula tidak menawarkan pelan data bulanan (setakat ini) dan ini mungkin mengecewakan para penggunanya yang terpaksa melanggan pelan data mingguan sebanyak empat kali sebulan, naiktaraf ke pascabayar atau beralih ke rangkaian lain.

Untuk pengguna telefon pintar BlackBerry, mereka perlu melanggan pelan data khas yang bersandarkan pada sistem BlackBerry Internet Services (BIS) dan berikut dilampirkan ringkasan penawaran pelan BIS bagi keempat-empat syarikat telekomunikasi;

Ringkasan penawaran pelan BIS untuk keempat-empat syarikat telekomunikasi.
Ringkasan penawaran pelan BIS untuk keempat-empat syarikat telekomunikasi.

Berdasarkan jadual, dapat dirumuskan bahawa pelan BIS yang paling rendah adalah ditawarkan oleh U Mobile, dan Maxis pula menawarkan kuota data yang lebih besar (1.5GB) tetapi pada harga yang amat tinggi (RM98). Secara puratanya syarikat telekomunikasi menawarkan kuota sebanyak 250 hingga 300MB – amat kecil secara teori tetapi mencukupi (sufficient) untuk telefon BlackBerry yang menggunakan data dengan amat rendah.

Menarik juga untuk disentuh berkenaan pelan BIS Maxis, harga RM98 yang ditunjukkan untuk pelan bulanan adalah untuk pelan ‘standard’, iaitu merangkumi akses penuh untuk internet, streaming, penggunaan aplikasi non-native (yang bukan dikeluarkan oleh RIM) dan juga tethering (sambungan ke PC untuk menggunakan akses Internet). Maxis ada menawarkan pelan bulanan yang lebih berpatutan yang dinamakan ‘BIS Bonus’ sebanyak RM20 tetapi pelan ini amat terhad penggunaannya dan tidak termasuk akses kepada aplikasi non-native seperti WhatsApp, Viber dan sebagainya.

Bahagian III: Simulasi Penggunaan & Kos

Saya sudah pun menghuraikan berkenaan kadar-kadar yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi untuk panggilan suara/video, SMS/MMS dan juga data mudah alih. Sekarang kita boleh menjalankan simulasi penggunaan untuk melihat kos bulanan yang akan ditanggung untuk seorang pengguna tipikal.

Untuk memastikan bahawa simulasi dijalankan dengan seadil mungkin, maka beberapa anggapan (assumption) perlu diperjelaskan, iaitu;

PERTAMA: Panggilan, mesej kepada ‘Closed Group Service’ (Activ10, Friends & Family, 8pax/15pax) tidak diambil kira.

KEDUA: Penggunaan/kredit minimum telah pun dicapai, untuk memastikan kadar yang dikenakan adalah adil (fair). Maka untuk Maxis, kadar yang diambil kira adalah kadar apabila baki akaun di atas RM10.

KETIGA: Sebarang bonus untuk panggilan, SMS, MMS dan sebagainya juga tidak diambil kira dalam simulasi ini.

Seperti biasa, satu watak hipotetikal diwujudkan, yang bernama Fifah.

Sekadar Gambar Hiasan
Sekadar Gambar Hiasan

Fifah merupakan seorang eksekutif berusia sekitar 30an dan bekerja di sebuah organisasi berasaskan khidmat sosial. Beliau merupakan rakan rapat kepada Yanie yang merupakan juga seorang eksekutif berusia 26 tahun. Walaupun amat rapat dan sering keluar bersama, namun Fifah tidak terpengaruh dengan gaya Yanie yang amat peka terhadap trend gajet semasa. Fifah menggunakan telefon bimbit Samsung Galaxy manakala Yanie menggunakan iPhone 5 yang dibeli ketika hari pelancaran menggantikan Nokia N8 yang sudah lama digunakan. Walaupun begitu, Fifah tahu dan aktif menggunakan aplikasi-aplikasi di dalam telefon pintarnya dan kerap membuat panggilan suara dan bermesej atas tuntutan kerja dan juga peribadi. Fifah merupakan seorang pengguna prabayar manakala rakannya Yanie telah bertukar kepada pascabayar.

Watak Fifah ini merupakan figura yang mewakili golongan belia yang menggunakan telefon bimbit pintar, yang peka dengan teknologi dan pada masa yang sama mengambil kira perbelanjaan dan bajet harian. Watak Yanie yang disebutkan merupakan watak hipotetikal yang digunakan pada artikel sebelum ini. Simulasi dimulakan.

Simulasi I: Panggilan

Fifah membuat panggilan pendek (kurang seminit) adalah lebih kurang 4 panggilan sehari, dengan jumlah panggilan secara purata sebanyak 10 panggilan sehari. Panggilan pendek yang dibuat adalah secara purata selama 40 saat, dan panggilan panjang dalam 5 minit. Secara kasar, penggunaannya adalah serupa dengan Yanie. Satu jadual telah dilakarkan:

Ringkasan Durasi & Kekerapan Panggilan Untuk Sebulan
Ringkasan Durasi & Kekerapan Panggilan Untuk Sebulan

Daripada jadual penggunaan di atas, maka kos untuk panggilan telah dapat dikira;

Simulasi: Kos Panggilan Untuk Sebulan
Simulasi: Kos Panggilan Untuk Sebulan

Simulasi II: SMS dan MMS

Jumlah SMS yang dihantar oleh Fifah dalam sebulan adalah sebanyak 200 SMS, dengan 100 SMS ke rangkaian yang sama dan 100 SMS ke rangkaian lain. Manakala sebanyak 50 MMS dihantar dalam sebulan oleh Fifah, dengan 25 MMS ke rangkaian yang sama dan selebihnya ke rangkaian yang berlainan. Maka, kos untuk sebulan adalah seperti berikut:

Simulasi: Kos Untuk Permesejan.
Simulasi: Kos Untuk Permesejan.

Simulasi III: Data Mudah Alih

Fifah merupakan pengguna aktif aplikasi di dalam telefon bimbitnya seperti WhatsApp, Viber, Facebook dan seumpamanya. Di samping itu, Fifah juga menggunakan telefon bimbitnya untuk memeriksa dan membalas e-mel pejabat apabila berada di luar pejabat di samping perlu mencari maklumat melalui Internet dengan kerap. Maka, Fifah perlu melanggan pelan data untuk telefon bimbitnya memandangkan WiFi hanya terdapat di rumah beliau. Kos untuk pelan data telah diringkaskan sebagaimana di bawah,

Simulasi: Pelan Data Mudah Alih
Simulasi: Pelan Data Mudah Alih

Ambil maklum untuk Celcom, pelan data mingguan didarab dengan 4 kerana Celcom tidak memiliki pelan data bulanan untuk pelan prabayarnya.

Akhir Simulasi: Kos Keseluruhan

Kita sudah melihat, satu demi satu, kos untuk panggilan, permesejan dan pelan data mudah alih. Maka, berapakah yang perlu dibayar oleh Fifah untuk sebulan jika penggunaan di atas berlaku? Satu jadual telah dilakarkan,

Simulasi: Jumlah Kos Keseluruhan
Simulasi: Jumlah Kos Keseluruhan

Apakah pelan prabayar yang sesuai untuk Fifah?

Isikan jawapan anda di sini: __________________________

Kesimpulan

Berdasarkan analisis dan simulasi yang telah dijalankan, maka secara teori, pelan Celcom Xpax dilihat adalah yang terbaik jika anda seorang yang mempunyai ciri-ciri penggunaan seimbang untuk panggilan, permesejan dan data. Tetapi jika penggunaan anda adalah lebih terarah kepada data, maka pelan selain Celcom Xpax dilihat lebih sesuai walaupun lebih mahal daripada aspek panggilan dan permesejan.

Peringatan & Makluman Tambahan

Maklumat dan analisis yang diberikan adalah tepat ketika artikel ini ditulis (30 Januari 2013) dan kekal, sehingga mana-mana syarikat telekomunikasi yang disebutkan membuat perubahan kadar. Analisis ini dibuat dengan adil dan saksama atas dasar memberi dan berkongsi maklumat, dan saya tidak sekali-kali mewakili atau menggalakkan (endorsed) anda untuk memilih mana-mana pelan prabayar di atas.

Jika terdapat sebarang kesilapan fakta atau pengiraan, boleh dimaklumkan kepada saya secara terus di ruangan komen dan Insya Allah saya akan memberi respon dan membuat pembetulan dengan seberapa segera.

Rujukan

Sila klik link yang disenaraikan di bawah untuk maklumat lanjut dan terkini berkenaan pelan prabayar yang dibincangkan dalam artikel ini. Sumber adalah terus daripada laman web syarikat telekomunikasi yang berkenaan.

Celcom Xpax | Maxis Hotlink | DiGi Best Prepaid | U Mobile Prepaid

Menetapkan ‘Custom SMS Tone / Alert’ Di Telefon Pintar Android


Android telah menjadi platform majoriti untuk sistem operasi telefon bimbit pintar
Android telah menjadi platform majoriti untuk sistem operasi telefon bimbit pintar

Suatu ketika dahulu ketika zaman penggunaan telefon bimbit NOKIA dan seumpamanya berada di kemuncaknya, adalah mudah untuk para penggunanya untuk menetapkan lagu, muzik atau bunyi tersendiri sebagai nada dering dan nada SMS tanpa perlu bergantung sepenuhnya dengan koleksi lagu yang sedia ada di dalam telefon tersebut. Langkah yang perlu dilaksanakan adalah amat mudah dan hampir setiap orang boleh melakukannya sendiri tanpa perlu bertanya kepada orang lain ataupun membaca tutorial yang berat.

Zaman telah berubah dan demografi jenis telefon bimbit juga berubah. Mutakhir ini majoriti adalah pengguna telefon bimbit pintar Samsung siri Galaxy dengan sistem operasi Android. Sistem Android ini walaupun secara lahiriahnya agak mudah digunakan, walau bagaimanapun ada beberapa fungsi dan tatacara penggunaan yang mungkin agak kompleks di kalangan pengguna marhaen seperti saya dan anda. Antara yang menjadi kesukaran adalah bagaimanakan cara untuk menetapkan nada dering dan SMS tersendiri (custom) di telefon bimbit Android.

Sukacita saya ingin berkongsi caranya dengan anda semua, sepertimana yang diterangkan di perenggan seterusnya.

Menetapkan Nada Dering (Ringtone) Sendiri

Melalui 'Music Player', pilih lagu yang diingini.
Melalui ‘Music Player’, pilih lagu yang diingini.

Jika anda ingin menggunakan nada dering sendiri dan tidak mahu menggunakan nada dering yang sedia ada terbina dalam (built-in), langkahnya adalah cukup mudah.

PERTAMA: Pastikan lagu/muzik/nada yang ingin dijadikan nada dering itu telah diletakkan di dalam kad memori melalui sambungan USB ke PC ataupun melalui cara penghantaran yang lain seperti Bluetooth. Kemudian, jika perlu, mulakan semula (restart) telefon bimbit anda supaya sistem boleh mengesan lagu/muzik/nada yang telah dimasukkan tadi.

KEDUA: Buka ‘Music Player’ dan cari lagu/muzik/nada yang ingin dijadikan nada dering tersebut daripada senarai yang terpapar. Pada lagu/muzik/nada tersebut, tekan lama (hold down) pada nama tersebut sehingga keluar menu. Pilih ‘Use As Phone Ringtones’ atau ‘Set As’ untuk menetapkan lagu/muzik/nada tersebut sebagai nada dering. Ambil perhatian bahawa menu yang terpapar adalah bergantung kepada versi Android yang anda gunakan (Froyo, Gingerbread, Ice Cream Sandwich, Jelly Bean dan sebagainya).

KETIGA: Anda boleh mencuba sama ada penetapan itu berfungsi dengan memanggil (call) telefon bimbit anda. Jika lagu/muzik/nada yang dipilih tadi kedengaran ketika panggilan masuk, maka anda telah berjaya membuat penetapan tersebut tanpa sebarang masalah.

Menetapkan Nada SMS Sendiri

Senarai 'Notifications' dalam Settings > Sounds. Perhatikan lagu 'Warisan-Sudirman' yang merupakan lagu yang diletakkan dalam folder 'Notifications'
Senarai ‘Notifications’ dalam Settings > Sounds. Perhatikan lagu ‘Warisan-Sudirman’ yang merupakan lagu yang diletakkan dalam folder ‘Notifications’

Untuk menggunakan nada SMS sendiri, langkahnya adalah sedikit berbeza daripada langkah untuk menetapkan nada dering, tetapi mudah untuk dilaksanakan seperti berikut;

PERTAMA: Lagu/muzik/nada yang ingin dijadikan nada SMS itu perlu diletakkan di dalam satu folder khas dan tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya di mana-mana lokasi di dalam kad memori. Menggunakan sambungan USB ke PC ataupun menggunakan ‘File Manager’ di dalam telefon bimbit anda, pastikan anda letakkan file lagu/muzik/nada tersebut di dalam direktori ini

media/audio/notifications

Bermaksud anda buka ‘Memory Card’, buka folder ‘Media’, kemudian buka folder ‘Audio’, dan buka folder ‘Notifications’. Jika folder ‘Notifications’ tidak wujud, anda hanya perlu buat folder tersebut dengan nama yang sama (klik kanan > New > Folder). Kemudian letakkan file lagu/muzik/nada yang ingin dijadikan nada SMS di dalam folder tersebut.

KEDUA: Mulakan semula (restart) telefon anda selepas selesai memasukkan lagu/muzik/nada di dalam folder ‘Notifications’ tadi. Untuk makluman langkah ini tidaklah wajib tetapi amat digalakkan supaya sistem dapat menyegarkan semula (refresh) senarai file di dalam kad memori dan seterusnya mengesan lagu/muzik/nada yang dimasukkan tadi.

KETIGA: Untuk menetapkan lagu/musik/nada tadi sebagai nada SMS, pergi ke ‘Application’ > ‘Settings’, kemudian pilih ‘Sounds’. Pada pilihan yang dipaparkan, pilih ‘Notifications’. Kemudian senarai nada akan dipaparkan, termasuklah lagu/muzik/nada yang anda masukkan tadi. Pilih lagu/muzik/nada tersebut.

KEEMPAT: Anda boleh menguji keberkesanannya apabila menerima SMS masuk, di mana lagu/muzik/nada yang dipilih tadi akan berkumandang.

NOTA: lagu/muzik/nada tersebut tidak terhad untuk nada SMS sahaja. Anda juga boleh menggunakan nada tersendiri untuk Facebook, Twitter dan aplikasi lain, cuma penetapan hendaklah dilakukan di dalam aplikasi tersebut. Contohnya, untuk menetapkan nada tersendiri untuk Facebook, anda hanya perlu buka aplikasi Facebook, pergi ke bahagian Settings, dan cari penetapan untuk Notifications.

Pokok pangkalnya, segala lagu/muzik/nada yang ingin digunakan sebagai nada notifikasi perlu diletakkan di dalam folder Notifications sebagaimana yang diterangkan di atas supaya ia akan keluar dalam senarai Notifications.

Isu: Sambungan USB-PC Tidak Berfungsi

Untuk pengguna Samsung, jika anda mengalami masalah di mana sambungan USB daripada telefon bimbit ke PC tidak dapat dikesan atau tiada sebarang respon, anda perlu terlebih dahulu memasang (install) perisian ‘Samsung Kies’ (muat turun di sini) yang merupakan perisian PC Suite/Phone Management untuk telefon bimbit Samsung. Perisian ini adalah perlu kerana ia mengandungi ‘driver’ yang diperlukan untuk mengesan telefon bimbit anda.

Untuk pengguna jenama lain yang berasaskan Android tetapi mengalami masalah yang serupa, anda juga mungkin perlu memasang perisian PC Suite/Phone Management untuk jenama masing-masing.

Nota Tambahan/Peringatan

Ambil perhatian jika anda menetapkan satu lagu penuh sebagai nada SMS, maka ia akan berbunyi sehingga selesai lagu tersebut. Untuk nada dering ia tidak menjadi satu isu kerana terdapat ‘cut-off’ selepas 20 saat telefon berbunyi, tetapi tiada untuk nada SMS. Maka anda digalakkan untuk memotong (trim) lagu tersebut supaya tidak menjadi isu seperti ‘pencemaran bunyi’ di kemudian hari.

Mengapa Saya Guna BlackBerry?


BlackBerry-Apa Yang Menarik?

Mungkin ramai yang tahu bahawa saya seorang pengguna (baharu) telefon pintar BlackBerry. Mungkin juga ada yang tidak tahu dan baru tahu. Rakan-rakan rapat saya umumnya tahu saya merupakan peminat tegar Nokia, dan penghijrahan ke BlackBerry ini mungkin sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya kerana saya dikenali sebagai orang yang yang agak lantang ‘mengkritik’ BlackBerry.

Minta maaf, saya kurang minat pada iPhone, walaupun ramai yang memasang niat nak beli sebuah.

Pertamanya, saya ingin membuat pengakuan bahawa saya masih sayangkan Nokia (eh, macam bunyi orang bercinta pula). Buktinya, Nokia 5800 XpressMusic saya masih lagi aktif walaupun menjadi ‘isteri kedua’ (2nd phone). OK, jika benar saya sayangkan Nokia, kenapa saya bertukar kepada BlackBerry? BBM? Salah, kerana saya amat-amat-amat jarang menyentuh BBM. Jawapannya adalah seperti berikut;

E-Mel.

Sebab utama saya bertukar kepada BlackBerry adalah kerana tuntutan kerja yang memerlukan saya memantau inbox e-mel saya setiap masa. Sebelum saya membeli sebuah BlackBerry, saya menggunakan cara standard memeriksa e-mel menggunakan Microsoft Outlook ataupun secara webmail. Walau bagaimanapun, kedua-dua cara ini memerlukan saya berada di depan PC dan mempunyai sambungan Internet.

OK, mungkin anda berkata, telefon bimbit sekarang pun dah boleh digunakan untuk check e-mel, tak perlu susah-susah ada depan PC. Betul, saya tidak nafikan fakta itu, dan Nokia 5800 saya pun sebenarnya boleh dikonfigurasikan untuk pull e-mel daripada inbox e-mel pejabat saya. Walau bagaimanapun, masalah berikut pula akan berlaku.

Sedikit Ilmu: Sistem e-mel ada dua kaedah, iaitu push dan pull. Kaedah yang biasa kita gunakan adalah pull, di mana kita perlu log masuk ke dalam akaun e-mel kita dan lihat sama ada terdapat e-mel baru atau tidak. Cara ini sedikit menyusahkan kerana kita perlu periksa secara manual (umpama kita pergi ke pejabat pos dan tanya pada posmen ada atau tidak surat untuk kita). Sistem push pula, e-mel tersebut akan datang sendiri kepada kita apabila dikirim (posmen hantar terus ke tangan kita), seumpama SMS.

Disebabkan e-mel pejabat saya bukanlah menggunakan server Microsoft Mail for Exchange, maka fungsi push e-mail tidak dapat dilaksanakan. Jika saya menggunakan cara biasa, saya perlu set kan telefon Nokia 5800 saya untuk connect ke server e-mel pejabat pada sela masa tertentu untuk memeriksa ada atau tidak e-mel baharu yang perlu dibaca. Saya set kan setiap satu jam, telefon saya akan memeriksa server e-mel, dan julat masa pemeriksaan ini adalah dari jam 9 pagi ke 5 petang dan menggunakan talian WiFi  pejabat saya (untuk elak kos data).

Kelemahan cara ini, e-mel hanya akan masuk ke dalam telefon saya dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan jika ada e-mel yang masuk selepas jam 5 petang, ia akan sampai ke telefon saya pada esok harinya dan mungkin saya terlepas e-mel penting, kecuali saya buka e-mel semasa di rumah. Jika saya berada di tempat tiada akses PC, saya mungkin akan miss apa-apa e-mel penting.

Telefon bimbit Nokia mempunyai satu fungsi yang dipanggil Nokia Messaging yang memberikan fungsi push e-mail sebagaimana BlackBerry. Saya boleh menggunakan fungsi ini, tetapi kekangan yang berikut menyebabkan saya tidak boleh menggunakan Nokia Messaging;

Saya Pengguna Prepaid.

Biru! Biru!

Apa kaitannya saya sebagai pengguna talian prabayar dengan e-mel? Jawapannya adalah kos akses data. Umumnya anda tahu (atau tidak tahu) bahawa pengguna talian prabayar mempunyai kekangan dalam menggunakan khidmat data secara fleksibel di telefon bimbit. Ditambah pula kebanyakan telefon bimbit mutakhir seperti iPhone dan telefon berasaskan Android memerlukan akses data untuk berfungsi secara optimum. Mengakses e-mel di dalam telefon bimbit memerlukan saya mengakses servis data sekiranya saya di luar mana-mana liputan WiFi.

Jika anda seorang pengguna postpaid (bil), ini bukan satu masalah besar kerana terdapat pelbagai pelan data yang boleh digabungkan ke dalam pelan telefon sedia ada, dari serendah RM38 sebulan. Tetapi jika anda seorang pengguna prepaid seperti saya, pilihan yang ada adalah terhad dan MAHAL. Contohnya, jika saya ingin melanggan pakej data untuk sebulan, saya perlu membayar RM50. Maka kos saya sebulan adalah RM30 (top-up standard) + RM50 (data) = RM80.

OK, pakai postpaid. Setel masalah. Erm, susah bro/sis, saya bukan heavy user dan bayaran komitmen bulanan postpaid adalah tidak berbaloi. DiGi Smart Plan? Cadangan yang baik, tetapi nature kerja saya memerlukan saya kerap ke tempat-tempat yang jauh dari bandar besar, dan jika saya guna DiGi, lebih baik telefon saya ditinggalkan di rumah sahaja (coverage DiGi adalah satu kegagalan besar, even di bandar).

Penyelesaiannya?? BlackBerry.

Bagaimana BlackBerry Menyelesaikan Masalah

Jujur saya katakan, Nokia 5800 XpressMusic saya lebih hebat daripada BlackBerry Bold 9780 saya. Di dalam arena multimedia, kamera, dan apps, BlackBerry is not a match kata orang putih. Tetapi, dari aspek tertentu, BlackBerry membantu menghilangkan pening kepala saya dengan cara berikut;

PERTAMA: Ada Pelan BlackBerry (Yang Murah) Untuk Prepaid

Saya dah cerita di awal post tadi, jika anda pengguna prabayar seperti saya, apabila merujuk kepada pakej data standard, kita telah ‘dianak tirikan’. Tetapi berlainan dengan BlackBerry, hampir semua operator utama di Malaysia menawarkan pakej BlackBerry untuk pelanggan prabayar mereka dan dengan harga yang 50% lebih murah daripada pelan data standard.

Wait a minute, kenapa pelan data BlackBerry adalah lebih murah daripada pelan data standard, pada hal kedua-duanya mengakses data yang sama , e-mel yang sama. Hoi! Ini adalah konspirasi politik yang terang-terang menyalahgunakan wang rakyat! Hahaha. OK, tiada kena mengena dengan politik pun. Apa yang membuatkan BlackBerry berbeza daripada sistem data standard adalah kerana infrastructure nya. Lihat penerangan di bawah;

APA BEZA SISTEM DATA BLACKBERRY DAN SISTEM DATA BIASA?

Sistem data biasa tidak melalui secure server  dan tidak ada compression pada data yang dihantar/diterima. Maksudnya, sambungan data antara telefon anda dengan Internet adalah terus dan tiada tapisan, dan data yang diterima dalam kebanyakan kes adalah lump sum. Ini menerangkan mengapa telefon bimbit moden seperti iPhone menggunakan banyak data.

INTERNET <-> OPERATOR <->TELEFON BIMBIT

Sistem data BlackBerry pula, ada satu sistem server yang menapis, memampatkan data dan meng-encrypt data yang dihantar/diterima sebelum sampai ke telefon bimbit.

INTERNET <-> SERVER B.I.S <-> OPERATOR <-> TELEFON BLACKBERRY

Server BlackBerry Internet Service (BIS), selain menapis dan meng-encrypt data, ia juga memampatkan data sebelum diterima oleh telefon bimbit BlackBerry. Telefon bimbit BlackBerry, untuk pengetahuan anda, adalah telefon yang paling kurang menggunakan data, dan dalam kebanyakan kes, tiada perbezaan ketara dengan telefon yang menggunakan data tanpa mampatan (uncompressed).

Faham dengan penerangan di atas? Kata kuncinya: Compression. Telefon BlackBerry berbeza dengan telefon bimbit lain kerana data yang diterima telah dimampatkan dan hence menggunakan kurang data. Jika anda lihat pada pelan BlackBerry untuk pengguna prabayar, rata-rata menawarkan kuota sebanyak 250MB. Tak cukup? Untuk BlackBerry, itu lebih dari cukup!

Kelemahan BlackBerry, adalah juga terletak pada sistem compression nya. Jika anda menggunakan BlackBerry untuk membuka laman web, mungkin agak perit sedikit kerana kelajuannya amat menyedihkan walaupun tidak mendukacitakan (walaupun anda dalam rangkaian 3G atau WiFi). Saya sendiri tidak galakkan anda menggunakan BlackBerry untuk membuka laman web kecuali jika betul-betul perlu (baca: kecemasan).

Kembali pada soal kos, dalam kes saya selaku pengguna prabayar Celcom, kos untuk pakej Full BIS sebulan adalah RM25 dengan 250MB kuota untuk data (lihat jadual di bawah). Sebagaimana yang disebutkan, kuota yang kecil bukan menjadi masalah, kerana BlackBerry sendiri berfungsi atas konsep compressed data dan di rumah, saya akan connect ke WiFi rumah sekaligus menjimatkan kuota data.

Pelan BlackBerry Untuk Celcom Prepaid

Jika tujuan utama anda adalah untuk memeriksa e-mel dan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook dan berborak melalui BBM, 250MB itu sudah lebih dari mencukupi.

KEDUA: Push E-Mail

Tidak Terhad Untuk E-Mail Korporat, E-Mail Marhaen Seperti Hotmail Pun Boleh!

BlackBerry terkenal dengan sistem push e-mail nya, dan itulah menjadi antara sebab utama mengapa saya memilih untuk menggunakan BlackBerry. Jika ada yang menghantar e-mel kepada saya, secara automatik sistem BlackBerry akan menghantarnya kepada telefon saya. Umpama sistem SMS. Jadi tidak perlu lagi saya log masuk ke dalam web mail atau membiarkan Microsoft Outlook saya terbuka semata-mata untuk menanti e-mel masuk.

E-mel tidak terhad kepada corporate address semata-mata, anda juga boleh set kan e-mel Hotmail, Yahoo dan GMail ke dalam telefon BlackBerry anda. Jika anda menggunakan e-mel secara intensif seperti saya, BlackBerry merupakan telefon yang sesuai untuk anda.

KETIGA: Kepantasan

Sistem BlackBerry bertindak secara instaneous, bermaksud jika ada yang menghantar e-mel kepada anda, anda akan menerimanya pada saat itu juga, dan delay adalah amat jarang berlaku. Dan sistem push ini tidak terhad kepada e-mel semata-mata, jika ada yang menghantar atau membalas komen di Facebook, atau mention anda di Twitter, telefon BlackBerry anda akan memaklumkan kepada anda dengan serta-merta.

Once anda sudah serasi dengan sistem push ini, mungkin anda akan ‘ketagihan’. :-)

Tambahan pula, disebabkan sistem compression yang digunakan oleh BlackBerry, maka tiada kesan nyata dari sudut kepantasan jika anda di dalam rangkaian GPRS sekalipun.

Kesimpulan

Disebabkan penggunaan utama saya adalah untuk e-mel dan sekali-sekala menggunakan aplikasi sosial seperti BBM, Facebook dan Twitter, maka saya berpendapat bahawa menggunakan BlackBerry adalah pilihan yang bijak buat diri saya buat masa sekarang. Itulah sebabnya mengapa saya menggunakan BlackBerry. :-)