Bilakah Waktu Terbaik Mula Belajar Bersolat?


20170210-tazkirah-01

Saudara dan saudari sekalian,

Hari ini (Jumaat – 10 Februari 2017) saya berpeluang mendengar tazkirah Jumaat di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra yang disampaikan oleh Ustaz Roslan Mohamed. Beliau mengupas secara ringkas, tafsir Surah Al-Mukminun yang menyentuh ciri-ciri orang Mukmin yang berjaya. Saya tertarik dengan ulasan beliau berkenaan solat, yang disebut dalam ayat yang ke-2;

(Terjemahan): Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

Ustaz Roslan menarik perhatian pendengar dengan pertanyaan – umur berapa kita ajar anak bersolat?

Komen beliau, masyarakat kita memahami hadis Nabi s.a.w. yang berikut;

Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud)

Pemahaman (majoriti) masyarakat kita, ia bermaksud kita seharusnya mula mengajar anak-anak bersolat pada umur 7 tahun.

Ustaz Roslan menegaskan, hadis ini bermaksud apabila anak itu berumur 7 tahun, dia sudah mula bersolat dengan baik (atau sempurna), dan masa untuk mengajar itu adalah sebelum itu, iaitu bermula pada umur 4 tahun.

Mendengar ulasan tersebut, saya terfikir – ada benarnya apa yang dikata. Jika seseorang anak itu diajar bersolat sejak umur 4 tahun secara konsisten, apabila dia berumur 7 tahun, (insya Allah) dia akan solat tanpa rasa dipaksa, kerana sudah menjadi satu habit.

Sesuai dengan pepatah ‘Melentur buluh biar daripada rebungnya’. Umur 4 tahun itu masih mudah lagi dibentuk, 7 tahun itu mungkin sudah lewat untuk memupuk satu tabiat kerana pemikiran anak pada umur itu sudah bercampur-campur dengan pengaruh luar dan menjadi ‘keras’ untuk menerima input.

Justeru, satu point yang boleh kita fikirkan.

Jadual Waktu Berbuka & Imsak Bagi Tahun 2014M / 1435H


1434 2013 ScheduleRamadhan Al-Mubarak kini tiba untuk kita menjalankan Rukun Islam iaitu ibadat puasa di samping melaksanakan ibadah-ibadah lain yang menjanjikan pahala dan ganjaran berlipat ganda. Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup nikmat Ramadhan Al-Mubarak dalam keadaan sihat sejahtera.

Saya ingin berkongsi dengan para pembaca berkenaan Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak bagi negeri-negeri seluruh Malaysia. Jadual ini bersumberkan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dalam artikel ini saya memudahkan para pembaca dengan menyedia pautan terus (direct link) kepada jadual-jadual yang berkenaan.

Semua jadual adalah dalam format PDF. Untuk menyimpan jadual tersebut ke dalam PC, klik kanan dan pilih Save Link As. Jika anda mahu melihat terus dalam pelayar web PC / Telefon Pintar / Tablet, sila klik pautan yang berkenaan dan Adobe Reader (atau perisian PDF anda) akan memaparkan jadual yang berkenaan, dan anda boleh memilih untuk menyimpan atau mencetak.

Jadual disusun mengikut negeri, dan setiap negeri tertakluk pada zon (jika ada).


CRB WPA Banner

KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

LABUAN

CRB JHR Banner

JOHOR : SEMUA ZON

ZON 1 : PULAU AUR DAN PULAU PEMANGGIL

ZON 2 : DAERAH JOHOR BAHRU, KULAI JAYA, KOTA TINGGI, MERSING DAN PULAU-PULAU BERHAMPIRAN

ZON 3 : DAERAH PONTIAN DAN KLUANG

ZON 4 : DAERAH BATU PAHAT, MUAR, LEDANG, SEGAMAT DAN GEMAS JOHOR

CRB KDH Banner

KEDAH : SEMUA ZON

ZON 1 : DAERAH KOTA SETAR, KUBANG PASU DAN POKOK SENA

ZON 2 : DAERAH PENDANG, KUALA MUDA DAN YAN

ZON 3 : DAERAH PADANG TERAP, SIK

ZON 4 : DAERAH BALING

ZON 5 : DAERAH KULIM DAN BANDAR BAHARU

ZON 6 : DAERAH LANGKAWI

ZON 7 : PUNCAK GUNUNG JERAI

CRB KTN Banner

KELANTAN : SEMUA ZON

ZON 1 : JAJAHAN KOTA BHARU, BACHOK, PASIR PUTEH, TUMPAT, PASIR MAS, TANAH MERAH, MACHANG, KUALA KRAI DAN GUA MUSANG (DAERAH CHIKU)

ZON 2 : JAJAHAN JELI, GUA MUSANG (DAERAH GALAS DAN BERTAM) DAN JAJAHAN KECIL LOJING

CRB MLK Banner

SELURUH NEGERI MELAKA

CRB NG9 Banner

NEGRI SEMBILAN : SEMUA ZON

ZON 1 : JEMPOL DAN TAMPIN

ZON 2 : SEREMBAN, REMBAU, PORT DICKSON, KUALA PILAH DAN JELEBU

CRB PHG Banner

PAHANG : SEMUA ZON

ZON 1 : PULAU TIOMAN

ZON 2 : KUANTAN, PEKAN, ROMPIN DAN MUADZAM SHAH

ZON 3 : TEMERLOH, CHENOR, MARAN, JERANTUT DAN BERA

ZON 4 : RAUB, BENTONG DAN LIPIS

ZON 5 : GENTING SEMPAH, JANDA BAIK DAN BUKIT TINGGI

ZON 6 : CAMERON HIGHLAND, BUKIT FRASER, GENTING HIGHLAND

CRB PRK Banner

PERAK : SEMUA ZON

ZON 1 : TAPAH, SLIM RIVER DAN TANJUNG MALIM

ZON 2 : IPOH, BATU GAJAH, KAMPAR, SG. SIPUT DAN KUALA KANGSAR

ZON 3 : PENGKALAN HULU, GRIK DAN LENGGONG

ZON 4 : TEMENGOR DAN BELUM

ZON 5 : TELUK INTAN, BAGAN DATOH, KG. GAJAH, SRI ISKANDAR, BERUAS, PARIT, LUMUT, SITIAWAN DAN PULAU PANGKOR.

ZON 6 : SELAMA, TAIPING, BAGAN SERAI DAN PARIT BUNTAR

ZON 7 : BUKIT LARUT

CRB PLS Banner

SELURUH NEGERI PERLIS

CRB PNG Banner

SELURUH NEGERI PULAU PINANG

CRB SBH Banner

SABAH : SEMUA ZON

ZON 1 : BAHAGIAN SANDAKAN (TIMUR),TOMANGGONG, SUKAU, BANDAR SANDAKAN,SAMAWANG, KOTA KINABATANGAN DAN BUKIT GARAM

ZON 2 : BAHAGIAN SANDAKAN (BARAT) TERUSAN, BELURAN, KUAMUT, JAMBONGAN, PAITAN, TELUPID, TONGOD DAN PINANGAH

ZON 3 : BAHAGIAN TAWAU (TIMUR) TAMBISAN, SAHABAT, TUNGKU, SEMPORNA, SILABUKAN,LAHAD DATU DAN KUNA

ZON 4 : BAHAGIAN TAWAU (BARAT) BALUNG, BANDAR TAWAU, PULAU SEBATIK, MEROTAI DAN KALABAKAN

ZON 5 : (BAHAGIAN KUDAT) PULAU BANGI, PITAS, KOTA MARUDU, MATUNGGONG DAN KUDAT

ZON 6 : GUNUNG KINABALU ( KETINGGIAN 4,101 M)

ZON 7 : (BAHAGIAN PANTAI BARAT) RANAU, KOTA BELUD, TUARAN, PENAMPANG, KOTA KINABALU, PUTATAN DAN PAPAR

ZON 8 : BAHAGIAN PEDALAMAN (ATAS) PENSIANGAN, NABAWAN, SOOK, SEPULUT, TAMBUNAN, DAN KENINGAU

ZON 9 : BAHAGIAN PEDALAMAN (BAWAH) TENOM, LONG PA SIA, MEMBAKUT, BEAUFORT, KUALA PENYU, WESTON, MENUMBOK DAN SIPITANG

CRB SWK Banner

SARAWAK : SEMUA ZON

ZON KHAS : KG.ULU MERAPOK, KG.SUNGAI MERAPOK, KG.MANCHU, KG.BUKIT PUAN, KG.TANAH SIBAGOL, KG.UNDOP, KG.SASA, KG. BUKIT MANANG, KG.MERAMBAI, KG.LIMPAKI, MERAPOK, KG.BANGKATAN, KG.LADANG LALANG, KG.LEMPAKI TENGAH, KG.LEMPAKI ASAL, KG.LANGUBAN DAN KG.PATARIKAN

ZON 1 : LIMBANG, SUNDAR, TRUSAN DAN LAWAS

ZON 2 : NIAH, BEKENU, MIRI, SIBUTI, DAN MARUDI

ZON 3 : TATAU, SUAI, BELAGA, PANDAN, SEBAUH DAN BINTULU

ZON 4 : IGAN, OYA, BALINGIAN, MUKAH, DALAT, SIBU, KANOWIT, KAPIT DAN SONG

ZON 5 : TANJUNG MANIS, BELAWAI, MATU, DARO, SARIKEI, JULAU, BINTANGOR DAN RAJANG

ZON 6 : KABONG, LINGGA, SRI AMAN, ENGKELILI, LUBOK ANTU, BETONG, SPAOH, PUSA, SARATOK, ROBAN DAN DEBAK

ZON 7 : SAMARAHAN, SIMUNJAN, SERIAN, SEBUYAU DAN MELUDAM

ZON 8 : KUCHING, LUNDU, BAU DAN SEMATAN

CRB SGR Banner

SELANGOR : SEMUA ZON

ZON 1 : DAERAH GOMBAK, PETALING/SHAH ALAM, HULU SELANGOR, HULU LANGAT DAN SEPANG

ZON 2 : DAERAH KLANG, KUALA LANGAT,KUALA SELANGOR DAN SABAK BERNAM

CRB TRG Banner

TERENGGANU : SEMUA ZON

ZON 1 : KUALA TERENGGANU DAN MARANG

ZON 2 : BESUT DAN SETIU

ZON 3 : HULU TERENGGANU

ZON 4 : KEMAMAN DAN DUNGUN


Jika anda menghadapi masalah atau menemui kesilapan pada mana-mana pautan di atas, maklumkan pada saya di ruangan komen.

Sumber asal (laman web JAKIM) boleh dirujuk di sini.

Perutusan AidilAdha 1434


20130815 Kuala Ibai TRG

Assalamualaikum w.b.t. kepada seluruh rakan dan kerabat di mana sahaja berada. Semoga kalian berada dalam lindungan Allah S.W.T.

Hari Raya Aidiladha singgah lagi ke hadrat diri. Hari Raya Aidiladha itu begitu sinonim dengan pengorbanan. Hari Raya Aidiladha mungkin kurang impaknya jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri, tetapi pengertiannya adalah amat besar dan signifikan.

Jika Hari Raya Aidilfitri kita sambut secara besar-besaran sebagai tanda kemenangan sebulan berpuasa Ramadhan, maka Hari Raya Aidiladha semestinya perlu diletakkan pada taraf yang lebih tinggi kerana ia membawa simbol kepatuhan agung kepada Allah S.W.T. dan satu manifestasi rasa kesyukuran yang paling tinggi. Kita masih belum mampu untuk melahirkan kepatuhan agung dan kesyukuran tertinggi kepada Allah S.W.T. kerana ketidaksempurnaan diri berbanding insan-insan yang diberi keistimewaan dan ketinggian seperti para Nabi, Rasul, Wali dan seumpamanya.

Kepatuhan agung itu merujuk kepada sejarah Nabi Ibrahim A.S. yang telah diperintahkan untuk menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail A.S. yang ketika itu merupakan satu-satunya zuriat Baginda (sebelum lahirnya Nabi Ishak A.S.). Kepatuhan tanpa bantahan dan kesabaran kedua-dua insan agung dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. ini telah dilakarkan dalam sejarah dan diabadikan melalui ibadah Haji dan korban yang kita sambut setiap tahun. Setiap ritual ibadah Haji (dan umrah) menggambarkan sejarah kepatuhan dan kesabaran agung ini.

Pengorbanan itu amat besar makna dan nilainya. Di saat kanak-kanak mengaitkan pengorbanan itu dengan ritual sembelihan yang mereka lihat di surau dan masjid, kita yang telah dewasa ini sudah pasti telah merasai erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas dan meliputi aspek fizikal, emosi dan juga rohani. Saya pasti setiap daripada kita telah melalui ‘pengorbanan’ ini yang telah menguji kesabaran, emosi dan kekuatan diri.

Mungkin kita telah berkorban harta. Mungkin juga kita telah berkorban masa dan tenaga. Mungkin juga kita telah mengorbankan ego dan perasaan kita. Walau apa jua aspek pengorbanan yang telah atau bakal lalui, asasnya ia membawa erti ‘melepaskan sesuatu kepentingan, keinginan atau kesayangan demi satu matlamat atau hikmah yang lebih besar’. Maka pengorbanan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng tetapi perlu dihargai dengan sebenar-benar penghargaan.

Atas dasar itu, maka erti pengorbanan itu amatlah besar dan agung. Pengorbanan menuntut kita melepaskan dan mungkin, meninggalkan, demi kebaikan, kebahagiaan dan kerukunan masa hadapan. Maka hargailah setiap satu pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh keluarga, rakan dan insan-insan yang menyayangi kita. Jika kita tidak mampu membalas pengorbanan tersebut, sedaya mampu kita, ingatlah diri mereka dan doakan diri mereka.

SALAM AIDILADHA. Salam pengorbanan. Semoga kita semua menjadi insan yang lebih bersyukur dan menghargai limpah nikmat hidup ini. Doa saya untuk semua, moga kita sentiasa kekal dalam kasih dan sayangNya. Amin!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Tiada Tuhan Melainkan Allah, Dan KepadaNya Segala Puji-Pujian!

Salam hormat dan terima kasih.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 15 Oktober 2013

Satu Janji : Coretan Di Penghujung Ramadhan


A Promise

Pada 30 Julai 2013 (21 Ramadhan 1434), saya berkesempatan menghadiri satu majlis ilmu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diadakan di Sime Darby Convention Centre. Majlis ilmu tersebut berkonsepkan syarahan, dan perkongsian yang disampaikan merupakan satu perkara yang amat serius – melibatkan akidah orang Islam yang diancam oleh anasir-anasir luar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Alhamdulillah, syarahan yang disampaikan oleh seorang tokoh korporat ini telah berjaya membuka mata saya (dan hadirin yang mendengar), serta mengajak saya berfikir dengan mendalam berkenaan tujuan hidup kita ini, serta adakah jaminan yang pasti bahawa kita akan selamat daripada anasir-anasir luar yang secara berterusan mengasak kita tanpa rasa jemu.

Di penghujung Ramadhan ini, saya terfikir sejenak.

Secara umum kita lazimnya menganggap bahawa apabila kita telah dilahirkan dalam situasi yang favorable, kita akan selamat. Contohnya, anak orang kaya mungkin menganggap mereka bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang berada, dan minda mereka secara automatik meletakkan diri mereka di dalam zon selesa (comfort zone). Orang yang berada di dalam zon selesa ini dikatakan mudah untuk ditundukkan kerana mereka (lazimnya) tiada pendirian yang tetap, gemar mengikut trend, dan mudah mengikut telunjuk kerana tidak merasa keperitan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Maka, jika kita dilahirkan sebagai orang Melayu dan beragama Islam, ia bukan satu jaminan bahawa kita akan selamat dan teguh. Peringatan ini disampaikan dalam syarahan tersebut dan beserta bukti-bukti visual yang ditunjukkan, ancaman yang dihadapi di negara kita bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Alhamdulillah, reaksi yang ditunjukkan oleh hadirin serta komitmen YADIM untuk ‘berjuang habis-habisan’ menentang anasir-anasir ini diharap memberi kesan positif.

Pulang ke rumah, minda saya masih berfikir berkenaan isi-isi yang disampaikan dalam syarahan tersebut. Syarahan tersebut berfokus kepada ancaman kepada umat Islam di Malaysia, tetapi saya memikirkannya daripada perspektif yang berbeza.

Apakah ada Jaminan?

Apabila kita berjanji, selalunya kita akan mengikatnya dengan jaminan supaya janji itu kelihatan lebih berintegriti dan dipercayai. Semua orang boleh berjanji berkenaan pelbagai perkara, tetapi jaminan itulah yang mengikat kepercayaan dan hati pihak yang berjanji.

Guarantee. Dalam perjanjian pinjaman bank, ada jaminan. Dalam perkahwinan, ada jaminan. Semua aspek kehidupan ada jaminan.

Dalam Al-Quran, Allah S.W.T. juga memberi jaminan kepada hamba-hambaNya yang melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Pelbagai ayat-ayat Al-Quran boleh kita rujuk sebagai bukti, tetapi itu janji Allah S.W.T. yang semestinya ditepati dan dipercayai. Kita sebagai orang Islam percaya bahawa janji dan jaminan Allah S.W.T. adalah pasti dan benar.

Berbalik pada persoalan : apakah ada jaminan dalam hidup ini?

Ia merupakan satu soalan yang sukar untuk dijawab, kerana janji dan jaminan itu merupakan satu perkara yang amat-amat berat walaupun lahiriahnya mudah untuk dilafazkan. Itulah hakikat kehidupan, lebih mudah berkata daripada melaksana. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Realiti tak seindah fantasi.

Saya mengakui bukan semua janji itu dapat ditepati, kerana situasi, sebab dan faktor itu dapat mengubah kondisi perjanjian dan jaminan itu. Manusia itu merupakan makhluk yang vulnerable pada sifat dan sikapnya. Allah S.W.T. telah berfirman;

“Dan manusia mendoa untuk kejahatan sebagaimana ia mendoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.” (Al-Quran: Surah Al-Isra, ayat 11)

Manusia itu fitrahnya ‘tergesa-gesa’, bermaksud pendiriannya boleh berubah dan tidak tetap sehingga mati. Seseorang itu mungkin boleh mendabik dada bahawa dia berpendirian tetap, setia, tidak termakan pujukan dan seumpamanya, tetapi haruslah kita ingat bahawa hati kita bukanlah kita yang mengawalnya secara mutlak, tetapi tertakluk kepada Allah S.W.T. selaku pemegang hati-hati manusia dan Maha Perancang. Al-Quran mengesahkan;

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala  yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Quran: Surah An-Anfal, ayat 63)

Boleh dirumuskan di sini bahawa janji dan jaminan itu masih tertakluk kepada keizinan Allah S.W.T. untuk ia terlaksana. Kita lazim mendengar ungkapan ‘Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan kejayaan dan kegagalannya’. Ungkapan ini adalah benar dan selari dengan konsep takdir.

Justeru, tiada yang mustahil untuk berlaku jika diizinkan Allah S.W.T. dan tidak melanggar sunnatullah. Keajaiban itu berlaku atas izin Allah. Kemalangan itu juga berlaku atas izin Allah. Kenikmatan itu juga berlaku atas izin Allah. Apa juga yang berlaku atas diri merupakan siri takdir yang telah ditetapkan untuk kita lalui, atas dasar untuk kita belajar dan bersyukur atas segala kurniaNya. Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan menurut kemampuannya.

“Allah tidak memberati (menguji) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Perlukah Kita Berjanji?

Situasi kadang-kala memerlukan kita berjanji untuk mencetuskan keyakinan dan kepercayaan, walaupun bukan di bawah kuasa kita untuk memastikan perkara yang dijanjikan itu dapat ditunai dalam kadar 100%. Tetapi adakah manusia itu mampu menunggu sekiranya janji itu mengambil masa untuk ditunaikan?

Memetik semula ayat Al-Quran di perenggan sebelum ini, dengan emphasize pada ayat yang ditebalkan;

“Dan manusia mendoa untuk kejahatan sebagaimana ia mendoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.” (Al-Quran: Surah Al-Isra, ayat 11)

Tergesa-gesa juga membawa maksud kurang sabar. Apabila sesuatu perkara itu mengambil masa yang amat lama untuk terlaksana (atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan), kecenderungan untuk kita menjadi tidak sabar meningkat, dan dalam situasi ini kita akan mudah terpengaruh dengan desakan daripada pihak luar (ketiga?) untuk meninggalkan perkara tersebut.

Bukan semua orang memiliki daya kesabaran yang tinggi dan mantap, lebih-lebih lagi apabila situasi kelihatan begitu kabur dan tidak menentu. Tidak semua orang mampu beristiqamah dan yakin pada sesuatu usaha yang dilakukan apabila ditimpa halangan berat yang dilihat memusnahkan segala usaha secara total.

Tetapi kita sudah berjanji kepada Allah S.W.T. bahawa apa kita bertawakal (berserah) kepadaNya akan sebab dan akibat yang berlaku apabila kita telah berusaha. Dan kegagalan itu bukan bermaksud segala-galanya telah berakhir, kerana mungkin beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, ataupun mungkin kerana masanya belum lagi tiba untuk kita mendapatkan perkara tersebut.

Dalam soal ini, usaha harus digerakkan secara konsisten dan jika memerlukan kita menukar strategi, adalah molek untuk dilakukan. Gerakan yang konsisten, bersandar dengan keyakinan kepada Allah S.W.T. Beberapa pepatah Inggeris ada menyebut;

“You may have lost the battle alone, but we’re going to win the war together” – Keely Dennett.

“You may have to fight a battle more than once to win it” – Margaret Thatcher

“Losing a battle doesn’t mean you’ve lost the war…” – Unknown

Semua pepatah di atas membawa satu tema – konsistensi – yang akan mencorak kemenangan dalam jangka panjang. Analoginya seperti dalam peperangan : Jika kita mengalah dalam kempen perang yang pertama, maka kempen-kempen yang seterusnya hanyalah sia-sia dan membazir sumber, selain mencalarkan imej.

Walau bagaimanapun, jika segala daya usaha telah dilakukan tetapi hasilnya tidak memuaskan atau kegagalan, mungkin ada hikmahnya Allah S.W.T. tidak mengizinkan perkara itu berlaku walaupun kita amat-amat-amat (di-emphasize-kan) menginginkannya. Ayat Al-Quran ini dengan jelas dan cantik menerangkannya;

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Berjanjilah, berusahalah, beristiqamahlah, dan bertawakal kepada Allah. Semoga kita istiqamah di penghujung Ramadhan ini, Insya Allah.

* * * * * * *

Artikel ini memetik sedikit sumber daripada laman berikut : Rujukan 1 | Rujukan 2 | Rujukan 3

Ramadhan : Sepertiga Menghampiri Pengakhiran


Approaching The End

Ramadhan sudah hampir menemui penamatnya, beberapa hari lagi kita akan memasuki fasa 10 malam terakhir. Masa bergerak dengan amat pantas dan seolah-olah baru beberapa hari yang lepas kita memulakan ibadah berpuasa. Dua per tiga daripada sebulan sudah dilalui, dan perasaan kita mungkin bercampur baur antara keriangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga kesedihan kerana Ramadhan akan pergi sekali lagi.

Keunikan Ramadhan bukan sahaja kerana ibadah puasanya, atau kemeriahan Tarawih di masjid/surau, atau kelazatan makanan dan kuih-muih di bazar-bazar di seluruh pelusuk bandar dan desa. Tetapi Ramadhan membawa satu semangat yang berbeza – ketenangan hati dan rasa rendah diri (tawadduk) yang amat ketara berbanding bulan-bulan yang lain. Tiada beza jika ingin dihitung berkenaan rutin harian dan kesibukan kerja-kerja serta tanggungjawab di bulan Ramadhan berbanding bulan biasa, namun seolah-olah kita tidak begitu rasa tertekan dengan kerja dan tanggungjawab walaupun bertimbun-timbun. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai berkat berpuasa dan Ramadhan itu sendiri. Kita dapat merasainya, walau tidak tampak.

Ramadhan merapatkan ukhwah di antara kita. Berbuka puasa bersama keluarga, rakan taulan dan insan tersayang, semangatnya lebih terasa dan lebih istimewa, lebih manis kerana kita berkongsi nikmat rezeki itu bersama-sama. Malah, ‘dating’ berbuka puasa bersama insan tersayang juga lebih bermakna, dan menguatkan ikatan cinta itu atas dasar kita bersama berkongsi rezeki dan mengajak pasangan untuk melaksanakan ibadah (seperti bertarawih di masjid) dan berdoa agar dikukuhkan ikatan. Doa di bulan Ramadhan ini lebih mustajab, maka jangan disia-siakan peluang ini untuk berdoa kepada Allah S.W.T. agar dipelihara cinta kita.

Kini hanya tinggal sepertiga sahaja lagi. Kita sudah menghampiri pengakhiran, around the corner. Semangat Ramadhan sedikit sebanyak telah ditenggelamkan dengan semangat Aidilfitri. Jualan sudah mula ligat, kuih raya sudah mula hangat, dan lagu raya mula menyengat. Tidak salah untuk kita mengalu-alukan hari kemenangan yang bakal tiba, tetapi kesempatan untuk kita merebut keberkatan Ramadhan ini tidak harus dipersia-siakan.

Tidak bermaksud keberkatan Ramadhan itu hanya boleh direbut di masjid atau surau, dan ganjaran berlipat ganda itu boleh diraih dengan menaja majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim atau miskin. Keberkatan dan ganjaran itu boleh direbut ketika kita di rumah, ketika berseorangan, ketika kita duduk berfikir dan bermuhasabah diri. Sebelum tidur kita berdoa, semasa bersahur kita memohon, kerana pada setiap waktu di bulan Ramadhan itu telah dijanjikan keberkatan dan kemujaraban dengan izin Allah S.W.T.

Lailatul Qadr, jika dizinkan, mungkin akan kita ketemu. Ganjaran 83 tahun ibadah.

Ramadhan bakal berakhir. Dalam menanti hari kemenangan, harus kita berfikir, adakah kita pasti tahun hadapan kita bakal ketemu lagi dengan bulan yang mulia ini?

Moga Allah S.W.T. izinkan, Insya Allah. Kerana kita masih belum sempurna dalam menuai pahala dan tanggungjawab kita masih banyak tidak terlaksana.