Stereotaip Orang Melayu


1. Masyarakat kita (Melayu?) dah terbiasa dengan stereotyping (generalization). Orang Melaka dilabel cakap kasar, orang Johor dikatakan sombong, dan seumpamanya.

2. Malangnya ‘label’ ini walaupun kurang tepat, diperturunkan dari satu generasi ke generasi dan diterima bulat-bulat. Ini menyebabkan ia menjadi satu kepercayaan walaupun kita sendiri tak pernah alami atau jumpa orang/keadaan itu.

3. Kita pun mengulang sebut benda yang sama pada orang lain, dan menyebabkan orang lain pun terpengaruh dengan label yang kurang atau tidak tepat tersebut. Lama-kelamaan, ia menjadi satu ‘dogma’ yang susah untuk dibuang. Anda percaya orang Melaka kasar?

4. Orang putih mengatakan, the proof of pudding is by eating it. Anda percaya orang Melaka itu kasar dan suka cakap lepas, tapi anda pernah berkawan dengan orang Melaka?

5. Katakan anda ada kawan orang Melaka, dan kawan anda tu pun memang kasar, cakap lepas, suka sindir anda. OK, tak salah untuk anda label orang Melaka itu kasar, tetapi hanya ‘applicable’ pada dia, dan bukan pada semua orang Melaka.

6. Sikap negatif itu bermula dari individu, dan pada individu itu sendiri. Cuma dia ada pilihan untuk mempengaruhi orang lain jika dia mahu. Jadi untuk melabelkan semua orang Melaka itu kasar kerana kawan anda orang Melaka memang ‘lahabau’ dan ‘hawau’, itu kurang tepat.

7. Justeru, kita perlu kurangkan (atau elok lagi, hentikan) budaya stereotyping dan generalization tak bertempat ini. Jika anda mendengar sesuatu fakta yang kelihatan negatif, anda perlu semak sendiri sama ada sahih atau tidak, bukan terus melompat kepada kesimpulan.

8. Berkenaan Kelantan ini, saya sendiri pernah ada stereotyping yang sama – orang Kelantan ini nakal, gedik, suka berpuak, pandang rendah pada orang lain, perasan bagus, dan lain-lain.

9. Pada masa tu, saya ‘diajar’ dengan ‘kepercayaan’ tersebut dan kalau boleh, elakkan dari puak-puak ini. Sampai satu tahap, bila nampak orang Kelantan ni, saya terus berfikiran negatif.

10. Kepercayaan saya berubah bila saya sendiri berkawan dengan mereka ini. Mula-mula memang tak mahu kawan dengan geng-geng Kelantan (sebab kepercayaan lama masih kuat) namun bila bergaul dengan mereka, saya mula rasa seronok dan teruja nak tahu budaya mereka.

11. Orang Kelantan pertama yang menjadi kawan baik saya ialah rakan sebilik saya di Matrikulasi UIA. Beliau adalah seorang yang hebat dan rendah diri, jauh berbeza dengan ‘stereotyping’ tentang orang Kelantan yang ‘diajar’ pada saya.

12. Seiring masa, dan mungkin takdir juga, saya ditemukan dengan ramai orang dari Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain. Mungkin juga tuah saya, mereka-mereka ini amat baik dan berbeza 180 darjah daripada apa yang saya ‘faham’ tentang diri mereka. Sehinggalah zaman bekerja sekarang.

13. Sehinggakan, saya teruja untuk belajar dialek dan budaya mereka. Ia mencetuskan ‘curiousity’ dalam diri. Antara budaya yang saya rasa unik adalah mereka amat memuliakan tetamu sehingga kita sendiri rasa segan dan seolah-olah sebahagian daripada keluarga mereka.

14. Tahun 2013, saya berpeluang berhari raya di Kelantan di Kota Bharu, mengunjungi guru kelas saya. Beliau bersungguh-sungguh mengajak saya ke rumah beliau ketika itu dan ketika sampai, saya betul-betul dijamu sehingga kenyang, dan beliau sedia memudahkan urusan saya apabila di Kota Bharu.

15. Pokoknya di sini, apabila saya sendiri telah mengalami pengalaman ‘first hand’, ia mengubah kepercayaan saya 100% terhadap sesuatu. Dalam kes ini, stereotyping saya kepada orang Kelantan sudah berubah. Dan saya juga belajar untuk tidak percaya kepada sesuatu perkara melainkan saya telah mengalami atau melihat sendiri perkara tersebut.

16. Kesimpulannya, kita janganlah menjatuhkan hukum atau menerima bulat-bulat sesuatu ‘stereotyping’ itu tanpa mengkaji atau mengalami sendiri. Kita kena berfikiran terbuka dan menerima dengan mengkaji, bukan menerima dengan menelan.

17. Anda jangan benci budu kerana negerinya, tetapi tidak salah kalau anda benci budu kerana rasanya. Faham maksud saya? Jangan di spin point nombor 17 ini.

18. Pendapat di atas juga terguna pakai untuk 12 negeri yang lain – Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan.

19. Post ini ditulis sebagai respon untuk artikel daripada Page FB IIUM Confession – Hinakah Kelantan.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya.

Hormat


Sedikit secubit perkongsian sebelum lelap mata dan bangkit esoknya;

  1. Manusia adalah makhluk emosi dan rasional. Orang perempuan lebih dominan pada emosi berbanding rasional manakala lelaki adalah sebaliknya.
  2. Dalam hidup kita, hormat adalah perkara utama. Tiada guna kita berpangkat besar, berharta berjuta atau pandai berjela tetapi tiada perasaan hormat kepada orang yang berada di bawah kita. Berada di atas bukan ‘lesen’ untuk menghina-dina orang di bawah.
  3. Sekali anda kurang ajar pada seseorang, anda telah merentap emosi dan rasa hormat orang itu kepada anda. Jika anda merendah diri dan beradab, anda mencetus rasa hormat orang lain pada anda dan akan memudahkan sesulit-sulit urusan.
  4. Kuncinya adalah ’emosi’. Hormat itu bermaksud anda berbaik dengan emosi dan ego seseorang. Sebagaimana saya sebut di point (1), manusia adalah makhluk emosi. Santunilah emosi seseorang dengan rasional dan bukan berlebihan.
  5. Kepada lelaki terutamanya, peka lah pada emosi orang perempuan. Mereka mudah terasa hati dan jatuh hati jika anda bijak menyantuni emosi mereka. Tetapi janganlah mempermainkan emosi mereka.
  6. Hati itu emosi. Minda itu rasional. Seimbangkan keduanya dan anda akan membina ego positif dan memancar aura kehormatan kepada orang lain.

Diolah semula daripada ‘post’ Facebook ini.

Tujuh (7) Penyesalan


20170302-regret-g

Satu nasihat untuk diri saya dan dikongsi dengan rakan-rakan semua.

1. Tidak Merasa Gembira

Situasi luaran yang berlaku sedikit sebanyak akan mempengaruhi emosi kita tetapi kita yang mengawal proses dan respon atas situasi tersebut. Terima apa yang berlaku, rasionalkan emosi dan ‘move on’.

Kita tidak boleh mengubah masa lampau tetapi masa depan bergantung kepada tindakan kita sekarang.

2. Tidak Meluahkan Perasaan Sebenar

Ini perkara yang berlaku kepada hampir semua orang (termasuk saya) – Kita takut untuk meluahkan rasa cinta kepada seseorang kerana risau ia tidak berbalas. Kita berbohong atau ‘cover up’ untuk tidak mahu melukakan perasaan orang lain. Akhirnya ia tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa.

Jadi luahkanlah, sebutkan anda cintakan dia. Jujur pada diri dan anda akan tidur lena di malam hari.

3. Tiada Impian / Tidak Mengikut Impian

Kita semua ada impian dan cita-cita. Ia akan berubah seiring masa tetapi ia masih lagi satu perkara yang kita amat inginkan dan diri kita yang menentukan sama ada mahu mencapainya atau tidak. Tidak kira berapa lama atau sesusah mana cara untuk mendapatkannya, kita jangan putus asa.

Walaupun mungkin pada akhirnya kita gagal mendapatkannya, pengalaman sepanjang proses itu adalah amat berharga daripada duduk diam tidak berbuat apa-apa.

4. Terlalu Kuat Bekerja

Duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan duit. Itu tidak dinafikan – kita bekerja untuk dapat duit. Memang bahagia jika kita memiliki rumah yang selesa, kereta mewah, percutian hebat tetapi semua itu tidak bermakna jika kita tiada sesiapa untuk berkongsi semua harta benda itu.

Semua itu tidak bermakna juga sekira kerja kuat anda itu mengganggu kesihatan fizikal dan mental dan menyebabkan anda mati lebih cepat dan anda tiada keluarga dan kawan-kawan yang boleh memberi ketenangan emosi.

5. Terlalu Risau

Kita semua ada masalah dalam hidup, tetapi tidak bijak kita terlalu risau atas situasi yang kita tiada daya dan kuasa untuk mengawalnya. Jika anda membiarkan situasi luaran ini mengganggu hidup anda, anda tidak akan rasa ‘bahagia’ dalam hidup.

Hadapi semuanya macam biasa dan sekelip mata dan ketika, anda akan rasa tiada apa yang perlu dirisaukan sangat.

6. Terlalu Memikirkan Persepsi Orang Lain / Terlalu Menjaga Hati Orang Lain

Salah satu ‘kebebasan’ adalah tidak terlalu memikirkan persepsi orang lain kepada diri kita. Masyarakat sememangnya suka menilai (very judgemental) pada aspek negatif – kita semestinya biasa mendengar tanggapan negatif berkenaan diri anda.

Jika anda terlalu memikirkan hal ini dan berasa risau dan/atau terlalu cuba menjaga hati orang lain, ia akan menyebabkan diri kita menjadi tertekan dan tidak selamat. Jadilah diri sendiri dan buatlah apa yang anda sukai – jika ada orang lain yang memberi komen negatif, abaikan kerana dia yang tidak suka dan selesa, bukannya anda.

7. Mensia-siakan Kehidupan

Ada kalanya di satu detik dalam kehidupan, kita tidak ambil serius atau mensia-siakan ruang dan peluang dalam kehidupan, tetapi setiap hari itu sebenarnya satu lembaran baharu dalam hidup untuk kita cari peluang dan mencorakkannya, dan esok itu belum pasti tiba.

Jadi hargai setiap detik dan ruang yang kita terima setiap hari – senyuman daripada seorang kawan, pemandangan indah, makanan yang kita rasa, lagu yang kita dengar, bau yang kita suka. Semua ini adalah ‘nikmat’ yang tidak semua orang dapat merasainya. Bersyukurlah atas segala yang kita terima.

Hanya kita yang mampu mengubah hidup kita dan mencetuskan kegembiraan. Ia satu proses yang memakan masa dan tidak mudah, tetapi semua usaha gigih itu berbaloi sekiranya anda melihat di akhirnya, anda bahagia dan tiada yang akan dikesalkan di kemudian hari.

Diterjemah dan disusun semula daripada artikel asal ‘7 Regrets To Avoid Later In Life

Bilakah Waktu Terbaik Mula Belajar Bersolat?


20170210-tazkirah-01

Saudara dan saudari sekalian,

Hari ini (Jumaat – 10 Februari 2017) saya berpeluang mendengar tazkirah Jumaat di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra yang disampaikan oleh Ustaz Roslan Mohamed. Beliau mengupas secara ringkas, tafsir Surah Al-Mukminun yang menyentuh ciri-ciri orang Mukmin yang berjaya. Saya tertarik dengan ulasan beliau berkenaan solat, yang disebut dalam ayat yang ke-2;

(Terjemahan): Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

Ustaz Roslan menarik perhatian pendengar dengan pertanyaan – umur berapa kita ajar anak bersolat?

Komen beliau, masyarakat kita memahami hadis Nabi s.a.w. yang berikut;

Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud)

Pemahaman (majoriti) masyarakat kita, ia bermaksud kita seharusnya mula mengajar anak-anak bersolat pada umur 7 tahun.

Ustaz Roslan menegaskan, hadis ini bermaksud apabila anak itu berumur 7 tahun, dia sudah mula bersolat dengan baik (atau sempurna), dan masa untuk mengajar itu adalah sebelum itu, iaitu bermula pada umur 4 tahun.

Mendengar ulasan tersebut, saya terfikir – ada benarnya apa yang dikata. Jika seseorang anak itu diajar bersolat sejak umur 4 tahun secara konsisten, apabila dia berumur 7 tahun, (insya Allah) dia akan solat tanpa rasa dipaksa, kerana sudah menjadi satu habit.

Sesuai dengan pepatah ‘Melentur buluh biar daripada rebungnya’. Umur 4 tahun itu masih mudah lagi dibentuk, 7 tahun itu mungkin sudah lewat untuk memupuk satu tabiat kerana pemikiran anak pada umur itu sudah bercampur-campur dengan pengaruh luar dan menjadi ‘keras’ untuk menerima input.

Justeru, satu point yang boleh kita fikirkan.

Bahagia


20170203-bahagia

Saudara dan saudari sekalian,

Apakah pemahaman kalian tentang bahagia? Bahagia itu diertikan sebagai gembira, seronok, riang, sayang, cinta dan seumpamanya. Bahagia juga boleh diertikan sebagai ‘sejahtera’. Itu ertinya dalam sejagat (universal). Bahagia itu hadir apabila kita bercakap atau melakukan sesuatu. Ia dizahirkan apabila dirasakan dalam batin. Bahasa Inggerisnya – “Shown from Internal Feeling/Guts”.

Setiap daripada kita ada cara masing-masing untuk menunjukkan diri kita dalam keadaan bahagia. Melalui ucapan, perbuatan, malah niat dan doa. Perasaan bahagia itu boleh hadir apabila kita seronok melakukan sesuatu, atau melaksanakan kebaktian kepada orang lain atau organisasi, atau membuat satu ’cause’ atau kerja amal. Semangat positif yang ditunjukkan oleh diri kita itu adalah maklum balas rasa bahagia.

Membantu orang lain menemui kebahagiaan mereka adalah satu kebahagiaan untuk diri saya, walaupun saya akui, melaksanakannya kadang-kala mengganggu emosi diri. Mungkin nampak bodoh di mata orang lain kerana mengapa saya begitu mendahulukan kebahagiaan orang lain dan pada masa yang sama, menafikan hak kebahagiaan diri sendiri?

Saya menganggapnya sebagai ‘pengorbanan’ – tujuan utama saya adalah untuk melihat insan yang saya sayang dan kagumi hidup bahagia dan menikmati kehidupan dengan sepenuhnya.

Setakat ini saya ‘bahagia’ berseorangan dan melakukan sesuatu secara bersendiri. Saya latih diri untuk berdikari, peka dan mampu membuat keputusan kritikal tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.