Persepsi Merentas Generasi – Menghargai & Menyayangi


Perception Meaning
Definisi ‘Persepsi’ – dalam Bahasa Inggeris.

Persepsi – Satu perkataan yang lazim didengari. Persepsi secara umumnya bermaksud pemahaman peribadi atas seseorang atau sesuatu perkara/peristiwa. Maka, persepsi adalah berbeza bagi setiap orang walaupun melihat pada perkara atau individu yang serupa. Perbezaan persepsi ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana setiap daripada kita memiliki set kepercayaan dan sudut pandangan yang berbeza dan dicorakkan oleh cara didikan dan pendedahan kepada persekitaran. Kita mungkin melihat sesuatu itu sebagai mengjengkelkan tetapi orang lain melihatnya sebagai sesuatu yang mencetuskan keterujaan. Itulah persepsi.

Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi dengan anda, berkenaan persepsi merentas generasi.

Satu generasi lazimnya ditakrifkan sebagai tempoh di antara 10 hingga 20 tahun. Tempoh ini bukanlah satu sela masa yang singkat dan sepanjang tempoh ini, perubahan daripada sudut budaya, cara hidup, pemikiran dan teknologi pasti akan berlaku dalam satu-satu masyarakat itu. Maka, kita boleh membuat deduksi awal bahawa setiap generasi itu mempunyai persepsi dan pemikiran yang berbeza, atas dasar sosio-budaya dan sosio-ekonomi dari setiap generasi adalah berbeza.

Pakar psikologi dan pengamal pemasaran (marketing) faham akan perkara ini dan mereka telah mengkelaskan generasi-generasi ini kepada beberapa kategori. Kita biasa dengan akan istilah seperti ‘Baby Boomers’, ‘Generation X’, dan ‘Generation Y’. Setiap generasi ini lahir dalam tempoh di mana perkembangan sosio-budaya dan sosio-ekonomi yang berbeza, dan seterusnya mencorakkan persepsi mereka sama ada dalam cara membuat keputusan sehinggalah cara menguruskan rumahtangga/kumpulan.

Memahami Evolusi Generasi

Perbezaan Generasi X (kiri) dan Generasi Y (kanan). Generasi X lahir di era 60'an hingga awal 80'an, manakala Generasi Y lahir pada era 80'an dan 90'an.
Perbezaan Generasi X (kiri) dan Generasi Y (kanan). Generasi X lahir di era 60’an hingga awal 80’an, manakala Generasi Y lahir pada era 80’an dan 90’an.

Idea untuk menulis artikel ini datang selepas sesi perkongsian dan perbincangan saya bersama rakan sekerja daripada Akademi YBK, Encik Romdani dan Puan Norleza. Pada asalnya perbincangan menjurus kepada dilema keluarga miskin di luar bandar dan ia berterusan sehinggalah kepada persoalan berikut;

Apakah modul atau cara terbaik untuk membentuk sikap generasi muda miskin bandar yang lazimnya bersifat resistance (suka memberontak/membantah)?

Saya tertarik apabila rakan sekerja saya itu memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada penyelesaian praktikal dan modul yang berkesan untuk membentuk sikap generasi muda miskin bandar ini agar mengubah diri ke arah positif. Lebih-lebih lagi, berdasarkan pengalaman peribadi En. Romdani sendiri, beliau memberikan ‘statistik’ bahawa 9 daripada 10 orang lazimnya akan gagal walaupun diberi pelbagai inisiatif dan peluang untuk berubah, termasuklah motivasi.

Hanya seorang sahaja yang ‘berjaya’. Namun saya dimaklumkan yang ‘seorang’ ini juga goyah daripada sudut motivasi dalaman dan berkemungkinan untuk patah hati di tengah jalan dan kembali ke cara hidup lama. Kami cuba ‘merungkaikan’ apa sebenarnya kunci kepada cabaran ini, dan salah satunya adalah kekangan kasih sayang daripada ibu bapa – dan seterusnya membawa kepada persoalan berikut;

Adakah kanak-kanak di bandar kekurangan kasih sayang berbanding kanak-kanak di luar bandar, walaupun secara relatifnya, mereka mempunyai akses kepada kemudahan dan kondisi hidup yang lebih baik?

Saya memberikan argumen saya kepada mereka, dan argumen saya berkisar kepada persepsi merentas generasi di samping takrifan kasih sayang. Saya melihat setiap generasi itu mempunyai takrifan berkenaan persepsi kasih sayang terhadap anak-anak, di mana saya huraikan di bawah.

Menghargai dan Mengasihi – The Things We Lack Of

Biar saya mulakan dengan kenyataan di bawah ini;

Kita Tidak Diajar Untuk Menghargai, Kerana Kita Tidak Pernah Dihargai

Mungkin kedengaran agak ‘radikal’, tetapi berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, sebahagian besar daripada masyarakat Melayu tidak tahu konsep menghargai secara keseluruhannya (cohesive). Kekurangan penghargaan ini sebenarnya boleh membentuk persepsi dan sikap kita dalam melihat situasi dan dunia luar, di samping berpotensi melumpuhkan motivasi diri.

Biar kita kupas cabaran ini secara jujur dan saya mengajak para pembaca untuk berfikir dengan minda terbuka. Cuba kita lihat cara didikan ibu bapa kita (atau untuk lebih accuracy, cara didikan datuk dan nenek kita). Generasi mereka lebih menekankan framework disiplin dan kejayaan dalam pelajaran, dan meletakkan pembinaan sahsiah dalaman dan sosial di tempat kedua. Saya pasti kita biasa dengar ungkapan ini diucapkan oleh ibu bapa kita;

Belajar rajin-rajin, masuk universiti, lepas tu dapat kerja besar-besar, gaji besar, dan hidup senang…

dan variasi-variasi seumpamanya. Generasi ini (lahir pasca perang dunia ke-2 sehingga awal 80’an) mengutamakan didikan bersifat kekerasan dan kurang peka terhadap perkembangan emosi. Kekerasan ini tidak salah kerana niat adalah untuk melentur disiplin, tetapi apabila emosi tidak diambil kira, ia akan mewujudkan sifat memendam dan seterusnya mematahkan semangat untuk mencuba sesuatu yang positif.

Para pembaca yang dihormati,

Saya berani berkata demikian kerana saya mendengar sendiri cerita daripada ibu bapa dan kerabat saya, di samping rakan-rakan yang berpengalaman bersama generasi tersebut. Disiplin diimplementasikan dalam rangka yang amat ketat tanpa kompromi, dan konsep kritikan dan bertanya merupakan sesuatu yang dianggap ‘menjawab’ dan memberi konotasi ‘kurang ajar’.

Maka, generasi ibu bapa saya merupakan kumpulan yang sebahagian besarnya tidak akan dan tidak pernah mempersoalkan apa jua arahan ibu bapa (datuk nenek) walaupun mungkin tidak kena, kerana konsep ‘kurang ajar’ dan ‘menjawab’ merupakan doktrin tonggak dalam cara parenting pada zaman tersebut. Rasa tidak puas hati dan ‘pelik’ itu dipendamkan dan rasional arahan tersebut tidak pernah dipersoalkan walaupun mungkin ada yang meragukan.

Ibu bapa pada zaman tersebut lebih (maaf) tertutup mindanya dan berpegang pada konsep superiority yakni ‘aku lebih makan garam daripada kau’. Maka mereka kurang toleran pada kesilapan dan perkara-perkara yang memalukan dan jika berlaku, hukuman keras akan dilaksanakan tanpa menyiasat terlebih dahulu secara komprehensif. Bantahan dan penolakan adalah amat jarang berlaku dan diterima dengan ‘redha’ walaupun hati tidak rela. Maka anak-anak ini akan memendam perasaan mereka dan sehinggalah mereka berkeluarga, sedikit sebanyak cara parenting ini akan berterusan.

Para pembaca yang dihormati,

Berdasarkan kajian saya juga, konsep ‘menghargai’ merupakan sesuatu yang asing di kalangan ibu bapa pada generasi pasca perang dunia ke-2 sehingga awal 80’an. Sebagaimana yang saya huraikan sebelum ini, konsep keibubapaan pada zaman tersebut menekankan disiplin dan kesempurnaan secara total dan sedikit ruang yang diberikan untuk menghargai anak-anak. Malah, tidak keterlaluan juga saya sebutkan, suami pada zaman tersebut juga tidak menunjukkan penghargaan kepada isterinya secara emosi dan beranggapan bahawa penghargaan tersebut adalah sufficient dengan penyediaan nafkah zahir dan batin secukupnya.

Penghargaan ini mungkin pada segelintir pihak bukanlah isu besar, tetapi sebenarnya penghargaan ini yang memegang kunci emosi dan perasaan. Penghargaan boleh menukar seseorang daripada benci kepada sayang, suka kepada meluat dan seumpamanya. Alhamdulillah, generasi sekarang saya lihat lebih peka dalam menghargai berbanding generasi sebelumnya.

Apakah penghargaan tersebut perlu dengan jujukan material? Tidak perlu sebenarnya. Saya bagi contoh mudah;

Hari ini adalah hari lahir anda. Seharusnya anda merasa gembira dan menanti ucapan selamat. Namun hari tersebut, tiada seorang pun yang memberi ucap selamat. OK, mungkin rakan-rakan anda lupa, tidak mengapa. Tetapi ibu bapa anda juga tidak memberikan ucap mereka, dan hari tersebut adalah seperti hari-hari lain yang ordinary. Apa perasaan anda?

Secara peribadi saya telah bertanya kepada beberapa orang (dalam generasi ibu bapa saya – lahir 50’an – 70’an) dan sebahagian besar memaklumkan bahawa amat jarang (malah ada yang tidak pernah) ibu bapa mereka mengucapkan selamat hari lahir. Juga, jika mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran atau apa-apa pencapaian yang signifikan, penghargaan secara peribadi adalah amat jarang dilakukan.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana sebagaimana yang saya sebutkan tadi, cara parenting pada zaman itu adalah sedemikian rupa. Maka anak-anak ini menjadi indifferent pada sikap dan menjadi kaku dalam memberi penghargaan. Berdasarkan kajian saya juga, mereka sebenarnya bukan mahu penghargaan daripada sudut material, tetapi cukup sekadar ucapan yang menunjukkan kepekaan dan ingatan.

“A simple good morning (or motivational/support) message can change someone’s day from doom to full with glory, although he/she will face the hell of life on that day” – AUDI FALIQ IBRAHIM

Para pembaca yang dihormati,

Menghargai itu adalah asing, terasing. Maka anak-anak ini rasa terasing daripada ibubapa mereka, walaupun secara fizikalnya mereka mesra dan kelihatan tiada masalah. Bercakap berkenaan pengalaman, saya ada merasa sendiri cara parenting sebegini tetapi ibubapa saya tidak setegas datuk nenek saya dalam isu disiplin. Penghargaan masih diberikan walaupun tidak komprehensif, dan adik-adik saya amat bertuah kerana ibu bapa saya bersikap lebih lenient dan boleh mendengar pendapat dan kritikan.

Boleh dibuat inferens di sini bahawa kita perlu mencari jalan dalam membudayakan sikap ‘menghargai  dengan mengingati’ di kalangan generasi, terutamanya masyarakat Melayu. Ini dapat membentuk persepsi positif dan tidak bersifat negatif serta bias.

Generasi Peralihan – Sebagai Penggerak (Initiator)

GenerationGapSaya merupakan generasi 80’an. Generasi ini pada saya merupakan generasi peralihan, kerana di zaman kami merupakan tempoh transition antara teknologi mekanikal kepada elektronik. Penggunaan peralatan elektronik mula mencambah pada zaman generasi 80’an ni. Walkman, kaset lagu, komputer, TV berwarna, NES (Micro Genius –  permainan elektronik), jam digital (Baby G), Tetris, lahir di zaman generasi 80’an. Ini bermaksud, generasi kami berpeluang merasakan hidup secara manual (basuh baju guna tangan/mesin semi-auto) kepada mesin basuh automatik. Kipas angin kepada air-cond, umpamanya.

Daripada sudut interaksi, kami juga adalah generasi yang hybrid, kerana pada zaman saya, interaksi sosial sudah menjadi lebih luas dan terbuka. Dahulunya, ibu bapa kita terhad ruang lingkupnya kepada hanya local iaitu setempat (kampung, pekan atau paling jauh, negeri) tetapi generasi saya ruang lingkupnya adalah lebih luas. Di sekolah dan institusi pengajian tinggi, generasi kami berpeluang berinteraksi dengan rakan-rakan dari negeri lain dan sekaligus memberikan insights dan pengetahuan terhadap cara hidup dan budaya negeri masing-masing serta memupuk semangat toleransi.

Para pembaca yang dihormati,

Bercakap mengenai negeri-negeri, generasi dahulu yang ruang lingkupnya bersifat setempat, kerap mempunyai persepsi negatif terhadap individu daripada negeri lain. Ungkapan seperti “Orang Melaka kasar-kasar” atau “Orang Kelantan/Terengganu sombong” atau “Orang Negeri Sembilan bela hantu/saka” (sekadar memberikan contoh realiti berdasarkan pengalaman) merupakan satu perkara short-sighted dan lahir daripada persepsi yang salah kerana hanya mendengar cakap-cakap orang yang tidak sahih atau terpencil sifatnya. Tetapi konotasi negatif ini semakin berkurang kerana generasi kami (dan seterusnya) lebih berpeluang bercampur dan belajar dengan pelbagai lapisan bangsa dan negeri, dan menghapuskan stigma kenegerian secara perlahan-lahan.

Sekarang ni perkahwinan intra-family (sepupu) atau intra-state semakin berkurang dan lebih banyak perkahwinan inter-state. Ini adalah hasil daripada interaksi sosial yang lebih terbuka. Kita perlu berkenal-kenalan lebih daripada zon kita sendiri untuk melahirkan persepsi positif dan lebih memahami.

Maka, generasi 80’an ini merupakan jambatan (bridge) yang mengharmonikan style keibubapaan dahulu dan sekarang. Rakan-rakan saya yang telah berkahwin dan mempunyai anak mengadaptasikan parenting yang lebih terbuka dan toleran – mereka sedia mendengar input daripada anak-anak di samping tidak mengetepikan aspek disiplin, kesantunan dan keagamaan. Ini hasil daripada persepsi positif yang kami nikmati dan pelajari. Juga, saya dan rakan-rakan juga menggalakkan ibu bapa kami bersifat lebih terbuka dan adaptive kepada cara masa kini tanpa mengabaikan kesusilaan dan adat budaya.

Mencetus Konklusi

Rumusannya, persepsi setiap generasi adalah berbeza dan faktor didikan dan stail keibubapaan memainkan peranan penting dalam membentuk minda dan sahsiah seorang anak. Juga, penghargaan memainkan peranan yang amat besar dan tidak seharusnya diabaikan kerana emosi merupakan salah satu kunci kestabilan sikap dan pemikiran dan jika emosi diabaikan, tidak mustahil seseorang itu boleh hilang arah punca dan menyalahkan diri sendiri.

 Sebagai penutup, saya akhiri dengan ungkapan daripada Saidina Umar Al-Khattab, yang saya rasa amat cocok dengan artikel ini kerana ia menyentuh berkenaan approach dan kesan generasi;

“Bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka…”

Rujukan

1. Utusan Online: Bicara Agama – Berusaha mendidik remaja (baca)
2. Wikipedia: Generation (baca)

Apabila Keluarga Sudah ‘Hilang’


Apabila keluarga sendiri mula menjadi 'musuh'

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi satu keluarga yang tinggal di pinggir Klang dalam kapasiti membuat siasatan. Saya diarahkan untuk membuat tinjauan dan siasatan kerana mendapat maklumat bahawa rumah beliau rosak akibat bencana alam. Saya dan seorang rakan sekerja tiba di sana pada jam 3 petang dan berkesempatan berbual lanjut mengenai situasi beliau.

Dalam perbualan tersebut, isu utamanya bukan semata-mata soal rumah yang rosak, tetapi satu perkara – KELUARGA. Maka, entri ini adalah berkenaan nilai kekeluargaan yang semakin hilang (?)

Mendengar cerita daripada ketua keluarga tersebut, saya rasa cukup terkejut dan sedih. Sedih kerana situasi yang beliau alami tidak sepatutnya berlaku di kalangan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang cukup terkenal dengan adat dan budaya sopan-santunnya. Dari apa yang diceritakan, keluarga tersebut telah diarahkan keluar oleh adik-beradik beliau yang lain dengan alasan pengurusan rumah tersebut kini sepenuhnya menjadi milik abang ipar kepada ketua keluarga tersebut.

Sekali pandang, ya, mungkin kejam, tetapi apa yang menyebabkan situasi ini menjadi satu perkara yang berat?

Para pembaca sekalian, ketua keluarga tersebut merupakan orang yang sekian lama menguruskan rumah yang berkenaan TANPA SEBARANG BANTUAN daripada adik-beradik yang lain. Rumah tersebut merupakan rumah pusaka peninggalan orang tua (mertua) nya tetapi adik-beradik ipar si ketua keluarga ini tidak pernah ambil kisah langsung berkenaan pengurusan hatta apa yang berlaku kepada rumah tersebut. Di saat rumah tersebut dilanda ribut dan mengalami kerosakan, adik beradik (si abang khususnya) mengambil kesempatan dengan menawarkan bantuan untuk membaiki rumah tersebut tetapi dengan syarat keluarga tersebut perlu keluar dari rumah tersebut tanpa syarat.

Mengambil kesempatan atas kesulitan orang lain, itulah yang dialami oleh si ketua keluarga tersebut. Lebih menambahkan keperitan, ahli keluarganya sendiri yang menjadi dalang dan membuat onar. Walaupun sudah jatuh ditimpa tangga, si ketua keluarga tersebut masih mempunyai ketabahan dan motivasi yang kuat dan dalam perbualannya dengan saya, beliau tidak mengharapkan bantuan dari sudut harta tetapi hanya memohon bantuan serba-sedikit dari sudut kewangan untuk menjalankan perusahaan kecilan beliau yang tergendala akibat bencana alam.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita sekarang? Saya percaya kisah di atas hanyalah satu fragmen daripada beribu atau mungkin berjuta kisah yang hampir serupa atau lebih teruk lagi tetapi tidak didedahkan kepada masyarakat umum.

Institusi keluarga merupakan satu entiti yang sering diwar-warkan sebagai benteng terakhir atau tempat bergantung yang dicari jika rakan-rakan tidak lagi menghiraukan kita. Keluarga adalah orang yang benar-benar kenal siapa diri kita, kerana kita membesar bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang lain. Keluarga adalah sumber rujukan yang sudah pasti sahih kerana koleksi pengalaman setiap ahli keluarga itu adalah mahal nilainya. Keluarga juga sepatutnya menjadi entiti atau kumpulan yang sanggup membantu, mempertahankan dan menyokong diri kita sekiranya ditimpa mala-petaka atau bencana.

Adik-beradik sepatutnya saling membantu kerana berasal dari darah daging yang sama, tetapi lihat situasi pada hari ini.

Anak saman ibu, adik-beradik saman sesama sendiri. Anak bunuh ibu akibat tidak puas hati. Anak rampas harta ibu bapa. Adik-beradik berebut harta pusaka. Apa lagi?

Adakah di akhir zaman manusia masing-masing mementingkan diri sendiri hingga sanggup mencantas walaupun nyawa darah dagingnya? Apakah nilai kemanusiaan itu sudah hilang. Jika kita lihat manusia tidak menghiraukan nasib insan lain, mungkin boleh diterima kerana orang luar mungkin satu benda yang asing, TETAPI hari ini adik-beradik atau ahli keluarga sudah tidak menghiraukan dan ambil pusing dengan apa yang berlaku sesama sendiri.

“Biarlah abang/kakak/adik nak buat apa, dia punya hal, ada aku kisah?”

Ungkapan di ataslah yang kini semakin kerap didengari. Jika masyarakat hari ini sudah semakin longgar pegangan hidupnya, ditambah dengan institusi keluarga yang tidak kukuh malah boleh roboh pada bila-bila masa, apa lagi yang kita boleh harapkan?

Apabila manusia mula mengutamakan kepentingan diri, apabila manusia sanggup memijak orang lain, apabila nilai kasih sayang sesama insan itu sudah semakin luntur malah hilang, maka tanda-tanda ini adalah sesuatu yang kita sepatutnya risau dan bimbang. Apakah generasi rakyat Malaysia dalam 10, 20 tahun yang akan datang?

Ya Allah, bukakanlah hati-hati kami agar nilai berkasih sayang itu subur di jiwa!

Perihal Ibu, Lari Dari Rumah & Degil


PERHATIAN: Isi kandungan post ini saya perolehi daripada e-mail, jadi kandungannya mungkin benar, dan mungkin juga ada yang kurang tepat atau meragukan. Baca dan terimalah sebagai ilmu tambahan, dan yang mana meragukan, sila abaikan atau bertanya pada yang pakar.

———

Satu ceramah bertajuk “Dahsyatnya Doa Seorang Ibu” oleh Ustaz Abdullah Mahmud, bekas ustaz ATM sungguh menarik dan jarang kita dengar.  Kepada rakan-rakan sekalian, luangkan sedikit masa berharga dengan membaca sedutan ceramah istimewa ini untuk kita sama-sama hayati dan amalkan sekadar mampu. Jika anda malas juga nak baca, bacalah juga pada ayat yang ditebalkan (bold).

Ibu Kita, Dan Kita Sebagai Ibu

Lapangnya masa kita ada kaitan dengan keberkatan hidup kita.  Kita adalah di bawah siksa Allah bilamasa ada masa untuk buat benda tak baik tapi tiada masa nak buat yang baik. Jika kita tak pernah kecukupan duit maksudnya kita disiksa Allah. Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang jadi para ibu jangan jatuh air mata ya, dan anak-anak jangan bagi ibu jatuh air mata.  Biar menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak. Kalau balik tengah malam, bukalah lampu dan tengok, tatap muka ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya.

 Bahawasanya ada tiga (3) mata yang tak dijilat api neraka,

  • Melihat Kaabah sehingga menitis air mata.
  • Membaca Quran sehingga menitis air mata.
  • Memandang wajah ibu yg sedar tidur/sedar hingga berlinang air mata.

Tiga (3) orang yg kita kena tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidur!

  • Anak.
  • Ibu.
  • Suami.

Sebagai tambahan, kalau kita ada perselisihan faham dengan suami sampai nak bercerai, tengoklah wajah suami kita ketika dia tidur. Kalau masih terbit perasaan kasih, sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai tapi jika tiada timbul rasa itu semua, maksudnya jodoh dah memang tiada, boleh proceed apa yang patut.

Orang yang selalu menatap dan memandang ibunya takkan menangis di hari kematian ibunya. Kiranya menangis di dalam hati. Bagi siapa yang masih ada ibu, pandanglah ibu selalu. Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menujukkan sesuatu pada ibu. Kalau ada niat yang baik teruskanlah. Allah akan bersama kita. Kalau tak mampu lakukan sesuatu, pasang niat pun mencukupi, contohnya tak mampu tolong orang, niat nak tolong pun sudah memadai. Kalau kita tak mampu letakkan diri kita di tempat yang terbaik, Allah akan letakkan kita di tempat terbaik dengan syarat letakan ibu kita di tempat yang terbaik terlebih dulu.

Ada kaedah yang mana kita boleh minta pada Allah, ‘ungkit’ kebaikan yang menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita. Kaedah tu dipanggil ‘wasilah amal’. “Ya Allah semalam aku sudah bersedekah sebanyak RM1, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini”. Paling banyak buat baik dengan ibu kita, lagi mustajab. Makna dia wasilah amal ni sangat berkesan kalau yang dituntut tadi adalah hal  yang berkaitan kebaikan yang dibuat kepada ibu kita.

Antara lain yang boleh dituntut adalah apabila kita ditimpa sakit/musibah. Kalau ditimpa sakit, bacalah Innalillahiwainnaillaihirojjiun, lepas tu bicaralah dengan Allah, “Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yang aku tanggung ini, ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini”. Jika suapkan anak pun kita boleh tuntut, apatah lagi sedekah kepada ibu dan orang yang memerlukan.

Barang siapa yang tidak mendoakan ibu selepas sembahyang buat ibu yang sudah meninggal maka dikira dia anak derhaka walaupun pada waktu ibunya hidup dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti doakannya! Doa orang yang masih hidup makbul untuk orang yang hidup dan mati. Jadi doakan ibu kita jika ianya telah tiada. Doa orang yang mati makbul untuk orang yang masih hidup.

Contohnya, pergi ke pusara ibu kita cakap, “Mak, esok anak saya nak kahwin, kalau mak ada tentu mak bahagia tengok cucu mak kahwinkan” atau “bapa, saya nak kawin esok, kalau bapa ada, pasti bapa akan gembira tengok sayakan”. Luahkan kepada ibu/bapa yang telah tiada kerana mereka mendengar dan mereka boleh mendoakan kita dari sana.

Bila lalu kubur, perlahankan langkah/kenderaan dan beri salam!  Mereka akan doakan kita “berkatilah si A ini” dan jika tak bagi salam, mereka akan kata “celakahlah orang ini” Jadi, jangan lupa bagi salam pada mereka!

Tanda-tanda siksa Allah atas muka bumi ini antara lain simpan harta sampai mati tak pernah keluarkan zakat. Sesiapa yang bersedekah selalu, takkan miskin orang itu selamanya. Bila nak berbelanja/shopping, elok spare sedikit wang untuk sedekah kerana dalam duit kita itu ada hak org susah.  Jadi bila orang buta datang masa makan, bagilah wang sebab kita nak cari orang susah untuk sedekah dah amat-amat susah masa sekarang and tiada masa, jadi Allah hantarkan orang-orang susah ini untuk kita dapatkan pahala! Jika mak kita sudah meninggal dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila mak kita sudah tiada teruskan memberi peruntukkan itu sebagai sedekah.  Jangan kurangkan peruntukkan! “Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibuku, semoga pahala sedekah ni sampai kepada ibuku”. Itu yang yang buat ibu kita bahagia di sana.

Kalau kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah ibu kita baru kita ringan tangan nak bersedekah.

“Ya Allah, panjangkanlah usia ibu bapaku supaya dia sakit dan nyanyuk” (?) ini bertujuan memberi syurga pada anak-anaknya. Doa ini bukan bermaksud minta mereka sakit atau nyanyuk! Ironinya keadaan demikian membolehkan anak-anak berebut mahu menjaga mereka di saat mereka dalam keuzuran sebab balasannya adalah syurga. Jadi, kalau tahu ibu/bapa sakit, berebutlah menjaga ibu/bapa kita. Besar sangat pahalanya. Allah s.w.t. kalau boleh tidak mahu kita masuk neraka, jadi Allah takkan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia bagi kita sakit/malu/miskin untuk membersihkan kita sebelum dia mengambil kita.

Selalu Bergaduh Dengan Ibu

Jika ada antara kita yang selalu bergaduh dengan ibu, ada kemungkinan kita diganggu saka. Antara tanda-tanda gangguan saka, selalu mimpi bayi/budak. Dukung bayi, menyusu bayi atau selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi, selalu sakit tulang belakang, tulang belakang bengkok, rasa mengantuk selepas Asar. Saka boleh dipindahkan melalui kasih sayang dan harta pusaka, walaupun sebiji pinggan/amalan/sentuhan.

Simptom terkena saka:

  • Tak boleh tidur lena tapi bila dekat azan Subuh, senang lena.
  • Bila dah peringkat teruk, di usia tua kita, tengah malam selalu lapar.
  • Susah nak dapat anak, senang keguguran.
  • Ada merasa kelibat orang lalu.
  • Yang lagi parah, saka bersetubuh dengan kita, mengandung tetapi anak hilang dalam kandungan. Jadi bila nak ‘bersama’, bercakaplah sedikit kerana saka menyerupai suami kita dan dia datang dalam keadaan diam.

Cara menghilangkan saka, Zikir “Laillahaillalah” 700,000 kali sampai habis, insyallah saka akan cair dan keluar dari badan. Antara penyakit saka adalah kanser payudara, kanser rahim and kanser tulang. Tiga (3) penyakit yang tiada/payah ubatnya, yang penyakitnya adalah datang dari syaitan adalah kanser, AIDS dan leukemia. Kalau ibu kita sakit cancer dan dia tak mampu berzikir, kita tolong zikirkan. Kalau ada penyakit was-was, bacalah surah Al-Ikhlas 1000x sehari.

 Anak Lari Dari Rumah

Kalau anak lari dari rumah, gantungkan bajunya di hanger dan anginkan dan hadiahkan surah Al-Ikhlas setiap hari. Masa laungan azan yang pertama, panggillah nama anak kita, insya Allah akan sampai panggilan kita kepadanya.

Anak Degil

Bila anak dah tidur, duduk di hujung kepala pangil ROH ANAK “Wahai roh anakku (nama anak), jadilah kamu roh yang baik, roh yang bertimbang rasa pada ibu dan bapa, roh yang taat pada Allah, roh yang sayang sesama manusia”. Respon daripada mereka yang telah mencuba, sungguh menakjubkan, setakat ini Alhamdullilah kebanyakannya menjadi! Contoh kalau kita mahu anak senang bangun ke sekolah.

Maka sama-samalah kita praktikkan apa yang termampu dan kongsikan ilmu dan maklumat ini kepada rakan-rakan dan saudara seagama kita. Wallahualam.