Misi Bantuan Banjir Kuala Krai, Kelantan


20150115 Kelantan

Kita sedia maklum akan musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia. Walaupun banjir bukanlah fenomena yang asing, tetapi skala kejadian dan kemusnahannya pada tahun ini amat mengejutkan. Laporan demi laporan kita baca, bagaimana magnitud kemusnahan yang besar, khususnya negeri-negeri di Pantai Timur. Kenaikan air yang luar biasa dan impak kerosakan benar-benar menguji bukan sahaja pihak berkuasa yang bertarung menyelamatkan mangsa, tetapi lebih menyedihkan lagi, kepada individu dan keluarga yang diuji dengan kehilangan harta benda dalam sekelip mata.

Organisasi saya, Yayasan Basmi Kemiskinan, peka dengan kesukaran dan kesulitan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini. YBK turut menghantar beberapa misi bantuan – ke Kemaman, ke Kuala Kangsar – secara low profile. Gerakerja kami tidaklah segagah NGO-NGO lain, tetapi yang paling utama adalah niat dan kesungguhan untuk membantu. Pegawai-pegawai YBK termasuklah bos, turut turun sendiri ke lokasi-lokasi di mana kami menghantar bantuan yang tidak seberapa, tetapi amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir ini.

Kelantan, mendapat perhatian istimewa kami – kerana negeri ini adalah yang paling teruk menerima impaknya. Permata pantai timur ini (istilah saya) dibadai bah bak tsunami, dan melihat kemusnahan di media tidak cukup puas bagi rakan-rakan pegawai dan saya. Kami perlu melihat sendiri suasana di sana, dan pengurusan serta lembaga bersetuju untuk melaksanakan satu misi bantuan berskala tinggi ke Kuala Krai, Kelantan – dan di Majlis Makan Malam Tahunan YBK pada malam tahun baru 2015, Dato’ Pengerusi sendiri telah mengumumkan bahawa team YBK akan ke Kelantan, secara ‘berjemaah’.

Persiapan diatur, dan untuk misi istimewa ini, kami akan memberikan sumbangan beg sekolah dan kelengkapan alatulis kepada pelajar. Koordinasi dilaksana oleh Wan Afifah – seorang pegawai YBK yang berdedikasi – dengan Pejabat Pendidikan Kuala Krai. Tujuh (7) buah sekolah telah dipersetujui untuk dilawati atas kapasiti sekolah-sekolah ini terletak di kawasan yang terjejas teruk. Beg-beg sekolah dan alatulis telah ditempah, walaupun last minute, tetapi mungkin kerana keberkatan dan niat murni kami mahu menolong, segala urusan menjadi mudah dan lancar tanpa sebarang major issues.

Persiapan

Misi kali ini bersifat skala tinggi, dan (hampir) semua ahli pengurusan dan lembaga YBK akan pergi ke Kelantan. Gerakan bertolak berlangsung pada 14 Januari dan melibatkan 10 kenderaan termasuk lori. Beberapa hari sebelum bertolak, satu team recce telah pergi ke setiap sekolah yang berkenaan, termasuklah satu sekolah yang hanya boleh diakses melalui jalan sungai (bot). Kumpulan recce seramai 3 orang ini, saya sebutkan nama mereka : Asuad, Rozita dan Wan Afifah – yang mengorbankan tenaga dan masa mereka – telah berjaya mengatur gerak semua sekolah ini dan kembali dengan laporan positif.

Sehari sebelum bertolak, pegawai YBK dengan rajin dan bersemangat, dibantu oleh staf anak syarikat, telah melaksanakan proses agihan logistik beg dan alatulis untuk setiap kenderaan. Kepenatan dan stress kelihatan di wajah, namun jiwa mereka ini kental. Hari bertolak – 14 Januari – hal logistik berjaya diselesaikan dan semua kenderaan bergerak dan selamat tiba di Bandar Gua Musang pada malam tersebut. Dato’ Pengerusi dan Tuan CEO memberikan taklimat dan amanat untuk misi yang akan berlangsung esok hari. Semua anggota rombongan walaupun penat dek perjalanan jauh, amat teruja.

Misi Bermula – 15 Januari

Kumpulan 10 kenderaan yang membawa logistik sumbangan ini dipecahkan kepada dua (2) kumpulan utama – ke Kuala Krai, dan ke Kemubu/Dabong. Dato’ Pengerusi bersama group ke Dabong, manakala saya dan beberapa kenderaan lagi, termasuk Tuan CEO, ke Kuala Krai. Saya diamanahkan untuk menyerahkan sumbangan di SK Sultan Yahya Petra 2, dan saya membawa bersama seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Tuan Hj Hamzah Jalli dan Bro. Hazli (Pusat Latihan YBK). Perjalan daripada Gua Musang ke Kuala Krai mengambil masa hampir sejam, tetapi selesa kerana kereta Mitsubishi ASX yang saya pandu itu tidak terasa gayat walaupun dipacu laju.

20150115 Kelantan-2

SK Sultan Yahya Petra 2, atau singkatannya SYP2 (kami di office memanggilnya ‘SK Sayap’) terletak di atas bukit. Sekolah ini tetap terkena tempias banjir walaupun di tempat tinggi, sehingga menenggelamkan tingkat satu sekolah tersebut (terdapat 2 sekolah yang terletak di bawah bukit – SK Sultan Yahya Petra 1 dan SK Kuala Krai, yang lebih signifikan kemusnahannya. Sekolah-sekolah ini turut dilawati YBK). Kami disambut oleh Penolong Kanan HEM, Tuan Mohd Syukri, dan terus kami laksanakan majlis penyerahan sumbangan tersebut. Tuan Haji Hamzah menyampaikan sendiri kepada anak-anak murid dan selesai majlis, kami telah diundang untuk minum di bilik guru dan mendengar sendiri kisah-kisah yang menyentuh hati daripada guru-guru di sekolah tersebut. Rata-rata daripada mereka turut hilang tempat tinggal, namun mereka tetap bertugas dan memastikan setiap pelajar dapat belajar. Saya tersentuh hati dan kagum dengan semangat dan pengorbanan mereka.

Ke Kemubu/Dabong

Selesai di SK Sultan Yahya Petra 2, kami berkeputusan untuk join kumpulan Dato’ Pengerusi yang ketika itu di SK Kuala Geris. Kami dan team Pn. Alia (pegawai kanan YBK) yang ke SK Sultan Yahya Petra 1, bergerak secara convoy menuju ke Dabong. Perjalanan lancar, walaupun timbul sedikit kegusaran akibat tangki minyak hampir tinggal suku dan pemanduan terpaksa ditukar kepada gaya fuel efficient dan tidak lagi melenjan merempit.

Kami terus ke Kg Kemubu apabila berselisih dan bergerak bersama team Dato’ Pengerusi. Perjalanan agak mencabar kerana keadaan jalan yang masih belum begitu sempurna dan rosak. Kg Kemubu ini adalah kampung yang paling teruk terjejas dan di sinilah anda dapat melihat jambatan keretapi yang dibuat daripada tiang kukuh (besi/konkrit), runtuh akibat kederasan arus banjir, di samping rumah-rumah yang uninhabited (tidak boleh dihuni akibat musnah teruk). Bahasa mudahnya, umpama padang jarak padang terkukur.

20150115 Kelantan-4

Sampai di Kemubu dan menjejak kaki di tanahnya, saya tersentak. Melihat suasana yang berdebu, gersang, kering dan benar-benar dapat dirasa aura kemusnahan tersebut. Penduduk kampung, ada yang menghuni khemah akibat rumah musnah, kelihatan pasrah dan kehadiran kami menarik perhatian dan mencetus sedikit kegembiraan serta harapan. Yang hadir mengambil peluang berjalan, melihat sendiri impak kemusnahan, dan menginsafi kekuasaan Allah S.W.T. yang Maha Agung. Benarlah disebut orang bak tsunami, kerana tiada apa yang tinggal, melainkan secebis harta dan sekelumit ketabahan.

20150115 Kelantan-3

Jika kami ingin menangis, orang kampung sudah puas menangis, mereka faham itulah takdir Allah S.W.T. kepada mereka. Kami hanya mampu melahirkan rasa pilu dan berkongsi kesedihan. Saya dan lain-lain telah melihat sendiri di depan mata, apa yang disebutkan sebagai aftermath banjir yang benar-benar menguji dan menghukum. Ketika kami tiba, bekalan elektrik belum pulih sepenuhnya. Dato’ Pengerusi menyampaikan sendiri sumbangan kepada Ketua Kampung, yang kelihatan letih tetapi tetap mengukir senyum menerima kunjungan keinsafan kami.

Kepulangan & Kesimpulan

Semua bertolak pulang pada jam 6 petang. Sepanjang perjalanan pulang, saya yang memandu dan Tuan Hj Hamzah berbual berkenaan kesan banjir yang boleh dikatakan pertama kali dilihat seumur hidup. Itulah kali pertama saya melihat skala kemusnahan yang agak serius – apa lagi yang boleh dideduksi apabila jambatan keretapi pun rebah menyentuh bumi?

Yang penting, perjalanan dan kepulangan kami dari bumi Kelantan itu adalah satu pengalaman yang paling berharga. Jika sebelum ini saya ke Kelantan dengan hati riang berbunga dek melihat perempuan-perempuan yang comel, namun saya berpeluang melihat sisi yang satu lagi – bagaimana dengan sekelip mata, kawasan yang hijau dan tenang bertukar gersang dan ‘hilang’ dalam sekelip mata.

Keinsafan yang sebenar-benarnya. Bertabahlah wahai Pantai Timur!

Baca: Sumber 1 | Sumber 2 (Gambar)

Perutusan AidilAdha 1434


20130815 Kuala Ibai TRG

Assalamualaikum w.b.t. kepada seluruh rakan dan kerabat di mana sahaja berada. Semoga kalian berada dalam lindungan Allah S.W.T.

Hari Raya Aidiladha singgah lagi ke hadrat diri. Hari Raya Aidiladha itu begitu sinonim dengan pengorbanan. Hari Raya Aidiladha mungkin kurang impaknya jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri, tetapi pengertiannya adalah amat besar dan signifikan.

Jika Hari Raya Aidilfitri kita sambut secara besar-besaran sebagai tanda kemenangan sebulan berpuasa Ramadhan, maka Hari Raya Aidiladha semestinya perlu diletakkan pada taraf yang lebih tinggi kerana ia membawa simbol kepatuhan agung kepada Allah S.W.T. dan satu manifestasi rasa kesyukuran yang paling tinggi. Kita masih belum mampu untuk melahirkan kepatuhan agung dan kesyukuran tertinggi kepada Allah S.W.T. kerana ketidaksempurnaan diri berbanding insan-insan yang diberi keistimewaan dan ketinggian seperti para Nabi, Rasul, Wali dan seumpamanya.

Kepatuhan agung itu merujuk kepada sejarah Nabi Ibrahim A.S. yang telah diperintahkan untuk menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail A.S. yang ketika itu merupakan satu-satunya zuriat Baginda (sebelum lahirnya Nabi Ishak A.S.). Kepatuhan tanpa bantahan dan kesabaran kedua-dua insan agung dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. ini telah dilakarkan dalam sejarah dan diabadikan melalui ibadah Haji dan korban yang kita sambut setiap tahun. Setiap ritual ibadah Haji (dan umrah) menggambarkan sejarah kepatuhan dan kesabaran agung ini.

Pengorbanan itu amat besar makna dan nilainya. Di saat kanak-kanak mengaitkan pengorbanan itu dengan ritual sembelihan yang mereka lihat di surau dan masjid, kita yang telah dewasa ini sudah pasti telah merasai erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas dan meliputi aspek fizikal, emosi dan juga rohani. Saya pasti setiap daripada kita telah melalui ‘pengorbanan’ ini yang telah menguji kesabaran, emosi dan kekuatan diri.

Mungkin kita telah berkorban harta. Mungkin juga kita telah berkorban masa dan tenaga. Mungkin juga kita telah mengorbankan ego dan perasaan kita. Walau apa jua aspek pengorbanan yang telah atau bakal lalui, asasnya ia membawa erti ‘melepaskan sesuatu kepentingan, keinginan atau kesayangan demi satu matlamat atau hikmah yang lebih besar’. Maka pengorbanan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng tetapi perlu dihargai dengan sebenar-benar penghargaan.

Atas dasar itu, maka erti pengorbanan itu amatlah besar dan agung. Pengorbanan menuntut kita melepaskan dan mungkin, meninggalkan, demi kebaikan, kebahagiaan dan kerukunan masa hadapan. Maka hargailah setiap satu pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh keluarga, rakan dan insan-insan yang menyayangi kita. Jika kita tidak mampu membalas pengorbanan tersebut, sedaya mampu kita, ingatlah diri mereka dan doakan diri mereka.

SALAM AIDILADHA. Salam pengorbanan. Semoga kita semua menjadi insan yang lebih bersyukur dan menghargai limpah nikmat hidup ini. Doa saya untuk semua, moga kita sentiasa kekal dalam kasih dan sayangNya. Amin!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Tiada Tuhan Melainkan Allah, Dan KepadaNya Segala Puji-Pujian!

Salam hormat dan terima kasih.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 15 Oktober 2013

Erti Merdeka : Malaysia, Singapura & Indonesia


MY Header P

Ogos. Bulan ini amat signifikan bagi rakyat Malaysia kerana di penghujungnya merupakan tarikh di mana Tanah Melayu (yang menjadi asas kepada negara Malaysia) mendapat kemerdekaan. Juga, bulan Ogos merupakan bulan yang signifikan kepada rakyat Singapura dan Indonesia, di mana kedua-dua negara ini juga memperoleh kemerdekaan pada bulan yang sama. Menariknya, tiga negara ini mencapai kemerdekaan masing-masing dengan cara yang berbeza, dan inilah yang saya ingin bincangkan dalam artikel ini.

31 Ogos 1957: Malaysia – Diplomasi Bijaksana

MY Formation P

Saya percaya para pembaca yang berwarganegara Malaysia mempelajari sejarah dan tahu kronologi bagaimana negara kita yang tercinta ini mencapai kemerdekaan. Menyorot secara ringkas, negara kita telah dijajah dan diperintah oleh pelbagai kuasa asing, pertamanya oleh Portugis ketika zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka, kemudian oleh Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali semula kepada Inggeris. Jika dikaji dengan lebih teliti, kuasa-kuasa asing ini (kecuali Jepun) sebenarnya telah berpakat dalam memecahkan kerajaan-kerajaan Melayu tempatan melalui beberapa siri perjanjian. Kesedaran oleh rakyat Tanah Melayu akan kepentingan berdikari dalam mentadbir negara sendiri telah melahirkan semangat nasionalisma untuk merdeka daripada kuasa asing, sama ada dengan cara haluan kiri (mengangkat senjata) ataupun haluan kanan (melalui diplomasi dan kerjasama dengan pemerintah a.k.a penjajah).

Secara peribadi dan melalui pembacaan, saya yakin bahawa kesedaran untuk merdeka secara besar-besaran itu lahir semasa Jepun menduduki Tanah Melayu. Jepun walaupun sepanjang tempoh pemerintahannya bertindak secara kekerasan dan kejam, tapi dari sudut positifnya mereka telah membuka mata dan minda rakyat tempatan bahawa orang tempatan (baca: Asia) sebenarnya mampu untuk mentadbir dan menguruskan negara tanpa perlu bergantung harap kepada kuasa barat yang dianggap bijaksana dan ‘superior’. Sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu, sebilangan rakyat begitu yakin dan memandang tinggi keupayaan Inggeris mentadbir dan menjaga negara sehingga ke tahap mengagungkan mereka. Keyakinan ini ranap apabila Inggeris gagal mempertahankan Tanah Melayu daripada dilanggar Jepun dengan begitu mudah.

Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada Inggeris berlaku dalam dua perspektif iaitu secara haluan kanan dan kiri, sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini. Namun para pemimpin kita pada zaman tersebut memilih untuk berdiplomasi dengan pemerintah (Inggeris) dan berbincang secara baik dan telus. Walaupun dilihat berhalangan dan Inggeris sendiri keberatan untuk memerdekakan Tanah Melayu, tetapi kesungguhan dan kesatuan rakyat Tanah Melayu secara bersama untuk merdeka telah ‘melembutkan’ hati Inggeris dan seterusnya bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957.

Saya tidak menafikan bahawa individu yang memilih untuk menuntut kemerdekaan secara haluan kiri itu juga menyumbang ke arah merdekanya Tanah Melayu, cuma secara peribadi saya melihat rakyat lebih cenderung kepada cara diplomasi dan perbincangan, kerana cara ini akan membina keyakinan dan satu ikatan kukuh secara jangka panjang. Ambil perhatian bahawa di masa Tanah Melayu merdeka kita masih mentah dalam hal pentadbiran dan memerlukan kepakaran Inggeris dalam beberapa sektor untuk memberi tunjuk ajar. Jika kemerdekaan itu dituntut dalam kekerasan dan julang senjata semata-mata, saya pasti para pemimpin pada masa itu lebih sukar untuk mentadbir negara kerana tiada pakar rujuk yang benar-benar mahir dalam selok-belok negara kita.

Analoginya seperti kita meminang anak dara, perlu dengan cara diplomasi dan perbincangan untuk membina kepercayaan dengan bakal mertua. Andai kita pinang anak dara dengan menghunus parang di leher bakal mertua, adakah ia akan memberi kesan dan ikatan positif walaupun perkahwinan itu berlangsung juga?

17 Ogos 1945: Indonesia – Darah & Air Mata

ID Formation P

Saya tidak mengkaji sejarah Indonesia secara mendalam tetapi melalui pembacaan daripada pelbagai sumber berkenaan kronologi Indonesia memperoleh kemerdekaannya, asasnya mereka mengamalkan cara haluan kiri iaitu melalui senjata dan pemberontakan kepada pemerintah (betulkan jika saya silap). Indonesia mencapai kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945.

Rakyat Indonesia berbangga kerana perjuangan mereka menuntut kemerdekaan adalah melalui cara ‘berani dan lelaki’ iaitu melalui senjata. Daripada perspektif mereka, cara ini lebih terhormat kerana ia menggunakan tenaga, masa dan yang lebih mahal lagi, nyawa yang terkorban akibat penentangan menuntut kemerdekaan. Saya menghormati perspektif mereka yang melihat kekerasan dan senjata itu lebih terhormat, dan tidak dinafikan cara itu mungkin lebih sesuai pada masa dan keadaan mereka. Inggeris dan Belanda adalah dua kuasa asing yang berbeza dan semestinya corak pemerintahan mereka juga berbeza. Inggeris sepanjang pemerintahan mereka di Tanah Melayu tidak menekankan kekerasan dan masih lagi mengambil berat kebajikan dan prasarana asas rakyat, manakala Belanda dikatanya lebih keras terhadap rakyat tempatan dan ini sedikit sebanyak melahirkan jiwa ‘pemberontakan’ di kalangan rakyat Indonesia pada zaman tersebut.

9 Ogos 1965: Singapura – Tidak Mahu Merdeka?

SG P

Kemerdekaan Singapura secara asasnya bukan kemerdekaan. Keliru? Singapura merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang dibentuk bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah pada 16 September 1963. Maka boleh dikatakan Singapura merupakan ‘bekas negeri’ Malaysia. Selepas penggabungan dalam Malaysia, beberapa pergolakan politik berlaku antara kepimpinan Pusat dengan kepimpinan Negeri Singapura. Pergolakan dan perbezaan pendapat ini menjadi kritikal dan dramatik sehinggakan pada satu tahap Parlimen Malaysia mengundi sebulat suara untuk mengeluarkan (memecat) Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Kepimpinan Singapura pada masa itu mencanangkan kepada umum bahawa kerajaan Negeri Singapura mahu kekal dalam Persekutuan Malaysia dan amat tidak senang dan tidak bersetuju dengan keputusan Parlimen Malaysia untuk mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. Disebutkan dalam pelbagai sumber bahawa Singapura merdeka tanpa kehendaknya (gained independence without her own will). Walaupun dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia, namun struktur dan keperluan asas Singapura tetap disusun oleh Malaysia termasuklah penyusunan Perlembagaan Singapura, sistem pentadbirannya dan beberapa kemudahan seperti bekalan air dan sistem matawang.

Singapura sehingga kini masih mewarisi beberapa ‘ciri’ daripada Malaysia termasuk perlembagaan. Jika anda berkesempatan mengkaji Perlembagaan Singapura, ada klausa yang menyebutkan hak istimewa orang Melayu, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Kebangsaan (National Language) dan Bahasa Rasmi (Official Languages) adalah berbeza di Singapura, di mana Bahasa Kebangsaan merujuk kepada Bahasa Melayu manakala Bahasa Rasmi merujuk kepada Bahasa Inggeris dan bahasa etnik utama lain (Cina dan India).

Presiden pertama Singapura adalah seorang Melayu, iaitu Encik Yusof Ishak, yang lahir di Perak dan merupakan pengasas Utusan Melayu. Potret beliau ada di wang kertas Singapura.

Kepada yang mungkin tidak tahu, lagu kebangsaan Singapura adalah dalam Bahasa Melayu, dan Bahasa Melayu masih diguna pakai dalam hal istiadat seperti arahan tentera/perbarisan, jata negara, insignia tentera/polis dan sebagainya. Ucapan Hari Kebangsaan Singapura juga dibuat dalam Bahasa Melayu selain daripada Bahasa Inggeris.

Kesimpulan

Daripada perbincangan dan huraian, ketiga-tiga negara memperoleh kemerdekaan daripada cara yang berbeza. Walau apa pun perspektif dan tafsiran dalam kronologi kemerdekaan, kita perlu merasa bangga dan bersyukur kerana kemerdekaan dan kebebasan yang dicapai pada masa ini adalah hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu yang berkorban daripada segenap sudut demi negara.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-56 UNTUK MALAYSIA!

Transformasi Lagu Rasmi Negeri


Setiap Negeri Di Malaysia Mempunyai Identiti Sendiri - Bendera, Jata, dan Lagu.
Setiap Negeri Di Malaysia Mempunyai Identiti Sendiri – Bendera, Jata, dan Lagu.

Pilihanraya Umum Ke-13 telah selesai, dan kita sudah maklum kepimpinan bagi setiap negeri-negeri di Malaysia dan juga di peringkat Persekutuan. Diharapkan para kepimpinan yang telah diberi mandat oleh rakyat akan menjalankan tugas dan amanah untuk lima tahun yang seterusnya dengan jayanya dan membawa negeri masing-masing ke arah yang lebih baik lagi.

Artikel ini bukan satu ulasan pasca PRU 13 dan saya berpendapat tidak perlulah (buat masa ini) mengulas berkenaan PRU 13 kerana banyak blog-blog politik yang lain mampu memberi analisa yang lebih professional. Apa yang ingin saya kongsi dengan para pembaca sekalian adalah berkenaan satu isu yang mungkin remeh tetapi sebenarnya kalau tidak dicari jalan penyelesaiannya sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej negeri-negeri khususnya dan negara Malaysia amnya. Apakah isu itu?

Isunya adalah – Lagu Rasmi Negeri.

Setiap negeri mempunyai identiti tersendiri dan sebagai anak-anak negeri sudah pasti para pembaca bangga dengan identiti-identiti negeri masing-masing. Identiti negeri ini dizahirkan melalui pelbagai bentuk seperti bendera, jata negeri, makanan, kebudayaan dan tidak lupa juga, lagu rasmi negeri. Walau bagaimanapun, saya melihat bahawa lagu rasmi negeri ini kurang diangkat dalam memperkasakan identiti negeri secara menyeluruh.

Masih Di Takuk Lama

Lagu rasmi negeri adalah sinonim dengan acara rasmi seperti perhimpunan mingguan sekolah, majlis anjuran kerajaan negeri, keraian yang melibatkan pembesar dan pemimpin negeri dan tidak lupa juga, sebelum perlawanan bola sepak bermula. Namun adakah pada acara-acara yang disebutkan itu sahaja perlu kita memperdengarkan lagu negeri? Saya pasti para pembaca mungkin sudah kurang mengingati lirik lagu negeri masing-masing jika diminta untuk menyanyi – kerana kita sudah tidak kerap menyanyikannya.

Itu satu perkara, tetapi yang ingin saya highlight kan dalam artikel ini adalah berkenaan arrangement muzik lagu-lagu negeri yang tidak mengikut arus kontemporari. Ini pada pendapat saya amat mendukacitakan kerana lagu-lagu negeri adalah satu identiti dan seharusnya membakar semangat jika dialunkan, dan bukan sekadar dinyanyikan sebagai memenuhi kewajipan.

Saya merasa bangga dengan lagu kebangsaan negara kita, Negaraku, dalam arrangement terkininya (video di bawah) yang menggunakan tempo yang perlahan tetapi membakar semangat kita semasa mengalunkannya. Sepanjang pengetahuan saya, lagu Negaraku telah melalui banyak fasa gubahan semula selepas versi rentak march yang digunakan pada zaman Tun Dr. Mahathir (era 90an) yang kurang digemari kerana terlalu pantas pada tempo nya dan tidak begitu ‘umph’.

Dukacitanya hanya lagu Negaraku (dan satu lagu negeri lain, saya akan sebut kemudian) yang digubah semula arrangement nya agar lebih kontemporari dan majoriti lagu-lagu negeri yang lain masih menggunakan arrangement asal era 60/70an yang dimainkan oleh pancaragam polis/tentera. Para pembaca boleh ke laman web Jabatan Penerangan Malaysia (klik di sini) untuk mendengar (dan muat turun) lagu-lagu rasmi negeri. Sila ke laman web JPM dan dengar satu dua lagu negeri yang tersenarai di sana. Apakah rumusan yang boleh dibuat oleh para pembaca? Rumusan saya adalah,

PERTAMA: Majoriti lagu rasmi negeri masih menggunakan arrangement ‘klasik’ berasaskan pancaragam polis/tentera.

KEDUA: Kualiti file lagu rasmi negeri yang disediakan adalah kurang memuaskan. Kebanyakan lagu di encode pada bit rate 56kbps yang tidak begitu mesra telinga dan juga speaker, mungkin kerana mahu menjimatkan saiz file.

KETIGA: Lagu yang disediakan tidak begitu komprehensif. Ada lagu negeri yang disertakan versi vokal dan instrumental, dan ada yang hanya terdapat dalam versi instrumental sahaja. Juga, versi vokal dan instrumental juga adalah tidak konsisten kerana berbeza sumber (versi instrumental daripada pancaragam, versi vokal adalah rakaman koir radio, dsb.)

Secara peribadi kelemahan-kelemahan ini patut diambil maklum oleh Jabatan Penerangan Malaysia kerana saya pasti ramai yang merujuk pada JPM untuk menyediakan lagu-lagu rasmi negeri yang mungkin perlu dimainkan dalam majlis dan acara rasmi. Dengan kualiti file yang pada saya kurang memuaskan dan tidak berapa sesuai dimainkan pada sistem audio majlis, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada imej JPM selaku sumber rujukan untuk maklumat kenegaraan.

Lawatan ke portal-portal rasmi kerajaan negeri juga mendapati tidak semua kerajaan negeri menyediakan salinan lagu rasmi masing-masing untuk rujukan para pengunjung. Jika ada, kebanyakannya bersumberkan daripada laman web Jabatan Penerangan Malaysia sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, dan ini bermaksud kualiti lagu tersebut juga kurang memuaskan. Namun usaha kerajaan-kerajaan negeri yang berkenaan harus dipuji dan langkah seterusnya adalah untuk melaksanakan usaha mengkontemporarikan lagu negeri masing-masing.

Usaha-Usaha Pengkontemporarian

Hasil kajian saya, terdapat beberapa pihak yang turut sedar akan isu ini dan cuba menggerakkan usaha untuk menggubah arrangement lagu-lagu negeri agar lebih kontemporari. Seribu kali sayang, respon dingin beberapa kerajaan negeri dalam menyokong usaha murni pihak ini telah sedikit sebanyak mematahkan semangat mereka sepertimana yang dipetik daripada satu laman blog,

“… Sekitar bulan Februari, 2009, saya telah mengirimkan proposal untuk merakam semula lagu-lagu anthem ini ke setiap negeri. Saya email ke setiap SUK Negeri dan juga pejabat-pejabat Menteri Besar. Langsung tidak ada khabar berita, kecuali negeri Selangor yang menyatakan dengan dukacitanya bahawa kerajaan negeri buat masa ini tiada bajet. Padahal bajet untuk merakam semula dan mencetak CD sejumlah 10,000 keping untuk diberikan secara percuma ke sekolah-sekolah atau pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negeri, hanyalah sejumlah RM80,000 sahaja. Saya percaya, kalaupun kerajaan negeri tiada bajet, ianya bolehlah mendapatkan penaja daripada syarikat-syarikat besar di negeri masing-masing. 8 buah syarikat taja RM10,000. Dah selesai masalah bajet! Tapi apa nak buat. Mereka tak terfikir pun ke arah itu…” – CATATAN MANTAN WARTAWAN dalam artikel NASIB LAGU-LAGU ANTHEM NEGERI (klik di sini untuk artikel penuh)

Walaubagaimanapun, ada satu kerajaan negeri yang telah mengambil inisiatif menggubah semula lagu negerinya agar lebih kontemporari serta segar didengar dan dialunkan. Malah, negeri ini juga telah menyediakan salinan arrangement terbaru ini dalam portal kerajaan negeri dan menyarankan semua acara dan majlis rasmi negeri serta jabatan/agensi/organisasi menggunakan versi terbaru lagu rasmi negeri tersebut. Tahniah kepada kerajaan NEGERI SEMBILAN!

Lebih modern bukan? Lagu rasmi Negeri Sembilan ini pada asalnya digubah sempena Majlis Pertabalan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2009 oleh Dato’ Johari Salleh dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dengan mempergunakan elemen orkestra dan koir yang lebih segar. Arrangement yang menyuntik elemen majestic ini sedikit sebanyak memberi satu nafas baru dan lebih membakar semangat apabila dinyanyikan.

Transformasi Lagu Negeri – Cadangan & Usul

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan tersebut seharusnya dijadikan contoh dalam melihat betapa perlunya lagu rasmi negeri diberi nafas baru agar lebih berdaya saing. Maka, cadangan saya adalah;

PERTAMA: Kerajaan Pusat melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menubuhkan satu panel khas yang dianggotai oleh wakil kerajaan negeri, pakar dan penggubah muzik, dan pihak-pihak berkaitan untuk duduk dan merangka gubahan yang sesuai dan kontemporari untuk negeri masing-masing. Yang perlu diberi fokus utama adalah arrangement lagu tersebut dan tidak perlu diubah lirik dan lenggoknya.

KEDUA: Selepas ditentukan arrangement dan score yang sesuai untuk setiap lagu negeri tersebut, maka langkah seterusnya adalah untuk memilih kumpulan orkestra yang sesuai dan berpengalaman untuk melaksanakan score tersebut. Untuk konsistensi, eloklah hanya satu kumpulan orkestra yang memainkan arrangement lagu-lagu negeri tersebut. Orkestra berpengalaman seperti Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) atau Orkestra RTM boleh menggalas tanggungjawab ini dengan berkesan. Perkara yang sama juga dilakukan dalam pemilihan kumpulan koir yang akan menyanyikan lagu-lagu negeri berkenaan.

KETIGA: Lagu negeri arrangement baru tersebut (versi instrumental dan vokal) hendaklah dirakam dengan kualiti tertinggi dan format mp3 perlu disediakan dengan bit rate sekurang-kurangnya 256kbps atau dengan kualiti maksimum 320kbps. Tidak mengapa jika saiz file nya besar, perkara pokoknya adalah kualitinya menyedapkan telinga dan boleh dimainkan pada sistem audio tanpa sebarang distortion. Saya percaya dengan kualiti kelajuan internet sekarang, saiz file mp3 10MB bukanlah satu isu.

KEEMPAT: Setiap portal kerajaan negeri perlu menyediakan salinan lagu negeri arrangement terbaru tersebut dalam versi instrumental dan vokal dan mewartakan setiap jabatan/agensi/organisasi hanya menggunakan versi tersebut dalam semua acara dan majlis rasmi untuk konsistensi. Salinan lagu rasmi tersebut juga hendaklah diletakkan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia untuk rujukan rakyat Malaysia dan salinannya juga disimpan di Arkib Negara.

Kesimpulan

Lagu negeri merupakan identiti dan simbol yang perlu diperkasakan oleh anak negeri khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Adalah molek jika setiap rakyat Malaysia boleh menyanyikan semua lagu-lagu negeri dan tidak terhad kepada lagu negerinya sahaja. Gubahan kontemporari untuk lagu negeri adalah perlu supaya iramanya kekal segar mengikut keadaan semasa di samping dapat menaikkan semangat dan menyedarkan diri betapa pentingnya dalam mencintai negeri dan negara.

Saya ada menyediakan satu dokumen yang menghimpunkan lirik semua lagu-lagu negeri dan para pembaca boleh memuat turun dokumen tersebut untuk rujukan. Sila lihat di bahagian ‘Download Hub’ di sidebar blog ini.

Sebelum WhatsApp, Ada ICQ Dan mIRC


Jika disebutkan istilah ‘Permesejan Segera’, mungkin ramai yang kurang jelas dan mungkin tidak pernah mendengarnya. Tetapi apabila disebut dengan istilah aslinya iaitu ‘Instant Messaging’ atau singkatannya IM, ramai yang sudah maklum apa yang dimaksudkan. Mutakhir ini ‘Instant Messaging’ (selepas ini disebut ‘IM’) telah menjadi sebahagian daripada cara kita berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat sesama sendiri. Sebut sahaja aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, Viber dan seumpamanya, tiada yang tidak tahu apakah fungsi-fungsi aplikasi tersebut.

IM bukanlah sesuatu perkara atau trend yang baru, malah sejarahnya boleh kita rujuk sejak dari zaman permulaan Internet lagi, dan semestinya pada zaman tersebut tidaklah secanggih dan sepantas apa yang kita ada pada hari ini. Namun evolusi-evolusi yang dilalui oleh IM (dan Internet amnya) merupakan satu perkara yang menarik perhatian saya untuk dihuraikan di dalam artikel ini.

NOTA: Artikel ini mempunyai 3000+ patah perkataan dan boleh dikategorikan sebagai satu rencana panjang. Artikel ini bukan bersifat teknikal tetapi teknik huraian secara kronologi dan mendalam mungkin akan membuat anda keletihan ketika membaca. Sila berhenti membaca jika keletihan dan rehatkan mata anda dengan memandang objek yang jauh sehingga lega sebelum kembali menyambung bacaan. Alternatifnya, dicadangkan anda membaca sekali imbas (skimming) dan melihat imej-imej dalam artikel ini untuk mendapatkan idea berkenaan apa yang ingin disampaikan. Harap maklum. – AUDI FALIQ IBRAHIM

1990an – Zaman Disket 1.44MB

Sekeping gambar yang ditangkap menggunakan Samsung Galaxy S Advance bersaiz 5 MegaPixel akan memenuhkan keseluruhan kapasiti disket ini.
SEKEPING DISKET 1.44MB – Jika sebuah foto yang ditangkap oleh telefon bimbit Samsung Galaxy Advance yang berkeupayaan 5 Megapixel dimuatkan di dalam disket ini, ia akan mengambil hampir keseluruhan ruang yang ada!

Sekitar pertengahan tahun 90’an iaitu ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan dasar IT Budaya Hidup Kita (siapa masih ingat?), kadar penggunaan komputer secara perlahan-lahan meningkat di kalangan pengguna rumah. Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti skim pemilikan komputer melalui pengeluaran simpanan KWSP dan saluran pengedaran dan pembelian komputer melalui Pos Malaysia (ingat Skim Odasaja?) telah mendapat sambutan yang baik dan membantu meningkatkan kadar celik IT dan komputer di kalangan para remaja khususnya dan masyarakat amnya.

Komputer pada zaman itu juga ada pelbagai jenama, bukan sahaja Acer, HP dan Compaq, tetapi kita ada juga Gateway, Pineapple, Raffles, dan banyak lagi. Kebanyakan jenama-jenama ini sudah tidak wujud lagi pada masa kini.

Pada waktu itu saya masih menuntut di sekolah rendah, dan dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat pada ketika itu mula mendekati komputer dan belajar untuk menjadikan komputer sebahagian daripada ‘ahli keluarga’ mereka. Internet pada zaman itu adalah serba ringkas – tiada video, tiada muzik, tiada animasi Flash yang penuh bergaya – elemen tercanggih yang berada di laman web pada ketika itu adalah imej/gambar dan animasi GIF, dan amat-amat jarang untuk melihat laman web yang menghidangkan video lebih daripada seminit dan majoriti perlu menggunakan RealPlayer dan/atau QuickTime. Tiada video HD, apatah lagi yang bersaiz 240p.

Laman Web Yahoo Pada Tahun 1999. Ringkas (Dan Bosan) Kan?
LAMAN WEB YAHOO! PADA TAHUN 1999 – Tiada video, animasi Flash dan tiada interaktiviti canggih. Laman web pada era tersebut menggunakan elemen teks dan gambar.

Di zaman itu juga, tiada jalur lebar (broadband) untuk pengguna di rumah. Internet adalah Dial-Up – setiap kali online ketika itu jugalah talian telefon di rumah tidak akan dapat ditembusi. Juga, tiada istilah always online 24/7 kerana Internet pada masa itu dicaj pada kadar per minit. Lazimnya para pengguna akan meluangkan masa secara purata selama 30 minit sehingga 1 jam sehari untuk menggunakan Internet. Kelajuan adalah relatifnya amat primitif iaitu sekitar 40kbps dan ini bermaksud fail bersaiz sekitar 20MB akan mengambil masa kira-kira hampir 3 jam untuk selesai dimuat turun. Jika mahukan internet pantas untuk pengguna rumah, pilihan yang ada adalah ISDN, kelajuannya adalah sekitar 128kbps, dan amat mahal!

Tumpuan penggunaan Internet pada ketika itu adalah untuk menghantar dan menerima e-mel, mencari dan membaca maklumat serta berita. E-mel yang popular pada ketika itu adalah Hotmail (kini namanya Outlook.com), dan mungkin ramai yang tidak tahu Malaysia pernah ada penyedia perkhidmatan e-mel yang dipanggil WauMail. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan di Internet, tetapi salah satu perkara yang popular pada ketika itu adalah IRC.

WauMail - Penyedia E-Mel Percuma Malaysia. Sekarang Hanya Tinggal Sejarah.
WAUMAIL – Merupakan penyedia khidmat e-mel percuma yang berasal dari negara kita. Pada waktu tersebut, WauMail merupakan satu-satunya penyedia yang memberi pilihan pelbagai bahasa untuk lamannya (termasuk Bahasa Melayu). Kini ia hanya tinggal sejarah.

Internet Relay Chat (IRC) – IM Orang Dulu-Dulu

mIRC - Old Timer Internet sudah pasti kenal. /join #kampung
LOGO mIRC – Internet Relay Chat (IRC) merupakan medium komunikasi pelbagai pengguna di zaman awal penggunaan internet di Malaysia.

Jika anda lahir pada tahun 80an seperti saya, kemungkinan besar anda tahu akan IRC ini. IRC ataupun nama penuhnya Internet Relay Chat secara kasarnya lebih kepada bilik borak (chatroom) tetapi dibahagikan kepada beberapa saluran (channel) dengan topik-topik atau kumpulan-kumpulan tertentu. Klien (software) yang digunakan untuk mengakses IRC ini adalah mIRC (yang paling popular), walaupun ada beberapa klien alternatif yang lain.

IRC ini tidak seperti Yahoo Messenger atau WhatsApp, antaramukanya adalah amat crude dan tidak cantik. Sebagaimana chatroom yang lain, dalam satu-satu channel tersebut mungkin terdapat ratusan pengguna yang keluar dan masuk dan interaksi yang berlaku adalah amat pantas sehinggakan kadang-kadang sukar sedikit untuk mengikuti apa yang diperbincangkan. IRC bergerak menggunakan pelayan (server) khusus dan terdapat pelbagai server seperti DalNet, UnderNet dan sebagainya yang dihoskan di merata lokasi seluruh dunia.

MIRC Screenshot
ANTARAMUKA (UI) mIRC – Amat ringkas dan berfokus kepada kandungan. Pengguna perlu menghubungi server khas IRC seperti UnderNet/DalNet sebelum dapat masuk ke channel yang dikehendaki. Antara channel yang popular di Malaysia pada ketika itu adalah #kampung.

Saya sendiri merupakan salah seorang pengguna IRC yang aktif suatu masa dahulu walaupun bukanlah pengguna tegar. Nama pengguna saya dalam IRC adalah @DiGiMon (Hahaha…) dan channel yang sering saya masuk adalah #kampung. Terdapat pelbagai channel yang terdiri daripada para pengguna Malaysia dan menggunakan Bahasa Melayu. Juga, sebagai pengguna IRC beberapa arahan (command) asas perlu diketahui untuk memudahkan penggunaan. Antara command yang saya masih ingat adalah /join untuk masuk ke dalam channel tertentu dan beberapa lagi yang saya sudah lupa.

Twitter mungkin telah mempopularkan semula penggunaan hashtag # dan alias @ yang sudah pasti diambil daripada dunia IRC.

Walaupun IRC ini nampak terlalu ringkas, tetapi jika kita sudah mahir selok-belok command-command dan juga scriptingnya, ia boleh digunakan untuk menghantar fail seperti gambar-gambar ataupun yang paling kasar, untuk banned satu-satu user itu daripada masuk dalam channel tertentu. Kelemahan IRC ini adalah kita tidak tahu latar belakang para pengguna yang menyertai satu-satu channel itu dengan jelas (identiti hanya berasaskan username dan tiada profile page) dan sesiapa sahaja boleh menipu umur dan lokasinya. IRC ini jugalah yang pernah menjadi isu di negara kita yang melibatkan penipuan kepada para gadis remaja dan penyebaran gambar lucah artis-artis tempatan.

Kelemahan-kelemahan IRC (dan chatroom lain) inilah yang melahirkan sistem IM yang lebih kemas.

ICQ dan AOL Instant Messenger – Pelopor IM

ICQ - Ingat bunyi hon keretapi memanjang?
LOGO ICQ – Merupakan aplikasi IM terawal yang muncul dan sezaman dengan AOL Instant Messenger. ICQ terkenal dengan login alert nya yang merupakan bunyi hon keretapi.

Ciri public chatroom seperti IRC yang tiada sistem pengenalan diri yang sempurna sedikit sebanyak akan mendedahkan diri para penggunanya kepada ancaman sekuriti dan penyalahgunaan identiti. Walaupun IRC sebagai contoh membezakan setiap para pengguna melalui username, namun username ini bukanlah milik penuh pengguna tersebut, dan ini bermakna apabila seseorang pengguna itu keluar dari sistem IRC, username nya boleh digunakan oleh orang lain.

Sekitar awal tahun 2000, sistem IM yang lebih selamat untuk pengguna diperkenalkan. Umum bersetuju bahawa pelopor-pelopor sistem IM yang kemas adalah American Online melalui AOL Instant Messenger nya, dan juga ICQ yang dibangunkan oleh pihak Mirabilis. AOL Instant Messenger kurang popular di kalangan pengguna Malaysia dan lebih banyak digunakan oleh pengguna Amerika Syarikat. Sebahagian besar pengguna Internet Malaysia lebih gemar menggunakan ICQ.

ICQ (dikatakan merupakan singkatan untuk I Seek You) merupakan sistem IM yang memerlukan penggunanya untuk mengesahkan (approved) sesiapa yang ingin menjadi kenalan sebelum memulakan sesi interaksi. Sistem approval ini dapat mengurangkan isu sekuriti di mana pengguna berkuasa untuk meluluskan permohonan (request) mereka yang benar-benar dikenali dan bukannya orang asing yang tiada kaitan terus. ICQ juga memerlukan penggunakan mengisi borang profil yang bertanyakan maklumat asas seperti umur, lokasi, nama penuh, nama timangan dan sebagainya bagi membolehkan potensi kenalan dan pengguna ICQ yang lain mengetahui siapa yang membuat request tersebut. Konsep request-approve ini yang kemudiannya diikuti oleh hampir semua vendor IM yang terkemudiannya.

ICQ ini turut digunakan oleh saya sebagai platform untuk perbincangan dengan rakan-rakan sekelas (ketika itu saya menuntut di sekolah menengah). Uniknya ICQ ini adalah setiap pengguna akan diberikan nombor siri 7 angka sebagai username dan untuk menambah kenalan yang lain, nombor siri individu terbabit perlulah diketahui terlebih dahulu dan diinput di dalam ICQ. Tiada username menggunakan alphanumeric pada ketika itu (tahun 2000+). Menjadi trend pada zaman tersebut untuk bertanya nombor ICQ seumpama bertanya nombor telefon bimbit.

Ciri-ciri yang ditawarkan oleh ICQ adalah serupa dengan apa yang ditawarkan oleh sistem IM pada masa kini. Selain berborak secara individu atau berkumpulan, penghantaran fail juga boleh dibuat sesama pengguna.

Perkara yang paling diingati oleh saya semasa menggunakan ICQ ini adalah bunyi login nya. Selepas berjaya login ke dalam sistem, ICQ akan mengeluarkan bunyi hon keretapi yang amat panjang dan jika anda terlupa menurunkan volume speaker, bersedialah untuk terkejut. Hahaha…

Alaf Baru 2000 – Zaman Pendrive dan Memory Card – 128MB

Pernah jumpa Pendrive 64MB? Pada masa dahulu, ia pernah wujud dan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan.
PEMACU KILAT DAN KAD MEMORI – Pengenalan kedua-dua peranti ini telah mengubah bagaimana data dapat dikongsi dan digerakkan dalam kapasiti yang lebih besar.

Bermula pada tahun 2000 dan ke atas, kadar celik IT dan teknologi di kalangan rakyat Malaysia adalah membanggakan dan komputer tidak lagi dianggap sebagai peralatan pejabat semata-mata. Pada masa inilah pelbagai inovasi teknologi daripada sudut peranti (hardware) dan perisian (software) dapat dilihat dan diadaptasi oleh hampir kesemua lapisan masyarakat.

Disket sudah mula diancam kepupusan bermula pada era ini, dan penggunaan pemacu kilat (flashdrive/pendrive) sudah mula meluas. Kapasiti pendrive yang bermula dari 128MB dan mahal harganya sudah mula meningkat sedikit demi sedikit dan harga juga semakin menurun ke tahap mampu milik. Sekitar tahun 2005, saya membeli pendrive 512MB dengan harga RM100. Bayangkan berapa kapasiti yang boleh dibeli dengan harga tersebut pada hari ini (2013)?

Internet juga sudah menampakkan kemajuan dengan jalur lebar sudah boleh diakses daripada rumah dengan kelajuan yang lebih munasabah. Laman web juga sudah mula menunjukkan kreativiti dan tidak terhad lagi dengan kandungan teks dan animasi GIF semata-mata. Lagu dalam format mp3 sudah mula popular dan pelbagai pemain mudah alih mp3 mula terjual.

Juga tidak dilupakan, laman sosial mula berkembang pada awal 2000 dan ‘King of The Hill’ pada zaman tersebut adalah MySpace dan Friendster sebelum dihapus daripada sejarah oleh Facebook, Twitter dan Google Plus pada hari ini. Pada ketika itu, tiada perasaan malu untuk meminta testimonial daripada rakan untuk ditulis dalam wall Friendster dan golongan perempuan akan pimp-up laman profile MySpace mereka dengan pelbagai kod CSS dan animasi yang kadang-kala membuatkan pelayar web menjadi sejuk beku (freeze) dan terhentak (crash).

Satu lagi – Google di era awal 2000 masih lagi dalam kategori underdog dan pada ketika itu, Yahoo lebih popular.

Dominasi Yahoo Messenger & Windows Live Messenger

Yahoo Messenger - Secara relatifnya masih lagi popular
YAHOO! MESSENGER – Aplikasi IM yang mempopularkan penggunaan IM di kalangan rakyat Malaysia. Boleh dikatakan semua pengguna Internet di Malaysia mempunyai akaun Yahoo! Messenger dan sekaligus Yahoo! Mail.

Pelopor perisian IM seperti ICQ dan AOL Instant Messenger sudah mempunyai pesaing era baru yang lebih kukuh iaitu Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Kedua-dua perisian ini mengetengahkan antaramuka (interface) yang lebih segar dan juga integrasi secara terus dengan akaun e-mel. Integrasi terus dengan akaun e-mel bukanlah perkara baru tetapi dilaksanakan dengan lebih sempurna dan kemas oleh Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger.

Juga, Yahoo dan Windows Live juga telah memudahkan proses menambah kenalan iaitu melalui penggunaan alamat e-mel yang lebih mudah untuk dihafal berbanding nombor siri yang digunakan oleh ICQ. Ditambah dengan kekuatan user base masing-masing melalui akaun e-mel Yahoo dan Hotmail, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger mendapat tempat di kalangan generasi baru pengguna IM.

Ketika saya di universiti (2005+), Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger ini digunakan secara meluas dan ICQ secara teknikalnya telah pupus dalam diam. Di antara keduanya, Yahoo Messenger secara relatifnya mempunyai lebih ramai pengguna berbanding Windows Live Messenger. Salah satu faktor pendorong (pada pendapat saya) adalah branding Yahoo adalah lebih kuat pada ketika itu dan jika seseorang itu mahu membuka akaun e-mel berasaskan web, kecenderungan untuk memilih Yahoo adalah lebih tinggi daripada Hotmail.

Hotmail pada ketika itu dianggap sebagai old-school brand dan GMail masih lagi merupakan by invitation only.

2005 – Era Mobiliti Bermula

Ini adalah ikon kepada hampir semua rakyat Malaysia.
NOKIA 3310 – Merupakan successor kepada model 3210, telefon bimbit ini walaupun amat ringkas pada rekaannya, tetapi menjadi idaman semua orang yang ingin menggunakan telefon bimbit pada waktu itu. Harganya di waktu pelancaran adalah RM1000 ke atas!

Selain peningkatan dalam penggunaan komputer, kadar penembusan untuk penggunaan telefon bimbit telah mula menunjukkan corak peningkatan bermula pada awal tahun 2000 dan meningkat dengan drastik tahun ke tahun. Ini didorong oleh keputusan kerajaan untuk meliberasikan pasaran dan pengenalan pakej prabayar mampu milik oleh lima operator utama pada ketika itu iaitu Celcom, Maxis, DiGi, TMTouch dan TIMECel.

Akses Internet melalui telefon bimbit mula mendapat tempat selepas pengkomersialan sistem rangkaian 3G secara meluas di seluruh negara sekitar tahun 2005  ke atas. Sistem data untuk telefon bimbit sebenarnya sudah wujud lebih awal iaitu pada awal tahun 2000 melalui sistem paket data GPRS dan EDGE tetapi penggunaannya tidak terlalu meluas kerana caj yang mahal dan model telefon bimbit yang menyokong sistem paket data juga amat terhad. Tambahan, liputan data pada ketika itu amat kecil dan tidak konsisten.

Pengguna telefon bimbit di Malaysia pada ketika itu lebih suka menggunakan SMS sebagai medium untuk berinteraksi sesama kenalan dan penggunaan SMS melonjak dengan amat tinggi selepas perjanjian inter-operatibility yang ditandatangan oleh lima operator utama pada tahun 2000 (sebelum itu, SMS hanya boleh dihantar dalam rangkaian yang sama). Dengan persaingan untuk mendapatkan pelanggan di kalangan remaja, setiap operator bersaing sesama sendiri mengeluarkan pakej prabayar yang memberi fokus kepada kadar SMS yang lebih murah.

Aplikasi mig33 yang dijalankan pada telefon NOKIA N82.
APLIKASI mig33 – Aplikasi ini bukan IM yang sebenar tetapi lebih merupakan proksi kepada aplikasi Yahoo! Messenger dan Live Messenger yang berasaskan Java MIDP. Petikan skrin ini adalah aplikasi mig33 yang dijalankan di telefon bimbit Nokia N82 saya.

Apabila rangkaian paket data sudah meliputi hampir semua bandar-bandar utama dengan kualiti yang konsisten serta pengenalan pakej pelan data yang lebih mesra pengguna, maka sedikit demi sedikit take-up rate untuk penggunaan data meningkat. Tambahan pula, harga telefon bimbit berkeupayaan data juga sudah semakin murah dan mampu dimiliki oleh majoriti pengguna telefon bimbit. Jika disebut istilah telefon pintar pada waktu itu, ia merujuk pada telefon bimbit berkeupayaan data sekurang-kurangnya 3G dan menjalankan sistem operasi Symbian OS, dan pengeluar yang menghasilkan model yang memiliki ciri-ciri ini adalah NOKIA, Sony Ericsson dan Motorola.

Menyentuh berkenaan keupayaan IM di telefon bimbit, pada sekitar tahun 2005, tiada sebarang aplikasi IM khusus untuk telefon bimbit berkeupayaan data. Aplikasi yang ada merupakan klien pihak ketiga (third party client) yang memberi akses kepada IM di komputer seperti Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger. Saya menggunakan aplikasi yang diberi nama mig33 untuk mengakses Yahoo Messenger dan Windows Live Messenger melalui telefon NOKIA N82. Aplikasi ini adalah Java-based dan ini bermaksud telefon bimbit yang berkeupayaan data dan menyokong Java MIDP boleh menggunakannya.

Pengalaman saya semasa menggunakannya, aplikasi ini pada dasarnya sudah cukup canggih pada ketika itu dan harus diingatkan tidak banyak aplikasi berasaskan Java yang mampu memberikan akses hampir lengkap kepada semua fungsi IM sebagaimana yang biasa kita gunakan di komputer. Kekangan pada ketika itu hanyalah pakej data yang mahal dan harus diambil maklum bahawa penggunaan WiFi pada ketika itu belum cukup popular di telefon bimbit kerana tidak banyak telefon bimbit yang menyokong WiFi dan kepelbagaian standard WiFi yang boleh memeningkan pengguna biasa.

IM Generasi Baru – Mobiliti Sepenuhnya

WhatsApp, Viber, WeChat, Line, BBM - Begitu banyak pilihan, semua pun boleh!
APLIKASI IM ERA BARU – Bermula dengan WhatsApp, kini terdapat pelbagai aplikasi IM yang berasaskan platform telefon pintar seperti Viber, WeChat, Line dan pelbagai lagi. Vendor telefon pintar tidak ketinggalan menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri seperti BlackBerry dengan BlackBerry Messenger dan Samsung dengan ChatOn.

Jika saya katakan bahawa Yahoo Messenger (dan IM berasaskan PC yang lain) diancam kepupusan, setujukah anda?

Trend terkini menunjukkan bahawa penggunaan IM telah berpindah (shift) hampir sepenuhnya daripada cara tradisional (komputer) kepada cara mudah alih. Mutakhir ini telefon pintar bukan lagi satu peranti yang mahal dan terhad kepada golongan bangsawan tetapi boleh dikatakan semua lapisan umur sudah mula menggunakan telefon pintar. Penggunaan meluas telefon pintar telah membawa kepada penurunan harga (konsep economies of scale) dan dengan harga serendah RM300, kita boleh membeli sebuah telefon pintar yang berkeupayaan data 3G. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila melihat pelajar sekolah rendah menggunakan telefon pintar yang kadang-kala lebih canggih daripada yang digunakan oleh kita!

Telefon pintar masa kini berkeupayaan untuk memasang aplikasi yang ciri-cirinya adalah setanding dengan program di komputer kerana keupayaan telefon pintar sedikit sebanyak menyamai keupayaan komputer itu sendiri. Maka jika sebelum ini aplikasi IM untuk telefon bimbit lebih menfokuskan sebagai proksi kepada sistem IM di PC, mutakhir ini aplikasi IM untuk telefon pintar adalah 100% dijalankan di telefon itu sendiri tanpa ada kaitan atau campur tangan komputer.

WhatsApp
LOGO WHATSAPP – Antara pelopor aplikasi IM di telefon pintar.

Pelbagai aplikasi IM untuk telefon pintar yang boleh digunakan dan antara beberapa nama yang popular adalah WhatsApp, Viber, WeChat, Line, Kakao Talk dan banyak lagi. Di Malaysia, saya mendapati WhatsApp masih lagi menjadi kegemaran rakyat Malaysia untuk berinteraksi dengan pendatang baharu WeChat turut mula mendapat tempat. Lazimnya para pengguna akan memasang semua aplikasi IM yang ada di dalam telefon pintar mereka untuk memastikan mereka mendapat akses yang maksimum kepada semua rakan-rakan. Di samping itu, hampir semua vendor IM ini menghasilkan aplikasi mereka untuk semua platform sistem operasi (OS) telefon pintar yang digunakan di pasaran, dan ini merupakan satu langkah bijak dan memudahkan pengguna yang menggunakan pelbagai sistem OS.

Vendor IM tradisional seperti Yahoo dan Microsoft (Live Messenger) juga ada menghasilkan aplikasi untuk telefon pintar tetapi apa yang saya dapat perhatikan, tidak ramai yang menggunakan Yahoo mahupun Live Messenger di telefon pintar mereka. Salah satu faktor adalah majoriti daripada kita telah terbiasa dengan anggapan bahawa Yahoo Messenger dan Live Messenger adalah program PC dan versi untuk telefon pintar adalah inferior (walaupun tidak begitu). WhatsApp dan lain-lain IM bermula dari platform telefon pintar dan sudah sebati dengan sistem operasi telefon pintar itu sendiri.

Juga dapat dilihat, trend di mana laman sosial turut menghasilkan aplikasi IM mereka sendiri, seperti Facebook dengan Facebook Messenger dan Google Plus dengan Google Messenger (dikatakan Google akan menggabungkan aplikasi Google Talk yang kurang digunakan bersama Google Messenger) di mana aplikasi IM ini diintegrasi sepenuhnya dengan laman sosial masing-masing bagi mewujudkan seamless experience.

Sememangnya yang mendapat manfaat adalah kita sebagai pengguna, namun operator rangkaian sudah mula rasa terancam dengan penggunaan aplikasi IM yang semakin meluas. Mengapa?

Keupayaan aplikasi IM untuk berkongsi elemen multimedia selain teks adalah satu 'ancaman'.
WHATSAPP DI TELEFON PINTAR BERASASKAN ANDROID – Aplikasi IM seperti ini sudah mula menjadi ancaman kepada operator rangkaian kerana lebih cekap dan mampu menghantar elemen multimedia seperti gambar, video dan bunyi berbanding sistem tradisional SMS dan MMS yang mempunyai kekangan.

Lihat petikan skrin untuk aplikasi WhatsApp di atas, apa yang para pembaca boleh rumuskan dan kaitan dengan ancaman kepada operator rangkaian? Sebenarnya secara tidak langsung, penggunaan IM seperti WhatsApp yang semakin meluas telah mengancam sumber pendapatan utama kebanyakan operator iaitu – SMS. Berbanding dengan SMS yang dicaj bagi setiap mesej yang dihantar keluar, jika menggunakan IM, kita boleh menghantar seberapa banyak mesej tanpa dicaj bagi setiap salah satunya. Tambahan pula, aplikasi IM membolehkan kita bukan sahaja menghantar teks, tetapi elemen-elemen multimedia seperti gambar beresolusi tinggi, bunyi dan juga video di mana sistem MMS pun tidak mampu melaksanakannya.

Viber
LOGO VIBER – Keupayaan aplikasi IM yang sudah mampu membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data merupakan satu ‘ancaman’.

Sukacita juga dimaklumkan, kebanyakan aplikasi IM ini bukan sahaja mampu menghantar dan menerima pesanan, tetapi juga sudah berkeupayaan membuat panggilan suara dan video melalui rangkaian data (contoh seperti Viber, Skype, WeChat). Dan ini sudah pasti ‘menambah garam pada luka’ yang dialami oleh para operator rangkaian yang sudah pening melihat pendapatan SMS mereka menurun pada hampir setiap suku kewangan.

Sebahagian mungkin menegaskan bahawa operator tidaklah mengalami impak yang besar daripada penurunan penggunaan SMS (dan suara) kerana para pengguna masih perlu melanggan pelan data untuk menggunakan aplikasi-aplikasi ini dan operator rangkaian boleh merancang pelbagai pelan data yang bersesuaian mengikut kumpulan-kumpulan ini. Ada kebenarannya pendapat ini, tetapi secara peribadi, ia sebenarnya tidak cukup dan masih menjadi satu ancaman kerana ada faktor ini – WiFi. Berikut adalah pendapat peribadi saya;

Seorang individu biasa yang memiliki telefon pintar tanpa pelan data masih lagi boleh menggunakan aplikasi IM dan lain-lain aplikasi berasaskan Internet dengan menggunakan WiFi. Jika dihitung bilangan jam di mana seseorang individu itu berada, sudah pasti kebanyakan masanya akan diluangkan di rumah dan pejabat. Di kedua-dua tempat ini (rumah dan pejabat), lazimnya sudah tersedia rangkaian WiFi yang stabil dan laju maka secara logik, individu ini akan menggunakan rangkaian WiFi yang disediakan dan sekaligus melangkau (bypass) operator rangkaian mereka! Malah, di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah, terdapat rangkaian WiFi percuma disediakan dan ini juga satu bonus untuk individu ini tetapi satu sumpahan (curse) untuk operator rangkaian.

Jika Operator tidak merasa terancam, mengapa pakej seperti ini perlu dihasilkan? ;-)
PELAN PRABAYAR BERASASKAN SOSIAL – Operator rangkaian sudah mula menyedari ancaman yang dibawa oleh aplikasi IM ini dan hasilnya mencipta pakej yang mengintegrasikan secara terus akses kepada aplikasi-aplikasi tersebut dengan bayaran yang tetap.

Maka sekali lagi ditegaskan, ketiadaan pelan data bukan satu masalah besar kepada para pengguna telefon pintar kerana hampir semua tempat sudah disediakan akses WiFi. Malah, majoriti rakan-rakan saya yang menggunakan telefon pintar mengakui tidak melanggan pelan data dan menggunakan WiFi sebagai sumber data.

Saya pasti operator rangkaian sedar berkenaan perkara ini, dan mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan menaikkan harga pelan data atau mewajibkan langganan data kerana ini akan mengundang protes pelanggan dan boleh diambil kesempatan oleh operator pesaing. Jika anda lihat, ketiga-tiga operator utama (Celcom, Maxis, dan DiGi) sudah memperkenalkan pelan khas pakej sosial di mana memberi akses tanpa had (maksudnya tiada caj data) kepada aplikasi IM WhatsApp.

Kesimpulan

Evolusi penggunaan Instant Messaging (IM) yang dihuraikan sedikit sebanyak telah menyedarkan kita bahawa konsep tradisional dalam membuat sesuatu perkara itu boleh berubah seiring dengan kemajuan dan kecekapan teknologi yang ada. Evolusi ini bukan terhad hanya kepada IM sahaja, tetapi boleh dikatakan semua jenis pekerjaan sudah mula menfokuskan kepada konsep mobiliti dan tidak lagi statik pada satu ruang dan masa. Dengan keupayaan telefon pintar/tablet yang menyamai keupayaan komputer tradisional, tidak mustahi suatu masa nanti, pejabat tidak wujud secara fizikal dan hanya wujud dalam bentuk digital.

P/S: Untuk mengemaskini blog ini pun sudah tidak mewajibkan saya duduk di hadapan laptop, kerana aplikasi WordPress sudah dihasilkan untuk telefon pintar sebagaimana petikan skrin di bawah. Mungkinkah komputer tradisional yang kita gunakan hari ini bakal menjadi sejarah satu hari nanti?

Screen_20130425_113356
APLIKASI WORDPRESS UNTUK BLACKBERRY – Kini blog pun sudah boleh ditadbir melalui telefon pintar.