Duit Raya


DUIT RAYA itu sedekah.

Bukan bayaran, bukan yuran, bukan wajib. Kalau mampu, beri. Jika tidak mampu, jangan rasa ralat.

Sedekah itu dengan keikhlasan, bukan terpaksa, bukan juga sebab nak jaga ‘air muka’ dan bermegah.

Jangan dicela dan diungkit kenapa hanya dapat sekian-sekian, kenapa tidak dapat, atau dibandingi dan mengemis.

Di mana sifat syukur kalau begitu? Semoga Allah SWT betulkan niat kita.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 17 April 2024.

Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Bagi Ramadan 1445H • 2024M


Di sini saya kongsikan senarai jadual waktu Imsak dan Berbuka Puasa bagi Ramadan tahun 1445H/2024M untuk semua negeri dan wilayah di Malaysia. Sumber data adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Anda boleh muat turun risalah penuh iaitu yang menghimpunkan semua jadual waktu Imsak dan Berbuka Puasa setiap negeri, atau muat turun jadual waktu negeri atau zon yang tertentu sahaja. Saya sertakan pautan untuk risalah penuh dan setiap negeri/zon. Semua fail dalam format PDF;

MUAT TURUN Jadual Penuh Waktu Imsak dan Berbuka Puasa Ramadan 1445H • 2024M Malaysia (semua negeri dan zon). Untuk negeri dan zon yang lebih spesifik, sila pilih di bawah untuk muat turun.

NEGERI JOHOR

NEGERI KEDAH

NEGERI KELANTAN

NEGERI MELAKA

NEGERI SEMBILAN

NEGERI PAHANG

NEGERI PERAK

NEGERI PERLIS

NEGERI PULAU PINANG

NEGERI SABAH

NEGERI SARAWAK

NEGERI SELANGOR

NEGERI TERENGGANU

WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Anda bebas untuk berkongsi risalah dan pautan ini kepada rakan-rakan yang lain. Penelitian sewajarnya telah dilaksanakan ketika menyiapkan jadual-jadual ini. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, saya memohon maaf dan rujukan muktamad andai berlaku kekhilafan adalah data dan jadual yang dikeluarkan oleh JAKIM.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang lebih bersungguh untuk melakukan ibadah dan amal kebaikan demi keredaan Allah SWT.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 25 Februari 2024

SPM Tak Bernilai Kau Kata? ðŸ˜ 


Gambar dijana oleh AI.

Baru-baru ini, ada pempengaruh atau influencer memberikan pendapat bahawa hadir (belajar) ke sekolah hanya membuang masa, dan peperiksaan SPM itu tidak penting. Kenyataan pempengaruh itu telah mencetuskan kecaman dan perbincangan yang agak hangat di kalangan warganegara. Ada yang menyokong, dan ada yang tidak bersetuju.

Pempengaruh itu orang muda, dan daripada gayanya sudah pegang banyak duit. Dia merasakan telah berjaya mengikut kayu ukurnya, iaitu pemilikan aset dan material pada zaman ini. Persoalannya, betulkah bersekolah itu perbuatan sia-sia, dan peperiksaan itu membuang masa?

Saya menjadi geram apabila membaca dan mendengar kenyataannya.

Betul, setiap orang bebas memberi pendapatnya. Itu pendapat dia, dan dia berpegang kepadanya. Tetapi orang lain juga ada pendapat dan hujahan, dan saya tidak bersetuju dengan pendapat pempengaruh itu. Saya bentangkan hujahan saya.

Menuntut ilmu itu merupakan satu proses dalam kehidupan seorang manusia, dan untuk seorang Muslim, ianya adalah wajib sebagaimana disebutkan dalam hadis;

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap orang Islam. (HR : Ibnu Majah)

sumber: Portal Majlis Agama Islam Selangor

Menuntut ilmu itu secara adabnya adalah kita belajar dengan orang yang lebih arif tentang ilmu berkenaan, iaitu dengan guru. Berguru ada pelbagai cara antaranya melalui sekolah atau institusi pengajian yang formal. Sekolah itu adalah sebahagian daripada perjalanan kehidupan seorang manusia yang normal. Betul, ada yang belajar bukan melalui sekolah, tetapi itu kes yang sangat kecil tetapi asasnya tetap sama – perlu berguru.

Selepas ibu bapa kita, insan yang bertanggungjawab memberi kita adalah guru. Dalam konteks negara Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan apabila ibu bapa tidak menghantar anak mereka menerima pendidikan di sekolah sebagaimana yang disebutkan dalam Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib;

“Setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa, anak itu didaftarkan di sekolah rendah . Tempoh pendidikan wajib adalah selama enam tahun, iaitu tempoh pendidikan rendah.”

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) : Subseksyen 29A(1), (2), (3) dan (4); Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah tahun 2003.

Baik, sekolah rendah adalah wajib, manakala sekolah menengah (setakat pembacaan saya) tidak wajib. Tetapi adat kebiasaan, selepas tamat sekolah rendah, kita akan teruskan ke peringkat menengah. Setiap pelajar di Malaysia, secara normal, akan menghabiskan sebelas (11) tahun di sekolah iaitu 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah.

Sepanjang masa kita di sekolah, kita akan belajar melalui guru, mengikut sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan, dan dinilai tahap pemahaman dan penguasaan melalui ujian serta peperiksaan. Itu adalah process flow yang normal. Justeru, ujian dan peperiksaan itu adalah kayu ukur untuk menguji keberkesanan kita menghadam ilmu yang diajar, dan kayu ukur juga kepada guru untuk melihat sama ada proses pengajaran itu berkesan atau sebaliknya.

Saya lahir pada era tahun 80’an, dan untuk kami yang lahir di era ini, selain daripada ujian dan peperiksaan peringkat sekolah, kami akan menempuh tiga peperiksaan utama peringkat nasional, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Cuma ketika zaman saya bersekolah semasa darjah tiga tahun 1996, ada satu peperiksaan nasional yang dinamakan Penilaian Tahap Satu (PTS) untuk melompat darjah, tetapi telah dimansuhkan beberapa tahun selepas itu.

Hari ini, peperiksaan peringkat nasional yang tinggal adalah SPM. UPSR dan PMR telah dimansuhkan dan digantikan dengan penilaian di peringkat sekolah. Isu pemansuhan ini juga mengundang pelbagai pendapat, tetapi saya secara peribadi merasakan pemansuhan UPSR dan PMR itu kurang sesuai. Peperiksaan itu perlu, cuma kita perlu ubah proses pembelajaran dan pengajaran itu supaya tidak terlalu keras mengejar gred A dan exam oriented. Apa juga gred yang dicapai pelajar, itulah refleksi usaha yang dilakukannya. Biar dia menilai diri sendiri, dan guru hanya perlu membimbing apakah langkah seterusnya. Guru perlu berperanan sebagai coach dan bukan mengejar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berasaskan gred pelajar semata-mata.

Justeru SPM (dan sijil-sijil peperiksaan) itu sangat bernilai. Itulah kunci untuk kita membuka jalan ke peringkat seterusnya dalam kehidupan, tidak kira sama ada hendak melanjutkan pelajaran ke universiti atau pun tidak. Realitinya, salah satu cara masyarakat menilai dan menghormati keperibadian seseorang adalah melalui tahap pendidikan, dan ia diterjemahkan melalui sijil-sijil seperti SPM ini. Bayangkan jika kita gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah misalnya, apakah persepsi masyarakat kepada kita? Sekaya mana pun seseorang itu tetapi jika tahap keilmuannya rendah, orang tidak akan ada rasa hormat, kecuali mereka yang memuja aspek harta atau ada niat peribadi yang lain.

Allah SWT telah menjamin darjat orang-orang yang berilmu (dan beriman) bahawa mereka akan dihormati sebagaimana difirmankan;

“Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”

Al-Quran, Surah Al-Mujadalah, ayat 11

Baik, kenapa kita perlu pergi sekolah?

Di sekolah, kita belajar untuk membangunkan kemahiran sosial dan emosi diri. Kita belajar untuk berkawan, memberi dan berbeza pendapat, bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama, rasa sedih dan dikecewakan, serta mengamalkan adab bersama guru dan rakan-rakan. Sekolah merupakan batu asah dan semakin kita meningkat darjah, kita belajar cabaran-cabaran juga pengalaman baru. Ini adalah ilmu yang bukan formal.

Rakan-rakan di sekolah terdiri daripada pelbagai latar belakang, dan kita boleh melihat dan belajar daripada cara mereka berfikir, membuat keputusan, dan bertindak. Kita juga belajar daripada guru, selain daripada mata pelajaran, kita boleh meminta pandangan dan nasihat mereka selaku orang yang lebih berpengalaman dan telah melalui cabaran hidup. Ini semua akan mencorak cara kita berfikir, wayang minda kita, dan world view kita.

Berbalik pada penyataan di awal artikel ini, saya tegaskan di sini pergi ke sekolah itu bukan sesuatu yang sia-sia, dan peperiksaan itu adalah perlu sebagai kayu ukur bagi menilai pencapaian diri kita. Justeru, saya tidak bersetuju dengan kenyataan pempengaruh berkenaan.

Jika anda boleh menjana pendapatan dan kaya raya tanpa perlu pergi sekolah, bersyukurlah atas kurniaan rezeki daripada Allah SWT, tetapi jangan rasa riak  dengan pencapaian anda sehingga secara tidak langsung memperkecilkan jasa guru-guru yang mengajar anak bangsa dan mereka yang memilih untuk menuntut ilmu dalam aliran akademik. Harta kekayaan itu daripada satu aspek lain, adalah ujian yang berat daripada Allah SWT.

Akhir kata, soalan terakhir saya kepada pembaca: Andaikan ada dua orang influencer – seorang dengan kelulusan akademik dan ikhtisas yang baik, dan seorang lagi tidak pergi ke sekolah dan menduduki peperiksaan. Jika kedua-duanya diminta memberi pendapat tentang sesuatu isu, yang mana satu anda akan lebih percaya?

AUDI FALIQ BIN IBRAHIM
Petaling Jaya, 28 Januari 2024

Sahih, Daif dan Palsu


Dahulu apabila saya mendengar atau membaca Hadis Nabi S.A.W. , saya hanya beri tumpuan pada maksud dan pengajaran Hadis, dan tidak berapa peduli kepada sisi teknikal seperti sejarah periwayatan, lafaz/matan, dan sanad. Asalkan Hadis itu disebut sahih dan diungkap (quote) oleh kebanyakan penceramah serta agamawan, maka mengikut kefahaman saya, ia boleh diamalkan.

Namun selepas saya membaca dan mengkaji sejarah bagaimana Hadis mula dikumpul, serta piawaian bagaimana ia diteliti, disemak dan dikategorikan, ia membuka minda saya tentang betapa tegasnya Ulama-Ulama Hadis dalam memastikan ketulenan Hadis, bagi memelihara integriti Sabda dan perbuatan yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W.

Hasil daripada jasa Ulama-Ulama dan pakar Hadis, hari ini kita dapat membaca Hadis yang disahkan ketulenannya, kenal hadis yang lemah, dan pendustaan atas nama Rasulullah menggunakan Hadis. Integriti agama Islam kekal terpelihara sehingga hari ini, dan kita selaku orang awam akan lebih berhati-hati dan tidak menerima bulat-bulat dengan apa yang disampaikan. Kita juga tidak sewenang-wenang menyebar sesuatu yang didakwa daripada Rasulullah kerana ada peringatan keras daripada Baginda S.A.W. sendiri;

“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka”

Riwayat al-Bukhari (110)

Dalam soal beragama, kita sangat particular dan seharusnya memang wajib begitu. Bermaksud, orang Islam perlu ada nilai integriti, amanah dan bertanggungjawab dalam menerima, memahami dan menyebar maklumat. Tidak semberono percaya sesuatu khabar, maklumat atau tawaran tanpa mengkaji, dan menyebar tanpa berfikir panjang.

Sayangnya, masih ramai lagi mudah percaya dengan khabar dan maklumat yang diterima tanpa membuat semakan serta penelitian. Kumpulan ini lebih teruja untuk segera berkongsi kaw-kaw untuk menjadi yang pertama menyebar berita sensasi. Apabila berlaku isu negatif, masing-masing lepas tangan dan tidak mahu mengambil tanggungjawab.

Metodologi sebagaimana kajian Hadis perlu diaplikasikan oleh kita. Apabila kita menerima sesuatu maklumat, semak sanad atau punca maklumat tersebut, siapa yang membawa maklumat tersebut – adakah ia individu atau institusi yang dipercayai (tsiqah) atau ada isu integriti sehingga boleh ditolak. Adakah maklumat tersebut juga dilapor atau dicerita daripada sumber/jalur yang lain untuk menguatkan, dan bagaimana pula isi kandungannya (matan) – adakah logik, rasional atau karut.

Jika maklumat itu benar-benar sahih dan sesuai dikongsi untuk manfaat yang lain, teruskan. Jika maklumat tersebut meragukan, atau tiada sandaran lain yang menguatkan, jadi ianya daif maka simpan sahaja untuk diri sendiri. Tetapi jika maklumat itu terang-terangan tidak berasas, ada kebodohan dan pembohongan, maka jangan ditekuni dan dikongsi kepada orang lain.

Budaya ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi‘ dan mengambil sikap berjaga-jaga dalam menerima maklumat perlu disemarakkan di kalangan masyarakat untuk mengurangkan penyebaran maklumat palsu yang mungkin boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat. Dengan perkembangan teknologi zaman sekarang, maklumat menjadi terlampau banyak, mudah diakses, serta disebarkan tanpa mengira tulen atau palsu. Justeru, kemahiran menapis dan menyemak kesahihan maklumat perlu diajar sejak usia muda untuk membina pola pemikiran yang berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab.

AUDI FALIQ BIN IBRAHIM
Petaling Jaya, 21 Januari 2024

Melayu Muhsin, Kaizen, dan Nostalgia


Kita perlu akui satu perkara – masyarakat kita kebanyakannya telah berasa selesa dengan keadaan yang sedia ada. Sudah berada dalam comfort zone, mengapa perlu menyusahkan diri?

Kerisauan paling besar adalah apabila ada di kalangan anak-anak muda mempunyai pola pemikiran atau mindset yang menganggap belajar itu membuang masa, dan sesiapa pun boleh berjaya walaupun tidak pergi ke sekolah atau universiti. Lebih parah lagi, apabila ada beberapa influencer muda yang kebetulan tidak berpendidikan tinggi, mempamerkan kejayaan mereka dan seolah-olah mengajak anak-anak muda mencontohi jejak langkah mereka.

Kita juga membaca dan mendengar, ada anak-anak muda yang tamat persekolahan tidak mahu melanjutkan pelajaran tetapi mahu terus bekerja menjadi juru hantar atau rider kerana boleh mendapat pendapatan. Kenapa perlu sambung belajar, memerah otak dan menulis tugasan semata-mata untuk segulung ijazah yang tidak menjamin pekerjaan, kata mereka.

Bahasa mudahnya, mereka tidak mahu melalui rasa susah, tidak mahu keperitan. Mereka mahukan sesuatu yang mudah dan pantas hasilnya. Kalau ada jalan pintas untuk kaya, itulah yang mereka mahu. Umat Melayu ramai yang ada mindset ini, tidak hairanlah umat Melayu yang mudah terpengaruh dengan scammer yang menjanjikan kekayaan dengan jalan mudah. Umat Melayu juga yang suka mengemis bantuan dan enggan berusaha. Bunyinya kasar, tapi ini adalah fakta dan realiti.

Pembaca yang dihormati,

Saya ada menonton video wacana ‘Melayu Asal Keturah: Perspektif Agama dan Sejarah’ (sumber: https://youtu.be/1JmrWq2yIjo) dan saya tertarik dengan hujahan Prof. Dr. Rozaimi Ramle yang menyebutkan umat Melayu hari ini suka bernostalgia dengan kejayaan serta keagungan lampau, tetapi tidak mahu memperbaiki keadaan diri dan hanya sembang retorik. Saya setuju dengan pandangan beliau.

Umat Melayu sekarang bukan lagi dilihat sebagai golongan yang inovatif dan proaktif seperti zaman nenek moyang kita dahulu, tetapi Melayu hari ini adalah golongan yang reaktif, suka melenting, marah, cemburu dan menyalahkan orang lain. Bangsa lain sudah jauh ke depan berinovasi dan berdaya saing, Melayu masih lagi menyanyi lagi Anak Kecil Main Api tetapi kekal membakar saudara sendiri.

Kita tidak berusaha dan malas untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik, menjadi seorang Melayu Islam yang memberi manfaat kepada orang lain. Kita gagal menghayati dan mendasari sifat Ihsan dalam kehidupan, dan mungkin inilah sebabnya kita jauh dengan rahmat. Allah SWT berfirman;

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah An-Ankabut, ayat 69).

https://quran.com/29?startingVerse=69

Orang yang berusaha memperbaiki amalannya disebut ‘muhsinin’ atau muhsin. Allah SWT menjamin orang-orang yang sentiasa memperbaiki dirinya menjadi lebih baik akan menerima petunjuk, reda dan pertolongan-Nya. Sikap sentiasa memperbaiki diri atau continuous improvement untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik ini diamalkan oleh para sahabat Nabi, tabi’in dan ulama terdahulu sehingga mereka berjaya melahirkan tamadun Islam dan tradisi keilmuan yang hebat.

Pembaca yang dihormati,

Jika kita mengkaji sejarah empayar Islam dan sejarah bangsa-bangsa yang hebat termasuklah umat Melayu, mereka melalui proses yang menyukarkan sebelum berjaya membina empayar dan tamadun yang hebat. Kuncinya adalah proses – tiada jalan pintas untuk berjaya. Ulama dan ilmuan Islam zaman dahulu sanggup bermusafir jauh untuk menuntut ilmu dan berdakwah walaupun perit kerana mereka tahu Allah SWT menjanjikan kejayaan dan bersama mereka yang memperbaiki diri dan menyebar kebaikan kepada orang lain (muhsin).

Islam yang telah membawa konsep Muhsin atau continuous improvement ini, tetapi sayangnya kebanyakan Muslim zaman ini tidak menghayati dan mengamalkannya. Bangsa Jepun yang mengambil ibrah dan mengaplikasikannya menjadi konsep Kaizen serta mengamalkannya sehingga negara mereka berjaya – dan kita pula beranggapan mereka yang memperkenalkannya dan belajar daripada mereka!

Justeru, sebagai penutup kalam, saya menasihati diri saya dan pembaca sekalian, khususnya kepada yang Muslim, untuk kita berhenti daripada bernostalgia dengan kehebatan lampau, dan bangkit menjadi Muslim yang Muhsin, bermula dengan memperbaiki diri kita, bermujahadah untuk menjadi insan yang lebih baik dari aspek pengamalan Islam, sentiasa bersyukur dan reda, menambah ilmu, dan memberi manfaat kepada insan-insan yang lain.

Proses memperbaiki diri itu semestinya mencabar dan struggling, tetapi yakinlah dengan janji Allah SWT yang akan sentiasa bersama mereka yang berusaha memperbaiki dirinya.

AUDI FALIQ IBRAHIM
Petaling Jaya, 15 Januari 2024