Isu Padang Bola PKNS SS7 Kelana Jaya


Janganlah Padang Bola Hendak Dipolitikkan!

Padang bola PKNS di SS7 Kelana Jaya, bukanlah satu tempat yang asing bagi diri saya dan juga penduduk Petaling Jaya. Tempat yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk melaksanakan rekreasi dan juga majlis-majlis sosial. Padang ini bukan sekadar berfungsi sebagai tempat perlawanan bola sepak, tetapi lebih daripada itu.

Mutakhir, padang ini yang dahulunya aman damai kini telah menjadi satu ‘spotlight’ kepada rakyat umum terutamanya rakyat negeri Selangor. Ini gara-gara pendedahan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan padang tersebut menjadi satu kawasan komersial yang dijangka memberi pulangan dalam bentuk wang ringgit dan juga faedah-faedah setempat yang dijangka boleh dinikmati oleh penduduk Petaling Jaya amnya dan Kelana Jaya khususnya. Sepantas berita tersebut diketahui, maka ramailah yang membuat bantahan kepada kerajaan negeri dan mendesak agar rancangan tersebut dimansuhkan.

Persoalannya, adakah rancangan kerajaan negeri itu tepat dan bersesuaian dengan keadaan semasa dan masa akan datang? Saya terpanggil untuk memberi pendapat, dan saya akan zahirkan dalam entri ini. Juga suka untuk saya maklumkan bahawa pendapat saya adalah tidak memihak kepada mana-mana parti politik atau pihak berkepentingan, tetapi adalah berdasarkan pemikiran dan logik akal saya sendiri.

Sebagai mukadimah, apabila menyorot isu ini, pada pemerhatian saya, adalah berkisar kepada tiga perkara pokok, iaitu PEMBANGUNAN, NOSTALGIA, dan KEMUDAHAN SOSIAL. Apabila cadangan untuk membangunkan padang tersebut diutarakan, maka tiga perkara ini secara langsung telah disentuh. Saya akan ulas satu-persatu.

Isu 1: Pembangunan

Sebab yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor berkenaan cadangan ini adalah, kawasan Padang Bola tersebut adalah terletak di kawasan hartanah komersial yang bernilai tinggi dan secara rasionalnya pembangunan boleh dilakukan untuk mengambil peluang atas peningkatan harga nilai hartanah dan percambahan sektor-sektor lain selepas pembangunan tersebut selesai.

Jika kita lihat lokasi padang bola tersebut, sememangnya ia terletak di kawasan ‘panas’ di mana kawasan sekitarnya merupakan lokasi yang boleh dikatakan premium dan mempunyai potensi yang agak tinggi. Bersebelahan dengan padang tersebut adalah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dan dalam lingkungan kawasan padang tersebut juga, terdapat tapak komersial lain seperti Pasaraya Giant Kelana Jaya, Bangunan Kastam dan Plaza Glomac Kelana Jaya. Tasik Kelana Jaya yang terletak berhampiran juga merupakan satu daya tarikan. Kawasan perumahan di sekitar padang tersebut juga merupakan perumahan premium dengan rumah bertaraf banglo.

Dengan semua faktor-faktor di atas, jika anda seorang pemaju hartanah, jika anda ditawarkan untuk menilai kawasan tersebut dan membangunkannya, sudah pasti anda tidak mahu melepaskan potensi dan peluang ini bukan?

Jika anda ada masa, anda boleh tinjau sendiri padang bola tersebut. Mungkin akan terlintas di benak anda, terdapat satu kejanggalan kerana padang bola tersebut seperti ‘tersangkut’ (stuck) di tengah-tengah kepesatan pembangunan di sekelilingnya. Kiri kanan padang tersebut sudah bertukar menjadi kawasan komersial, tidak seperti 10, 20 tahun yang lalu.

Tetapi kita perlu ingat, itu adalah padang bola, dan jika pembangunan dijalankan, maka kos yang akan timbul adalah kos kehilangan kemudahan sosial buat penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan program-program setempat mereka.

Isu 2: Kemudahan Sosial

Padang Bola SS7 Kelana Jaya bukanlah padang bola yang biasa. Padang ini merupakan ‘rumah’ kepada PKNS FC, merupakan tempat penduduk setempat beriadah dan juga pusat mengadakan aktiviti sosial. Pendek kata, rumput di atas padang tersebut banyak kegunaannya.

Padang ini juga telah menjadi ‘landmark’ dan ‘ikon’ kepada masyarakat, bukan sahaja kepada penduduk Kelana Jaya dan Petaling Jaya, tetapi juga kepada rakyat Selangor amnya. Padang ini menjadi tempat berkumpulnya semua yang dijemput apabila adanya satu-satu majlis, tempat di mana silaturahim terjalin dan perkenalan bermula, dan siapa tahu, ada yang menemui jodoh mereka di padang bola ini?

Dalam erti kata lain, padang bola ini menjadi simbol perpaduan dan kesatuan. Integrasi dan harmoni. Maka, apabila pembangunan dijalankan, maka kita mungkin kehilangan semua ini. Harga yang perlu dibayar atas nama pembangunan dan kemajuan. Mahal bukan?

Jika anda merupakan seorang policy maker kerajaan negeri, apa yang anda akan lakukan?

Isu 3: Nostalgia

Nostalgia, atau faktor sejarah, mungkin penting bagi sesetengah pihak. Saya tidak nafikan perkara ini. Padang bola ini pernah menjadi tapak latihan untuk pemain bola sepak lagenda seperti Allahyarham Mokhtar Dahari. Juga, padang bola ini mungkin pernah melahirkan jaguh-jaguh bola sepak tempatan yang telah mengharumkan nama negara.

Apakah yang perlu kita lakukan? Untuk mewartakan padang bola ini sebagai kawasan sejarah/warisan adalah tidak mungkin kerana nilai sejarahnya tidak begitu signifikan sebagaimana Stadium Merdeka. Merit yang ada tidak cukup kuat.

Tetapi, mungkin ada di kalangan kita yang ‘membesar’ dengan padang bola ini. Ada yang mungkin pada zaman kanak-kanak atau remaja mereka, pernah menjadikan padang ini sebagai medan untuk bersukan dan menunjukkan kehebatan mereka. Mungkin juga, ada kenangan-kenangan bersama ahli keluarga, rakan-rakan, atau yang tersayang di padang bola ini.

Jika dihapuskan, maka hilanglah kawasan yang menjadi sejarah, punahlah bukti nostalgia diri. Jika berlaku pada diri anda, tidakkah anda sedih?

Kesimpulan

Pembangunan tidak harus dipandang sebagai perkara yang negatif, namun pembangunan juga perlulah mempunyai konteksnya dan tidak hanya berteraskan keuntungan material dan monetari semata-mata. Keperluan pembangunan perlulah juga diimbangi dengan kemudahan sosial, keharmonian masyarakat dan juga nilai nostalgia.

Maka, kerajaan negeri Selangor dan para penduduk Kelana Jaya khususnya perlu meneroka penyelesaian bijak dan rasional tanpa memasukkan elemen emosi dalam membuat keputusan yang memberi keuntungan dan kemenangan kepada kedua-dua pihak. Janganlah di akhirnya menjadi seperti peribahasa ‘Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran’.

Author: Audi Faliq Ibrahim

Manager (Media & PR) at Yayasan Basmi Kemiskinan

One thought on “Isu Padang Bola PKNS SS7 Kelana Jaya”

  1. Saya sokong pandangan anda, memang ia nya menjadi kenangan indah kepada kita. Mungkin juga inilah hadiah kemenangan PR yg kita perlu korbankan ?

    Like

Comments are closed.